Mutiara Hati Jumaat: Mana yang Lebih Baik?

” Dosa yang menerbitkan rasa hina dan bersalah di hadapan Allah lebih Dia sukai daripada ketaatan yang membawa kepada perasaan ujub di hadapanNya.

Kiranya kamu tidur sepanjang malam dan bangun dengan rasa penuh menyesal adalah lebih baik daripada kamu qiyam di malam hari dan bangun dengan rasa takjub pada diri sendiri.

Seorang yang ujub tidak diterima sebarang amalan.

Dan andainya kamu ketawa sambil mengaku kesalahanmu, adalah lebih baik daripada kamu menangis sambil mendakwa kebaikan dirimu.

Rintihan orang yang berdosa itu lebih disukai Allah daripada bunyi-bunyi orang bertasbih sambil memuji diri.

Barangkali melalui dosa itulah Allah berikan ubat yang dapat menghapuskan penyakit yang parah dalam dirimu yang langsung kamu tidak sedari.”

-Ibnu al-Qayyim, Tahzib Madaarij al-Salikin.

*****************

Perenggan pertama mutiara kata di atas pernah diucapkan oleh seorang sahabat saya di Amman, Jordan dulu. Namun pada masa itu, saya terlepas pandang dari bertanyakan rujukannya.
Sahabat saya itu sekarang mengajar di Sabah. Saya tidak dapat menghubunginya kerana tidak mempunyai nombor telefon.

Kata-kata itu terus bergema dan mengingatkan diri saya agar berada di kedudukan yang betul di sisi Allah- yakni kita hanya hamba.

Akhir-akhir ini, saya sering teringat kata-kata di atas dan mahu mencari sumbernya. Saya kurang pasti adakah ia hadis Nabi s.a.w atau athar sahabat atau kata-kata ulama’ dan hukama‘.

Suatu hari, jam 6.38pm bertarikh 15 April 2009 handphone saya berdering menandakan sms masuk.

Saya membukanya dan mendapat mutiara kata di atas secara panjang lebar berserta rujukannya sekali dari seorang sahabat yang berada hampir dengan saya di Kota Bharu.

Alhamdulillah… subhanallah. Maha Kasihnya Allah. Maha Memahaminya Allah. Meskipun saya tidak pernah memohon agar diberi petunjuk sumber asal kata-kata itu…namun Dia mengetahui bisikan hati saya dan saya berkeluh kesah kerananya.

Jazakillah Yu (nama panggilan sahabat saya itu) dan segala puji bagiMu ya Allah. NikmatMu senantiasa melebihi dari apa yang kupinta namun sedikit sekali aku bersyukur padaMu.. Ya Allah.

Saya memang mempunyai niat berkongsi penawar jiwa di atas dengan pembaca blog saya. Namun selagi saya tidak menemui sumber asalnya, saya terpaksa menahan diri terlebih dahulu.

Untuk apa saya ceritakan latar penulisan entry ini?

Moga saudara pembaca yang mendapat manfaat dari perkongsian ini membanyakkan syukur kepada Allah.

Maha Baiknya Allah yang sentiasa mengingatkan kita dan memberi penawar kalbu agar diri kita bertambah bersih.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

La hawla wa la quwwata illa billah al-‘aliyyul azhim.

Ummu Abbas
11.28am
13 Jamadil Awwal 1430H

Apabila Ulama Cintakan Dunia

Akan datang kepada manusia suatu masa ketika kemanisan hati berubah menjadi masin. Sehingga pada hari itu, orang yang berilmu dan mempelajari ilmu tidak dapat mengambil manfaat daripada ilmunya.

Maka hati orang-orang berilmu seumpama tanah kosong yang bergaram yang turun ke atasnya hujan dari langit maka tidak juga menjadi tawar.

Apabila condong hati orang berilmu kepada cinta dunia dan melebihkan atas cinta akhirat, maka pada saat itu dicabutlah oleh Allah sumber-sumber hikmah dan dipadamkan lampu petunjuk dari hati mereka.

Maka, akan berceritalah orang yang berilmu di antara mereka itu, ketika ia menjumpai mereka bahawa ia takut kepada Allah dengan lisannya, sementara kezaliman jelas kelihatan pada amal perbuatannya.

Alangkah suburnya lidah mereka dan tanduslah hati mereka ketika itu! Tidaklah terjadi demikian selain para guru mengajar bukan kerana Allah dan para pelajar belajar bukan kerana Allah.”

Ilmu itu bukanlah satu kemahiran bercerita tetapi ilmu itu (menimbulkan) taqwa kepada Allah.

***********

Permata hikmah di atas saya salin dari diari saya ‘Perancangan Eksekutif Islam 2009/1430’. Kali pertama saya membacanya, saya banyak termenung kerana menyuluh diri. Saya sangat-sangat bimbang tulisan-tulisan saya diblog ini seperti ‘habaa an manthuura’ [Al-Furqan; 23]. Dua tiga kali rasa mahu sahaja tutup blog ini. Namun bila mengingatkan niat dan tujuan asal membuka blog, maka saya gagahkan diri untuk terus menulis.

Lebih-lebih lagi bila teringatkan anak-anak yang masih kecil. Takdir Allah, saya menemuiNya dahulu sebelum anak-anak meningkat remaja, sekurang-kurangnya hasil tulisan saya ini ada untuk dipusakakan kepada mereka.

Simpang siur bisikan halus syaitan dan iblis harus ditepis dengan istighfar dan zikrullah. Dunia blog ada kilauan dunianya yang tersendiri. Bilangan pengunjung dan komen-komen terutama yang memuji adakah akan menyingkirkan rasa kehambaan kepada Allah? Atau pujian dan kejian itu terasa sama saja di hati? Ini yang harus dibimbangkan dan dijadikan neraca mengukur niat menulis. Justeru itu sama ada kita meninggalkan komentar atau dikomen, biarlah semuanya kerana Allah. Niat yang ikhlas itulah yang akan menyelamatkan hati kita juga hati orang lain.

Apakah kita mencari pengaruh peribadi atau semata-mata mengajak manusia mengenal dan menuju Allah? Teringat-ingat pula pada satu bait lagu Sweet Charity, ‘Aku menulis bukan kerana nama’.

Bukan Kerana Nama [Lirik]

Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu

(chorus)
Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan

Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini

Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu.

Lagu Sweet Charity

Evergreen juga lagu ini ya. Sampai sekarang mesejnya yang jelas itu dikumandangkan di radio. Bila hati tergelincir dari merasa diri hamba, pautlah kembali pada kedudukannya yang asal. Hanya Allah yang layak menerima pujian dan pengaruh ke atas hamba-hambaNya.

Ayat 23 al-Furqan yang disebut di atas menyebut,

وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٍ۬ فَجَعَلۡنَـٰهُ هَبَآءً۬ مَّنثُورًا
Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan [habaa an manthura].”

Meskipun pada asalnya, ingatan ini Allah tujukan kepada mereka yang kufur. Namun sebagai orang Islam, kita belum tentu selamat dari syirik kecil yakni riyak dalam amalan. Amalan riyak juga termasuk dalam kategori ‘habaa an manthura’ – yakni bagai debu berterbangan.

Banyak lagi perkara yang saya perlu dan wajib belajar tentang dunia penulisan ini.

Ummu Abbas
5.36pm
9 Rabiul Awwal 1430H/ 6 Mac 2009

Jangan Kau Menangis…

Dua hari lepas, sedang saya mengemas kaset-kaset lama dan barangan cenderamata, saya terjumpa satu pasu seramik gantung hadiah kawan. Di belakangnya di bahagian kaki ada catatan;

FROM:
ALANG
10 JULY 97
.HIDAYATI
BAIT SYIFA’
SUWEILEH
JORDAN

Bahagian tengah ada secebis tazkirah untuk diri saya. Saya hanya mencatatnya dalam Bahasa Arab. Ia merupakan kata-kata hikmah Arab. Saya rasa ingin berkongsi dengan pembaca blog ini. Saya sertakan di bawah ini dengan terjemahannya sekali.

Suami penulis berlatar belakang matahari sedang naik.  Kami dalam perjalanan dari Sydney ke Adelaide pada 11 Julai 2007.  Masya Allah... cantikkan?  Di kiri kanan kami hanya padang rumput terbentang luas bagai lautan.
Cerita gambar: Suami penulis berlatar belakang matahari sedang naik. Kami dalam perjalanan dari Sydney ke Adelaide pada 11 Julai 2007. Masya Allah... cantikkan? Di kiri kanan kami hanya padang rumput terbentang luas bagai lautan.

Maksudnya lebih kurang, usahlah dikau menangisi perkara-perkara duniawi yang luput daripadamu, kerana dunia ini hanya sementara. Kamu akan berpindah juga akhirnya ke alam yang lebih kekal abadi.

Hari ini harta kita mungkin di curi, tunang memutuskan pertunangan, suami menjatuhkan talak tanpa alasan syarie, suami kahwin lagi tanpa alasan syarak, isteri yang curang, isteri tidak mendengar kata, jawatan dilucutkan atau apa sahaja yang menyedihkan hati… hadapi ia dengan sabar dan reda. Justeru kita masih lagi berada di dunia fana. Ia bukan segala-galanya bagi kita.

Apa yang penting untuk difikirkan ialah apakah Allah reda pada kita disebalik semua takdirnya itu. Apakah kita telah menerimanya dengan tatacara sebagai seorang hamba yang merendah diri kepada Allah.

Apakah kita mahu memuhasabah diri… apakah dosa-dosaku padaMu ya Allah…
ampunkan daku Ya Allah…
Berikan daku kesabaran dan kekuatan…
Gantilah kesedihanku ini dengan pengampunan dosa-dosaku yang menggunung tinggi…
Bantulah daku membersihkan karat dosa yang menimbun…

Kemudian kuatkan tekad, sematkan azam untuk menjadi muslim yang lebih baik… lebih baik imannya… lebih baik taqwanya… Hinggalah kita mencapai darjat MUKMIN yang memiliki nafsu mutmainnah…

Berbahagialah dengan dirimu yang baru…
Bersenang-senanglah dengan jiwamu yang bersih…

Ramai manusia memburu kedudukan yang tinggi di sisi manusia… memburu pangkat Profesor Madya…Profesor… Timbalan Pengarah… Pengarah… Naib Ketua Pemuda…Ketua Pemuda…Naib Presiden… dan seterusnya…

Berapa ramai pula yang memburu status HAMBA di sisi Allah?

Hanya itulah yang Allah cari dari diri kita.

Ummu Abbas
12.22pm
19 Muharram 1430H/ 16 Januari 2009

Tip-tip Mengenal Diri Mukmin Atau Munafik

Sesungguhnya orang mukmin itu tujuannya adalah di dalam solat dan berpuasa,
Sedangkan orang munafik disibukkan rakus dan panjang angan-angan.

Orang mukmin putus harapan dari setiap orang selain Allah.
Sedangkan orang munafik mengharapkan setiap orang kecuali Allah.

Orang mukmin menghulurkan hartanya kerana agama Allah.
Sedangkan orang munafik menghulurkan agamanya demi kepentingan hartanya.

Orang mukmin merasa aman dari semua orang kecuali dari Allah.
Sedangkan orang munafik takutkan semua orang kecuali kepada Allah.

Orang mukmin berbuat baik tetapi tetap menangis.
Sedangkan orang munafik berbuat jahat tapi masih boleh ketawa.

Orang mukmin suka menyendiri dan beruzlah.
Sedangkan orang munafik suka bercampur serta mengikut rombongan.

Orang mukmin menanam dan khuatir akan kerosakannya.
Sedangkan orang munafik mencabut dan mengharapkan hasil tuaiannya.

Orang mukmin memerintah dan melarang kerana agama serta mengerjakan kebaikan.
Sedangkan orang munafik melarang kerana kepimpinan serta memusnah,
Malahan dia menyuruh yang munkar dan menegah yang makruf.

• Madah Imam Al-Ghazali.

‘Bertanyalah orang yang berilmu sekiranya kamu tidak mengetahui’

ummuabbas© Islam Itu Indah 2008
8 Ramadan 1429H/ 8 September 2008
11.17pm

Petunjuk Mendekati Tuhan

‘UMAR AL-KHATTAB BERKATA; 

Aku berpesan kepadamu; 

Hendaklah engkau takut kepada Allah tentang urusan manusia tetapi janganlah engkau takut kepada manusia tentang urusan Allah. 

SALMAN AL-FARISI BERKATA; 

Solat itu bagaikan timbangan, maka barangsiapa menepati timbangannya maka ia diberi cukup dan siapa yang mencuri timbangan maka kamu mengetahui ancaman Allah terhadap pencuri timbangan. 

LUQMAN HAKIM BERKATA KEPADA ANAKNYA; 

Sesungguhnya dunia ini lautan yang sangat dalam, dan di dalamnya telah tenggelam kebanyakan manusia.  Oleh itu jadikan bahteramu di dunia TAQWA kepada Allah. 

TIGA PERKARA YANG MENJADIKAN KERAS HATI;

  • Tertawa tanpa sesuatu yang boleh mentertawakan.
  • Makan tanpa rasa lapar.
  • Bicara yang tidak perlu.

 KALAU MEMILIH SAHABAT, PILIHLAH YANG MEMPUNYAI SIFAT BERIKUT;

  1. Jika kamu melihat kepadanya teringat kamu kepada Allah
  2. Jika kamu bercakap dengannya bertambahlah ilmu agamamu
  3. dan Jika kamu melihatnya beramal teringat kamu kepada mati.

  RASULULLAH SAW BERSABDA; 

Wanita solehah ibarat gagak putih di tengah-tengah kumpulan gagak hitam dan terlalu sukar untuk kita mencarinya.

Petunjuk Untuk Pemimpin

Jika engkau ingin mengikuti petunjuk para imam (pemimpin);
maka kuatkanlah dirimu untuk menerima musibah-musibah dengan jiwa yang tabah
di waktu menghadapi tiap kepahitan;
dan dengan hati yang sabar walaupun dadamu bergoncang.
Lisanmu dikunci, matamu dikendalikan,
rahsiamu disembunyikan untuk hanya diketahui oleh Tuhanmu saja.
Namamu biar tidak terkenal, pintu rumahmu tertutup,
mulutmu tersenyum, perutmu lapar,
hatimu luka, pasarmu tiada sambutan,
pangkatmu dipendam dan keaibanmu ditonjolkan.
Saban harimu menelan perasaan pahit daripada pengaruh zaman dan teman,
sedangkan hatimu menurut dalam kesedaran.
Siangmu sibuk mengislahkan manusia tanpa berkira-kira.
Malammu tenggelam dalam keasyikan pada Tuhan.
Ambillah kesempatan pada malam hari,
jadikanlah ia jalan dan persiapan untuk hari kiamat yang padanya sulit sekali untuk mencari jalan.

– Imam Al-Ghazali rm. Dipetik dari Kitab Minhajul Abidin.-