Dhab Yang Putus Cinta

Sayang...jangan tinggal daku...abang akan ikut jejak langkahmu...
Sayang...jangan tinggal daku...abang akan ikut jejak langkahmu...

Biawak Dhab itu bergurau senda dengan pasangannya. Mereka kelihatan sungguh bahagia. Mereka berkejar-kejaran antara satu sama lain. Namun tempat mereka bermain itu bukan di padang pasir sebagaimana lazimnya. Mereka berlari-lari di atas konkrit rata nun di puncak apartmen.

Seorang pemuda Melayu warga Malaysia asyik sekali memerhati tingkah laku mereka. Di celah-celah kesibukan menghadiri kuliah, pemuda ini bersantai dengan sepasang Dhab peliharaannya. Pemuda itu melepaskan mereka di atas sutuh ‘sha’ah’ (syuqqah/ apartmen) di tengah-tengah Kota Metropolis Kaherah. Dia sendiri tinggal di salah satu unit apartmen di bawah sutuh tersebut.

Beruntung sekali Dhab yang sepasang ini. Mereka tidak perlu bersusah payah mencari sesuap ‘nasi’ di tengah teriknya mentari di lautan pasir gersang. Bagai Adam dan Hawa di syurga layaknya. Memadu kasih dan bercanda tanpa penat dan lelah mencari rezeki.

Panas yang disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Suatu hari, Dhab betina itu kelihatan lain macam. Dia tidak sihat rupa-rupanya. Kesihatan yang sudah terjejas itu tidak dapat diselamatkan oleh mana-mana doktor. Justeru ia memang tidak dibawa berjumpa doktor. Maut tidak mengenal pasangan yang asyik masyuk bercinta. Akhirnya, Dhab betina itu kembali kepada Penciptanya.

Sayang, abang sedih mengenangkanmu! Nak makan pun tiada selera...
Sayang, abang sedih mengenangkanmu! Nak makan pun tiada selera...

Dhab jantan sangat terkejut dengan pemergian yang tidak disangka-sangka itu. Lalu bersedihlah ia mengenangkan kekasih yang sudah tiada. Makan tak lalu, mandi tak basah dan tidurnya tak lena. Ketara sekali dia tidak seceria dulu. Tiada lagi teman bergurau senda. Tiada lagi teman bermain kejar-kejar. Pemuda itu kasihan melihat Dhab jantannya gundah sedemikian rupa.

Selang beberapa hari selepas Dhab betina dijemput mati, suatu hari pemuda itu melihat Dhab jantan itu berdiri (baca ‘merangkak’) di birai sutuh sambil melihat ke bawah. Tidaklah pemuda itu faham apa yang Dhab itu mahukan. Akhirnya, Dhab itu terjun ke bawah. Maka matilah Dhab itu kerana terjun dari apartmen tinggi. Pemuda itu mengagak bahawa Dhab itu telah membunuh dirinya.

Kisah di atas yang diolah semula merupakan kisah benar dari Allahyarham Ustaz Jamnul Azmin Mulkan (selepas ini disebut Ustaz), adik kepada penceramah Sains dan Islam, Dr Jamnul Azhar Mulkan. Dia bercerita langsung kepada saya semasa melawat Kelantan Semester Musim Panas 2005 sesi pengajian di Jordan. Isterinya, Kak Fadilah Osman merupakan sahabat baik saya. Kami sama-sama balik bercuti di Malaysia pada tahun tersebut. Sementelah kami (saya, Kak Fadilah dan suami) pada masa itu berkerja di unit yang sama aktiviti persatuan pelajar Malaysia di sana. Sebelum Ustaz ke Jordan, Ustaz pernah belajar sekejap di Mesir. Pemuda yang memelihara Dhab itu ialah Ustaz sendiri.

Demikianlah secebis kisah Dhab yang putus cinta. Dhab itu adalah haiwan yang tidak berakal. Tidak perlu kepada agama. Bagaimana dengan kita, insan yang berakal? Layakkah kita menurut jejak haiwan yang tidak berakal dalam menangani masalah kita? Kalau kita tahu kita punya rasa cinta, Allah lebih tahu apa itu cinta. Bahkan Allah memiliki sepenuh cinta dari mana-mana cinta yang ada di dunia ini. Allah jua yang mengurniakan rasa cinta ke dalam diri setiap makhluknya sama ada manusia atau haiwan.

Namun, berapa keratkah dari kita hamba-hambaNya yang mahu mengembalikan cinta kepada empunya cinta? Atau mencari cinta dari Yang Maha Menyintai? Pernahkah kita fikir bahawa cinta itu anugerah tinggi dari Allah sebagai bekalan mengenal dan menyintaiNya? Wajarkah nikmat agung cinta yang Allah kurniakan, kita halakan kepada perkara yang dimurkaiNya? Bahkan menjauhkan kita dari cinta hakiki dan sejati. Cinta pada manusia yang membawa kepada liarnya pandangan mata pada perkara yang diharamkan, ‘dating’, ‘sms’, chit-chat hingga ke lembah zina. Wajarkah? Tidak beriman seseorang hamba saat dia sedang berzina, pesan Nabi kita, Muhammad SAW.

Rugi sekali bagi setiap manusia yang punya rasa cinta tidak pernah mahu mencari cinta Ilahi. Rugi… sungguh rugi… sungguh-sungguh rugi…

Sepanjang hidup saya lebih dari suku abad ini, tidak pernah saya dapati bahawa Allah itu mengecewakan saya walau sesaat pun. Bahkan saya dapati tiada kasih yang setanding kasihNya… ‘La ummu wa la zawj… wa la aulad’ (Tidak kasih ibu kandung…tidak kasih suami… tidak kasih anak-anak…). Yang sering mengecewakan kita ialah diri kita sendiri. Kita menganiaya diri sendiri dengan tidak mahu mengenalNya. ‘Tak kenal maka tak cinta!’. Tidak mengenal Allah, samalah tidak mengenal diri sendiri. Tidak kenal diri sendiri, tidak mampu mengasihi diri sendiri. Orang yang tidak mampu menyayangi diri dengan ikhlas, bagaimana mampu menyintai orang lain setulusnya?

Sekasih ibu pada anaknya,
Kasih lagi Muhammad pada ummatnya,
Sekasih Muhammad pada ummatnya,
Cinta lagi Allah pada hambaNya!

Cinta nafsu menyemarak api neraka!
Cinta Allah membawa ke syurga!

Cinta tanpa mengenal Allah adalah palsu

Allah memberi tip cinta melalui kekasihnya Muhammad SAW di dalam surah Ali Imran ayat 31, “ Katakanlah (wahai Muhammad); Jika benar kamu menyintai Allah maka ikutilah daku, pasti Allah menyintai dirimu sekaligus mengampunkan kesalahanmu. Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi.”

Ummu Abbas © Islam Itu Indah 2008
2.00pm
22 Dzul Qi’dah 1429H/ 21 November 2008

Komentar ditutup.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: