Ujian Allah datang lagi: ADUN Permatang Pasir Meninggal Dunia

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[1] Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

[2] Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

Surah al-Mulk

*********************************

Belum hilang penat lelah berpilihanraya di Manek Urai, Allah datangkan lagi ujianNya buat Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Pagi ini, ADUN Permatang Pasir, Dato Hj Mohd Hamdan Abdul Rahman telah kembali kepada penciptaNya, pencipta kita semua Allah swt. Beliau meninggal di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Kelihatannya, selepas PRU 12 … Allah tidak membiarkan kita lama berehat menikmati kemenangan yang realitinya belum menang. Peristiwa Perak, peralihan kuasa Perdana Menteri, pilihanraya kecil yang bertali arus, isu masyarakat setempat, penyakit yang merebak, kenaikan kos hidup dan lain-lain. Ia tidak terhenti setakat itu, isu tempatan diiringi dengan isu-isu antarabangsa yang mendidihkan darah ummat Islam seperti pembunuhan saudara muslim kita di masjid Selatan Thailand, pembunuhan sahabat kita seaqidah di Urumqhi, Xinjiang, pembunuhan Dr Marwah kerana hijabnya, konspirasi pembunuhan Mikaeel Jackson yang ramai muslim sendiri tidak pasti kesahihan status Islamnya dan pelbagai lagi.

Kebanyakan kawasan PRK itu pula pada asalnya dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Apakah yang tersirat di sebalik yang tersurat?

Tok Guru Nik Aziz dalam ucapannya di Kuliah Jumaat selepas PRK Manek Urai menyinggung tentang Perang Hunain dan Perang Uhud yang signifikan dengan apa yang telah berlaku di Manek Urai. Sudah tentu ia adalah taujihat buat para pendokong dan pekerja parti khususnya. Berapa ramai yang dengar dan mengambil iktibar? Berapa ramai pula yang bertaubat dari kelemahan yang disedari atau tidak disedari?
Muhasabah diri dan berapa banyak kita melangkah kembali kepada Allah dan syariatNya akan menentukan kejayaan kita di masa hadapan.

Allah tidak datangkan sesuatu ujian kecuali untuk mengenal pasti siapa yang ikhlas di antara hamba-hambaNya.

Allah tidak datangkan satu ujian kecuali untuk kita mengoreksi diri sendiri dan saling bermuhasabah sesama saudara kita dengan penuh rasa ukhuwwah kerana Allah.

Benarkah wujud saling menyinggung perasaan sesama sahabat di Manek Urai hanya kerana isu ‘Kerajaan Perpaduan’ yang realitinya bukan subjek sebenar? Apakah objektif sebenar yang Allah mahukan di sebalik ujian ‘Kerajaan Perpaduan’? Dan adakah keretakan ukhuwwah implikasi kepada isu akan berulang di Permatang Pasir?

Allah tidak datangkan satu ujian kecuali agar kita membersihkan diri dengannya serta melangkah penuh gagah dengan iman yang semakin mantap.

Allah juga tidak mengutuskan Muhammad s.a.w kecuali untuk memperbaiki akhlak manusia.

Islam punya adab khilaf pendapat.

Islam punya adab berjemaah.

Justeru, setiap permasalahan yang sedang dihadapi, akhlak diri yang perlu diteliti terlebih dahulu, bukannya kesalahan dan kelemahan orang lain.

Wajarkah aku bertindak begini?

Wajarkah aku bercakap begitu?

Apakah tingkahlaku dan percakapanku bersesuaian dengan kehendak Allah dan RasulNya?

Apakah bila aku menulis begini atau komen begitu, Allah reda padaku atau Allah murka kerana aku menulis tanpa landasan ilmu?

Apakah bila aku melihat sesuatu yang menaikkan kemarahanku, aku ingat bagaimana kesalahanku kepada Allah?

Besar sangatkan dosa orang lain terhadapku dibandingkan kesalahanku yang sering lalai dari mengingati Allah?

Adakah kita merasa bertambah nikmat dengan kemanisan iman setelah ujian demi ujian dibentangkan kepada kita? Atau kasih kita sesama sahabat sejemaah semakin pudar dan hambar?

Hakikat perjuangan kita benar atau tidak, tanyalah pada hati sendiri… semakin tenangkah jiwa kita atau semakin serabut?

Sekadar renungan di hari Jumaat.

Ummu Abbas
11.40am
9 Syaaban 1430H

3 thoughts on “Ujian Allah datang lagi: ADUN Permatang Pasir Meninggal Dunia

Add yours

  1. Saya amat bersetuju.

    Di dalam hal ini lebih diingini apakah maksud pencabulan yang kini dirasakan telah dilakukan oleh pihak tertentu pada bidang multimedia dan komunikasi yang diinterprestasikan dengan siri penerbitan penyiaran di media hiburan.
    Ia jelek dan amat disangsikan apabila mewujudkan penginteraksian tanpa kebenaran terhadap keperluan di Amerika dalam siri menyamai pengidolan untuk pembentukan kesinambungan dakwah yang sesekali terasa kemerbahayaannya apabila nilai atheis mahu diwarnai oleh akhlak muslim.

    Saya yakin ia sesuatu berkaitan dengan makna liberalisasi yang bukan menjadi dokongan kebanyakan muslim secara peribadi.

    Apakah kerelevanan Mtv dan Vhr di dalam kehidupan muslim dan pembinaan syaksiahnya?

    Dan adakah wajar kesemua masyarakat dunia menjadi kroni kepada Amerika misalnya?

    Adakah minda manusia turut menjadi wilayah yang dineutralkan bagi menjadi penampan kepada kepentingan pengurupan keuntungan?

    Secara peribadi saya amat yakin olahan ‘Mimpi Amerika’ menjadi kaedah dimaksimumkan potensi manusia demi wang dan ia tidak wajar menjadi budaya kita.

    Bagaimanakah mahu menghindari kekeliruan saat memilih di antara hotmail, yahoo dan gmail andai ia benar-benar bebas digunakan tanpa keraguan?

  2. Innalilillaah…

    Salam,
    Kalau orang YB UMNO yang mati, Nik Aziz akan kata ni lah “bala” kepada orang UMNO kerana banyak buat dosa dan jahil. Tapi kalau YB PAS mati mungkin Nik Aziz akan cakap “ini ujian Allah dalam perjuangan”, “mati syahid”. Mati Dato’ Hamdan merupakan rahmat kepada penduduk Permatang Pasir. Tengok saja di Manik Urai, rezeki rahmat buat penduduk di sana. Yang peliknya, hanya YB PAS saja yang mati. UMNO yang tua-tua tak pula. Agaknya sebab YB PAS selalu tabur fitnah, menyebar fitnah hingga menyebabkan Allah tak suka YB ni kumpul dosa. Kerana dosa fitnah amat besar di sisi Allah.

  3. Salam ‘alaykum albayuni,

    Saudara pernah dengarkah TGNA berkata begitu?

    Perkataan ‘akan’ yang saudara gunakan dalam ayat, “Nik Aziz akan kata ni lah “bala”..” dan ‘Tapi kalau YB PAS mati mungkin Nik Aziz akan cakap…” itu hanya berdasarkan prasangka saudara.

    Apabila kita mahu menyatakan sesuatu secara prasangka sahaja dan bukan dibina atas fakta maka kita dipandu oleh Allah dan RasulNya untuk memilih sangka baik terlebih dahulu. Sangka baik itu akan menjernihkan hati kita kepada Allah dan akan menambah khusyuk di dalam solat.

    Solat yang khusyuk akan menyelamatkan saudara di akhirat kelak.

    ALhamdulillah, setakat yang saya tahu YB-YB PAS meninggal dalam keadaan tenang dan terdapat tanda-tanda mati husnul khatimah. Tidak penting siapa yang mati dulu. Yang penting kita dapat mati dalam perjuangan meninggikan agama Allah swt.

    Usia yang panjang tanpa hidup dalam hidayah dan makrifatullah adalah usia yang sia-sia. Namun seharusnya kita saling mendoakan sesama saudara kita yang muslim agar mati dalam hidayah dan keampunan Ilahi.

    Apabila saudara menyebut, “Agaknya sebab YB PAS selalu tabur fitnah, menyebar fitnah hingga menyebabkan Allah tak suka YB ni kumpul dosa”, maka saudara terikat dengan beban pembuktian terhadap tuduhan saudara itu. Jika benar dan saudara pernah lihat dan dengar mana-mana YB PAS suka menabur fitnah, diharap saudara dapat adukan perkara tersebut kepada jawatankuasa PAS atau mana-mana pemimpin PAS yang saudara percaya agar tindakan boleh diambil.

    Wassalam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: