Posted in Siasah

Perak: Kalah Pun Bagus Juga!

3, 4, 5 hari ini, perhatian rakyat Malaysia umumnya berjaya dipancing ke Perak. Perasaan cemas, geram, sedih, tertanya-tanya bersimpang siur di benak saya sebagai rakyat marhaen.

Namun hari ini, alhamdulillah berjaya juga menenangkan diri. Yakin bahawa jika musuh punya perancangan, Allah Yang Maha Melihat juga punya perancanganNya sendiri. Kalau hari ini Allah perkenankan usaha musuh menjadi kenyataan, sedarlah bahawa usaha yang diselaputi najis rasuah dan pengkhianatan terhadap amanah rakyat itu akan dibalas jua oleh Allah. Tidak di dunia, di akhirat pasti diadili jua.

Ramai rakyat yang dianiaya sedang mendoakan. Berdoalah selalu dan penuh khusyuk. Doa orang teraniaya mudah diperkenankan Allah. Yakinlah pada janjiNya. Nabi Muhammad SAW telah menghantar Mu’az ke Yaman untuk menjadi pemimpin di sana lalu berpesan,

اتق دعوة المظلوم فإنها ليس بينها وبين الله حجاب

Maksudnya; Takutilah doa orang yang dianiaya. Sesungguhnya tiada hijab antaranya dengan Allah.

Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari di dalam Sahihnya. Kepada rakyat Perak khususnya, jika anda merasa anda golongan yang dianiaya, manfaatkanlah peluang Allah mahu perkenankan doa kita ini secara terus-menerus sehingga Allah putuskan musibah yang sedang menimpa.

Siapa Kita?

Pada saya, ‘Lebih baik kita kalah tetapi kita insaf daripada kita menang tetapi kita alpa’.

Kalau Nabi dan Khulafa’ Rasyidin dijadikan contoh; Asas peribadi mereka ialah mengenal Allah, punya iman yang teguh, ibadah yang mantap, meninggalkan cinta dunia (zuhud), berakhlak mulia, alim ilmu-ilmu Islam dan sebagainya lagi. Apakah kita sudah memenuhi kriteria asas tersebut?

Kita perlu takut dengan istidraj yang mana Allah berikan dunia menurut kemahuan kita untuk menjauhkan diri kita dariNya. Sebaliknya bersyukurlah terhadap amaran Allah yang menarik amanah khilafah agar kita membersihkan diri.

Berapa ramai pemerhati muslim yang menyokong Pakatan Rakyat (PR) sebaik mengetahui kes atau masalah di Perak segera beristighfar, menyucikan diri dan bermuhasabah mencari kekhilafan diri? Apakah kita sempat melihat kelemahan diri di samping menelanjangkan maruah musuh dan kuncu-kuncunya? Saya tidak kata mendedahkan perbuatan zalim itu salah…yang salahnya ramai yang terleka dengan isu sehingga lupa menjaga zikrullah dan mengawal kata-kata. Membaca pandangan dan respon forumer di alam cyber yang kadang-kadang celupar dan lucah begitu menggerunkan. Mereka lupa Allah Yang Maha Memerhati. Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am seringkali mengingatkan kita akan hal ini. Soal akhlak dan adab. Usah bicara soal perjuangan jika lupakan akhlak Nabi sebagai pedoman!

Nabi berpesan,
Tidak lurus (istiqamah) iman seseorang hamba hingga lurus hatinya. Dan tidak lurus hatinya sehingga lurus lisannya.”
Hadis direkodkan dalam Musnad Imam Ahmad.

Surah Nuh ayat 10 hingga 12 memberi panduan penting meraih anugerah dari Allah, ‘Maka aku katakan kepada mereka, mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.’

Ini janji Allah untuk mengeluarkan kita dari kekangan mehnah dan tribulasi. Pra syaratnya taubat, istighfar dan kembalikan jiwa kita kepada Allah.

Mungkin bagi sesetengah orang masih kelabu terhadap maksud ayat ini.

Istighfar? Mohon ampun? Usahanya mana?

Pesan saya, buat sahaja dulu apa yang Allah suruh, kita akan tahu apa maksud yang tersirat dan khasiat yang terkandung dalam taubat.

Sebahagian orang menilai MB Nizar yang bijak sebaik mengetahui adanya surat perletakan jawatan dua ADUN PKR. Kemudian berita berubah dengan cepat dan cepat. Sekejap begitu. Sekejap begini. Keliru kita dibuatnya. Mana tidak keliru kalau kita hanya bergantung pada usaha dan kebijaksanaan manusia semata. Sedangkan Allah sentiasa menilai dan menilik hati-hati kita. Ingatkah kita pada kuasaNya? Ingatkah kita pada kehendak Allah mengatasi segala ikhtiar manusia?

Disiplin Masa Para Nabi dan Rasul

Sedang seronok berbulan madu, tiba-tiba dapat surat cerai? Alangkah sedihnya…! Belum pun setahun merasa manisnya kurniaan Allah mendapat Negeri Perak, hari ini Allah menarik semula amanah tersebut. Pertamanya bukan kerana usaha musuh yang hebat tetapi kerana kepimpinan yang lemah jiwanya. Fahami betul-betul ya… kepimpinan yang lemah jiwanya… bukan yang lemah gaya kepimpinannya. Dikelilingi pula oleh parasit yang mencari tuah atas nama jemaah Islam. Saf-saf jundullah bergoncangan dengan ombak mazmumah menghempas jiwa. Mereka meniti hari-hari tanpa usaha bersungguh-sungguh mahu membersihkan hati. Walau asal niatnya tulus dan murni, ia tidak menjamin kita selamat hingga ke penghujung hayat. Belas kasihan Allah jua penjamin iman dan taqwa.

Para nabi dan rasul mewajibkan diri mempunyai masa bermuhasabah diri setiap hari. Nabi Daud, Nabi Zakariyya, Nabi Sulaiman, Nabi Muhammad dan lain-lain yang memegang kuasa politik tidak bertolak ansur dalam peruntukan masa mendekati Tuhan. Mereka sentiasa menyucikan diri dan memperbaiki akhlak mereka. Justeru Allah mengukuhkan kedudukan mereka sesuai dengan kukuhnya hati mereka berpaut pada Allah, tetap dalam menjaga ibadah yang wajib dan sunat serta istiqamah dengan akhlak yang mulia. Jenguklah kitab-kitab sirah disamping menjengah wajah ke blog ini.

Para nabi itu bukan tidak pernah menghadapi tentangan dan ancaman terhadap kuasa mereka. Sebesar-besar kuasa di dunia iaitu Kerajaan Nabi Sulaiman pun dicabar oleh kuasa lain. Kuasa perempuan pula. Namun Allah telah palingkan hati Ratu Kerajaan Saba kepada Islam. Lalu berjayalah Nabi Sulaiman tanpa digugat lagi.

Belum lagi dikira ancaman yang dihadapi Presiden pertama Negara Islam Madinah. Pergolakan kaum, pengkhianatan Yahudi dan munafikin serta pelbagai lagi. Berkat kepimpinan berjiwa hamba yang ampuh, empayar Madinah berkembang ke Mekah dengan aman sekali. Bukankah begitu yang kita dambakan untuk Malaysia bertuah ini?

Lawan Tetap Lawan

Teruslah bertempur wahai pemudaku yang gagah perkasa. Teruslah bermesyuarat wahai pemimpinku. Teruslah mengorak langkahmu wahai pemudiku. Demi sebuah perjuangan yang suci… bekalanmu hanya hati yang suci. Suci dari mazmumah, penuh cinta pada Ilahi. Suburkan hati dengan mahmudah… kerna itulah tempat jatuhnya pandangan Allah

Ibarat orang bercinta, bila sudah sayang semua keinginan kekasih diturutkan. Begitulah Allah, bila Dia reda dan cinta pada kita, semua urusan akan dipermudahkan. PertolonganNya juga amat dekat.

Iya…pastinya kita mahu kembalikan hak-hak rakyat dengan pelbagai usaha selagi terdaya!

Lakukannya wahai para pejuang, demi rakyat mustadh’afin nan tertindas. Banyakkan istighfar dan zikrullah…pasti ada jalan keluar yang gemilang.

Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan menunjukkan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah). Sesiapa berserah diri sepenuhnya kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).
Al-Talak 2,3

Hormatilah ulama bertaqwa kerana mereka Allah telah gazetkan sebagai pewaris para nabi. Mintalah pandangan Allah dalam apa jua urusan melalui lidah ulama kerna mereka mempusakai ilmu para nabi dan rasul. Juga menjadikan solat Hajat dan Istikharah sebagai penolong. Ilmu para nabi dan rasul itu lengkap semua aspek; siasah, strategi perperangan, daulah, undang-undang, ekonomi dan lain-lain. Semua teori yang sempurna ada pada pusaka Nabi Muhammad SAW. Sekali lagi, siapakah yang mewarisi pusaka tersebut kalau bukan ulama?

Pincanglah langkahmu…jika dirimu bergantung hanya pada kepakaranmu sebagai seorang ahli strategi, politikus, ahli ekonomi dan sebagainya. Sedangkan dirimu lupa bergantung sepenuh jiwa raga kepada Yang Maha Pakar!

Akhir sekali, motivasi dari Allah untuk kita,

وَاِنْ تَصْبِرُوْا وَتَتَّقُوْا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْـٔـًا‌ٌ
Dan jika kamu sabar dan bertaqwa, maka tipudaya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun.’
Ali Imran; 120

Ummu Abbas © Islam Itu Indah 2009
6 Februari/ 10 Safar 1430H

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s