23 Oktober 2026 | Jumaat malam Sabtu, kira-kira jam 8.30 malam

Malam itu, suami dan anak-anak sedang menikmati makan malam. Saya sempat makan sedikit sebelum masuk ke bilik untuk menyalin pakaian yang terkena kotoran.

Sebaik menutup pintu dan membuka lampu, mata saya terpandang sesuatu yang kehitaman di atas lantai, betul-betul di belakang pintu. Oleh sebab lantai bilik juga berwarna coklat gelap, agak sukar untuk mengenal pasti objek tersebut. Namun, apabila ia mula bergerak, barulah saya tersedar bahawa itu seekor ular!

Saya sempat melihat ciri-cirinya yang boleh mengembangkan bahagian kepala. Berdasarkan pemerhatian sepintas lalu, saya mengesyaki ia sejenis ular tedung yang berbisa.

Saya segera menjauh dan cuba memanggil suami serta dua orang anak lelaki yang sedang makan di ruang dapur. Namun, pintu bilik yang tertutup rapat menyukarkan mereka mendengar panggilan saya.

Terpaksa juga saya menghampiri pintu semula untuk membukanya sedikit. Sebaik sahaja pintu terbuka, saya terus menjerit, “Ada ular! Tolong ambil kucing-kucing bawa ke sini.”

Aqil, anak kelima, tiba paling awal bersama tiga ekor kucing. Ular yang pada mulanya cuba keluar dari bilik bertukar arah apabila berhadapan dengan kucing-kucing tersebut. Saya mengambil kesempatan itu untuk menjauhkan diri dan berpindah ke bilik tetamu.

Saya sempat berpesan kepada anak-anak supaya tidak memukul ular di dalam rumah. Sebaliknya, cuba halau terlebih dahulu ke luar rumah.

Ular Hilang Tanpa Jejak

Apabila kembali ke bilik, dua orang anak lelaki sedang berusaha menghalau ular tersebut. Ular dikatakan masuk ke dalam almari pakaian, di belakang laci. Namun, apabila laci dikeluarkan, kelibatnya sudah tidak kelihatan.

Lebih membingungkan, ruang di belakang laci itu sempit dan kelihatan seperti tiada laluan untuk ular keluar ke tempat lain.

Kami mencari di merata tempat, termasuk menggunakan pembersih vakum, tetapi tetap tidak menemui ular tersebut.

Mula timbul persoalan: Benarkah ular itu masih ada? Atau adakah ia sekadar jelmaan?

Namun, kami tidak berani mengambil mudah. Dengan ciri-ciri ular yang sempat saya lihat, kemungkinan ia sejenis tedung yang mampu menyembur bisa dari jarak jauh menjadikan keadaan lebih membimbangkan.  Merasa tidak sedap hati, saya mengambil plastik dan getah gelang  lalu menyuruh Aqil menutup hujung hos yang terbuka.

Malam itu, saya dan suami mengambil keputusan untuk tidur di ruang rehat keluarga. Kami tidak berani menggunakan bilik sendiri kerana ular tersebut masih belum ditemukan.

Pada jam 2.30 pagi, saya tersedar lalu menutup celah bawah pintu bilik dengan kain dan plastik. Bimbang jika ular masih berada di dalam, ia akan keluar dan berpindah ke ruang lain.

Lima Hari Tanpa Rasa Selamat

Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa tidak terus menghubungi JPAM sejak awal?

Saya membesar dalam suasana yang biasa dengan pelbagai spesis ular. Kecil atau besar, ular yang masuk ke rumah bukanlah sesuatu yang asing. Kebiasaannya, saya orang pertama yang menemui ular dan hero kami ketika itu ialah Abah. Galah buluh sentiasa tersedia di rumah, selain digunakan untuk mengait buah, ia juga menjadi alat menghalau ular.

Justeru, saya terbiasa melihat keluarga mengatasi sendiri masalah ular yang masuk ke rumah.

Namun, kali ini berbeza. Kami tidak mahu mengambil risiko yang boleh mengancam keselamatan penghuni rumah. Atas nasihat dan galakan rakan-rakan, pada hari ketiga saya mengambil keputusan meminta bantuan JPAM.

Malangnya, pihak JPAM juga tidak menemui ular tersebut.

Malam keempat dan kelima, saya masih belum berani menggunakan bilik sendiri. Setiap kali mahu membuka pintu untuk mengambil barang keperluan, saya membaca Bismillah dan doa daripada hadis yang diriwayatkan Imam Ahmad,

Akhirnya, Ular Ditemukan!

Pada pagi hari kelima, saya menggunakan pembersih vakum untuk membersihkan bilik bersebelahan sambil memeriksa jika-kalau ular tersebut telah berpindah ke situ.

Ketika menghidupkan vakum, terasa seperti ada sesuatu yang agak berat tersedut. Apabila plastik di hujung hos dibuka, terhidu pula bau yang kurang menyenangkan. Saya segera menutupnya semula dan mengikat plastik tersebut.

Saya memaklumkan perkara itu kepada suami. Beliau meminta anak ketiga, Aziz, yang baru sehari pulang bercuti, membantu memeriksa pembersih vakum tersebut.

Tidak lama kemudian, Aziz menghubungi saya.

“Umi, ular ada ni. Nak Aziz katok (pukul sampai mati) atau lepaskan ke dalam semak?”

Saya meminta Aziz menunggu. Selepas memeriksa keadaan, saya berpendapat ular itu tidak wajar dilepaskan begitu sahaja kerana dikhuatiri akan kembali ke kawasan rumah. Aziz pula mencadangkan supaya JPAM dipanggil.

Alhamdulillah, pihak JPAM datang membantu. Namun, sekali lagi berlaku keadaan yang agak menghairankan. Ular itu tidak jatuh daripada hos pembersih vakum walaupun telah diangkat. Selepas menggunakan alat khas untuk menjoloknya, barulah ular tersebut berjaya dikeluarkan.  Terdapat luka di badan ular yang mengeluarkan bau yang tidak enak.

“Ular jenis ini lebih bahaya daripada tedung biasa,” jelas salah seorang anggota JPAM.

Alhamdulillah, akhirnya terjawab juga misteri kehilangan ular selama lima hari. Ular itu benar-benar wujud, bukannya jelmaan! Dan ia masih hidup walau tanpa makan dan minum selama 5 hari.

Barulah saya berasa lega dan yakin untuk kembali menggunakan bilik sendiri.


Ibrah di Sebalik Peristiwa

1. Memahami perasaan saudara kita di Gaza

Lima hari tanpa rasa selamat berada di dalam bilik sendiri, di rumah sendiri, memberikan satu pengalaman yang cukup berbekas.

Saya terfikir tentang saudara seaqidah kita di Gaza yang terpaksa hidup dalam ketakutan dan tidak berasa selamat walaupun berada di rumah sendiri, di tanah air yang dijajah berpuluh tahun.

Jika seekor ular yang tidak kelihatan sudah cukup membuatkan kami hilang rasa aman, apatah lagi berhadapan dengan musuh nyata yang lebih berbisa dan sentiasa mengancam nyawa.

2. Keselamatan rumah perlu diberi perhatian

Dari sudut keselamatan, pengalaman ini juga mengingatkan bahawa ular berbisa tidak wajar cuba ditangani sendiri; serahkan kepada pihak terlatih. Saya tersedar bahawa ada satu aspek yang tertinggal dalam Bab Keselamatan di Rumah, iaitu panduan menjaga kediaman daripada kemasukan haiwan berbisa.

Insya-Allah, perkara ini boleh ditambah baik dalam edisi kedua Panduan Suri Mithali.

3. Memperbanyakkan doa dan pergantungan kepada Allah

Sepanjang lima hari itu, saya lebih kerap membaca Bismillah dan doa perlindungan sebelum membuka pintu bilik.

Allah seolah-olah mengingatkan saya supaya sentiasa mengingati-Nya dan memohon pertolongan serta perlindungan-Nya dalam setiap keadaan. Bukan hanya ketika berhadapan dengan bahaya yang besar, bahkan dalam urusan kehidupan seharian.

4. Setiap kejadian ada hikmahnya

Bilik yang bersepah akibat usaha mencari ular akhirnya memberi peluang kepada saya untuk mengemas dan menyusun semula barangan.

Sedikit demi sedikit, persiapan menyambut Ramadan 1448 Hijrah dapat dilakukan di samping rutin dan tugasan harian yang lain.

5. Pembelajaran secara praktikal untuk anak-anak

Peristiwa ini menjadi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada anak-anak tentang kepentingan menjaga keselamatan rumah, khususnya apabila berhadapan dengan haiwan berbisa.

Menariknya, isu ular juga mendapat perhatian khusus dalam panduan Rasulullah SAW berkaitan haiwan yang boleh mendatangkan bahaya di kediaman.

Rupa-rupanya, ada perkara yang tidak cukup sekadar dipelajari melalui pembacaan. Ada masanya Allah memberikan pengalaman secara langsung supaya ilmu lebih difahami dan dihayati.

Benarlah, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kadangkala, sesuatu yang pada awalnya kelihatan menakutkan akhirnya menjadi ruang untuk kita belajar, bermuhasabah dan memperbaiki diri.

Ummu Abbas

1 Jumada al-Thani 1448H

11.11.2026

KOTA BHARU, Tanah Serendah Sekebun Bunga

#PanduanSuriMithali

Tinggalkan Jawapan

Saya Ummu Abbas

Selamat datang ke blog saya :) Tempat saya berkongsi secebis ilmu dan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Let’s connect