Sebuah Langkah Kecil, Ganjaran Besar — Seruan kepada Wanita Kelantan Hadir Solat Jenazah

Di sebuah desa yang tenang di Negeri Cik Siti Wan Kembang, Aisyah melangkah perlahan ke surau selepas mendengar berita pemergian seorang jiran lama. Dahulu, setiap kali ada solat jenazah, dia hanya menghantar doa dari jauh — beralasan bahawa urusan itu lebih layak dihadiri kaum lelaki. Namun kali ini, hatinya tersentuh. “Bukankah doa wanita juga berharga di sisi Allah?” bisiknya dalam hati.

Setibanya di surau, suasana penuh hening. Barisan beberapa orang wanita berdiri di belakang, sama-sama menadah tangan dalam solat jenazah yang singkat tetapi sarat makna. Hatinya terasa damai, seolah-olah roh ukhuwwah Islamiyah itu hidup kembali.

Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirat. Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanyakan kepada Baginda SAW: ‘Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat? Baginda SAW menjawab: ‘Seperti dua gunung yang besar.’

Hadis Sahih al-Bukhari (1325) dan Muslim (945)

Betapa besarnya ganjaran yang dijanjikan Allah bagi mereka yang menyertai solat jenazah — tanpa mengira lelaki atau wanita, selagi mana menjaga adab dan batas syarak.

Pagi ini, saya menghadiri satu solat jenazah jiran di kampung halaman.  Arwah Moksu yang telah memasuki usia 90 tahun tidak dikurniakan cahaya mata.  Anak angkat perempuan yang pernah dibesarkan sudah pergi terlebih dahulu beberapa tahun lepas.  Alhamdulillah, kaum lelaki ramai juga yang hadir untuk solat jenazah.  Namun saya yang berdiri di bahagian wanita keseorangan.  Ini adalah suasana biasa di Kelantan ketika acara solat jenazah.  Dalam beberapa acara solat jenazah yang pernah saya hadiri, kadar kehadiran kaum wanita masih rendah walau di kalangan kaum keluarga dan jiran tetangga.  Mungkin mereka belum faham sepenuhnya tanggungjawab menunaikan solat jenazah walau hukumnya fardu kifayah jika diukur kepada tanggungjawab secara kolektif, namun atas hak individu yang kita pernah kenal sebagai kaum kerabat, jiran dan kenalan, kita masih boleh menyumbang buat kali terakhir iaitu menunaikan solat jenazah sekiranya berkemampuan.  Ia berbeza dengan isu menghantar ke kubur kerana kaum wanita tidak digalakkan.   

Saya teringat kepada seorang sahabat yang berasal dari Selangor, bertanya kepada saya tentang wanita Kelantan yang hanya sebilangan kecil menunaikan solat jenazah walaupun ramai mereka yang hadir di rumah arwah semasa jenazah akan disolatkan. Katanya, di Selangor, kaum wanitanya biasa sahaja hadir menunaikan solat jenazah secara beramai-ramai.  Waktu itu saya hadir untuk solat jenazah arwah ibu mertuanya di sebuah desa di Kelantan.  Saya beritahu, di sini, kita perlu ajak kaum wanita yang ada bersama saat itu supaya turut sama menunaikan solat jenazah sebagai penghormatan terakhir buat arwah kerana mereka belum terbiasa dengan budaya tersebut.  Saya bersangka baik kepada kaum wanita yang tidak mampu hadir dan ada keuzuran seperti sakit, tidak boleh solat dan kekangan lain kerana saya sendiri juga kadang-kadang mempunyai halangan untuk hadir. 

Semoga sedikit pengalaman di atas boleh mencetuskan faham dan amal di kalangan wanita Kelantan untuk menghidupkan solat jenazah bersama-sama kaum lelaki.  Apatah lagi suasana solat di Kelantan biasanya terpelihara daripada ikhtilat baik jika jenazah disolatkan di rumah atau di masjid.  Kebanyakan yang saya perhatikan, kaum wanita yang hadir mengisi masa dengan berbual-bual sahaja di saat solat jenazah ditunaikan.  Alangkah baiknya, di masa yang sangat singkat itu – sekadar solat dengan 4 takbir tanpa ruku’ dan sujud – kita melakukan sesuatu yang dapat menambah nilai ‘pencen’ di akhirat sekurang-kurangnya dengan 1 qirat ganjaran.  Namun yang lebih utama dan tidak ternilai harganya ialah doa dan hubungan kasih sayang sesama muslim yang diterjemahkan buat kali terakhir melalui solat jenazah -bakal menjadi saksi untuk sama-sama bernaung di bawah ‘arasy Allah SWT di akhirat kelak.  Insya_Allah.

Wahai wanita Kelantan, ayuh kita sama-sama tunaikan solat jenazah sebagai tanda kasih sesama saudara seiman. Ia bukan sekadar ibadah, tetapi juga simbol empati, ukhuwwah dan penghormatan terakhir buat yang telah pergi. Dalam setiap doa yang dibaca, tersembunyi pahala sebesar gunung, dan dalam setiap langkah menuju surau atau masjid, terukir bukti cinta kepada Allah SWT dan sesama manusia.

Kerana kematian bukan penanda berakhirnya sebuah hubungan silaturrahim  — ia adalah panggilan untuk kita yang hidup agar memperbanyakkan amal.  Moga husnul khotimah dianugerahkan kepada kita semua yang menjadi jambatan pertemuan semula di alam sana.  Biiznillah.

Ummu Abbas

Tanah Serendah Sekebun Bunga

9 Jamadilawwal 1447/31 Oktober 2025

#gagasanwanitasolehahKelantan

#Wanita,Masyarakat&Ummah

Tinggalkan komen

Saya Ummu Abbas

Selamat datang ke blog saya :) Tempat saya berkongsi secebis ilmu dan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Let’s connect