“ Akan datang kepada manusia suatu masa ketika kemanisan hati berubah menjadi masin. Sehingga pada hari itu, orang yang berilmu dan mempelajari ilmu tidak dapat mengambil manfaat daripada ilmunya.
Maka hati orang-orang berilmu seumpama tanah kosong yang bergaram yang turun ke atasnya hujan dari langit maka tidak juga menjadi tawar.
Apabila condong hati orang berilmu kepada cinta dunia dan melebihkan atas cinta akhirat, maka pada saat itu dicabutlah oleh Allah sumber-sumber hikmah dan dipadamkan lampu petunjuk dari hati mereka.
Maka, akan berceritalah orang yang berilmu di antara mereka itu, ketika ia menjumpai mereka bahawa ia takut kepada Allah dengan lisannya, sementara kezaliman jelas kelihatan pada amal perbuatannya.
Alangkah suburnya lidah mereka dan tanduslah hati mereka ketika itu! Tidaklah terjadi demikian selain para guru mengajar bukan kerana Allah dan para pelajar belajar bukan kerana Allah.”
Ilmu itu bukanlah satu kemahiran bercerita tetapi ilmu itu (menimbulkan) taqwa kepada Allah.
***********
Permata hikmah di atas saya salin dari diari saya ‘Perancangan Eksekutif Islam 2009/1430’. Kali pertama saya membacanya, saya banyak termenung kerana menyuluh diri. Saya sangat-sangat bimbang tulisan-tulisan saya diblog ini seperti ‘habaa an manthuura’ [Al-Furqan; 23]. Dua tiga kali rasa mahu sahaja tutup blog ini. Namun bila mengingatkan niat dan tujuan asal membuka blog, maka saya gagahkan diri untuk terus menulis.
Lebih-lebih lagi bila teringatkan anak-anak yang masih kecil. Takdir Allah, saya menemuiNya dahulu sebelum anak-anak meningkat remaja, sekurang-kurangnya hasil tulisan saya ini ada untuk dipusakakan kepada mereka.
Simpang siur bisikan halus syaitan dan iblis harus ditepis dengan istighfar dan zikrullah. Dunia blog ada kilauan dunianya yang tersendiri. Bilangan pengunjung dan komen-komen terutama yang memuji adakah akan menyingkirkan rasa kehambaan kepada Allah? Atau pujian dan kejian itu terasa sama saja di hati? Ini yang harus dibimbangkan dan dijadikan neraca mengukur niat menulis. Justeru itu sama ada kita meninggalkan komentar atau dikomen, biarlah semuanya kerana Allah. Niat yang ikhlas itulah yang akan menyelamatkan hati kita juga hati orang lain.
Apakah kita mencari pengaruh peribadi atau semata-mata mengajak manusia mengenal dan menuju Allah? Teringat-ingat pula pada satu bait lagu Sweet Charity, ‘Aku menulis bukan kerana nama’.
Bukan Kerana Nama [Lirik]
Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan
Jangan kau pandang wajah yang indah
Kerana dia bisa meracunmu
(chorus)
Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama
Aku menulis bukan kerna nama
Kerna sifat kasih
Pada sesama insan
Dan menyatakan kasih sayangmu
Kita sama semuanya sama
Apa yang ada hanyalah kehidupan
Jangan kau dengar puisi dusta
Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka
Yang telah turun temurun hari ini
Jangan kau alas hatimu itu
Dengan secebis warna kehitaman
Dialah seperti anai-anai
Lambat laun hancurlah dirimu.
Lagu Sweet Charity
Evergreen juga lagu ini ya. Sampai sekarang mesejnya yang jelas itu dikumandangkan di radio. Bila hati tergelincir dari merasa diri hamba, pautlah kembali pada kedudukannya yang asal. Hanya Allah yang layak menerima pujian dan pengaruh ke atas hamba-hambaNya.
Ayat 23 al-Furqan yang disebut di atas menyebut,
وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٍ۬ فَجَعَلۡنَـٰهُ هَبَآءً۬ مَّنثُورًا
“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan [habaa an manthura].”
Meskipun pada asalnya, ingatan ini Allah tujukan kepada mereka yang kufur. Namun sebagai orang Islam, kita belum tentu selamat dari syirik kecil yakni riyak dalam amalan. Amalan riyak juga termasuk dalam kategori ‘habaa an manthura’ – yakni bagai debu berterbangan.
Banyak lagi perkara yang saya perlu dan wajib belajar tentang dunia penulisan ini.
Ummu Abbas
5.36pm
9 Rabiul Awwal 1430H/ 6 Mac 2009
Tinggalkan Jawapan