Cuti-cuti Malaysia

Alhamdulillah. Impian anak-anak mahu bercuti dipenuhi jua. Kami bertolak dari Kota Bharu pagi 26 Disember 2008 menuju Kuala Lumpur. Bermalam di rumah adik di Ampang. Keesokannya, bawa anak-anak melawat Petrosains di KLCC. Dulu adik yang kerja sebagai jurutera Petronas di KLCC dapat diskaun staf untuk beli tiket, sekarang tiada lagi. Masuk 9.30 pagi, jam 2.00 petang baru keluar. Itu pun lihat secara ringkas-ringkas sahaja. Banyak juga info yang tidak dapat dibaca, gara-gara anak-anak yang mudah jemu.

Rancangan untuk ke Planetarium selepas itu dibatalkan. Seusai makan tengahari di medan selera di tingkat yang sama, kami bertolak ke Melaka.

Semua hotel yang kami ‘survey’ sejak dari rumah penuh. Alhamdulillah, mantan jiran saya berasal dari Champa mempelawa kami bermalam di rumah mereka. Kampung warga Kemboja yang berhijrah itu terletak di Tanjung Minyak. Kami seronok berada di situ. Kebetulan, anak-anak Pak Mat juga berkumpul untuk mengadakan kenduri kesyukuran kecil. Dapatlah saya bertemu semula dengan mereka yang sudah bertahun tidak berjumpa. Cuma seorang anak Pak Mat tidak sempat kami temui kerana semasa kami mahu bertolak, dia belum tiba dari Kuala Lumpur. Ukhuwwah Islamiyah hangat terasa.

28 Disember 2008. Abbas mahu ke Zoo Melaka dan A Famosa Water World namun kami tidak mampu memenuhi permintaannya. Masa agak suntuk. Kami hanya sempat menaiki Eye On Malaysia Melaka. Bandar Melaka padat dengan pengunjung. Jalan jem dan masa kami banyak hilang kerananya. Selepas itu, kami ke rumah sepupu di Paya Rumput.

Jam 6 petang, kami bertolak dari rumah Pak Mat menuju Pasir Gudang, Johor. Adik saya baru mendiami rumah sendiri di Tanjung Puteri Resort. Jadi kami melawatnya untuk kenal rumah baru. Kami tiba jam 10 malam di Pasir Gudang. Esok, kami perlu bertolak awal pagi menuju Kota Bahru. Rumah abang di Taman Universiti Skudai tidak sempat diziarahi. Saya hanya telefon abang dan memaklumkan saya berada di Johor.

29 Disember 2008. Kira-kira jam 9.45 pagi, kami bertolak dari Pasir Gudang menuju Kota Bharu.

Sepanjang perjalanan ini, saya, suami dan anak-anak sering juga terkenangkan travel kami semasa di New South Wales, Australia.

Kami travel dari Sydney-Adelaide-Melbourne-Sydney selama seminggu. Banyak kenangan menyingkap iman di dada. Moga Allah berkati perjalanan kami.

Saya ingin kongsi sedikit pengalaman musafir saya yang menenangkan jiwa;

1. Setiap kali mahu bermusafir, perbaharui niat untuk mendekatkan diri kepada Allah.

2. Mohon kepada Allah agar menemukan kita dengan orang-orang yang dikasihiNya.

3. Sebelum keluar rumah, setelah berusaha memeriksa rumah dalam keadaan selamat dikunci, maklumkan pada jiran tentang pemergian kita dan sebagainya, serahkan kepada Allah untuk menjagaNya. Dialah sebaik-baik penjaga.

4. Sentiasa bertafakkur pada peristiwa yang dilihat, pemandangan yang indah dan sebagainya.

5. Menghubungkan silaturrahim dengan keluarga dan sahabat handai.

6. Meraikan keperluan anggota rombongan sama ada golongan tua dan kanak-kanak. Membawa kanak-kanak bererti kita terpaksa kerap berhenti.

7. Selain baca doa keluar rumah, doa naik kenderaan, baca ayat Kursi dengan 9 kali wakaf sebagai pelindung dari gangguan zahir dan batin.

Wallahua’lam.

29 Disember 2008. Kami tiba jam 12 malam di rumah.

Hijrah 1430 sungguh signifikan buat kami sekeluarga. Petang 30 Zulhijjah 1429H itu kami berada di lebuhraya Jasin-Johor Bharu. Iya, kami antara ribuan kenderaan yang menyambut I Muharram 1430 di lebuhraya itu. Kami mahu hijrahkan iman dan Islam kami kepada yang lebih baik insyaAllah.

Ummu Abbas.

Komentar ditutup.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: