Bismillah
Tindakan Perdana Menteri Malaysia yang menari bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ketika acara sambutan di lapangan terbang beberapa hari lepas telah menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat, khususnya wanita dan kanak-kanak yang prihatin terhadap isu kemanusiaan di P6lestin. Perkara ini dianggap sensitif kerana Donald Trump dikenali sebagai tokoh yang menyokong kuat dasar pro-Isr4el sepanjang tempoh pentadbirannya, yang menyaksikan lebih 67,000 nyawa terkorban akibat serangan ke atas rakyat P6lestin, termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Isu ini perlu dilihat dari sudut kemanusiaan dan nilai sejagat yang menjadi asas kepada dasar luar Malaysia. Negara ini sejak sekian lama memperjuangkan hak rakyat P4lestin serta menolak sebarang bentuk penindasan dan keganasan terhadap golongan yang tidak berupaya, khususnya wanita dan kanak-kanak. Dalam konteks ini, sebarang tindakan yang boleh disalah tafsir sebagai tidak peka terhadap penderitaan rakyat P6lestin wajar dielakkan bagi menjaga imej Malaysia sebagai negara Islam yang berprinsip dan berpegang teguh kepada keadilan sejagat.
Laporan The Office of the UN High Commissioner for Human Rights (OHCHR) menunjukkan bahawa hampir 70% mangsa sejak serangan 7 Oktober 2023 adalah wanita dan kanak-kanak.[1] Setiap pemimpin yang memiliki isteri dan anak-anak seharusnya berasa empati dan simpati yang mendalam terhadap jenayah yang sedang menimpa saudara kita di G4za saat ini. Justeru, tindakan yang dilihat berpotensi menjejaskan sensitiviti mangsa kekejaman tersebut perlu ditangani secara berhikmah. Secara kiasan, saya kira tiada seorang suami atau bapa yang sihat mental dan jiwanya akan menari-nari bersama pembunuh isteri dan anak-anaknya sambil tersenyum gembira walau atas tujuan diplomasi.
Nabi SAW bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya: Perumpamaan orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.
Hadis Sahih Bukhari; No 6011 dan Muslim; No 2586
Hadis di atas menekankan kepentingan memelihara kasih-sayang sesama mukmin sehingga setiap daripada mereka akan memiliki sensitiviti yang tinggi apabila saudaranya disakiti atau ditindas, yang mendorong mereka untuk menjaga hak sesama mukmin dan saling membantu jika sebahagian mereka menghadapi kesukaran atau dianiaya.

Firman Allah SWT yang menegah daripada bermesra dengan penzalim,
إِنَّمَا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَـٰتَلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَـٰرِكُمْ وَظَـٰهَرُوا۟ عَلَىٰٓ إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Surah al-Mumtahanah (60):9
Kerajaan Malaysia perlu kekal komited bersolidariti bersama rakyat P6lestin yang dicernakan melalui tindakan tegas dan tuntas, bukan sekadar berpidato tanpa praktikal serta terus memperkukuh pendirian tegas secara ikhlas menentang kezaliman serta penindasan terhadap mana-mana pihak tanpa mengira bangsa, agama atau jantina.


Ummu Abbas
6 Jamadil Awwal 1447H/ 28 Oktober 2025
Negeri Cik Siti Wan Kembang
[1] Nearly 70 percent of deaths in Gaza are women and children: UN | Israel-Palestine conflict News | Al Jazeera






Tinggalkan komen