Setitis Embun…

Pemandangan Australia

Alhamdulillah.  Puji dan terima kasih untukMu Tuhan.  Salam dan selawat buat kekasihMu, Muhammad, para ahli keluarga, sahabat dan para pengikut setiamu. 

Saya memilih 1 Muharram 1429H bagi melahirkan blog pertama saya ini.  Selain mudah diingat, ia sangat signifikan buat saya memulakan langkah secara sendirian berhad di alam penulisan.  

Pengalaman saya menghantar karya kepada media cetak sangat kurang.  Apatah lagi mengharapkan hasil diterbitkan.  Manakan tidak, banyak tajuk yang ditulis namun sedikit sahaja yang siap.  Selebihnya, artikel tergantung tidak bertali. 

Minat menulis sejak usia 13 tahun.  Menulis betul-betul masa pegang jawatankuasa penerbitan, Persatuan Dakwah sekolah.  Kita tulis, kita terbitkan sendiri dalam buletin persatuan.  Pada masa itu, masih guna mesin taip.  Menggunakan kemudahan mesin taip abah di rumah, saya menaip di atas stensil.  Abah saya mantan penulis soalan ujian dan peperiksaan untuk anak-anak muridnya di sekolah rendah.  Kemudian bawa ke sekolah dan bagi pada peon untuk digelek.  Selepas itu baru diwujudkan Kelab Komputer untuk sekolah-sekolah.

Saya jadi Naib Presiden Kelab Komputer sekolah.  Juga diamanahkan oleh Presiden Kelab untuk kendalikan bahagian penerbitan. 

Selalu juga cari motivasi menulis melalui artikel atau buku berkenaan penulisan, sudahnya saya tetap tenggelam dalam kesibukan sebagai ratu rumahtangga.  Ratu yang dikelilingi 4 putera dan seorang puteri.  Masing-masing berusia 9 tahun, 8 tahun, 5 tahun, 3 tahun dan 5 bulan.  Ratu tanpa inang (Baca: Bibik). 

Hampir setiap hari pula saya menghadiri kuliah Sifu PTS di UNIKA PTS.  Namun saya terfikir ‘ Sampai bila harus begini?  Menimba ilmu tapi tidak diamalkan!  Ada input tiada output!‘   Anak saudara yang masih belajar di UIA pun ada blog sendiri.  Saya pula bila lagi?

 Saranan Sifu PTS dijadikan panduan.  Momentum paling besar buat saya mewujudkan blog sendiri lebih kepada menunaikan tanggungjawab berkongsi ilmu dengan kaum sejenis terutamanya.  Bagi yang lelaki, terserah kepada mereka.  Kalau ada manfaat, kutiplah.  Kalau sebaliknya, abaikan sahaja.

Motivasi menulis perlu sentiasa dihangatkan.  Selain Ramadan 1428H bulan penuh barakah memicu produktiviti,  saya dapati ubat ‘mengingati mati’ menjadi penawar mujarab membuang penyakit melengahkan masa dan kerja.  Bukan itu sahaja, ubat ‘ingat mati’ membuatkan saya menghitung usia yang semakin pendek!  Justeru saya tidak perlu bertangguh untuk beramal di bidang penulisan. 

Petunjuk untuk melakukan amal baik, hakikatnya dari Allah.  Kekuatan dan kemampuan mengetuk papan kunci laptop ini pun pinjaman dari Allah.  Nikmat sihat dan waktu juga akan dihitung oleh Allah.  Justeru, tiada apa yang menjadi milik kita kecuali pinjaman dari Allah.  

Moga-moga kita berusaha mengembalikan pinjaman Allah ini dalam keadaan baik dan direstuiNya. 

Ya Allah, Peliharalah kami di halaman redaMu!

2.44am

1 Muharram 1429H/ 10 Januari 2008M 

2 thoughts on “Setitis Embun…

Add yours

  1. ummu abbas, semoga terus bertinta. Sesungguhnya Allah bersumpah walaupun dengan hanya satu huruf. Satu huruflah yang membentuk perkataan, himpunan perkataan lah yang akan membentuk ayat. Himpunan ayat-ayat akan menjadi perenggan. Dari perenggan akan menjadi satu bab demi bab. Bermulalah dengan satu huruf. InsyaAllah satu hari nanti ia akan menjadi sebuah buku. Sayalah antara aorang-orang yang akan membacanya. 🙂 InsyaAllah.

  2. Jazakillah atas sokongan. Najah ke ni? Sorry ye… baru berkesempatan me’respon’ di sini. Baru dapat masuk blog sendiri gara-gara terlupa dan ter’delete’ password. Insya ALlah… ummu abbas akan terus berjihad dengan pena hingga ke akhir hayat. Apa yang penting, bagaimana mahu ikhlaskan niat sentiasa bila menulis…hmm…Allah jua penyelamat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: