Tiada satu pun pencipta sesuatu benda bersifat serupa dengan alat ciptaannya. Ribuan ciptaan manusia sejak dahulu kala sehingga ke saat ini, tiada satu pun yang menyerupai manusia itu sendiri yang terdiri daripada unsur jasmani, akal dan ruh. Ini adalah lojik mudah untuk memahami zat Allah SWT sama sekali tidak serupa dengan semua makhluk-Nya.
Kereta tidak mampu mencipta kereta yang lain pula. Tiada robot yang boleh melahirkan keturunan seperti manusia. Semua alatan yang namanya ‘smart’, ‘pintar’ dan ‘moden’, tiada satu pun yang mampu ‘berfikir’ dan bertindak sendiri melebihi perisian yang dimasukkan ke dalamnya. Begitu jualah dengan manusia ciptaan Allah SWT, hanya mampu berfikir dalam had yang diizinkan Allah SWT semata. Antara perkara yang tidak mampu dicapai akal manusia ialah kedudukan ruh dalam tubuh manusia, bagaimana rupa angin atau udara dan banyak lagi perkara-perkara ghaib seperti wujudnya jin, malaikat, iblis dan kehidupan selepas mati. Semua itu Allah jadikan wasilah supaya manusia berfikir tentang segala penciptaan-Nya guna memandu diri mengenali Dia, seterusnya mendekatkan diri kepada-Nya melalui kalimah syahadah dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT tanpa mensyirikan-Nya.

Saya percaya tiada pereka di kalangan manusia bersetuju bahawa barangan ciptaannya seperti kerusi, meja, rumah, kunci, motor, kereta, ‘smartphone’, komputer dan lain-lain itu adalah sama seperti dirinya. Maka begitu jualah bagi Allah SWT. Dia sama sekali bersifat tunggal, esa, berdiri sendiri dan menjadi tempat tumpuan segala makhluk untuk menumpang hidup. Sifat esa dan tunggalnya Allah SWT menunjukkan bahawa Dia tidak beranak seperti manusia dan tidak pula diperanakkan. Jadi mana mungkin ada manusia mendakwa bahawa Isa adalah anak Allah SWT atau mengaku diri sebagai anak Allah?
Dakwaan ini benar-benar batil dan tidak lojik sama sekali untuk menyamakan sifat Allah SWT itu sama seperti makhluk yang beranak-pinak.
“Katakanlah (Muhammad), ‘Dialah Allah, Yang Maha Esa”.
Allah tempat meminta segala sesuatu.
(Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.
Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia.”
(Al-Ikhlas 1-4)
Nabi Isa a.s (Disebut Jesus oleh penganut Kristian) sendiri tidak pernah mengaku bahawa dia anak Allah. Kitab Injil (Sekarang disebut dengan pelbagai nama seperti Al-Kitab, Bible dan lain-lain) telah melalui proses editing daripada tangan-tangan manusia yang tidak jujur serta tidak bertanggungjawab. Justeru itu, kita dapati ada pelbagai versi Bible yang berubah-ubah isi kandungannya. Pemutus kepada banyak kecelaruan di dalam kitab Bible yang sudah diubah-ubah itu ialah kalam Allah SWT yang dijamin keaslian lafaz dan kandungannya sejak ia diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW lebih 1400 tahun yang lampau.
يٰأَهلَ الكِتٰبِ لا تَغلوا في دينِكُم وَلا تَقولوا عَلَى اللهِ إِلَّا الحَقَّ ۚ إِنَّمَا المَسيحُ عيسَى ابنُ مَريَمَ رَسولُ اللهِ وَكَلِمَتُهُ أَلقٰها إِلىٰ مَريَمَ وَروحٌ مِّنهُ ۖ فَئآمِنوا بِاللهِ وَرُسُلِهِ ۖ وَلا تَقولوا ثَلٰثَةٌ ۚ انتَهوا خَيرًا لَّكُم ۚ إِنَّمَا اللهُ إِلٰهٌ وٰحِدٌ ۖ سُبحٰنَهُ أَن يَكونَ لَهُ وَلَدٌ ۘ لَّهُ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَكَفىٰ بِاللهِ وَكيلً
Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).
Al-Nisa’ 5: 171
Ummu Abbas
3 Zul Qi’dah 1442
13 Jun 2021
10.00 pm
#StayAtHome
#AmbilVaksin, KitaIkhtiar, AllahJagaKita
#DenganDakwahUmmahBerubah
Tinggalkan Jawapan