Tiang Hidup

Assalamu’alaykum saudara-saudariku dalam Islam dan baru mengenal Islam,

Semoga hari ini lebih ceria buatmu.  Semoga hari ini lebih baik dari hari-hari semalam.  Kita bisa memperolehinya sejajar dengan peningkatan iman, amal dan zikrullah.  Hidup ini penuh jihad.  Jihad melawan hawa nafsu dan bisikan iblis.  Jihad untuk menyebarkan keamanan, keselamatan dan kebahagian dengan ISLAM.

Saya merasa terpenjara dalam masa yang dipenuhi tanggungjawab dan amanah.  Rutin harian yang tidak pernah surut dan rancangan penulisan yang bersusun-susun.  Ada persoalan yang belum terjawab.  Dan saya sedang menyusun waktu untuk menjawabnya.  Ada artikel yang belum bersambung. 

Menulis ilmu bukan perkara mudah.  Ia punya disiplin dan perbahasan yang luas.  Kata dan ayat perlu disusun agar mudah difahami dan paling penting, tidak tersasar dari tajuk.   Rujukan perlu dibuat. 

Saya menghargai kunjungan pembaca ke blog ini.  Golongan yang suka membaca adalah sang pencinta ilmu.  Allah kasihkan mereka yang cintakan ilmu.  Moga ilmu yang diperolehi ilmu yang bermanfaat yang dapat mengenyangkan minda dan menambah kualiti hidup.

Hari ini, saya mahu kongsi penulisan saya untuk buku Dari Lubuk Hati Ibu.  Buku itu sudah dijual.  Namun untuk promosi buku sendiri pun, saya tidak berkesempatan mendahulukannya.  Sementelah pula ia sudah kehabisan stok dan dalam proses cetakan kedua, alhamdulillah.

Secara ringkasnya, saya hanya membantu sahabat menyiapkan bukunya.  Buku ini adalah untuk para ibubapa hadiahkan kepada anak-anak yang sedang meningkat remaja.  Buku ini mengatur tajuk-tajuk yang menjadi tunjang kehidupan manusia hari ini.

Salah satu bab dari buku ini, saya lampirkan di bawah.  Saya pernah lampirkan sebahagian tajuk sebelum ini.

 solat_imad

Anakku,

Pernahkah kita lihat sebuah bangunan berdiri tanpa tiang?  Walau ia sebuah khemah sekalipun, masih ada sekurang-kurangnya dua tiang di kiri dan kanannya.  Rumah yang kita diami sekarang, sekolah tempat kita belajar, shopping kompleks yang kita ronda-ronda dan sebagainya lagi itu dapat kita huni dengan selesa kerana mereka semuanya mempunyai tiang.

 

Sekali-sekala kita menjengah ke Lembah Kelang, dapat kita saksikan pelbagai bangunan gah berdiri mencakar langit.  Menara Berkembar Petronas (KLCC) itu pula pernah tercatat sebagai bangunan tertinggi di dunia.  Kenapa ia begitu kukuh dan ampuh dibandingkan dengan bangunan lain?  Iya…anak ibu tahu kan… kerana tiangnya kuat dan padu. 

 

Begitulah perumpamaan hidup kita anakku.  ……..

Hidup kita akan tersergam indah bila ia dipacakkan tiang.  Tanpa tiang, tiada kehidupan sebenarnya bagai tiada bangunan yang dapat didirikan jika tiada tiang. 

 

Apakah tiang hidup kita anakku?  Cemerlang dalam pelajarankah?  Kerjaya yang hebatkah?  Kuasa politik yang ampuhkah?  Pakwe atau makwe yang sentiasa bersama kitakah?  Kalau anakku mahu tahu apa itu tiang hidup… bertanyalah kepada Pencipta kehidupan.  Dialah Allah yang Maha Mengetahui. 

 

Allah Pemberi hidup sudah memberitahu melalui nabiNya.  Kata Nabi Muhammad S.A.W, 

رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ  

Maksudnya:  Kepala urusan (kehidupan) ini adalah Islam dan tiangnya adalah solat.

Ia dilaporkan oleh Ibn Majah dan An-Nasa’ie dalam As-Sunan Al-Kubra.

Hadith ini dinilai sahih oleh Al-Albani dan Al-Arnaut.

Anakku,

Perkataan ‘solat’ itu berasal dari kata ‘silah’ iaitu hubungan.  Jika kita tidak mampu hidup keseorangan di dunia ini, dengan kata lain kita butuhkan kepada manusia lain untuk melengkapi hidup kita, maka lebih-lebih lagi kita perlukan Allah untuk membahagiakan hidup kita.  Bagaimana mungkin kita mahu lari daripada berkomunikasi dengan Allah, sedangkan setiap saat kita bergantung pada ruh dan nyawa yang dianugerahkan Allah.  Kita juga terlalu lemah untuk berdiri sendiri dalam menjalani kehidupan yang penuh mehnah ini.

 

Anakku,

Ibu ingat lagi, setiap kali bapa pulang dari luar negeri, anak begitu mengharapkan sesuatu cenderahati selain melepaskan rindu menatap wajah bapa.  Bila bapa keluarkan hadiah, wah! Ceria sekali wajahmu nak….  Ibu juga tumpang gembira.  Anak akan segera menerimanya dengan senang hati.

 

Bapa juga pandai memilih hadiah.  Bapa belikan hadiah yang anak suka dan sangat bermanfaat.

 

Begitu jualah Nabi Muhammad tatkala keluar dari dunia ini dan mi’raj ke langit.  Baginda pulang membawa cenderamata yang sungguh berharga buat kita ummatnya.  Cenderamata yang dikirimkan oleh Yang Maha Menyintai dan Yang Maha Menyayangi diri kita.  Buah tangan itu ialah ‘solat’. 

 

Kita suka bila seseorang yang kita minat atau kasihi memberikan nombor telefonnya supaya mudah kita menghubunginya.  Nah!  Sekarang Allah sudah pun memberi panduan bagaimana kita boleh berhubung denganNya.  Itulah solat. 

 

Allah bukan sekadar memberi panduan, bahkan mewajibkan setiap ummat Islam agar menjaga solat mereka.

 

Suatu hari, kita berjalan dipinggir kawah gunung berapi.  Di dalam kawah ada lahar yang membahang.  Tiba-tiba kaki kita tergelincir.  Belum sempat jatuh ke dalam kawah yang panas, datang ‘superman’ memegang tangan kita lalu ditariknya ke atas.  Apa perasaan kita ketika itu?  Adakah kita akan menepis tangan tersebut dan membiarkan diri kita jatuh lalu hangus terbakar?  Atau kita segera mengeratkan tangan kita pada tangan  ‘superman’ agar kita selamat dan terus dapat hidup?

 Superman2

Solat ibarat ‘superman’ tadi.  Di dunia solat menjadi benteng dari terjerumus ke dalam kancah maksiat.  Di akhirat solat menyelamatkan kita dari panasnya azab neraka.  Amalan pertama ditanya tatkala ruh berkunjung ke alam barzakh ialah solat. 

 

Allah telah jelaskan dengan nada tegas di dalam surah al-Ankabut, ayat 45, “Sesungguhnya solat itu mencegah dari perkara yang merosakkan dan perkara munkar.”

 

Suatu hari ibu menerima sms dari seorang kenalan yang sudah lama tidak menghubungi ibu.  Dia terpaksa menghubungi ibu saat itu kerana ditimpa musibah yang sungguh berat.  Dia mencurahkan segala permasalahannya kepada ibu.  Ibu terkejut tatkala dia mengaku telah berzina.  Ibu biarkan dia terus bercerita.  Akhirnya, dia sendiri sedar punca dia melakukan zina.  Iya…anak-anakku, dia tidak terus berzina selama mana dia masih menjaga solatnya.  Saat dia mula mengabaikan solat dek kesibukan berkerja, tika itulah hatinya mula khayal dengan keseronokan duniawi.  ‘Superman’nya telah disingkirkan dalam hidupnya sedikit demi sedikit.  Mula-mula pergaulan bebas, kemudian terjerumus ke lembah zina.

 

Banyak kes yang ibu temui di kalangan remaja yang mempunyai masalah sosial seperti mengambil pil kuda, minum arak, berzina datang dari diri mereka yang tiada lagi ‘superman’ yang melindungi diri mereka.  Iya…solat yang diabaikan akhirnya meruntuh kehidupan mereka.  Tiada tiang, tiadalah kehidupan.

 

Namun anakku, peluang untuk mereka bertaubat masih ada selagi nyawa belum sampai di kerongkongan.   

 

Allah menyebut ‘Aqiimussolah’.  Maksudnya dirikanlah solat sepenuh jiwa raga.  Badan yang melakukan perbuatan solat, minda yang hanya menumpukan pada makna-makna perbuatan dan makna bacaan solat dan hati yang dapat merasakan betapa ia sedang menghadap raja segala raja.  Sekali-kali Allah tidak gunakan ‘qada solat’ atau ‘adda solat’ yang bererti menunaikan solat secara zahir sahaja.  Sedangkan minda berkhayal ke tempat lain dan hati masih teringat dunia serta kenikmatannya.

 

Tiang rumah mesti cukup jumlahnya, baru rumah dapat didirikan.  Bolehkah sebatang tiang menampung sebuah rumah?  Begitu jua dengan Islam, wajib mempunyai lima tiang, barulah cukup ampuh untuk dibangunkan dalam diri kita.  5 tiang itu ialah solat 5 waktu sehari semalam.

 

Solatlah kamu sebelum kamu disolatkan.

 

Ummu Abbas

11 Rejab 1430H

11.10am

4 thoughts on “Tiang Hidup

Add yours

  1. Assalamualaikum Kak Nur,

    Alhamdulillah Kak Nur lampirkan sedikit isi buku nukilan kak nur tu (Dari Lubuk Hati Ibu)…dapatlah sedikit idea nak bercakap dgn anak saya betapa pentingnya solat tu. anak sulung saya lelaki berusia 11 tahun, liat bila di suruh solat, suka bertangguh….terima kasih sbb berkongsi ilmu.

    p/s: lepas ni kena cari buku tu…

  2. Kak Nur,
    kalau macam tu milla beli dgn kak nur je..mcm mana prosedurnya ye? seronok jugak dpt tandatgn penulis sendiri…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: