Catatan ini merupakan status Facebook saya pagi semalam. Bimbang terlupa, terus masukkan dalam status sebaik sahaja 2 orang tetamu itu pulang. Di bawah ini, saya sudah edit semula untuk sesuaikan dengan penulisan dalam blog.
*************
Saya sedang mengedit sebuah artikel untuk menolong seorang sahabat. Tiba-tiba loceng rumah berbunyi, ‘ding dong’. Anak sulung saya segera mahu membuka pintu namun saya menegahnya.
“Tunggu Ummi pakai tudung dulu baru buka pintu”
Hal itu seringkali perlu diperingatkan. Kalau tidak, mereka akan membuka pintu semberono sahaja.
Saya bergegas memakai tudung dan jubah tetapi tidak mengenakan niqab.
Setelah pintu dibuka, kelihatan seorang lelaki dewasa yang agak berusia dan seorang lagi remaja lelaki belasan tahun. Pakcik itu sedang memberi latihan kepada remaja tersebut nampaknya. Saya beritahu saya tidak pandai cakap Bahasa Inggeris.
Pakcik itu lalu bertanya bahasa apa yang saya gunakan.
“Malay”
“Oh… kalau begitu awak dari Malaysia?”
“Iya”
Melihat saya bertudung, pakcik itu menduga lagi bahawa saya adalah muslim.
Saya mengiyakan.
Pada mulanya saya sangka mereka mahu buat soal selidik untuk kajian tertentu melihatkan kepada remaja berkenaan yang mengelek fail.
Saya juga menyangka mereka akan berlalu pergi setelah mengetahui saya tidak pandai cakap BI.
Namun bukan itu yang terjadi. Sebaliknya, pakcik itu lantas membuka satu buku kecil yang mengandungi terjemahan pelbagai bahasa tujuan mereka mengunjungi kami. Dia buka halaman yang ada Bahasa Melayu.
Saya lantas membacanya. Hanya satu halaman kecil yang ditulis dengan Bahasa Melayu Indonesia.
Sebaik memahami maksud kedatangan mereka, saya katakan, ” Saya sudah punya Bible tapi tinggal di Malaysia”.
Dia nampak tercengang dengan jawapan saya. Air mukanya berubah.
Dia cuba jelaskan semula apa yang saya sudah baca. Saya mengiyakannya sebab memang ramai manusia hari ini yang punya masalah dan perlu kembali merujuk agama sebagai penyelesai masalah.
Baru saya perasan remaja itu memakai kot dan seluar hitam dan kemeja putih di dalamnya. Kalau tidak silap saya, ia warna rasmi mubaligh Kristian. Mungkin dia bersekolah di sekolah mubaligh. Pakcik itu pula hanya memakai kemeja lengan panjang dan seluar slack biasa.
Melihat kepada rupa dan saiz tubuh, saya kira remaja itu berusia awal belasan tahun.
Kemudian dia tanya, adakah saya mahu dia kembali lagi dan bawa naskhah Bible serta memberi penerangan mengenainya.
Saya katakan, saya fikir saya tidak perlukannya sebab sudah memilikinya. Saya juga bandingkan Bible dengan al-Quran.
Untuk kali keduanya, dia kelihatan terperanjat lagi.
Saya sengaja menyebut Al Quran untuk melihat reaksinya. Saya juga sengaja menyebut bahawa saya membandingkan Bible dengan Al Quran untuk menarik perhatian remaja berkenaan.
Dia masih muda. Seharusnya apabila dia belajar sesuatu perkara, dia tidak menerimanya bulat-bulat tanpa melihat kepada perkara lain pula. Peluang untuk dia belajar dan mengkaji terbuka luas di hadapan. Selepas mengkaji baru buat pilihan.
Remaja itu cuba menerangkan sesuatu tapi saya tidak faham sangat. Ia sebagai reaksi kepada apa yang telah saya perkatakan. Dia seolah-olah mahu memberitahu ada 4 kitab dan Bible (Injil) diturunkan terlebih dahulu dari Al Quran.
Kemudian saya katakan, saya juga pernah belajar perbandingan agama.
Pakcik tadi yang kelihatan baru sahaja dapat menenangkan diri, berubah semula air mukanya. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa terkejutnya. Sedangkan saya hanya bercakap dengan tenang dan selamba sahaja sambil tersenyum.
Sekurang-kurangnya, meskipun saya tidak mampu berdialog panjang dengan mereka, saya menang dari sudut moral. Itulah yang mahu saya tampilkan bahawa saya bangga menjadi muslimah dan yakin dengan pegangan saya. Jadi tiada sebab untuk saya merasa gugup, takut dan bimbang dengan dakyah mereka.
Orang lain berhak sahaja menceritakan apa yang mereka faham namun untuk memaksa saya menerima kefahaman mereka adalah mustahil. Usahkan mengenai agama lain, dalam perkara khilaf syariat Islam pun, saya bebas membuat pilihan yang sesuai dengan diri. Yang penting dan keutamaan ialah merujuk terus kepada nas al-Quran dan hadis. Selepas itu, menyerahkan diri kepada Allah agar melimpahkan rahmatNya dan melindungi diri dari kemurkaanNya.
Kembali kepada pakcik tadi, saya tidak ceritakan apa pun mengenai apa yang saya sudah belajar mengenai Bible. Lagi pun saya tidak pandai bercakap BI. Saya hanya katakan, saya sudah punya Bible (Holy Bible King James Version dan The Gospel of Barnabas) dan belajar membandingkan dengan al-Quran. Itu pun sudah berubah sakan air mukanya.
Kenapa ya?
Apa yang mereka fikirkan?
Kalaulah saya mahir bercakap BI, mahu saja saya berdialog dengan mereka. Namun suasana yang ada tidak sesuai juga sebab suami ke universiti dan saya hanya bersama anak-anak di rumah.
Jika niat mereka mahu menyampaikan ajaran Kristian, saya mahu ambil kesempatan itu menyampaikan ajaran Islam. Terserahlah kepada mereka sama ada mahu menerimanya atau tidak kerana tiada paksaan dalam memilih agama.
Mungkinkah mereka sengaja datang pada waktu suami-suami keluar bekerja?
Sebelum pakcik itu beransur pergi, saya sempat menyatakan bahawa saya menghargai kedatangan mereka dan mengucapkan terima kasih.
Jika dilihat dari sudut positif, usaha mereka adalah sangat bagus. Mereka sanggup mengetuk pintu dari rumah ke rumah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah dengan cara mereka. Sepatutnya usaha tersebut dilakukan oleh umat Islam kerana hakikat penyelesai masalah manusia ialah kembali kepada Islam.
Ya Allah… bantulah aku untuk membantu agamaMu.
Ummu Abbas
10.09pm
4 Safar 1432H/8 January 2011
salam kak nur. saya juga pernah di datangi 2 ‘pendakwah’ Kristian masa tengah duduk2 kat uni. Lebih kurang sama keadaan, bila mana seorang yang bercakap, dan seorang lagi mendengar, seolah-olah belajar cara2 untuk mendekati ‘mad’u’ mereka.
satu perkara yang positif yang boleh di contohi, mereka sanggup mendatangi seorang demi seorang yang tengah beristirehat kat uni. semata-mata untuk bertanya mengenai apa yang kita tahu perihal jesus, bible etc dan menerangkan apa yang mereka faham.
dan bila mana saya membandingkan al-quran dan bible, dan menerangkan yang sebenarnya, mereka seolah-olah terkejut tapi masih mendengar dengan tekun dan tidak cepat melatah.
InsyaAllah, kunjungan Al Habib Umar Ben Hafidz , ulama’ besar dan juga Rektor Darul Mustafa , Hadhramaut , Yemen ke Kompleks Yayasan Al-Jenderami dalam rangka dakwah beliau ke Asia Tenggara.
Hari: Rabu , 12 Januari 2011
Masa: 6.30 petang
Acara: Pembacaan Maulid & Tausiyyah
Tempat: Masjid Al-Jenderami
Dijemput semua untuk hadir bagi memeriahkan lagi majlis.
Salam,
Kak Nur, salam perkenalan…saya baru berkenalan dengan blog ni..Alhamdulillah sangat menarik, suka saya membacanya dan insyaAllah banyak manfaat yang saya dapat:)
Berkenaan dengan entry ni, kami (saya dan suami) juga pernah menerima kunjungan mubaligh kristian. Mereka nak terangkan ttg bible, tp suami saya cepat2 pintas cerita pasal al-quran…:) mereka hnya mendengar dan senyum,lalu pergi..entah apa dalam fikiran mereka.
Apapun, saya tergelak dengan jawapan kawan saya apabila mubaligh kristian datang untuk berdakwah:
” Oh, sorry, I’m not interested. I’ve got the latest version (maksudnya ialah al-Quran)!”
huhuhu bijak dan mantapkan jawapan dia!:)