
1. Kewujudan markas polis yang besar dan hebat.
Semasa pilihanraya Penanti yang menyaksikan BN-UMNO tidak berlawan, apakah markas polis seperti ini wujud juga? Saya dimaklumkan markas besar seperti ini tiada di Penanti. Tiada UMNO-BN, tiada markas polis besar-besar.
Biasanya orang yang memerlukan pengawasan rapi antaranya ialah kanak-kanak hyperaktif, orang gila, penjahat dan paling kurang – ‘budak-budak buas’ atau nakal. Sejak PRK Kuala Terengganu hinggalah PRK Manik Urai ini, apa yang kita saksikan; Ada UMNO-BN bertanding, adalah polis. Justeru itu polis ini datang mengawal siapa sebenarnya?
PRK Penanti tanpa UMNO-BN bertanding; suasana aman damai. Tiada provokasi dan pelbagai kejadian ganas.
Dalam perjalanan pulang hari Jumaat malam Sabtu itu, kami terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Kenderaan beratur panjang sehingga tidak kelihatan di mana putusnya barisan kenderaan tersebut. Pandang ke depan dan belakang, sepanjang jalan disimbahi cahaya lampu kenderaan.
Setelah agak lama, kereta yang merangkak perlahan akhirnya melintasi sebuah kereta yang sedang terbakar. Terlupa pula mahu snap foto kereta yang dibungkus api yang sedang menjulang tinggi itu. Dia terbakar sendirikah atau siapa punya angkara?

2. Di waktu senja Jumaat 10 Julai, kami singgah di Masjid Laloh. Saya lihat seorang polis peronda dengan motorsikalnya berlegar-legar di hadapan masjid. Pada mulanya kelihatan dia mahu berlalu. Saya berharap-harap polis yang seorang ini sudi singgah di rumah Allah ini. Namun sebaik azan Maghrib dikumandangkan, dia berpatah balik dan parking di hadapan masjid. Alhamdulillah, ada juga polis yang jinak hatinya dengan masjid dan solat. Moga Allah merahmatinya.
Lagikan kita dijemput ke istana raja, kembang kuncup dada kita dek rasa gembira menerima pelawaan orang besar dan berkuasa. Saya percaya ramai rakyat biasa yang tidak akan menolak pelawaan raja singgah di istananya. Inikan pula masjid @rumah Allah, seruan dari Allah- Raja segala raja dan zat yang paling berkuasa di dunia dan akhirat 5 kali sehari semalam itu bagai angin berlalu di cuping kebanyakan manusia- yang bukan sahaja bertaraf rakyat biasa, bahkan berstatus hamba dan makhluk ciptaan di sisi Allah.
Tanpa sebarang protokol, begitu mudah kita mahu menjadi tetamu Raja segala raja, namun berapa ramai yang sudi memijakkan kaki kurniaan Allah itu di rumahNya? Seterusnya menyucikan diri dengan wuduk serta mengabdikan diri seluruh jasad buat seketika kepada Allah pemberi nyawa?
Saya sungguh kesal dengan pemandangan ini. Lebih-lebih lagi mengenangkan markas polis berhampiran yang hebat dan gah. Untuk apa mereka beramai-ramai ke sini kalau bukan mencari sesuatu bagi mengenalkan mereka kepada Allah?
Itu belum lagi dikira kos mereka tinggal di sini untuk sepanjang tempoh pilihanraya. Alangkah baik kos tersebut diberikan kepada anggota polis untuk mereka belanjakan bagi meningkatkan taraf hidup mereka dan pendidikan anak-anak mereka. Juga diagih-agihkan kepada penduduk miskin di sekitar kawasan pilihanraya.
Jika mereka memberi alasan patuh pada bos, maka mereka dikerah ke sini, maka bagaimana pula tindakan mereka kepada arahan bos segala bos di dunia yakni Allah? Allah mahu setiap hambaNya mengenal dan mencari diriNya. Allah mahu berikan pelbagai nikmat, rahmat dan keampunan buat setiap hambaNya yang mahu berlindung di bawah kasihNya.

3. Semasa anak-anak sedang mandi, saya melilau sekitar Lata Rek mencari tong sampah namun sebuah pun tiada.
Terdapat longgokan sampah di sana-sini. Belum lagi dikira sampah yang bertaburan.
Siapa yang bertanggungjawab menguruskan hal ini? Wakil rakyat atau Majlis Daerah?
Bagi mereka yang suka kepada projek segera, inilah perkara mustahak untuk disegerakan; Sediakan tong sampah di tempat perkelahan awam ini.
Malu saya dengan keadaan ini. Tambahan pula kawasan ini sudah lama dikuasai oleh PAS- yang mahu Islam. Walaupun para pengotor itu tidak semestinya penganut PAS sahaja, namun imej sampah ini terpalit kepada mereka yang menguasai kawasan ini. Bukannya kepada pengunjung yang entah siapa-siapa.
Inilah bahana dan kesan pendidikan negara yang tidak bertunjangkan akidah yang murni. Manusia tidak rasa berdosa membuang sampah merata-rata.
Di negara kafir yang mementingkan kebersihan, dapat pula mereka melatih rakyat mereka untuk berdisiplin dalam hal ini. Contoh paling dekat ialah Singapura. Bagaimana kita dapat jadi seperti mereka dalam hal yang sememangnya wujud dari ajaran Islam?
Sekadar renungan…
Ummu Abbas
1.10pm
20 Rejab 1430
salam ziarah. Aritu lalu kat Manek Urai 6/7/09, trafik sesak dari Manek Urai sampai ke bandar Kuala Krai. Tengok jugek kanopi-kanopi yang gah tu, ntah berapa la kos nya ye…
lama x ziarah blog nor. sibuk ngan ank2 n projek rintis KAFFAH. klu sudi datanglah ke blog al-Mutawaadhi kak icah ni. tak reti sebenarnya akk ni, tapi teringat nasihat DR aid qarni ‘ dalam bukunya, beliau berkata : Tulislah sejarah hidupmu…..http://nafisahtahir.blogspot.com
Moga Allah sentiasa bersama kesibukan diri Kak Ica. Jazakillah kak sudi jemput Nur dan kami di sini.
Baru tahu Dr ‘Aidh al-Qarni pernah berkata begitu. Moga diberi perhatian oleh yang lain juga. Terima kasih Kak Ica.