Berpolitik secara izzah bermaksud menjalankan politik dengan maruah, harga diri dan prinsip yang tinggi, selaras dengan nilai-nilai Islam. Perkataan izzah berasal daripada bahasa Arab (عِزَّة) yang membawa maksud kemuliaan, kehormatan dan kekuatan diri.

Allah SWT menjelaskan maksud Izzah melalui surah Fãtir ayat 10,

Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.
Ibrah Daripada Ayat Secara Ringkas
Sumber kemuliaan adalah milik mutlak Allah SWT. Allah akan berikan kemuliaan kepada sesiapa yang berpegang kepada aqidah yang benar, mematuhi segala hukum-Nya dan mengambil Islam sebagai cara hidup sepenuhnya. Jika seseorang itu adalah pemimpin, maka pemimpin tersebut akan menjadi mulia dengan melaksanakan seluruh undang-undang Allah dalam pentadbiran. Sebaliknya, pemimpin yang membelakangi hukum Allah, malah tunduk pula kepada kehendak musuh-musuh Allah SWT dalam berpolitik, maka dia menjadi hina di sisi Allah SWT dan akan dibenci oleh orang-orang beriman. Di akhirat pula akan mendapat azab yang dahsyat.
Izzah menurut kaca mata Islam tidak dapat diukur dengan kedudukan dalam masyarakat, berpengaruh atau mendapat pangkat bergelar atau kerana memiliki rupa paras rupawan atau kerana memiliki harta yang melimpah. Tiada seorang pun mampu mendapat kemuliaan daripada nilaian duniawi tersebut. Usah dicari kemuliaan dengan faktor-faktor yang tiada nilai di sisi Allah SWT, bahkan Allah akan kurniakan izzah atau kehormatan tersebut setelah kita memenuhi syarat-syarat-Nya walau kita tidak mencari apatah lagi memintanya.
Apa yang Allah pinjamkan, Allah boleh tarik balik bila-bila masa kerana segala kemuliaan itu milik Allah. Berapa ramai orang yang dimuliakan oleh masyarakat berubah menjadi hina sekelip mata apabila Allah menghendaki demikian. Ia terlalu mudah bagi Allah SWT.
Antara alasan kaum Musyrikin Mekah menentang dakwah Nabi Muhammad serta menolak ajaran Tauhid hanya kerana mereka berasa tergugat dengan kedudukan mereka sebagai penguasa Kota Mekah. Mereka juga bimbang, kemuliaan sebagai Penjaga Kaabah yang sedang dirasai akan memudar seterusnya hilang daripada genggaman.
Syed Qutb di dalam kitab tafsir Fii Zhilalil Quran menyatakan bahawa Musyrikin Mekah itu mencari kemuliaan melalui sembahan berhala-berhala mereka. Mereka menyangka kemuliaan itu boleh didapati dengan meminta kepada berhala-berhala tersebut. Maka Allah SWT menegaskan bagi Allah jualah segala kemuliaan bagi memperbetulkan pola pemikiran yang jelas salah ini.
Selepas menjelaskan ciri perkataan yang baik dan amal soleh yang diterima sebagai manifestasi mendapat kemuliaan, di akhir ayat, Allah memberi peringatan,
Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa.
Maksud Berpolitik Secara Izzah:
- Berprinsip dan Bermaruah
Tidak tunduk kepada tekanan, rasuah atau tawaran kuasa yang menyalahi prinsip Islam dan kebenaran. Seorang ahli politik yang berizzah tidak menggadaikan prinsip demi kepentingan peribadi atau parti. Maka para pemimpin muslim dan pengikut berkewajiban menolak segala idealogi pemikiran yang menyesatkan ummah seperti Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme, Humanisme, Feminisme Radikal, Materialisme, Atheisme, Anarkisme dan lain-lain. Isme-isme ini merupakan virus aqidah yang lahir daripada pemikiran Barat moden bersumberkan falsafah sekular dan bebas dari wahyu.
- Menjaga Integriti dan Akhlak
Berpolitik secara izzah menuntut seseorang konsisten dengan akhlak yang baik seperti tidak menyerang peribadi, tidak menabur fitnah dan tidak menggunakan cara-cara kotor untuk menang. Tidak menganut fahaman kaedah matlamat menghalalkan cara.
- Memartabatkan Islam dalam Politik
Keputusan dan tindakan politik diambil dengan berpandukan syariat dan nilai-nilai Islam seperti kebenaran, keadilan, amanah, ihsan dan kesederhanaan.

- Tidak Bersifat Taasub atau Fanatik Buta
Seorang yang berpolitik secara izzah akan mendahulukan kebenaran walaupun ia tidak memihak kepada kelompok atau partinya sendiri. Tidak taasub kepada pemimpin tanpa menilai kebenaran.
- Bersikap Tegas tetapi Berhikmah
Dalam mempertahankan kebenaran, pendekatan yang digunakan tetap penuh hikmah dan kesantunan, bukan dengan kebencian, maki hamun, atau permusuhan melampau.

Contoh Teladan dalam Konteks Islam:
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam berpolitik secara izzah. Baginda menolak tawaran kuasa dan kekayaan daripada bangsa Quraisy yang kafir kerana tidak mahu menggadaikan dakwah dan prinsip Islam. Baginda juga berpolitik dengan penuh hikmah serta memelihara akhlak yang baik, meskipun dalam situasi berhadapan dengan ancaman dan provokasi musuh.
Kesimpulan:
Berpolitik secara izzah bermakna menjadi ahli politik atau aktivis yang:
- Teguh dengan prinsip Islam
- Bermaruah
- Menolak rasuah dan tipu daya
- Berakhlak mulia
- Memartabatkan kebenaran dan keadilan
Ia adalah pendekatan politik yang mulia dan sangat diperlukan bukan hanya pada masa kini, bahkan sepanjang zaman. Lebih-lebih lagi dalam suasana politik hari ini yang sering dicemari oleh kebendaan dan kepentingan peribadi.
Allah jualah yang Maha Mengetahui segala apa yang tersirat di sebalik yang tersurat dalam hal ehwal politik tanah air masa kini. Orang yang beriman wawasan politiknya jauh ke akhirat. Dia hanya mengharapkan reda Allah SWT dan sekali-kali tidak akan membiarkan diri ditunggangi musuh untuk kepentingan peribadi sehingga memudaratkan kepentingan agama, bangsa dan negara yang merdeka ini. Setiap langkah dan tindakan ada audit pahala dan dosa. Semuanya akan dihisab di alam mahsyar kelak.
Andai merasa diri lemah, mohonlah kekuatan dan pertolongan daripada Yang Maha Perkasa namun usah sekali-kali menggadai prinsip agama untuk mendapat laba dunia yang amat sedikit.

Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
Ummu Abbas
2 Zulhijjah 1446H
30 Mei 2026






Tinggalkan komen