
Jika timbul rasa bersalah setiap kali melakukan kesalahan itu bagus! Ia perasaan normal anugerah Allah SWT dan tanda Allah SWT sayang. Yang tidak normal ialah kalau buat salah tapi tidak rasa bersalah, bahkan buat-buat derk je… Lebih parah lagi jika tetap rasa diri betul dan memandang orang lain yang salah.
Pelaku kesalahan yang merasa dirinya bersalah lebih baik dari mereka yang beramal soleh kemudian merasa dirinya suci. Yang terbaik di antara keduanya ialah mereka yang beramal soleh, kemudian merasa dirinya lemah tidak berdaya kecuali dengan pertolongan dan kekuatan dari Allah semata. Mereka juga sentiasa beristighfar dari dosa yang disedari mahupun tidak disedari.
Daripada rasa bersalah itu biasanya timbul rasa menyesal. Rasa menyesal itu merupakan taufik dari Allah agar diri tidak meninggalkanNya jauh dan semakin jauh. Rasa bersalah yang menghantui itu pula merupakan dorongan dari Allah agar segera bertaubat kepadaNya.
Syaitan amat takut pada setiap hamba yang menyedari kesalahannya. Iblis tidak mahu manusia bertaubat dari perbuatan salah yang pernah dilakukan. Iblis tahu bahawa Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang pada setiap dosa-dosa kecuali dosa syirik.
Daripada benih ‘rasa bersalah’ dan ‘menyesal’ itu, Allah mahukan pohon taubat dari kita.

Melalui satu hadith Qudsi, Allah SWT menyapa lembut anak Adam dengan berkata,
يَا ابْنَ آَدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوتَنِيْ وَرَجَوتَنِيْ غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ مِنْكَ وَلا أُبَالِيْ، يَا ابْنَ آَدَمَ لَو بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ استَغْفَرْتَنِيْ غَفَرْتُ لَكَ، يَا ابْنَ آَدَمَ إِنَّكَ لَو أَتَيْتَنِيْ بِقِرَابِ الأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لقِيْتَنِيْ لاَتُشْرِك بِيْ شَيْئَاً لأَتَيْتُكَ بِقِرَابِهَا مَغفِرَةً
Maksudnya:
Wahai Anak Adam!
Selagimana engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi.
Wahai Anak Adam!
Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepadaKu, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi.
Wahai Anak Adam!
Sekiranya engkau datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula.
Hadis direkodkan oleh Imam al-Tirmizi. Dia mengatakan hadis ini Hasan Sahih.

*TAUBAT IBARAT MANDI*
Bagaimana kita rasa setiap kali selepas mandi? Apatah lagi jika mandi menggunakan sabun dan syampu yang aromanya semerbak harumnya? Badan terasa segar dan cergas kembali, bukankah begitu?
Begitulah hidup kita, dosa-dosa ialah kotoran yang menggelapkan hati menyebabkan hidup terasa tidak ceria dan tidak bersemangat.
Dosa-dosa boleh dibasuh dengan solat dan taubat.
Hargai nikmat ‘rasa bersalah’ dan ‘menyesal’ yang Allah campakkan dalam diri dengan kembali kepadaNya dengan sebenar-benar kembali.
Taubat sepenuh hati dan doa yang penuh mengharap itu akan menyegarkan jiwamu semula.
Pedulikan apa kata orang padamu. Apa yang penting rahmat dan keampunan Allah amat luas tidak bertepi.
Ingat sahaja, saat Izrail bertamu, Allah satu-satunya zat yang dapat menyelamatkan kita.
Walau sejuta pujian atau sejuta kejian manusia terhadap kita sedikit pun tidak dapat membantu kita saat penuh debaran itu.
Mulai langkah beramal soleh hari ini dan perbaiki diri kerana Allah sentiasa menilai amalan baik secara saksama.
Selak lembaran ‘Surat Cinta Ilahi’ setiap hari yakni al-Quran. Di sana, pasti ditemui siraman kasih Allah yang tidak bertepi pada makhlukNya.
Akhir kata, Allah Maha Mengetahui bahawa akan ada saat-saat manusia dihambat rasa putus asa dan lemah semangat. Justeru awal-awal lagi Allah rakamkan dalam al-Quran ayat 53 hingga ayat 54 Surah al-Zumar,
قُلْ يٰعِبَادِىَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوْا مِنْ رَّحْمَةِ اللّٰهِؕ اِنَّ اللّٰهَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ جَمِيْعًاؕ اِنَّهٗ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
وَاَنِيْبُوْۤا اِلٰى رَبِّكُمْ وَاَسْلِمُوْا لَهٗ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَّاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنْصَرُوْنَ
Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah sepenuh hati kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan lagi.
وَاتَّبِعُوْۤا اَحْسَنَ مَاۤ اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِّنْ رَّبِّكُمْ مِّنْ قَبْلِ اَنْ يَّاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً وَّاَنْتُمْ لَا تَشْعُرُوْنَۙ
Serta turutilah sebaik-baik apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu (yakni al-Quran sebagai panduan hidup), sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedangkan kamu tidak menyedarinya.
Apa yang baik milik Allah jua.
Ummu Abbas
18 Safar 1441H/ 18 Oktober 2019
# Artikel ini diedit dari tulisan lama berjudul, “Rasa Bersalah Merupakan Nikmat Dari Allah SWT” pada 1 Rabiul Akhir 1430H/28 Mac 2009 apabila penulis menerima persoalan mengenai isu yang sama dari ahli usrah.
#dengandakwahummahberubah
Subhanaallah