Ciri Al-Falah: Utamakan Orang Lain
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
وَالَّذِيْنَ تَبَوَّؤُ الدَّارَ وَالْاِيْمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّوْنَ مَنْ هَاجَرَ اِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُوْنَ فِىْ صُدُوْرِهِمْ حَاجَةً مِّمَّاۤ اُوْتُوْا وَيُؤْثِرُوْنَ عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ
وَمَنْ يُّوْقَ شُحَّ نَفْسِه فَاُولٰٓٮِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَۚ
Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
Surah al-Hasyr: Ayat 9
Ayat di atas menerangkan ciri generasi awal Negara Islam Madinah:
1. Generasi yang mendapat gelaran Al-Ansar itu sangat mengasihi saudaranya yang berhijrah.
2. Hati mereka tiada pula rasa dengki dengan apa yang telah dikurniakan buat kaum Muhajirin.
3. Mengutamakan orang lain lebih daripada diri mereka sendiri meskipun mereka sendiri serba kekurangan dan sangat berhajat pula.
4. Dalam keadaan serba kekurangan itu, mereka berjaya pula menguasai diri dari sifat bakhil. Kalau mereka memenangkan sifat kedekut, nescaya mereka berebut-rebut harta zakat dan khazanah kerajaan negeri yang diperuntukan buat mereka.
4 Ciri tersebut lahir hasil tarbiyah Aqidah dan Akhlak yang dibina oleh Rasulullah s.a.w sepanjang tempoh dakwah Fasa Mekah.
Kaum al-Ansar benar-benar menghayati setiap didikan Rasulullah s.a.w sehingga ia dipuji serta dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran. Rakaman ciri generasi berjiwa besar itu sebagai panduan pada kita hari ini. Allah melabuhkan kalam ke 9 dari Surah Al-Hasyr itu dengan menyebut impak maksimum dari 4 ciri tersebut: Al-Falah (Kejayaan).
Al-Falah itu bukan sahaja terkesan pada individu yang mengamalkan 4 ciri itu, bahkan Al-Falah itu merebak ke dalam masyarakat sekitarnya yang mana kaum Muhajirin dapat hidup dengan lebih selesa dan tenang. Masyarakat yang hidup tenang menjamin kestabilan sesebuah negara. Al-Falah itu tidak terhenti setakat itu sahaja, ia terus menjalar dan berkembang hebat sehingga Rasulullah s.a.w memijakkan kakinya semula di bumi Mekah pada hari Fathu Makkah (Pembukaan Kota Mekah).
Kita kembali kepada ucapan adik Nik Nur Madihah yang menghidupkan keindahan ayat 9, surah Al-Hasyr,
“Berkenaan zakat, kami tidak mohon sebab kami fikir ada lagi orang lain yang lebih susah. Kalau kami mohon, mungkin orang yang lebih susah akan terlepas bahagiannya.”
Keluarga Madihah adalah sebahagian manifestasi tarbiyah para pejuang Islam di Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya. Para pejuang yang menggunakan metodologi tarbiyah Rasulullah s.a.w:
1. Pengukuhan akidah yang murni.
2. Pembentukan akhlak mulia.
3. Amalan menepati sunnah.
Insya Allah, sebenarnya ramai lagi rakyat Kelantan yang bersifat demikian. Merekalah pejuang dan penyumbang secara tidak langsung kepada kemenangan Islam.
Penghargaan Buat Tok Guru.
Masih terbayang di mata saya saat menaip ini, wajah ceria dan tenang ibubapa Madihah dan Adik Madihah sendiri yang melayan kami saat itu.
Saya menyebut tentang kunjungan Tok Guru ke rumah mereka, “Bertuahnya Tok Guru sendiri datang ke rumah. Itu pun satu nikmat yang besar juga. Insya Allah barakah ulama itu masuk ke rumah ini.”
Ibu Madihah ceria menyambut kata-kata saya, “Iya lah. Rasa mahu salam dengan Tok Guru dan cium tangannya. Kalau kita ini lelaki, sudah lama kita buat.”
“Ha a…betul…betul (macam Upin dan Ipin pula)..,” saya dan Kak Yah (Ustazah Maziah) menyetujui.
“ Tok Guru cicah biskut Merry dengan air teh o je,” beritahu Ibu Madihah lagi. Saya dapat rasakan ada nada kekaguman pada suaranya yang melihat sendiri tawaduknya seorang tokoh ulama dan pemimpin besar itu. Lagi pun, itu sahaja yang mampu mereka adakan.
Ikan Keli Ikan Kelah
Beli di Pasar Siti Khadijah
Dari Daulah Madinah ke Fathu Makkah
Bermula di Kelantan, kita kuasai Malaysia, Insya Allah
Allahuakbar!
Akhir kalam,
Moga-moga lebih ramai lagi ‘Keluarga Madihah’ dapat dilahirkan. Amin…ya Rabbal ‘alamin.
Ummu Abbas
3.30pm
25 Rabiul Awwal 1430H
teringin nak ziarah adik nik nur madihah ni,tapi jauh sangat…
ASSALAMUALAIKUM KAK MADIHAH, SAYA BARU BARUMUR 12 TAHUN.SAYA AKAN MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR PADA 8.9.2009. DAH TAK LAMA LAGI SAYA UPSR NI CUMA 2 MINGGU LAGI JER..SAYA NAK TANYA BEBERAPA SOLAN PADA KAKAK.MASA KAKAK MENGHADAPI PEKSA UPSR KAKAK WAT APA JER MASA TU.KAK TOLONG JAWAB YA .LAGI SATU,MASA DALAM DEWAN KAKAK WAT APA KAKAK BACA DOA APA BAGI TAU LAH SIKIT.
Sy bgtu kagum dgn sifat yg dimiliki madihah..berdoa agr selamat dunia akhirat.amin