Alhamdulillah, sejak Khamis lepas saya mula menulis untuk buku Kak Cik berjudul “Dari Lubuk Hati Ibu.” Sahabat saya , Kak Cik sudah lama meminta bantuan saya untuk siapkan bukunya itu. Kalau tidak silap sejak Ramadan namun pada masa itu saya sibuk berpindah rumah. Masih ada sisa-sisa barang yang belum siap dikemas hingga ke hari ini. Maklumlah, kena bahagi-bahagikan masa antara tugas sebagai ibu, isteri dan da’ie. Itu pun pada Rabu sebelumnya, saya jumpa dengan seorang Prof Madya untuk bincang tajuk PhD. Saya pergi dengan Nasuha yang juga dijolok oleh suami untuk sambung PhD. Aduh…susah banget mahu pilih tajuk yang serasi dengan jiwa dan minda. Moga Allah permudahkan.
Entahlah macam mana, bila baca bahagian-bahagian yang Kak Cik sudah siapkan, laju sahaja jari jemari berlari di atas keyboard menyambung idea Kak Cik. Syukur kepada Allah yang memberi ilham. Bila sudah menulis buku, masa yang dicuri untuk menulis banyak terfokus pada buku sahaja. Kak Cik pula target mahukan manuskrip siap minggu ini, saya sendiri juga mahu segera siapkan kerana berkejar untuk buat penyelidikan tajuk PhD pula… justeru… semput juga saya dibuatnya.
Semalam dan hari ini, sambil menulis kami berbincang dari sudut penerbitannya. Ikut keutamaan saya, PTS lah pilihan nombor satu. Kedua, Telaga Biru kerana ada Ustaz Zahazan di situ, mantan pelajar di Jordan juga. Banyaklah juga yang kami bincangkan dari sudut kelebihan penerbit-penerbit ini. Saya yang sudah lama berkuliah dengan sifuPTS di UNIKA PTS berkongsi ilmu penerbitan dengan Kak Cik.
” Kita menulis kerana mencari reda Allah. Maka kita juga mahukan penerbit yang mengutamakan reda Allah dalam kerja-kerja mereka. Hanya penerbit yang menjaga etika menurut syariat menjadi pilihan kita.”
Walau apapun, kami sedar belum tentu PTS atau penerbit lain akan menerima manuskrip ini. Kami hanya berusaha yang terbaik. Allah yang menentukan. Semua perkara perlu diambil kira dalam hal penerbitan buku.
Belum pun kami kemukakan manuskrip ini kepada PTS, Kak Lang pemilik Tahfiz Darul Furqan menawarkan untuk menerbitkan buku ini. Alhamdulillah. Sekolah yang dirintis oleh Ustaz Salleh Sani al-Hafiz ini memerlukan dana bagi membina bangunan baru sekolah. Dulu saya pernah mengajar di situ. Kak Lang, selain kakak kandung Kak Cik, juga bekas majikan saya yang amat saya kasihi. Hubungan kami macam adik beradik. Inilah antara nikmat berkasih sayang kerana Allah.
Kami perlu survey percetakan, dapatkan nombor ISBN, upah orang buat layout buku dan banyak lagi. Aduh…semuanya mahu cepat sebab kerja-kerja lain sedia menunggu. Teringat pula lagu Wonderpet… Kami tak besar dan kami tak kuat…bila berkerjasama kami jadi kuat… Insya Allah…kami berbahagi tugas antara kami. Kerja berat terasa ringan. Segala puji bagiMu ya Allah…Engkau Maha Perkasa dan mampu berdiri sendiri… sedangkan kami amat lemah dan saling memerlukan antara satu sama lain.
Moga-moga Allah limpahkan barakah dan rahmatnya pada buku ini. Juga menjadi amal jariah kami di akhirat kelak. Amin.