Pengsan Selepas Sa’i

Kaabah

Kita di ambang Eidul Adha (Raya Haji) sekarang. Segala puji bagi Allah yang masih mengurniakan nikmat Iman dan Islam hingga ke saat ini. Alhamdulillah saya selamat menunaikan rukun Islam yang ke lima ini pada tahun 1995 semasa belajar di Jordan.

Ramadan 1417 Hijrah, lambaian Kaabah menggamit lagi. Ia adalah rombongan umrah pertama dianjurkan oleh pihak University of Jordan untuk pelajar ‘ajaanib’ (pelajar asing). Sebuah bas untuk siswa dan sebuah bas lagi untuk siswi. Bagi rombongan siswi, tiada seorang pun pelajar-pelajar Arab. Hanya seorang musyrif (penyelia) dan pemandu bas sahaja warga Arab Jordan. Kebanyakan perserta adalah siswi Malaysia kerana warga Malaysia adalah warga asing paling ramai dibandingkan dengan yang lain. Selain kami, rakan-rakan kami ialah warga Republik Cina, Bosnia, Filipina dan Jepun.

Musyrif iaitu Encik Muhammad meminta kami melantik seorang mas’ulah (ketua) dan penolong ketua di kalangan kami. Saya diamanahkan menjadi mas’ulah dan Azyyati, sahabat saya sebagai pembantu. Justeru, apa sahaja perkembangan ahli rombongan akan dirujuk kepada saya dan pembantu saya.

Kami bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan ahli rombongan sepanjang musafir ini nanti. Encik Muhammad sendiri begitu teruja menjadi penyelia kami dari warga asing untuk satu perjalanan yang agak berisiko. Apatah lagi semua kami perempuan.

Kami bertolak serentak dengan bas siswa dari Jamik Jami’ah (Masjid Universiti) namun sepanjang perjalanan, kami tidak bergerak secara beriringan. Bas siswa entah ke mana. Tinggal sahaja kami bergerak secara sendirian berhad. Dari awal kami ingin menyertai rombongan ini, ada sedikit halangan dari mas’ul (pelajar senior) kami baik dari kalangan ikhwan mahu pun akhawat. Namun setelah mereka bermesyuarat, akhirnya kami dibenarkan pergi. Alhamdulillah. Rindu pada Baitullah akan terubat lagi. Apatah lagi yuran yang dikenakan adalah murah.

Pihak pentadbir mahukan seorang pegawai yang sudah berkahwin menjadi musyrif rombongan siswi.” Beritahu Encik Muhammad.

Kenapa tidak bawa isteri bersama rombongan ini?” Kami bertanya.

Pihak pentadbir tidak benarkan kerana mahu saya fokus pada keselamatan ahli rombongan. Ini adalah percubaan pertama pihak Universiti menganjurkan rehlah Umrah untuk banat (siswi) asing.” Ujarnya lagi.

Kami bertaaruf ringkas. Rupa-rupanya Encik Muhammad tinggal sekampung dengan kami iaitu di Sweileh, Amman. Dia mempelawa kami ke rumahnya sekembali dari musafir nanti. Orang Arab terkenal sejak zaman jahiliyah suka meraikan tetamu. Sikap tersebut ketara sehingga ke hari ini.

Perjalanan Yang Jauh

Kali pertama menjejakkan kaki ke Mekah iaitu pada Januari 1995, saya menaiki bas dari Amman-Madinah-Mekah-Amman. Kali kedua semasa menunaikan Haji, saya pergi dengan flight dari Amman-Jeddah-Amman. Kali ini, bas Universiti membawa kami dari Amman-Mekah-Madinah-Amman. Syukur kepada Allah dengan 3 kali perjalanan yang berbeza pengalaman.

Peta Arab Saudi

Jarak Amman-Mekkah kira-kira 1227km. Ia lebih jauh dibandingkan kita masuk melalui Madinah. Melintasi pesisir Laut Merah menjanjikan nostalgia indah. Kami berhenti rehat di pantai untuk merakam kenangan.

Menjelang maghrib, baru kami tiba di hudud (sempadan Jordan-Arab Saudi). Agak lama kami terlekat di situ gara-gara ramainya orang dengan rombongan masing-masing. Ada coaster yang hanya dihuni oleh makcik-makcik Arab Jordan. Paling menarik apabila mata kami tertangkap pada rombongan yang baru tiba. Kenderaan mereka tidak pernah kami lihat baik di Malaysia mahu pun di Jordan. Bas-bas lama yang sungguh daif. Ramai warga tua dalam rombongan itu. Kami tertanya-tanya dari manakah mereka? Sedih sekali kami melihat keadaan mereka. Bila diusul, rupa-rupanya mereka datang dari Russia. Allah! Terkejut kami. Begitu sekali usaha mereka mahu mengunjungi Baitullah dan menziarahi Rasulullah. Dengan kemampuan jasmani yang semakin lemah dan kenderaan yang paling daif, mereka nekad melepaskan rindu pada Rumah Allah dan Rasulullah. Allahuakbar! Kalau tidak silap saya, mereka akan terus berada di Mekah sehingga selesai musim Haji.

Saya tidak tahu dari daerah mana mereka di Russia namun dalam carian saya, jarak mana-mana bandar yang mempunyai penduduk Islam di Russia ke Mekah antara 2500km-3000km. Bagaimana dengan kita yang sudah lama mampu dari semua sudut untuk ke Mekah namun masih menangguh-nangguhkan musafir wajib dan rukun ini? Sebahagian kita mendahulukan selesanya berkereta mewah sebaik bekerja daripada mengumpul wang menunaikan Haji yang wajib.

Kami mencari kawasan lapang di sekitar hudud untuk berbuka puasa. Sungguh seronok dapat pengalaman berbuka puasa dalam keadaan seperti itu. Jauh dari tanah air. Jauh dari sanak saudara. Yang ada hanya Allah sebagai wali yang menjaga keselamatan kami. Pasport kami dicop ‘Majmu’ah Nisa’ di sisi visa Umrah. Ia bermaksud sekumpulan wanita bagi menggantikan mahram. Mazhab Syafii mengharuskan ziarah Umrah dan Haji bagi sekumpulan wanita yang thiqah (amanah dan boleh dipercayai) bagi wanita yang tidak mempunyai mahram.

Pemandu kami tidak berpuasa tetapi hanya menghisap rokok. Lapar dan dahaga boleh ditahannya namun rokok tidak sekali. Dia mengambil rukhsah musafir untuk tidak berpuasa.

Alhamdulillah, setelah puas menunggu, urusan di hudud akhirnya selesai. Kami bertolak agak lewat malam dari hudud menuju ke Mekah.

Pemandu hanya seorang yang memandu untuk jarak sejauh itu. Malam itu, kami berhenti lagi untuk berehat di padang pasir yang luas. Encik Muhammad menyalakan dapur gas kecil yang dibawa untuk memanaskan teh.

Tiba Di Mekkah

Lebih dari 24 jam, baru kami tiba di Tanah Haram. Kami terus menunaikan umrah dan pulang ke penginapan. Tiba-tiba Encik Muhammad memaklumkan kepada kami bahawa pemandu bas pengsan setelah selesai sa’i. Kami terperanjat dan melahirkan rasa simpati.

Driver kami tinggi dan gemuk orangnya. Hairan kami kenapa boleh pengsan kerana sa’i. Sedangkan orang lain jauh lebih kecil dan kami pula perempuan belaka.

Dia sa’i 14 kali dari Safa ke Marwah.” Beritahu Encik Muhammad.

Kami tergelak. Laa…patutlah. Sudahlah baru sahaja sampai ke Mekah dari perjalanan yang panjang di bulan Ramadan, dia sa’i pula 14 kali. Tiada satu mazhab pun yang mengatakan harus atau sunat sa’i 14 kali. Sebelumnya, driver itu sudah selesaikan tawafnya.

Bagi pembaca yang belum menunaikan Umrah atau Haji, sa’i merupakan rukun Umrah dan juga rukun Haji. Cara menunaikannya ialah berjalan atau berlari anak bagi lelaki dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sebanyak 7 kali. Cara mengiranya ialah dari Safa ke Marwah sekali. Balik dari Marwah ke Safa semula dua kali dan seterusnya. Bahkan boleh berhenti rehat jika penat kemudian menyambung semula sa’i. Driver tersebut telah mengira sekali perjalanan dari Safa-Marwah-Safa dan begitulah seterusnya.

Alahai…moralnya belajar dan fahami dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. Islam itu mudah dan sesuai dengan fitrah.

Ummu Abbas@Islam Itu Indah 2008
3.50pm
12 Zul Qi’dah 1429H/ 11 November 2008

One thought on “Pengsan Selepas Sa’i

Add yours

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: