
Dua hari lepas, saya sekeluarga menyempatkan diri meronda kawasan PRK N41 Manik Urai. Mencari iktibar, meneliti khabar dan menitip foto-foto menarik. Petang Jumaat itu, saya sekeluarga dan kakak ipar serta suaminya singgah di rumah sepupu di Chuchoh Puteri. Sambil meronda sambil berziarah melawat keluarga.
Kami masuk dari pekan Guchil melintasi Kg Bukit Mengkebang untuk ke Chuchoh Puteri, kawasan PRK N41 Manik Urai. Di Mengkebang, kenangan manis bersama arwah Wan yang baru meninggal mengusik minda. Ada lot rumah Wan di situ berdekatan Sekolah Mengkebang. Wan meneroka tanah itu zaman Dato’ Asri menjadi Menteri Besar. Daripada 10 1/4 ekar tanah yang diteroka dan dimiliki, 8 ekar tanah getah sudah dijual. Tinggal 2 ekar tanah dusun durian dan rambutan dan lot rumah 1/4 ekar. Dusun itu berhampiran sungai yang mengalir cantik.
Dua hari sebelum meninggal, Wan sempat berpesan pada Abah agar tanah di sini di bahagi kepada 4 beradik. 4 lagi adik beradik Abah dipesan berbahagi tanah yang baru dibeli berhampiran kampung halaman. Hasil jualan tanah getah 8 ekar, Wan beli tanah tersebut.
Bagi pecinta alam flora dan fauna tentunya gembira datang ke sini sama ada untuk bertugas atau memerhati sahaja. Sepanjang perjalanan dari Kg Bukit Mengkebang ke Chuchoh Puteri dihiasi dengan kehijauan alam dan sungai-sungai yang mengalir di bawah jambatan kecil.
Mula-mula terlintas di fikiran mahu menulis tajuk untuk rakaman kenangan ini dengan tajuk Jalan-jalan Manik Urai namun dek asyik berselisih dengan anggota polis peronda, maka perkataan Jalan-jalan itu saya tukar kepada Ronda-ronda. Baru waqie sedikit dengan perjalanan kali ini.

KG SUNGAI PAS
Selepas Kg Bukit Mengkebang, satu kampung bernama Kg Sungai Pas. Kampung ini dipisahkan dengan Sungai Pas. Macam mana sungai dan kampung ini dapat nama PAS? Saya mengagak mungkin dari segi sejarahnya, kawasan ini diterokai oleh para penyokong PAS termasuk arwah datuk saya.
Menurut Abah saya yang kami bawa meronda keesokan harinya, asal kawasan ini memang dihuni para penyokong PAS. Wujudnya penyokong UMNO di sini dek kerana tidak puas hati sebahagian masyarakat setempat terhadap mantan wakil rakyat PAS dahulu. Oleh sebab itu, di sini merupakan kubu PAS.
Saya terus memerhati kehidupan penduduk setempat. Melihat beberapa gadis yang membonceng motor tidak bertudung, tidak hairan kalau UMNO dapat bertapak di sini. Ia simbol hati manusia yang lalai dari mengingati Allah dan mati. UMNO adalah untuk mereka yang mengejar dunia dan melupakan akhirat. PAS yang dibentangkan ‘karpet merah’ sekarang pun, jika tidak berwaspada dengan virus ‘al-Wahn’ akan menurut jejak langkah UMNO juga. Na’uzubillah.
LATA REK
Ramai yang berkunjung ke Manik Urai bertuah kerana dapat menyaksikan salah satu kawasan air terjun yang cantik di Kelantan. Air terjun ini diberi nama Lata Rek. Kg Rek ini termasuk kawasan pilihanraya N41 Manik Urai.


Dua kereta polis peronda pun ada di celah-celah kereta pengunjung yang lain. Bolehlah rehatkan minda ye!
Melihat sungai nan indah ini, anak-anak sudah tidak sabar untuk mandi. Apa lagi, mandilah mereka. Namun Abbas kata tidak puas main air. Hmm…hari sudah senja, kami sampai jam 6.30 petang di sini. 30 minit sahaja main air.
DUSUN DURIAN RAMBUTAN di MANIK URAI
Kawasan sekitar Kuala Krai ini sememangnya terkenal dengan dusun durian dan rambutan. Inilah antara yang menarik PRK N41 kali ini. Bak seloroh Ustaz Tuan Ibrahim dalam kuliah Maghribnya petang semalam, “Buat pilihanraya setiap kali musim durian bagus juga”. Agaknya Ustaz Tuan Ibrahim kenyang dijamu durian oleh penduduk di sini. Saya percaya ramai tetamu dapat merasa isi durian di perbukitan Kuala Krai ini.
BERSYUKUR KEPADA ALLAH
Banyak sekali Allah limpahkan nikmatNya kepada manusia. Semua kurniaan itu adalah untuk kita mengingati ALlah dan berterima kasih kepada Allah. Salah satu tanda terima kasih kepada Allah ialah dengan mematuhi perintah dan meninggalkan laranganNya. Tanda bersyukur kepada Allah juga ialah dengan cara mengambil Islam secara menyeluruh; pada urusan peribadi, ekonomi, perundangan dan politik. Politik itu tidak kotor. Yang kotor ialah tangan yang bermain politik dengan cara selain Islam. Sama seperti ISLAM itu sendiri; sempurna dan cantik. Hanya penganutnya yang tidak berpegang teguh pada ajaran Islam yang kotor dan busuk. Mereka beramal dengan perkara yang tidak mengindahkan diri mereka, maka mereka menjadi tidak indah.
ISLAm itu INDAH. Jika UMNO mahu dipandang INDAH, kembali sahaja kepada ISLAM. Oleh kerana perlembagaan PAS mengambil al-Quran dan Hadis sebagai dasar rujukan utama, maka lebih baik UMNO masuk PAS sahaja. Bukannya menimbulkan istilah-istilah yang tidak realistik bagi membuktikan kita menerima dasar ISLAM yang dibawa olah PAS. Perpaduan orang ISLAM di MALAYSIA ini hanya dengan sama-sama mematuhi perlembagaan al-Quran dan Sunnah.

Ummu Abbas
1.44am
20 Rejab 1430H
subhanallah…cantiknye Manek Urai..ingatkan kawasan bese2 jer.
besar potensi kawasan ni kalo btl2 dibangunkan utk pelancongan..ada air terjun..ada dusun..