Antara Dua Benua: Al-Haramayn dan Australia

Bismillah

Berikut adalah coretan saya pada tahun 2014. Disunting sedikit sebelum disiarkan di sini. Moga bermanfaat 🙂

Berkat Doa Ibrahim a.s

Sebaik Hajar a.s  hilang dari pandangan, Nabi Ibrahim a.s lalu berpaling semula ke arah kedudukan Kaabah, lalu berdoa penuh khusyuk dan khuduk (merendah diri). Sedangkan waktu itu kawasan tersebut merupakan tanah gersang berpasir dan berbatu.  Tiada rumah dan tidak berpenghuni walau seorang manusia.  Doa ini dirakamkan oleh Surah Ibrahim ayat 37.

Doa dari lubuk hati seorang hamba Allah yang patuh ini diperkenan Tuhan yang Maha Esa.  Lalu banyak hati tertawan untuk berkunjung ke Baitullah sejak beribu tahun lamanya.  Bertuahnya kita kerana termasuk dalam golongan yang didoakan bapa para nabi itu. 

Tiap kali hati merindui untuk ziarah Baitullah dan setiap kali berada di kawasan Tanah Haram itu, doa Khalilullah ini sering menusuk ke hati.  Terasa sebak di dada kerana sememangnya Nabi Allah Ibrahim a.s menyebut di dalam doanya, ‘sebahagian dari manusia tertarik…’.  Ia memberi makna bukan semua manusia akan tertarik.  Melalui Surah al Baqarah ayat 126 diceritakan doa Nabi Ibrahim yang berbunyi, Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan kurniakanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”.  Lalu Allah membalas, “ (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.


Tahun 2010

“Bang, Nur mahu ikut Kak Yah tunai umrah tahun ini boleh?”.  Kak Yah ialah satu-satunya kakak yang saya ada. Agak rapat dengan dia. 

“Tunggulah selepas balik dari Melbourne. Pergi dengan Abang”.  Tahun itu sudah hampir 14 tahun tidak menziarahi dua Tanah Haram. Kali terakhir berkunjung semasa awal Ramadan 1417H bersamaan tahun 1997 masihi bersama rombongan Universiti Of Jordan.  Akur dengan keputusan suami. Sememangnya kami sudah ‘confirm’ akan ke Melbourne tahun tersebut namun rasa rindu yang tiba-tiba kepada Tanah Haram bagai didorong bila mengetahui kakak akan ke sana. 

Musim luruh di Melbourne CBD

Awal tahun ini (2014), baru beberapa bulan kembali ke tanah air, dihubungi suami yang berada di Melbourne, “Ada tiket (penerbangan) murah ke Madinah & Mekah, mahu tunai umrah tahun ini?”. “Boleh juga”.  Bagai orang mengantuk disorong bantallah jawabnya.  Lama selepas itu baru teringat janji suami mahu bawa ke Tanah Haram dulu.  Subhanallah!  Allah jua dengan rahmatNya yang memanggil lagi ke sini. Alhamdulillah.  Jazaakallah buat suami yang menunaikan janji walau saya sendiri sudah terlupa.  Hampir 18 tahun berlalu, akhirnya tiba jua saat melepaskan rindu kepada Tanah Haram dalam situasi yang lebih baik.  Kami pergi membawa bersama anak bongsu berusia 3 tahun semasa cuti sekolah bulan Jun baru-baru ini.  Allah sebaik-baik pemberi rezeki.

Antara Dua Benua


Penerbangan Qatar Airway itu sudah memasuki benua Arab yang sudah lama ditinggalkan.  Hampir memasuki Madinah, sayup kelihatan nun jauh di bawah sana, bumi gersang berbatu serta berpasir menjadi latar landskap bumi Madinah.  Terasa sayu di hati melihat bagaimana lokasi begini menjadi pilihan Allah swt buat kekasih-Nya menegakkan agama-Nya.  Jauh berbeza dari bumi kangaroo yang telah lebih 7 bulan ditinggalkan.  Hanya Allah swt yang Maha Mengetahui hikmah-hikmah besar di sebalik ketentuan-Nya menjadikan ia bumi para nabi dan rasul yang diutuskan.  Sedangkan masyarakat benua Eropah dan Amerika bagaikan sedikit terpinggir dari arus hidayah Islam ini. Islam berjaya masuk ke sana agak lewat.  Itu pun sedikit sekali dari mereka menerimanya.  Manakala penduduk berkulit putih di Australia itu sendiri berasal dari tahanan Eropah yang dibuang.

Suatu ketika, penulis menonton satu kembara top 10 Masterchef Australia di benua Eropah.  Melihat mereka begitu seronok mengadap makanan dan minuman kategori najis dalam Islam iaitu babi dan arak, terfikir apakah faktor-faktor kelompok bangsa berkulit putih kemerahan ini begitu sukar menerima Islam? Adakah mereka berbangga dengan kejadian jasmani mereka yang mungkin dirasakan lebih cantik dari bangsa-bangsa lain?  Saya tiada ilmu mengenainya.  Namun yang pasti, terlalu banyak hikmah Allah memilih penutup para nabi dari kalangan bangsa Arab, dilahirkan di Tanah Arab, membesar serta bermulanya Nur Allah buat umat akhir zaman di Tanah Arab sana. 

Memahami Sirah Sebelum Ziarah

Selepas 5 hari di Madinah, kami bertolak ke Mekah.  Jika Madinah dimuliakan Allah dengan kewujudan makam Rasulullah saw dan para sahabat yang besar, maka Mekah dimuliakan Allah dengan Kaabah.  Tarikan utama manusia singgah di Mekah pada awalnya ialah wujudnya Telaga Zamzam akibat hentakan tumit Nabi Ismail a.s yang masih bayi.  Ketika mahu meminum air Zamzam, ingatan pada Hajar dan anakandanya Ismail a.s sering datang seiring.  Alhamdulillah, dengan izin Allah, Dia memberi peluang meminumnya sedangkan telaga itu sudah berusia beribu tahun yang lampau.

Masjid Nabi dirakam dari hotel penginapan pada tahun 2014

Berjalan kaki bagi perempuan dan berlari anak pula disunnahkan bagi kaum lelaki ketika bersa’ie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.  Jarak perjalanan Safa ke Marwah  sekitar 450 meter (1480ft).  Jadi setiap muslim yang melengkapi sa’ie 7 pusingan telah berjalan kira-kira 3.15km.  Kita yang berjalan sejauh itu di dalam masjid yang diteduhi, berkipas pula pun sudah terasa penatnya, apa lagi yang lalui oleh Siti Hajar di tengah panas terik sebuah tempat yang gersang suatu ketika dahulu semata-mata mencari air untuk anaknya Ismail a.s.  Kita melakukannya secara beramai-ramai tanpa sedikit pun rasa bimbang ketidakcukupan rezeki dek makanan dan minuman sudah berlambak di luar sana.  Sedangkan Hajar melakukannya seorang diri ditemani si kecil yang hanya tahu menangis kelaparan.  Sungguh terkesan di hati bila mengingati ketabahan seorang wanita bersama anak kecilnya  memikul beban ditinggal suami di tanah gersang nan tandus tidak berpenghuni dan tanpa pepohon walau sehelai rumput. 

Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa’ie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.

Surah Al Baqarah ayat 158. 

Sungguh menginsafkan diri bila menunaikan haji dan umrah dengan memahami setiap latar perbuatan yang lahir dari sirah Nabi Ibrahim a.s dan keluarganya.  Peristiwa besar ini memberi panduan tahap ketaatan yang bagaimana seharusnya setiap muslim itu cuba amalkan.  Mematuhi segala perintah Allah tanpa sebarang takwilan atau pelbagai alasan seperti alasan tidak sampai seru atau tidak dapat hidayah sedangkan pengetahuan tentang perintah dan larangan, halal dan haram sesuatu perkara sudah lama diketahui. 

Antara Al-Haramayn dan Australia

Mengenal negara serba indah, subur tanahnya, pembangunan material yang serba canggih dan penduduknya serba menarik tetapi tidak digazetkan oleh Allah sebagai Bumi Anbiya’, malah lebih ramai penduduknya menolak Islam memberi dimensi pandangan dan pengalaman spiritual yang berbeza.  Benar, bumi Australia lebih indah dan kita berasa betah dengan keramahan, sikap toleransi dan profesional kebanyakan para penduduknya, namun Bumi Anbiya’ yang dihiasi padang pasir dan bukit bukau berbatu  lebih indah pada pandangan hati dek ukhuwwah atas ikatan aqidah sesama penduduknya, amalan yang diasaskan atas dasar iman dan segala barakah para nabi yang ada padanya. 

Salah satu pemandangan ladang di Australia

Contoh paling mudah, musim panas kering membahang di Madinah dan Mekah tidak melekakan para muslimahnya yang kekal menutup keindahan atau keaiban tubuh mereka, berbeza di Australia, para wanitanya berlumba-lumba berpakaian separuh atau ¾ suku bogel di musim panas. Di sisi Allah swt itu sendiri mengutamakan dasar iman hamba-Nya.  Segala kebaikan tanpa dasar aqidah yang benar akan tertolak.

Saya suka Australia namun dua Tanah Haram dan Bumi Anbiya’ di sekitarnya lebih dicintai. 🙂

Ummu Abbas

Negeri Serambi Mekah

Tulisan asal: 9 Ramadan 1435/ July 7, 2014.

Edited: 23 Dzul Qi’dah 1442/July 3, 2021.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: