Salam Maal Hijrah, Salam Masihi

Masjid al-Aqsa di Palestin.  Palestin merupakan pusaka bapa para nabi, Nabi Ibrahim a.s buat penganut agama tauhid.  Maryam melahirkan Isa al-Masih di Palestin.
Masjid al-Aqsa di Palestin. Palestin merupakan pusaka bapa para nabi, Nabi Ibrahim a.s buat penganut agama tauhid. Maryam melahirkan Isa al-Masih di Palestin.

Assalamualaykum. Salam di tahun baru Hijrah. Hijrah Nabi Muhammad yang memberi erti galakan berhijrah dari sifat yang buruk kepada akhlak yang lebih baik,
hijrah dari kegelapan jahiliyah kepada cahaya IMAN dan ISLAM,
hijrah dari jiwa yang sedih kepada bahagia,
hijrah dari maksiat kepada amal soleh,
hijrah dari jahil kepada alim.

Selamat berhijrah buat diriku dan semua pembaca.

Salam Masihi buat semua ummat Islam yang percaya kepada kenabian Isa alayhissalam;

Bahawa Isa al-Masih hanya manusia ciptaan Allah.
Dia bukan anak tuhan sebagaimana dakwaan penganut Bible.
Isa adalah anak Maryam yang tidak berbapa.
Apa susahnya bagi Allah mencipta manusia tanpa bapa? Sedangkan Dia telah menjadikan Adam tanpa ibubapa.
Allah mencipta Adam daripada tiada kepada ada.
Apa susahnya bagi Allah Yang Maha Berkuasa menjadikan manusia dengan seorang ibu semata?

Secebis kisah Isa dari buku pertama saya:

“Sebenarnya aku utusan Tuhanmu yang mengurniakanmu seorang anak yang suci. Wahai Maryam! Allah memberikan khabar gembira buatmu dengan anak itu. Nama anak itu ialah Al-Masih, Isa bin Maryam. Dia seorang yang termasyhur di dunia dan di akhirat. Dia juga termasuk orang-orang yang mendekatkan diri kepada Allah.” Kata Malaikat Jibril yang menyamar sebagai seorang lelaki.

Kaget Maryam mendengar kata-kata lelaki asing itu. Maryam bertanya, “Wahai Tuhanku, bagaimana aku akan beroleh seorang anak lelaki, sedangkan aku belum pernah disentuh oleh seorang lelaki dan aku pula bukan perempuan jahat?”

“Demikianlah akan terjadi. Tuhanmu berkata: Hal itu mudah bagiKu. Kami hendak jadikan anak itu sebagai satu tanda untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami. Hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan akan berlaku,” beritahu Jibril. Begitulah hebatnya Allah apabila Dia mahu melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanya berkata, ‘Jadilah engkau’ lalu jadilah ia.

Setelah peristiwa itu, Maryam hamil lalu dia keluar dari kampung halamannya secara diam-diam. Maryam pergi seorang diri ke sebuah tempat yang jauh. Apabila cukup tempoh kandungannya, Maryam terasa sakit hendak bersalin. Maryam bersandar di pohon kurma sambil mengeluh kesakitan, “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini. Oleh itu aku akan dilupakan orang ramai dan tidak dikenang-kenang lagi!”

Malaikat Jibril menyeru dari bawah pohon kurma itu, “Janganlah engkau bersedih. Sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan sebatang anak sungai di bawahmu. Goyangkanlah batang pohon tamar itu, supaya buah tamar yang masak gugur kepadamu. Makan dan minumlah serta tenangkanlah hatimu dari segala perkara yang merisaukan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar untuk membisu kerana Al-Rahman. Maka aku tidak akan berkata-kata pada hari ini.”

Setelah Maryam selamat bersalin, Maryam pulang ke kampung halaman dengan mengendong anaknya. Penduduk kampung mula sedar bahawa Maryam mempunyai seorang anak. Walhal, Maryam terkenal sebagai gadis suci dan sangat menjaga maruah diri. Orang ramai berkata, “Hai Maryam! Sesungguhnya engkau telah membawa sesuatu yang pelik!.” Mereka terus mencemuh Maryam dengan pelbagai kata-kata menghina.

“Hai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk perangainya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!”

Maryam hanya diam sambil memberi isyarat kepada anaknya.

Mereka berkata, “Bagaimana kami boleh bercakap dengan seorang bayi yang masih dalam buaian?”

Tiba-tiba bayi itu bercakap, “Sesungguhnya aku ini hamba Allah. Dia telah memberikan kepadaku Kitab dan Dia telah menjadikan daku seorang nabi.”

“Dia juga menjadikan daku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada dan berpesan kepadaku supaya mengerjakan solat serta menunaikan zakat selagi aku hidup.”

“Aku diperintahkan untuk berbuat baik kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong atau derhaka.”

“ Selamat sejahtera dilimpahkan kepadaku pada hari aku dilahirkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula.”

Ummu Abbas 2009

Komentar ditutup.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: