BISMILLAH
Nota: Di bawah ini adalah artikel lama penulis yang disiarkan di dalam Majalah Era Muslimah dengan sedikit editing.
********************************
Memandu di Australia adalah antara aktiviti yang menyeronokkan. Pemandu di sini lebih berdisiplin dan beretika berbanding di Malaysia. Memandu di Sydney lebih tenang berbanding di Melbourne. Antara bandar-bandar besar di Australia, masyarakat setempat mempunyai sedikit perbezaan dari aspek budaya dan perwatakan mereka. Ia sama seperti di Malaysia yang mana budaya dan sikap semulajadi penduduk antara negeri-negeri adalah berbeza. Menurut seorang kawan yang bernikah dengan warga Australia, penduduk di Melbourne lebih peramah dan mesra berbanding penduduk Sydney. Sydney merupakan kota terbesar di Australia, diikuti bandar Melbourne, Brisbane, Perth, Adelaide, Canberra, Hobart dan Darwin.
Meskipun setiap negeri, penduduknya mempunyai sedikit perbezaan sikap dan perwatakan namun secara umumnya, mereka patuh dengan undang-undang yang ada. Menurut pemerhatian, pendidikan sejak di tadika berkenaan undang-undang jalanraya membantu generasi mereka memahami dan membentuk diri untuk berdisiplin. Selain itu, ketegasan pihak berkuasa mengambil tindakan kepada pemandu yang melakukan kesalahan turut memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat untuk tetap berdisiplin. Masyarakat yang berdisiplin dapat menjamin keselamatan umum.

Baru-baru ini penulis menemani anak ke lima yang berusia 5 tahun hadir ke Essendon Traffic School. Sekolah trafik ini menyediakan set jalan-jalan mini dilengkapi dengan lampu isyarat, penanda jalan dan loceng keretapi. Salah seorang ibubapa diwajibkan hadir untuk bersama anak-anak kecil ini memahami sistem jalan raya. Bermula latihan bagaimana melintas jalan raya bersama orang tua, anak-anak ini dibimbing mengenal tanda-tanda di jalan raya serta cara mematuhinya dengan menaiki basikal. Anak-anak ini kelihatan begitu seronok menjalani sesi pembelajaran ini.

Simpang-simpang Pelik dan Denda
Kalau di Malaysia, kita biasa temui simpang empat atau simpang tiga sahaja. Di sini, terdapat simpang yang pelik-pelik bentuk aliran jalannya. Bukan itu sahaja, bagi mereka yang baru sampai ke Melbourne dan mahu memandu di sini, perlu buat pemerhatian lebih pada setiap papan tanda jalan raya dan juga papan tanda ‘parking’. Ada kawan yang perlu membayar denda beratus-ratus dolar dek salah ‘parking’ beberapa kali. Ada kawan yang lain dikenakan denda AUD400 untuk dua kesalahan memandu lebih sedikit dari had laju dibenarkan. Yang lain pula dikenakan denda semata-mata kerana anak-anak tidak memasang tali pinggang keledar dengan kemas. Ada cara untuk membelok ke kanan, kenderaan mesti berada di sebelah kiri jalan. Ada banyak simpang empat yang kita tidak boleh membelok ke kanan atau ke kiri.
Mereka yang bercadang datang bermastautin di Australia dan memiliki anak pelbagai peringkat usia harus melatih anak-anak duduk di tempat masing-masing dengan memakai tali pinggang keledar. Anak kecil berusia 2 tahun ke bawah diwajibkan menggunakan ‘baby car seat’ atau ‘baby capsule’ untuk bayi berusia 0 – 6 bulan. Kanak-kanak berusia bawah 7 tahun diwajibkan menggunakan kerusi ‘booster’. Anak ke enam penulis yang dilahirkan di Melbourne duduk di atas kapsul bayinya sendiri dan memakai tali pinggang keledar pada hari pertama dia dilahirkan. Di sini penguatkuasaan undang-undang jalanrayanya amat tegas. Jika saman tidak dibayar dalam tempoh dua minggu, polis akan ‘bertamu’ ke rumah.

Lebuhraya
Mujurnya, lebuhraya bertol di Melbourne ada dua sahaja iaitu CityLink dan EastLink. Had laju maksimum ialah 100km/jam. Jarang-jarang sekali ditemui kadar had laju 110km/jam. Apa yang menarik tentang lebuhraya di Melbourne ini? Jika di dalam bandar, anda akan dapat lihat pelbagai rekabentuk moden menghiasi lebuhraya kota. Rasanya tidak banyak yang menarik pada lebuhraya itu sendiri selain menikmati pemandangan indah di kiri kanan jalan sebaik sahaja keluar dari kawasan kota. Ada papan tanda menandakan kawasan kangaroo dan beruang koala melintas. Jarang-jarang sekali, dapat dilihat kangaroo mati di tepi-tepi jalan akibat dilanggar kenderaan.
Pada tahun 2007, penulis sekeluarga pernah melakukan perjalanan Sydney-Adelaide-Melbourne-Sydney selama seminggu. Kami berkelana bersama sebuah famili lagi. Kereta sewa biasanya kereta baru dan kosnya pula rendah dibandingkan sewa kereta di Malaysia. Lesen memandu Malaysia diterima asalkan diterjemahkan. Boleh terjemah di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau mendapatkan salinan terjemahannya di pejabat konsulat di sini. Pemanduan adalah di sebelah kanan, sama seperti di Malaysia. Terbaru bermula tahun ini (2014) dikatakan JPJ keluarkan lesen dalam dua bahasa terus iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Itu kali pertama kami memandu di sini. Perjalanan Sydney –Adelaide berkereta memakan masa kira-kira 22 jam dicampur masa berhenti rehat. Jarak Sydney- Adelaide ialah 1427km. Dalam keadaan sarat hamil 7 atau 8 bulan pada masa itu, saya masih mampu menikmati keseronokan melakukan perjalanan jauh. Ini adalah kerana keadaan jalannya yang selesa dan dapat menikmati pemandangan sekeliling yang masya Allah! Subhanallah! Indah sungguh bumi kangaroo dihiasi ladang-ladang tanaman dan penternakan. Suami kelihatan tenang memandu seorang diri. Biasanya di Malaysia, perjalanan Kuala Lumpur-Kota Bharu yang tidak sampai 350km itu pun kami bergilir memandu.
Pemanduan Ke Syurga
Seronoknya memandu melalui lebuhraya kerana jalannya luas dan lurus. Itulah yang saya rasakan. Oleh sebab itu, ramai orang memilih menggunakan lebuhraya kerana mahu cepat sampai ke destinasi. Jarang orang mahu menggunakan jalan kampung yang sempit, banyak simpang dan bengkang bengkok. Seringkali bila berada di atas lebuhraya, terfikir tentang lebuhraya akhirat. Lebuhraya akhirat atau jalan hidup yang lurus itu hanya ada pada syariat Islam yang mudah difahami, praktikal dan selari dengan naluri. Manualnya adalah Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. ‘Pemandangan indah’ sepanjang ‘lebuhraya akhirat’ ini ialah aqidah tulen penganutnya, ibadah yang sahih dan akhlak mulia. Sehingga tatkala semua itu berpadu di dalam jiwa umatnya, akan terserlah ketenangan dan kebahagiaan pada individu dan menjamin keselamatan pada ummah.
‘Jalan kampung’ yang banyak persimpangan, bengkang bengkok dan sempit menuju akhirat pula ialah pelbagai cara hidup selain Islam. Ia sukar difahami, mengelirukan, merosakkan dan bercanggah dengan fitrah semulajadi insan. Persimpangan hidup yang pelik boleh muncul dari istilah-istilah Islam yang digembar-gemburkan sebagai cara hidup Islam masakini seperti Islam Hadhari, Islam Wasatiyyah, Islam Liberal dan lain-lain lagi. Walhal ia adalah ‘Islam’tempelan yang telah diubah suai menurut kepentingan diri atau golongan tertentu. Ramai manusia mampu patuh dan taat kepada undang-undang jalan raya kerana mahu dirinya selamat. Juga kerana takut kepada denda demi denda. Begitu jua Islam, jika ramai taat pada syariat, nescaya selamatlah diri dan masyarakat, bukan sekadar di dunia, bahkan di negeri abadi iaitu akhirat. Murka Ilahi dan denda-denda dari Allah berupa dosa, bala di dunia dan azab di akhirat lebih wajar ditakuti berbanding denda-denda ciptaan manusia.
Jika mahu sampai ke destinasi akhirat dengan selamat, hanya lebuhraya Islam berpandukan GPS al-Quran dan sunnah sahaja jawapannya. Sambil menikmati keselesaan memandu di lebuhraya, Allah mahu mengingatkan kita tentang ini juga . Allah berfirman di dalam surah Al-An’am ayat 153,
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya. Janganlah kamu menurut pelbagai jalan (yang lain dari Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
Ummu Abbas
6 Zulhijjah 1435H
Negeri Cik Siti Wan Kembang
Tinggalkan Jawapan