Seronoknya menjadi orang baik-baik. Hati akan berasa tenang, bahagia dan kasih sayang bertambah. Jom kita lihat apa lagi resepi untuk menambah rasa bahagia dan kasih sayang. Rasulullah SAW pernah berkata;
“Jibril sentiasa berpesan kepadaku tentang jiran, sehingga aku menyangka Jibril akan menjadikan jiran itu sebagai waris (kepada jirannya).”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas memberitahu kita akan hak jiran yang sangat besar dalam Islam.
“Kita kan kena duduk rumah dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Bagaimana mahu cakna jiran jika nak keluar rumah berjalan-jalan pun tak boleh?”
Banyak cara untuk menzahirkan sifat cakna dan prihatin di zaman internet ini. Lagikan saudara yang berada di hujung dunia pun kita boleh berinteraksi walau tidak keluar rumah, konsepnya sama dengan jiran dalam situasi PKP sekarang. Allah pasti suka melihat kita ‘super kreatif’ dalam usaha menunaikan hak-hak jiran walau terpaksa berkurung dalam rumah.
Antara cara penting menjadi jiran prihatin dalam suasana PKP ialah:
- Bertanya khabar jiran sebelah dengan kaedah penjarakan sosial dan bertanya khabar jiran-jiran yang lebih jauh melalui panggilan telefon atau media sosial.
Kalau kita boleh mewujudkan grup media sosial sesama rakan sepengajian atau rakan kerja, maka mewujudkan grup media sosial sesama jiran untuk memudahkan saling bertanya khabar adalah lebih utama kerana kes sosial pertama yang akan ditanya di akhirat kelak ialah tanggungjawab terhadap jiran-jiran.
2. Sekiranya jiran memerlukan sebarang bentuk bantuan, bantu jiran menurut prosedur yang dibenarkan pihak berkuasa.
Cth; Mengirim bahan makanan yang ingin diderma melalui penghulu mukim masing-masing. Penghulu akan menghantar barangan dari rumah ke rumah untuk mengelak orang ramai berkumpul. Juga mengurangkan pergerakan individu-individu.
“ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”
(Hadith Sahih Bukhari)
3. Berkomunikasi dengan kasih sayang dan akhlak yang baik.
4. Tidak menyakiti dan tidak mengkhianati jiran.
Mengkhianati jiran boleh terjadi dengan cara membuka aib, membocorkan rahsia, mendedahkan jiran kepada musuh dan tidak memberi amaran apabila ada bahaya mendekati mereka. Paling teruk ialah menyakiti secara terbuka pada emosi, fizikal dan harta benda mereka.
5. Peka sekiranya ada perbuatan mencurigakan seperti keganasan rumahtangga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita, Zuraida Md Noor berkata,
“Memang benar, bagi sesetengah orang, duduk di rumah adalah seperti di neraka. Ada aduan suami pukul isteri, isteri derhaka pada suami, ibubapa pukul anak, anak tengking dan pukul ibubapa.
“Dalam hal ini, mereka akan merasa tertekan apabila duduk di rumah. Saya sendiri menerima aduan dan luahan hati seorang ibu, isteri, anak-anak dan bicara hati seorang menantu.”
Seseorang yang beriman itu hendaklah melindungi jirannya dari perkara yang memudaratkan. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang menyebut, “Tidaklah masuk syurga orang yang tidak menyelamatkan jirannya dari sesuatu yang boleh membahayakannya”.
(Hadith Sahih Bukhari & Muslim)
6. Saling menasihati ke arah kebaikan dan kebajikan serta berkerjasama agar suasana kejiranan selamat dan sejahtera.
Cth: Menasihati jiran yang tidak mematuhi PKP bagi mencegah mudarat yang lebih besar terhadap mereka sendiri dan juga kepada orang ramai.
7. Mendoakan keselamatan dan kesihatan semua jiran kita.
وَٱعْبُدُواْ ٱللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُواْ بِهِ شَيْئاً وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَاناً وَبِذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَٰمَىٰ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَٱلْجَارِ ذِي ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلجَنْبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُمْ
“Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, orang musafir dan hamba yang kamu miliki.”
(Surah al-Nisa’ 4:36)
Ummu Abbas
14 Sya’aban 1441H/ 8 April 2020
#DenganDakwahUmmahBerubah
#AmbilVaksin,PutuskanRantaianCovid19
Tinggalkan Jawapan