Hukum Sedekah Kepada Orang Kaya, Pencuri dan Pelacur

Bismillah.

 

“Kak Nur, apa hukumnya jika kita bersedekah kepada seseorang yang menipu dengan mengutip derma untuk masjid atau sekolah agama?  Bagaimana dengan sedekah kita itu?”

 
“Amalan kita dinilai berdasarkan niat dan cara.  Jika kita niatkan kerana Allah dan cara sudah bertepatan dengan syarak, maka ia tetap berpahala sekalipun penerimanya menipu.  Amalan penerima dinilai berdasarkan niat dan caranya sendiri.  Kita tidak menanggung apa-apa kerugian dari perbuatannya.”

“Itulah… andai kata kita bersedekah untuk membina masjid atau sekolah, maka sedekah itu tidak akan berpanjangan kerana masjid atau sekolah tidak dibina”, ujar penanya lagi.

Malam itu, saya memperkatakan tentang cabang-cabang sedekah jariah.  Soalan itu bagus saya kira kerana diri sendiri pun tidak pernah memikirkannya.  Lalu saya jawab, “Tentang perkara itu, serahkan sahaja kepada Allah menguruskannya.  RahmatNya terlalu luas”.

Seorang sahabat yang lain menyampuk, “Kalau ikutkan pendapat Ustaz Azhar Idrus, kita akan dapat dua pahala”.

“Dua pahala?  Macam mana?”

Masing-masing tersenyum dan tergelak.  “Ha..a betul.  Ada orang sebar poster jawapan Ustaz Azhar dalam Facebook berkenaan hal itu”, saya mengiyakan.

“Maksudnya pahala pertama ialah pahala bersedekah.  Pahala kedua ialah pahala kena tipu”.

Huku sedekah kepada penipu

“Pahala kena tipu?  Bagaimana boleh dapat pahala kena tipu?”

“Iya… bila kena tipu, kita bersabar… dapatlah pahala kena tipu”

“Ooo… begitu”.

Beberapa hari selepas Usrah Ibu Melbourne itu, saya menemui satu hadis yang menarik perhatian.  Ia ada kaitan dengan isu yang baru dibincangkan.  Pernah berlaku seseorang yang mahu bersedekah secara diam-diam, telah ‘terkena’ selama 3 malam berturut-turut.  Dia memilih waktu malam kerana tidak mahu perbuatannya dilihat orang.  Bagaimana cara dia ‘terkena’ ya… Ini dia kisah dari Rasulullah s.a.w.

Abu Hurayrah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;  Ada seorang lelaki berkata, “Malam ini aku benar-benar akan bersedekah.”  Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan sedekahnya itu diserah ke tangan pelacur.  Keesokan harinya, ramai orang berbicara bahawa malam tadi ada pelacur diberi sedekah.

Maka lelaki (yang memberi sedekah) itu berkata, “Ya Allah, bagiMu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan pelacur.  Nescaya aku akan bersedekah lagi”

Dia pun keluar membawa sedekahnya lalu bersedekah kepada seorang yang kaya. Keesokan harinya orang ramai berbicara bahawa pada malam tadi seorang yang kaya diberi sedekah.  Pemberi sedekah itu berkata, “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan orang kaya.  Pasti aku akan bersedekah lagi”.

Lalu dia keluar untuk bersedekah.  Kali ini sedekahnya jatuh ke tangan pencuri. Keesokan harinya ramai orang membincangkannya bahawa seorang pencuri telah diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata,“Ya Allah, segala pujian bagi-Mu, sedekahku telah ditakdirkan jatuh ke tangan penzina, orang kaya dan pencuri.”

Kemudian lelaki itu didatangi malaikat seraya berkata, “Sedekahmu telah diterima oleh Allah.  Adapun sedekahmu yang jatuh ke tangan pelacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur. Yang jatuh ke tangan orang kaya, boleh jadi dia mengambil iktibar dan akan bersedekah pula.  Yang jatuh ke tangan pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”

Hadis direkod di dalam Sahih Muslim dalam Kitab Zakat. No 1698.

Subhanallah… inilah antara rahmat Allah yang termaktub dari perbuatan baik kita walaupun mungkin regunya tidak seperti yang kita harapkan.  Kita merancang dan berniat, Allah juga merancang dan perancangan Allah itulah yang pasti berlaku dengan hikmah yang Dia sendiri lebih mengetahui.

Seseorang itu tidak menanggung dosa akibat perbuatan orang lain dan akan mendapat laba dari kebaikan yang diusahakannya.  Firman Allah dalam surah Faatir, ayat 18,

35:18

Seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. Sekiranya seseorang yang berat tanggungan (dosanya) memanggil (orang lain) untuk memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.  Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan solat. Sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali.

 

Ayat di atas sekaligus memberi pencerahan kepada persoalan yang saya timbulkan dalam entry sebelum ini iaitu, “Bagaimana jika yang menggunakan lebuhraya ini, niatnya berbuat maksiat di sesuatu tempat?”

Wallahua’lam.

Ummu Abbas

19 Muharram 1434H. Dic 3,12.

Melbourne; 2.32pm.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: