7 Tip Mengatasi Rasa Tertekan Dengan Suami

Lazimnya, alam rumahtangga menjanjikan mawaddah dan rahmah antara suami isteri.  Dalam masa yang sama, pasangan juga boleh menjadi ‘bahan ujian’ sama ada suami yang baik diuji dengan isteri yang banyak kerenah atau sebaliknya.  Apa-apa pun, semua bentuk ujian Allah SWT berikan ikut kemampuan seseorang ye!  Sebagai hamba kita harus senantiasa bersangka baik dengan Allah SWT yang mahu menguji kita.  Ada bahagia menanti di penghujungnya, in syaa Allah.  Jika bukan di dunia, bahagia di akhirat sudah pasti diperolehi selagi mana kita mencari solusi yang Allah reda.   Bukankah Asiah binti Muzahim namanya terangkat tinggi walaupun bersuamikan Firaun?

Tulisan ini dikhususkan buat golongan isteri yang menghadapi tekanan dengan suami dan keluarga mertua tanpa menafikan golongan suami juga ramai yang tertekan dengan sikap isteri.  Para suami yang tertekan dengan sikap isteri boleh mendapatkan nasihat dari mereka yang lebih pakar terdiri dari suami-suami juga.  Hanya golongan suami yang memahami para suami.

7 Tip Mengatasi Rasa Tertekan Dengan Suami

Sebagai manusia biasa, apabila dihujani dengan beban kerja dan musibah yang tidak terduga, pasti kita akan berasa tertekan atau stres.

Tidak kiralah sama ada isteri yang berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa, ada kalanya sikap suami, kerenah mertua dan ipar-duai yang kurang memahami serta pentingkan diri, membuatkan anda berasa tertekan, sementelah jika anda dalam ‘iklim’ datang bulan.

Berikut adalah tip ringkas hasil pengalaman isteri-isteri yang bekerja, suri rumah dan juga kaunselor untuk menangani stres dalam rumah tangga:-

  1. Me time’  bersama Allah.  

Ya, ini langkah pertama yang kita perlu ambil bagi membuktikan rasa kehambaan kepada-Nya.  االله الصمد –  Allah tempat tumpuan segala makhluk.  Allah sendiri menonjolkan zat-Nya sebagai sebaik-baik tempat mengadu.  Dia sangat memahami situasi dan perasaan kita.  Pilih masa yang sesuai (seperti selepas solat fardu, duha atau bangun bertahajud di tengah malam) dan mengadulah kepada Allah seperti kita mengadu sesama manusia. 

“Ya Allah, hari ni aku cukup terasa hati dengan suami.  Sudahlah aku penat berkerja bagi meringankan beban nafkah dia, tapi aku balik rumah je, aku nak kena masak, kemas rumah dan urus anak-anak.  Dia boleh rileks-rileks ngadap handphone. Aku rasa sedih ya Allah!  Aku bukan minta bulan dan matahari, tapi memadailah dia ringankan tulang untuk membantu.  Biar sama-sama penat berkerja, dan dapat pula sama-sama berehat”.

Luahkan semua yang terbuku di hati sampai tiada lagi rasa terkilan.  Jangan lupa, minta jalan keluar yang diredai Allah SWT.  Kita bukan mahu berkelahi dengan suami, mertua dan ipar duai, cuma mahu semua orang memelihara hak antara satu sama lain sesuai dengan ajaran Islam.

2. Membaca al-Quran.  

Semasa mahu memulakan bacaan, mohon kepada Allah agar ditemukan ayat-ayat yang sesuai sebagai penawar untuk situasi yang sedang dilalui.  Selepas itu berdoa supaya diberikan kekuatan dan solusi terbaik dengan keberkatan ayat-ayat yang dibaca tadi.

3. Bersedekah terutama di waktu subuh.

Terdapat hadis sahih riwayat Imam Bukhari berbunyi,

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلَانِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا
وَيَقُولُ الْآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

 “Tidak ada satu subuh-pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat.  Salah satu di antara keduanya berdoa, “Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”, sedangkan yang satu lagi berdoa, “Ya Allah, berilah kerosakan bagi orang yang menahan (hartanya)”.

Orang yang bersedekah subuh malaikat mendoakannya.  Susah? Sediakan tabung di rumah, selepas solat masukkan sedekah. Apabila penuh serah ke masjid atau transfer online ke akaun-akaun derma yang diiklankan dan boleh dipercayai. 

Ada isteri yang terluka akibat perbuatan suaminya, dia mewakafkan lot tanah untuk perjuangan Islam, tetapi pahala sedekah diniatkan untuk suaminya.  Alhamdulillah, meskipun suami belum berubah seperti yang diimpikan, si isteri berasa puas kerana Allah menghilangkan rasa sedihnya.  Jiwanya tenang dan reda dengan takdir Allah.  Ketenangan yang dikecapi tidak dapat dibeli dengan wang berjuta, tetapi hanya dapat dicapai dengan izin Allah.

4. Bercerita kepada sahabat atau sesiapa yang boleh dipercayai serta diyakini.  

Masalah perlu diluahkan.  Niatkan untuk mendapatkan ilmu dan nasihat berpandukan wahyu bagi mengelakkan perbuatan mendedahkan aib pasangan atau keluarga pasangan.

5. Beritahu suami.  

Bagi sesetengah isteri, meluahkan melalui surat adalah cara terbaik.  Walaupun bunyinya macam klasik, sebenarnya dengan menulis kita dapat mengawal emosi. Menulis memberi peluang untuk kita menyemak dan mengedit bahasa serta ayat-ayat yang digunakan berkali-kali sebelum menyerahkannya kepada suami, sama ada secara bercetak atau ‘softcopy’. Simpan salinan surat untuk diri sendiri.   

Sudah banyak kes klien sesi kaunseling yang berjaya berkomunikasi dengan suami melalui kaedah ini.  Ini disebabkan suami boleh membaca isi-isi penting berulang kali. Tip ini boleh juga digunakan kepada ipar-duai dan biras-biras yang ‘tidak makan saman’ melalui rundingan verbal.  Gunalah apa cara, yang penting suami perlu tahu apa yang terbuku dalam hati.

6. Mendoakan suami agar dilembutkan hati dan ada rasa kasihan kepada kita.

 Semasa dia tidur,  baca doa dan usap ubun-ubunnya. Masa hidangkan air atau makanan, doakan dia.

7. Bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT.

Allahkan ada.  Allah suka hamba-Nya yang meminta-minta pertolongan-Nya. Allah mengikut apa yang kita sangka. Maka bersangka baiklah dengan Allah SWT.

Allah menggilirkan rasa bahagia, sedih, senang, susah, sihat, sakit, berjaya dan gagal supaya manusia sering kembali ke pangkuan-Nya.  Andai kita berjaya menghadapi ujian hari ini dengan tenang, usah diletak jangkaan bahawa ianya telah selesai.  Senantiasa bersiap sedia untuk menghadapi ‘kertas-kertas ujian’ yang lain daripada Allah SWT sehingga kita layak memasuki jannah abadi, insya-Allah.  “Happily ever after” hanya ada di syurga!

Suami yang rajin membuat kerja rumah membahagiakan isteri

Moga bermanfaat. 🙂

Disusun oleh,

Wan Nor Ainon Wan Abdullah

21 Safar 1442H/  9 Oktober 2020

Edited 22 Rabiul Awwal 1442H/Nov 8 2020

#dengandakwahummahberubah

#StayAtHome

#kredit Grup Ukhwatun Hasanah MMP 86’

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: