Bapa Borek Anak Rintik

Isi Kandungan 31 Kisah Nabi

Bismillah.

BTS (Bedtime story) malam kelmarin kisah Bapa Borek Anak Rintik.

Alhamdulillah, saya membacakan kisah-kisah nabi dari buku 31 Kisah Nabi sebagai Bedtime Story.  Asalnya saya membacakan untuk Aesya yang berusia 7 tahun atas permintaannya.  Setelah beberapa kali bercerita padanya, Aziz yang berusia 9 tahun turut tertarik untuk mendengar sama.  Melihat minat Aziz dan kemampuannya memahami ibrah-ibrah (pengajaran) yang diberikan, saya membuat keputusan supaya semua anak-anak mendengar sama, Abbas yang berusia 13 tahun dan Azzam yang berusia 12 tahun.  Yang kecil, Aqil dan Aleeya saya biarkan mereka berada di ruang yang sama.  Insya Allah, akan ada kesan untuk mereka walaupun mereka bermain-main sahaja.  Doa seorang ibu itu yang penting.

Tanpa niat mahu memanjangkan mukaddimah, saya kongsikan di sini ibrah yang diberikan dari Kisah 28, Bapa Borek Anak Rintik.

@@@@@@@@@@@@@@

” Kita dapat lihat bagaimana Nabi Zakariyya berfikiran jauh dalam merancang pemimpin yang akan menggantikannya. Setelah dibuat pemerhatian yang lama dan mendalam, dia dapati tiada yang benar-benar layak mengambil alih tugasnya sebagai da’ie seterusnya memimpin umatnya ke jalan yang benar.

Di kalangan yang menerima seruannya, tidak ditemui yang benar-benar ikhlas. Dalam resah dan gundahnya memikirkan nasib umatnya, Nabi Zakariyya diberi ilham melalui peristiwa Maryam yang mendapat makanan secara langsung dari Tuhan.Melihat Maryam diberi layanan sebaik itu oleh Allah, semangat Nabi Zakariyya pulih kembali untuk tetap berdoa tanpa putus asa kepada Allah. Lalu dia memohon anak yang dapat menggantikan tempatnya walaupun dia sudah melangkaui usia emas.Beliau meminta anak sebagai misi mencapai visi yang suci… bukan sekadar sebagai tempat bermanja dan bermain-main bagi menghabiskan sisa waktu.

Allah perkenan doa hamba yang soleh dan tidak berputus asa itu dengan kurniaan anak berpangkat nabi juga. ”

*********************
~ Pentingnya pemimpin yang bertaqwa dan berkaliber merancang dan melatih pengganti.
~ Jangan putus asa dari rahmat Allah.
~ Saya memilih ibrah yang sesuai dengan usia anak-anak.  Jika ibrah itu sesuai untuk anak berusia 13 dan 12 tahun, maka saya beri perhatian lebih kepada mereka berdua.  Begitulah seterusnya.
Wassalam.
Ummu Abbas
7.18am
26 Syawal 1433H/13 Sept 12
Melbourne

Ya Allah! Suamiku mahu nikah lagi…

“Assalamualaikaum;

Saya ingin bertanyakan pendapat, saya dan suami telah berkahwin lebih 5 tahun tapi tidak dikurniakan cahaya mata.  Pada tahun lepas kami ada mengambil anak angkat. Sememangnya rumahtangga kami lebih bermakna dengan kehadiran si kecil ini.  Baru-baru ini saya mendapat tahu yang suami saya pernah menyatakan hasratnya untuk berkahwin lain kepada ibunya dengan alasan untuk mendapatkan zuriat (kejadian ini sebelum kami ambil anak angkat). Namun hasrat suami dibantah oleh keluarganya kerana mereka mengasihani saya.

Saya amat berkecil hati dengan suami dan saya nyatakan hasrat untuk berpisah dengannya agar dia dapat membina keluarga yang baru.  Saya tidak mahu dimadukan kerana tahu saya tidak mampu tanganinya begitu juga dengan suami.  Jadi lebih baik saya undur diri bagi membolehkan dia tumpukan kepada satu keluarga sahaja.  Kemudian suami menjelaskan yang dia tidak lagi mahu meneruskan hasrat berkahwin lain dan mahu tumpukan pada saya dan anak (angkat) kami.

Tetapi hati susah mahu percaya lagi pada kata-katanya sebab dari dulu saya pernah bertanya samada dia mahu berkahwin lain demi mendapat anak tapi dia nafikan sekerasnya, katanya tidak pernah terlintas pun tetapi di belakang saya dia menyatakan sebaliknya.  Saya berasa adalah lebih adil pada kami berdua sekiranya kami berpisah sahaja.

Sekiranya ada nasihat yang boleh dikongsi bersama saya, saya amat alu2 kan, terima kasih.”

Mar.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Wa’alaikum salam warahmatullah Mar.

Ummu cuba dapatkan pandangan kawan-kawan di Facebook.  Ini antara respon terpilih yang Ummu mahu kongsikan di sini.

Respon 1:

Pada pendapat saya Puan, masalah yang dihadapi Puan jadikan batu loncatan untuk mendekatkan diri dengan Allah swt.. bangun solat malam..luahkan isi hati, ketidakpuasan Puan pada-Nya …di situ Puan akan ketemui jawapannya..insyaAllah.

Respon 2:

Salam… sekadar pandangan saya :).  Sebelum itu, saya harap kita jelas dengan beberapa perkara:

1. Allah itu Tuhan kita dan MATLAMAT kita.  Akhirat itu Matlamat kita, Syurga itu Matlamat kita.  Sebaliknya segala di dunia ini hanyalah ALAT atau medium untuk mencapat matlamat di atas – seperti suami, anak-anak, pekerjaan, perkahwinan, ibubapa dan lain-lain.

2. Suami dan perkahwinan sebagai alat mencapai keredaan Allah – maksudnya, kita taat suami kerana Allah, bukan supaya suami tidak kahwin lain, tapi supaya Allah reda dengan kita walaupun ada masanya suami tidak hargai kita (contohnya).

3. Bila kita sedar, fahami dan hayati dengan sesungguhnya bahawa Allah itu Tuhan kita dan kita ini hambaNya, maka seharusnya kita tidak boleh jadikan hawa nafsu dan perasaan sebagai tuhan kita dan janganlah menjadi hamba perasaan sehingga sampai ke satu tahap di mana kita telah menidakkan hukum Allah lantaran hukum itu berlawanan atau menyelisihi perasaan dan nafsu kita. Berhati – hati bila berkata-kata, membuat keputusan dan tindakan jangan sampai keputusan atau tindakan kita menyebabkan kita menderita di akhirat. Biar menderita di dunia tidak mengapa asalkan tidak menyesal di akhirat. Memanglah kalau boleh kita mahu bahagia di dunia dan akhirat, tapi realitinya dunia ini bukan semuanya indah…. akhir sekali, jadikan rutin untuk membaca Zikir Pagi dan Petang (Hisnul Muslim) yang sahih dari Nabi saw, kerana di dalamnya ada ‘ayat2 pelindung’ yang melindungi kita dari hasutan syaitan.  Syaitan tidak datang menerkam dan menggigit leher kita macam vampire,  sebaliknya dia meniupkan kata – kata perasaan berbisa yang akhirnya membawa kita ke neraka. Bacalah nota di atas dengan rasional dan tenang, insyaAllah hati Puan akan terbuka untuk membuat keputusan yang sebaiknya untuk akhirat Puan :).

Maaf di atas coretan yang panjang ini. Semoga Allah merahmati dan melindungi Puan sekeluarga.

Respon 3 ~ 

Empunya pandangan ini boleh ditemui diblognya, Ummu Husna.

 ******************

Kak Nur, pertamanya Ina turut simpati dengan masalah yang sedang dialami oleh penanya. Sekadar cuba meletakkan diri di tempatnya seketika dan bagai merasakan gelodak perasaan yang sedang menyelubungi jiwanya saat ini. Namun, Ina percaya berat hati membaca luahannya, berat lagi dia yang menanggung beban perasaan yang menimpa.

Justeru itu, buat sahabat yang bertanya, saya tidak berhasrat untuk me’nunjuk ajar’ atau seumpamanya kepada puan. Saya tahu, ujian poligami itu berat bagi sesetengah wanita tetapi tidak kepada sebahagian yang lain. Sebagaimana ujian cahayamata, kewangan, kerjaya dan lain-lain.

Apapun puan, sepanjang 37 tahun usia saya di dunia ini, dengan pelbagai pengalaman dari orang sekeliling, saya mendapati, sememangnya ALLAH SWT menurunkan ujian atau lebih manis jika kita sebut sebagai CABARAN HIDUP dalam bentuknya yang pelbagai kepada setiap orang berdasar kepada kemampuan masing-masing.  Saya yakin puan pernah membaca firman ALLAH yang dekat maksudnya dengan kata-kata saya tadi.

Jika puan pernah membaca sebuah hadis nabi Sallallahu’alaihiwasallam ketika baginda ditanya “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?”. Maka Baginda menjawab:

“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.”

(Riwayat Imam Tirmizi)

Lalu, tanggapilah setiap ujian sebagai penghapus dosa dan sebagai jalan yang ALLAH hamparkan seluasnya buat manusia yang lemah seperti kita untuk berjalan hampir dan hampir dan hampir kepada-NYA.

Dunia ini adalah medan kita membuat pilihan hidup. Namun, dek kelemahan kita sebagai manusia, selalu pilihan kita tersasar dari kebenaran, lantas ramai yang menyesal di penghujung jalan. Andai perasaan puan ketika ini merasakan perpisahan sebagai jalan terbaik, sebaiknya tanyakanlah dahulu kepada DIA Yang Maha TAHU agar pilihan puan tidak mengundang penyesalan nantinya kerana tidak semua yang kita rasakan baik, adalah baik di sisi Yang Maha Kaya.

Puan, tiada siapa yang mahu derita dalam perkahwinan, tetapi tidak ramai yang menyedari bahawa bahagia atau tidak sebenarnya, ia adalah pilihan diri sendiri.

Puan, pilihlah bahagia dengan ‘bertanya’ kepada pemilik BAHAGIA yang hakiki.  Saya doakan puan dilimpahi rahmat dan dipermudahkan dalam menilai dan membuat pilihan itu nanti, ameen.

Respon 4

Link ini diberikan;  Wanita Tidak Boleh Meminta Cerai

Respon dari Ummu.

Ummu setuju dengan semua pandangan pilihan di atas.  Tinggal lagi Puan perlu memilih pendapat (penawar) yang sesuai dengan keperluan Puan kerana Puan lebih mengetahui dan memahami diri Puan.

Ummu mahu menambah sedikit yakni berkenaan sifat bohong.  Sewajarnya setiap yang bernama muslim berusaha menuruti sifat wajib bagi para nabi iaitu ‘benar’.  Benar pada perkataan dan benar pada perbuatan.  Ummu percaya jika para suami jujur, ia lebih mengurangkan risiko penolakan dari pihak isteri.    Berdasarkan pengalaman poligami dua orang yang dikenali, tentangan peringkat awal adalah lumrah@normal namun ia lebih mudah diatasi berbanding berbohong dahulu kemudian baru berterus terang.

Isu besar yang timbul bukan lagi pada poligami tetapi isu sikap yang bertentangan dengan sunnah membuatkan para isteri ‘confuse’ pada sunnah poligami yang mahu diamalkan oleh suaminya.  Sikap adil pertama yang dinilai isteri ialah adil dalam mengamalkan sunnah.   Sifat adil ini boleh memberi keyakinan kepada isteri jika suatu ketika nanti si suami perlu bernikah lagi.

Seperkara lagi yang harus kita fahami ialah, dosa-dosa suami kita tidak menanggungnya.  Contoh dosa berkata bohong.  Jika kita sabar, memberi peringatan kesan buruk dari sifat berbohong dan ‘ignore’ sahaja sikap tersebut sambil mendoakan suami, kita mendapat ganjaran pahala yang besar.  Ada perbezaan antara apa yang orang lain lakukan pada kita dengan apa yang patut kita lakukan.

Jika mereka memilih sifat mazmumah, mereka derita… dan kita membalasnya dengan sifat mahmudah, kita bahagia kerana yang memberi bahagia adalah Allah, bukan suami.  Fakta ini mungkin lebih menjelaskan lagi pandangan Ina di atas.

Bahkan Ummu percaya, jasa dan kebaikan suami Puan realitinya lebih besar dari kelemahan yang ada.  Cuba kenang kembali apa yang menyebabkan Puan menyukainya dahulu.  Juga cuba hitungkan sebanyak mana kasih sayang dan rasa tanggungjawabnya pada keluarga yang sudah dicurahkan sepanjang perkahwinan Puan dengannya.

Andai kita mahu suami berlaku adil pada kita, seharusnya kita terlebih dahulu berusaha menilai suami secara adil juga.  Jika kita nampak kekurangannya, hitung juga kelebihannya selama ini.   Begitu pula bila kita melihat sumbangan yang telah  dilakukan dalam Baitul Muslim yang dibina, maka hitung juga kelemahan kita dalam menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.

Berdasarkan pengalaman kawan-kawan Ummu yang dimadukan, walaupun ada yang berdepan dengan sikap suami yang melayakkan mereka menuntut fasakh, namun mereka tetap bertanyakan Allah apa keputusan terbaik untuk meneruskan kehidupan mereka.  Mereka patuh pada keputusan istikharah yang mana sehingga sekarang, Ummu lihat kehidupan mereka lebih harmoni dalam pernikahan di bandingkan berpisah.

Risiko berpisah adalah besar walaupun hidup dalam perkahwinan terasa derita.  Derita ada di mana-mana walau apapun keadaan kita.    Oleh kerana kita tidak tahu risiko mana yang lebih mampu kita hadapi, maka bertanya kepada Allah swt sebelum membuat keputusan adalah wasilah terbaik.

Perpisahan dari ikatan pernikahan ada 3 cara menurut fiqh;  Talak, khulu’ dan fasakh.

Talak hanya milik suami.  Khulu’ (tebus talak) dan fasakh boleh diusahakan pihak isteri dengan syarat-syarat tertentu.   Boleh rujuk dan dapatkan kaunseling di pejabat agama berdekatan berkenaan hal ini untuk mengetahui prosedur lanjut.

Bahagia itu adalah milik hati-hati orang beriman yang melakukan sesuatu perkara kerana Allah swt  sama ada meneruskan kehidupan bersama suami dengan memaafkan kekurangannya atau membuat keputusan berpisah.

Sekian dahulu dari Ummu.

Wassalam.

Ummu Abbas

10.55am

19 Syawal 1433H/ 6 September 2012

Melbourne.

Merdeka Dari Rahim Bonda

Bismillahirrahmaanirrahim.

31 Ogos juga bererti hari ulangtahun dua orang anakanda saya ‘merdeka’ dari rahim bonda mereka.(◠‿◠).  Alhamdulillah.

” Eid Meelad Sa’eed kepada dua anakanda, Abbas Zainy dan Azzam Zainy pada 31 Ogos. Semoga membesar menjadi anak-anak yang soleh.

Erti kemerdekaan bagi mukmin ialah merdekanya ruh dari memperturut hawa nafsu dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah swt.
Erti merdeka bagi sesebuah negara ialah bebas melaksanakan hukum Allah dengan mengembalikan hakimiyah kepada Allah semata.
Islam itu Tinggi dan tiada sesuatu pun yang mengatasinya.  Islam satu-satunya agama/cara hidup yang diredai ALlah.
Tidak lupa buat anakanda-anakanda yang sudah terlepas tarikh, Aziz, Aesya, Aqil dan Aleeya.”
Ummu Abbas
13 Syawal 1433H/31 Ogos 2012
2.47pm
Melbourne.

Papa Tertinggal Tungku Panas Atas Badan Mama

Saya terbaca catatan seorang kawan dalam Facebooknya beberapa hari lepas.  Tersenyum-senyum saya dibuatnya.  Saya sudah minta izin untuk dikongsikan di sini.  Insya Allah, di dalam jalinan kisah sering bersulam hikmah.

Empunya kisah merupakan seorang isteri yang sedang menyambung pelajaran di peringkat PhD di Melbourne.  Suami yang setia sudi menemani isteri dan menggalas tugas baru di sini iaitu ‘sura rumah’.  Kisah suami menemani isteri belajar bukanlah perkara baru.  Begitu juga dengan kisah suami yang suka membantu tugas isteri di rumah… ia sudah berlaku sejak dahulu.

Bagi saya, keistimewaan kisah ini ialah sikap cermat, berlemah-lembut dan layanan bersungguh-sungguh seorang suami kepada isterinya yang baru bersalin.  Lumrah pengalaman yang dipaparkan ialah tentang hal yang kurang enak mengenai suami yang isterinya dalam pantang.  Lupakan memori yang mengeruhkan hati itu, mari sama-sama kita ‘enjoy’ dengan catatan kasih seorang isteri yang begitu menghargai khidmat si Tuan Suami.

Bismillah.

Sebuah memori dalam diari seorang isteri terlukis gambaran cinta di hati.

“Diari sepagi insan bergelar Papa kepada 4 puteri (semasa Mama berpantang-hari ni hari ke-6)

5:00 am – Panaskan nasi dan lauk-pauk ala kadar untuk bersahur sambil panaskan tungku.

6:00 am – Solat Subuh.

6:30 am – Urut dan tungku Mama pada bahagian-bahagian utama (bahagian kaki) yang ada urat-urat peranakan sambil tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Sekejap-sekejap Mama menjerit-jerit sebab tungku terlalu panas- Papa letak tungku kat badan dan tertidur.

7:30 am – Mandikan baby Hana (2 hari sekali atau masa midwife datang melawat). Lepas mandi, Papa sapu/lumur kanji kat badan baby- kulit jadi mulus dan cantik, dapat jauhkan penyakit kulit, letak minyak Yuyee kat perut dan tapak kaki.  Kemudian tungku baby dengan tungku Mama tadi- tak jumpa batu kecil untuk buat tungku baby- pasir pun tak de kat sini.

8:00 am – Papa bawa baby Hana yang dah wangi (kanji wangi ke?) untuk Mama susukan. Papa terus ke dapur untuk sediakan breakfast untuk kakak-kakak Hana – cornflakes/susu. Sambil tu, Papa sediakan lunches untuk kakak-kakak – sandwiches/ fruits/ chips etc – Papa dah cekap dah bab-bab ni sebab dah 3 tahun dok train.

8:30 am – Tengah enjoy kakak-kakak main dengan baby Hana, tiba-tiba Papa kata, “let’s go”…ooo kena pergi hantar kakak-kakak ke sekolah la pulak- semua kiss baby Hana, Kak Irah tersilap kiss tummy Mama..  Hari ni Mama tak sempat baca doa kat ubun-ubun kakak-kakak, biasa jadi rutin untuk Mama baca doa.

9:00 am – Papa barut perut Mama dengan pes asam jawa – paling senang dapat kat sini, kadang-kadang guna minyak panas jer.

10:00 am – Papa pergi kerja (hantar catalogue), kerja paling flexible untuk Papa yang kena minding 4 puteri. Masa ni Mama berehat dengan baby Hana – berehat means buat taik mata, untuk stay up sampai pagi dengan baby Hana… Begini la rutin pagi sepanjang tempoh berpantang.”

Masya Allah… membaca catatan di atas, bagai terngiang-ngiang titah Raja segala Raja yang berbunyi di dalam Surah al-Nisa’ ayat 19,

 4:19

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

Apabila titah itu terlukis secara visual, keindahannya begitu mengagumkan hati yang melihatnya.  Bagaimanalah akhlak Rasulullah saw ye…?

Semoga Allah limpahkan rahmat dan keampunanNya pada si suami.  Semoga Allah berkati keluarga ini dan mengekalkan kebahagiaan mereka hingga ke syurga abadi.

Kasih Suami Rahmat Dari Allah

DYM Yang Dipertuan Agong datang bertamu ke rumah lalu berkata kepada suami kita, “Jaga isterimu baik-baik.  Beri dia makan, minum, pakaian dan pembantu rumah.  Curahkan kasih sayang sepenuhnya kepada isterimu.  Pada isterimu ada 3 perwatakan utama yang menyenangkanmu.  Pertama dia adalah kekasihmu tempat engkau bergurau senda.  Kedua dia adalah ‘seorang anak kecil’ yang mahu bermanja denganmu.  Ketiga dia adalah ibu kepada anak-anakmu yang mana kadang-kadang dia yang memanjakan dirimu.”

Andai kata peristiwa di atas berlaku secara langsung kepada kita, apa agaknya reaksi kita?

Tentu seronok bila seorang raja datang melawat dan menitahkan Tuan Suami supaya melayan kita dengan baik.   Itu baru raja bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia.  Bagaimana jika yang datang itu seorang khalifah yang mempunyai wilayah kuasa yang jauh lebih luas?  Pasti bertambah teruja, bukan begitu?  Apa lagilah jika ia datang dari Raja segala Raja iaitu Allah SWT.   Justeru yang paling mengasihi dan begitu mengambil berat tentang diri kita hakikatnya Allah jua.

Ke mana lagi mahu ditumpahkan kasih dan pengabdian selain kepada Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Semoga separuh Ramadan yang tersisa terus menjadi ruang berlumba-lumba mencari cinta Ilahi serta bertaubat dari segala dosa.

Wassalam.

Ummu Abbas

11.18am, Melbourne.

15 Ramadan 1434H/ 3 Ogos 2012

“Kia Ora”

Uniknya ciptaan Allah. Burung Kiwi merupakan trademark New Zealand.

Bismillah.

 

Assalamu’alaikum warahmatullah.

 

Kesibukan yang tidak pernah surut… ditambah pula dengan kesibukan lain membuatkan saya bertambah jarang dapat bersama hobi ‘menulis’.  Semoga Allah ampunkan saya dan terus memberi rezeki ‘masa menulis’ agar dengannya saya dapat jadikan satu pelaburan penting di akhirat kelak.

 

Di sini saya lampirkan artikel yang pernah di terbitkan majalah Era Muslimah.  Moga ada manfaatnya.

 

Tajuk lain bagi artikel ini:  “Bila Sudah Rezeki”

 

Semasa bersiap-siap untuk datang ke Melbourne dahulu, saya berfikir, “Tidak mungkin kami akan ke New Zealand memandang kepada kedudukan kewangan famili”.  Dapat bermastautin di Australia buat sementara waktu pun satu kurniaan Allah yang cukup besar untuk dinikmati dan disyukuri.  Antara ilmu yang tidak dapat dikutip lewat kuliah dan kelas ialah ibrah-ibrah yang  dititip dari pengalaman hidup di rantau orang.

 

 

Sebenarnya, apabila berada di satu-satu negara, saya suka mengambil peluang melawat negara-negara berdekatan untuk mengenali lebih jauh bangsa-bangsa dan budaya yang Allah ciptakan di bumi ini.

 

Allah berkata di dalam surah Al-Hujurat, ayat 13,

“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

 

 

Sepanjang tempoh belajar di Jordan dahulu, alhamdulillah, sempat menziarahi Mesir, Arab Saudi untuk menunaikan umrah dan haji, Turky dan Syria.   Mendekati manusia yang berbagai bangsa dan cara hidup mereka dapat meningkatkan ubudiyyah kepada Allah jika itulah matlamat kita.

 

 

Rezeki Yang Tidak Disangka

 

Benarlah janji Allah di dalam Surah Ibrahim, ayat 7, “Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu, sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabKu amatlah pedih”.   Saya sentiasa bermujahadah untuk merasa cukup dengan setiap pemberian Allah baik sedikit mahu pun banyak.  Dan cuba panjatkan segala puji dan syukur hanya untukNya di atas segala kurniaanNya.  Dalam masa yang sama, saya juga bermujahadah menahan diri dari merasa dengki dengan nikmat yang Allah anugerahkan kepada orang lain.   Mujahadah ini diiringi dengan perasaan mengharapkan pertolongan dan kekuatan dari Allah swt.  Tiada daya dan kekuatan melainkan dari Allah jua.

 

 

Biasanya, mujahadah begini menelurkan rasa tenang di jiwa tatkala kita berjaya menguasai nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan.  Rasa tenang itulah menjadi dambaan hidup setiap hari.  Jadi saya merasa tetap bahagia  serta kaya raya walau berada dalam situasi  tidak cukup wang.

 

 

Siapa sangka ya… pada April lepas iaitu cuti Easter, saya dan famili berpeluang melawat Auckland, New Zealand.  Jarak Melbourne –Auckland ialah 2632 km.  Perjalanan menaiki pesawat memakan masa kira-kira 3 jam setengah.  Saya dijemput memberi ceramah kepada mahasiswi di sana.  Alang-alang tempatnya jauh juga, suami memutuskan untuk membawa semua anak-anak ke sana.  Kami tidak fikir akan ke sana beberapa kali jika tiada urusan penting.  Kemampuan masa dan kewangan normalnya agak terbatas kecuali diizinkan Allah.

 

 

“Kia Ora”

 

“Kia Ora”

Begitulah bunyi satu tulisan menyambut kami di Lapangan terbang Auckland.  Ia adalah salah satu tarikan buat saya apabila melawat sesebuah negara bila mana pihak kerajaan tempatan mengangkat identiti bangsa untuk dikenali pelancong.  Sama ada ia dari aspek linguistik, budaya berpakaian, etika pergaulan, desain bangunan atau kediaman dan sebagainya.  “Kia Ora” bermaksud “Hai” atau “Hello”.  Ia menunjukkan identiti bangsa Maori yang merupakan penduduk asal New Zealand.

 

 

Dua orang mahasiswi menyambut kami dan membawa ke supermarket.  Ia adalah atas permintaan kami sendiri memandangkan kami akan terus ke farmstay yang ditempah sejak awal.  Farmstay ialah rumah di kawasan ladang tradisional New Zealand.  Jadi jaraknya agak jauh dari kawasan bandar.

 

 

Kira-kira sejam dari Lapangan Terbang Auckland, kami tiba di Warkworth.  Sedikit terperanjat tatkala melalui jalan tidak berturap tar sepanjang 5km sebelum tiba di penginapan.  Waktu itu sudah malam, jadi pemandangan di kiri kanan jalan kelam sahaja.  Rumah penduduk pula jarang-jarang kelihatan.  Penduduk New Zealand berjumlah kira-kira 4.37 juta.

 

 

Kami disambut mesra oleh tuan rumah.  Sikap ramah semulajadi Simon mengingatkan saya kepada sikap ramah penduduk negeri asal kami iaitu Kelantan.  Simon bercerita, “Penduduk di South Island lebih peramah dan jujur.  Jika mereka bertanya khabar, ‘Hi! How are you?’, mereka benar-benar maksudkan itu.  Mereka mahu tahu keadaan awak.  Tetapi jika penduduk bandar di North Island ini, jika mereka bertanya,’Hi! How are you?’, maksudnya mereka mahukan duit awak”.  Rupa-rupanya Simon berasal dari Pulau Selatan New Zealand.  Kemudian ke Auckland kerana menyambung pelajaran.  Sehabis belajar, berkahwin dengan gadis utara dan terus menetap di sini.  Patutlah dia tahu dan faham benar  sikap semulajadi penduduk South Island.

 

 

Memandang kawasan rumahnya di kelilingi ladang, saya bertanya, “Adakah Kiwi di sini?”

Simon kelihatan terpinga-pinga dengan soalan itu,  “Kiwi apa?”.

“Bukankah di sini terkenal dengan burung Kiwi?”.

“Oh… burung itu susah ditemui sekarang.  Di sini jika disebut Kiwi, ia bermaksud penduduk New Zealand.  Contohnya saya sendiri.  Saya adalah Kiwi.”

 

Oh begitu rupa-rupanya.  Patutlah pada awalnya,dia seperti pelik bila ditanya begitu.  Kiwi sudah ada di depan mata, ditanya lagi.  Inilah peri pentingnya kita mengenal budaya tempatan sesebuah masyarakat.

 

 

Saya merasakan sesuatu yang unik di sebalik penciptaan Allah pada bangsa-bangsa manusia.  Dari manusia pertama bernama Adam dan pasangannya, Hawa, lahirlah beratus jenis bangsa manusia dengan ciri perbezaan pada paras rupa, warna kulit, bahasa dan budaya.  Semua itu adalah untuk menzahirkan kebesaran Allah dan betapa Allah maha kreatif mencipta sesuatu.  Kewujudan pelbagai bangsa itu hanya boleh disatukan dengan asas Islam sebagaimana Rasulullah s.a.w menyatukan pelbagai kabilah Arab yang asyik berkelahi pada masa dahulu imma mereka muslim dan juga non muslim.  Justeru sesuatu perjuangan yang diasaskan kepada bangsa sama sekali bercanggah dengan fitrah Islam.

 

Islam untuk semua.

Ibrah Dari Belajar Menembak

Bismillah.

Rasulullah s.a.w pernah berkata,

Kamu harus belajar memanah karena memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.

Direkodkan Bazzar dan Thabarani dengan sanad yang baik

 

Sejak mengetahui tentang hadis galakan belajar memanah, saya menanam hasrat untuk melakukannya suatu hari nanti. Hadis di atas adalah umum untuk lelaki dan wanita. Jadi saya kira tidak salah saya menaruh minat untuk mempelajarinya.

 

Menembak Kias Kepada Memanah

Dalam catatan kembara ke Auckland baru-baru ini, saya telah ceritakan dalam entry sebelum ini bahawa kami menginap di farmstay. Tuan rumah pula seorang yang peramah dan baik hati. Semasa kami mengikutinya menghantar anak ke sekolah yang terletak di Bandar Warkworth, Simon dengan sukarela menunjukkan kami tempat-tempat menarik sekitar bandar tua tersebut.

Selepas itu, Simon membawa kami ke sebuah pusat sukan yang menyediakan aktiviti latihan menembak, bermain golf, baseball dan lain-lain. Saya merasa teruja ketika sampai ke The Range Warkworth itu. Hasrat lama yang terpendam sejak menetap di Kota Bharu akhirnya Allah makbulkan di Bumi Kiwi. Ia berlaku tanpa dirancang. Malahan Allah takdirkan semua itu melalui hambaNya yang belum pun memeluk Islam.

 

Semasa menetap di Kelantan dahulu, saya penah survey juga dan mencari kawan yang sama berminat belajar menembak di pusat di Pengkalan Chepa. Namun hasrat itu berlalu begitu sahaja dek budaya masyarakat awam yang tidak begitu memberi perhatian kepada sukan jenis ini. Sedangkan ia adalah jenis sukan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w yang mana jika betul kaedah dan niat, ia menjadi ibadah di sisi Allah.

Sememangnya Rasulullah s.a.w tidak pernah menyebut perkataan menembak… iyalah zaman tersebut mana ada senapang dan pistol, kan? Namun realiti kita hari ini menembak dikiaskan kepada sukan memanah yang disebut Nabi s.a.w di dalam hadis di atas.

Saya juga begitu bersemangat mahu mendedahkan jenis sukan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w kepada anak-anak lelaki. Bila saya sendiri mempelajarinya, saya dapat menghayati hikmah dan mengutip ibrah darinya untuk dikongsi bersama anak-anak.

 

Di Warkworth, pada sesi pagi itu, hanya saya, suami dan anak sulung yang berpeluang belajar menembak. 3 orang lagi anak tinggal di farmstay kerana mahu menonton kartun di TV.

Simon berkata kepada Abbas, “Itulah kan, mereka tidak mahu ikut tadi maka tidak dapat merasa belajar menembak”. Abbas tersenyum-senyum.

 

Simon yang baik hati itu memberi tunjuk ajar cara memegang senapang dengan betul dan melihat sasaran.

 

Dari depan; Suami, saya dan Abbas (anak sulung).
Simon sedang memberi tunjuk ajar kepada Abbas. Abbas dapat menembak 6 ekor sasaran.
Sophie yang berusia 3 tahun tidak ketinggalan mahu menembak sama. Sophie dapat 3 ekor. (Tak aci la kan sebab cikgunya tolong pegang senapang tu)
Masa untuk cikgu berposing pula 🙂

 

Bila berpeluang menembak, baru terasa ia bukan tugas yang mudah untuk mengena pada sasaran.  Apatah lagi untuk menjadi penembak tepat!

 

Sesi Petang

 

Waktu pagi saya hanya berkesempatan melatih diri membiasakan diri memegang senapang sahaja.  Petangnya, kami pergi lagi kerana membawa anak-anak yang tidak datang pada sesi pagi.  Ia satu aktiviti yang menarik dan menyeronokkan.  Lebih-lebih lagi dilakukan bersama keluarga.

 

Saya asyik menyiapkan kertas kerja di dalam kereta.  Bila laptop kehabisan bateri, baru saya berhenti dan melihat anak-anak berlatih.  Saya rasa tidak berpuas hati kerana paginya tidak mendapat walau satu sasaran.  Tanpa rasa putus asa, saya mencuba lagi dengan saki baki peluru yang ada.  Akhirnya, alhamdulillah, setelah mengubah sedikit kaedah yang diajar Simon, saya berjaya mendapat satu sasaran.

 

Ibrah Yang Terpendam 

 

1.  Ia melatih saya untuk  fokus pada sasaran dengan hati yang tenang.  Jika kita tidak tenang dan tidak fokus, sasaran mudah terpesong.  Saya dapat lihat sukan ini dapat melatih saya mengawal emosi dan menstabilkan kedudukan badan terlebih dahulu sebelum menembak sasaran.

Dalam apa jua tindakan yang mahu dilakukan, ia memberi signifikan bahawa saya harus fokus pada objektif dan berusaha menenangkan diri sebelum memulakan satu-satu tindakan.

 

2.  Ia melatih saya untuk menepati kaedah-kaedah asas yang relevan untuk mencapai target.  Kaedah asas itu ialah teknik memegang senapang dan juga cara melihat sasaran dengan tepat.  Kaedah dan teknik adalah usaha memenuhi syariatullah dalam berusaha. Kalau saya baca Bismillah 90 kali dan berselawat 70 kali pun tanpa berusaha mengikut teknik yang betul, saya tetap tidak akan berjaya membidik sasaran.   Dalam apa jua hal, syariatullah dan sunnatullah harus sentiasa berkerjasama untuk mencapai hasil terbaik.

 

3.   Selepas melihat Abbas berjaya menembak 5 sasaran, saya bertanya Abbas bagaimana dia lakukan.  Saya katakan bahawa terasa sukar sekali mencapai target dengan kaedah menyandarkan pangkal senapang ke bahu.  Abbas nyatakan dia cuba mengubah kedudukan senapang dari bahu asalkan ‘point’ yang dikehendaki benar-benar dapat dilihat dari arah senapang dihalakan.

 

Saya cuba mengikut kaedah yang Abbas gunakan barulah saya berjaya menembak target.  Pengalaman ini mengajar saya agar mengikut pada kaedah-kaedah asas sahaja.  Kaedah lain boleh diubah suai agar bersesuaian dengan diri kita dan kita juga merasa selesa dengannya.

 

Ia menjentik satu keyakinan bahawa sesuatu amalan yang sesuai dengan orang lain belum tentu sesuai dengan diri kita.  Begitu jua sebaliknya.  Dalam bidang fiqh yang saya pelajari, Islam mengatur prinsip-prinsip asas dan juga menyediakan kaedah-kaedah fiqh bagi menentukan permasalahan cabang yang bersifat fleksibel.

 

4.  Bersukan dalam Islam memberi manfaat pada jasmani, akal dan spritual manusia.  Bahkan ia juga menjadi ibadah di sisi Allah bila dilaksanakan dengan niat yang betul dan sentiasa mengingatiNya.

 

Ummu Abbas

12.56pm

25 Jumada 1 1433H/ 17 April 12

Melbourne

Kambing Yang Menyangka Dirinya Anjing

Bismillah.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakaaatuh.

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari ke 5 saya dan keluarga berada di North Island, New Zealand.

3 malam pertama, kami menyewa di sebuah farmstay di Taohua, utara Auckland untuk merasai kehidupan di ladang.  Hari ini saya mahu berkongsi satu perkara menarik yang terdapat di farmstay tersebut.

Nampakkan kambing putih di bawah?  Menurut tuan rumah, Simon, kambing ini menyangka dirinya anjing.  Ooo patutlah dia menyambut kedatangan kami sebagaimana dua ekor anjing tuan rumah menyalak-nyalak menyambut kami.

Simon memiliki dua ekor anjing, Trixie dan Kaizer.  Salah seekornya bertugas memburu binatang.   Selepas Simon bercerita demikian, barulah kami perasan kambing itu banyak mengikut tabiat Trixie dan Kaizer.

Semasa suami dan anak-anak mahu dibawa Simon bersiar-siar di kawasan sekitar kediaman, saya melihat sendiri kambing itu terlebih dahulu berlari-lari mengikut tuannya menaiki motor diikuti oleh Trixie dan Kaizer.  Namun oleh kerana ia memang seekor kambing, maka ia kelihatan cepat mengah dibanding dua ekor anjing itu tatkala tiba di bukit lain.

Tatkala Trixie dan Kaizer menyalak-nyalak, Si Putih ini tidak pula mengembek untuk meraikan kami… agaknya ia sedar jika ia mengembek, bunyinya lain…hehe… Lalu diam adalah lebih baik.   Sepanjang dua malam saya di sana, tidak pernah pula kedengaran ia mengembek.

Melihat gelagat kambing itu membuatkan saya teringat watak Ellie bersama Crash dan Eddie dalam cerita Ice Age 2.  Ellie, si mammoth betina itu menyangka dirinya seekor opposum  seperti Crash dan Eddie kerana dibesarkan oleh ibu opposum.

Manakala kisah Tarzan pula menunjukkan manusia bersikap seperti haiwan sekelilingnya kerana Tarzan membesar dan belajar dari haiwan.

Sebagai seorang ibu, saya melihat kisah-kisah ini mengandungi  hikmah yang mendalam dari aspek pendidikan.  Bila ia disebut pendidikan, konsepnya merangkumi semua bentuk pendidikan yang ada sama ada dari ibubapa kepada anak-anak, dari guru kepada murid, pemimpin dengan anak buahnya dan lain-lain.

Ewah!... siap tumpang berposing. Jinak sungguh kambing ini. Ini sudah lawan towkeh... dua ekor anjing itu tidak kelihatan pula.

Ia juga bersignifikan dengan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi, “Setiap anak dilahirkan dalam fitrah.  Maka kedua ibubapanya lah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”

Hadis direkod oleh Bukhari dan Muslim.

Kisah kambing itu pula berkait rapat dengan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi,

المرء على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل

Seseorang itu menurut agama rakannya. Maka perhatikan dengan siapa dia akan berkawan.

Hadis direkod oleh Abu Dawud, al-Tirmizhi dan Imam Ahmad.

Semasa saya mahu bertolak meninggalkan farmstay tersebut, kambing putih itu turut menghantar sehingga ke pintu pagar depan.  Lalu saya katakan padanya, “Saya akan rindukan awak”.   Symon tersenyum dan ketawa mendengar kata-kata saya.

6.34am

16 Jumada 1 1433H/ 8 April 2012

Hamilton

Di pinggir Sungai Waikato.

North Island, New Zealand.