Bila Si Kecil menggali kubur…

Nabi Muhammad s.a.w berkata,

Perumpamaan berkawan dengan orang yang baik dan orang yang jahat, adalah seperti pembawa minyak wangi dan peniup dapur tukang besi. Pembawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikannya kepadamu atau kamu akan membeli darinya, atau mungkin kamu akan mendapati aroma harum darinya. Adapun peniup dapur, mungkin dia akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat bau busuk darinya.”

Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim

********

Saya mengorek pasir itu lagi. Belum kelihatan apa-apa. Eh…dalam juga anak-anak kecil ini buat kubur ye…

Kemudian, saya menguis lagi… Ya Allah… kelihatan perut yang kemerah-merahan masih bergerak-gerak. Saya cepat-cepat mengeluarkan si comel yang tercungap-cungap bernafas itu.

Saya sedih dan sungguh kesal dengan apa yang saya lihat. Rhino@Mimo masih hidup lagi rupa-rupanya. Saya marahkan Aziz dan Aesya sekadar memberi peringatan, “Lain kali beritahu Ummi dulu kalau ada apa-apa. Hamster ni masih hidup lagi. Siapa yang cakap dia dah mati?”

“Afikah yang suruh tanam, Ummi,” beritahu Aziz, 6 tahun.

Aesya pula menyampuk, “Aesya cakap hamster tidur sahaja tapi Afikah cakap hamster tu dah mati”.

“Lain kali jangan ikut cakap Afikah. Sama-sama kecil, sama-sama tidak tahu,” saya mengeluh.

Aesya berusia 4 tahun dan kawan mereka, Afikah berusia 6 tahun.

Pasangan baru Rhini@Mimi yang aktif
Pasangan baru Rhini@Mimi yang aktif

**************
26 Julai, Ahad.

Jam 12 tengahari pada hari tersebut, Aziz dan Aesya baru pulang dari sekolah. Aziz membawa sangkar hamster turun ke bawah. Kawan mahu lihat katanya.

Saya berpesan, “Tengok sahaja tau… tapi sebelum tu tukar pakaian sekolah dulu”.

Aziz mengiyakan. Saya meninggalkan mereka bermain di bawah dan naik ke tingkat atas rumah. Kira-kira jam 1 lebih, Aziz dan Aesya naik ke atas rumah beritahu saya seekor hamster sudah mati.

Saya terperanjat, “Macam mana boleh mati?”

“Aesya pegang kuat sangat lepas tu hamster tu mati,” Aziz menceritakan.

“La… kenapa pegang hamster tu. Tengok sahaja…”
“Mana hamster tu…Ummi nak tengok, betul ke dah mati?”

“Dah tanam kat belakang, Ummi…”

“Dah tanam? Siapa yang tanam? Aziz pergi korek semula dan bawa kepada Ummi. Ummi nak cek betul ke dah mati…”

Kesaksian kanak-kanak yang belum mumaiyyiz tidak dapat diterima sepenuhnya. Itulah yang saya belajar. Sebagai orang tua, kita perlu menyelidik perbuatan anak-anak kecil meskipun pada dasarnya mereka belum pandai berbohong.

Aziz tidak bergerak. Kemudian Aesya menokok, “Betul Ummi, dah mati. Aesya tengok hidung dia berdarah…Lepas tu Afikah suruh tanam”.

Ya Allah…saya terasa berdosa membiarkan anak-anak itu bermain sendiri dengan hamster itu. Sebenarnya ini kali pertama Abi mereka belikan hamster@ haiwan peliharaan. Sudah lama Abbas minta belikan hamster. Namun kami tidak mengizinkan kerana bimbang mereka tidak dapat menjaga dengan baik.

Sabtu lepas, semasa kami melintasi perkarangan stadium di Kota Bharu, kelihatan ada ekspo sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2009. Suami dan 4 orang anak singgah melihat pelbagai haiwan dan hasil pertanian. Di situlah Abbas mendapat sepasang hamster dari Abinya. Kami berharap dengan usianya 10 tahun, Abbas sudah pandai ‘take care’ haiwan peliharaan.

Saya juga dapat merasakan Allah mahu beri peringatan tentang pengaruh kawan-kawan kepada anak-anak. Iya, anak sekecil itu sudah mampu mempengaruhi antara satu sama lain tanpa mereka sedari dan rancang. Apatah lagi anak-anak remaja yang sedang meningkat dewasa.

***************

Suami saya pulang tengahari itu dan keluar solat Zohor di masjid berhampiran. Saya sempat beritahu suami apa yang telah dibuat anak-anak.

“Patutlah Ummi tengok baju Aziz dan Aesya dibasahi peluh. Rupa-rupanya mereka baru lepas gali kubur.” Suami saya ketawa.

Selepas pulang dari masjid, dia beritahu kubur hamster yang dibuat anak-anak saya cantik siap ditabur bunga lagi. Kubur itu dibuat di kawasan berpasir di luar pagar rumah jiran saya.

Oleh kerana suami akan menghadiri mesyuarat jam 2.45pm, saya diminta mengambil anak-anak dan membeli pasangan baru kepada Rhini@Mimi yang keseekoran sekarang. Saya bergegas keluar tanpa sempat melihat kubur Rhino@Mimo.

Kubur Rhino@Mimo sebelum digali semula.  Siap ditabur bunga.
Kubur Rhino@Mimo sebelum digali semula. Siap ditabur bunga.

Selepas pulang kira-kira jam 4.15 petang, saya segera ke belakang rumah melihat kubur Rhino@Mimo. Selepas snap foto, hati saya tergerak untuk melihat Rhino@Mimo lalu mengorek kubur itu. Saya juga mahu tahu sedalam mana hamster itu ditanam.

Setelah mengeluarkan hamster itu, hati diulit rasa sayu. Saya meletakkan di atas tapak tangan dengan maksud mahu memanaskan Mimo. Saya mengusap perlahan. Adakah ia masih dapat diselamatkan? Tahan juga nyawa dia… sudah tertimbus lebih dari dua jam masih bernafas. Mimo terus bernafas sehingga ke malam. Abbas berusaha memberi makan dan minum namun Mimo sudah tenat dan tidak lalu makan. Kelihatan seperti ada sendi yang patah.

Abbas sedih namun saya melarang Abbas memarahi adik-adiknya. Saya beritahu saya sudah tegur dan marah mereka. Cukup setakat itu. Mesej sudah sampai maka tidak perlu ditambah-tambah lagi. Lagi pun usia mereka masih mentah untuk membezakan antara hidup dan mati.

************

Saya bertafakkur mencari ilmu Allah yang mahu disampaikan melalui kejadian hari itu. Iya…Allah mahu mengingatkan saya agar berusaha menjadi teman dan sahabat yang baik kepada anak-anak sendiri. Sebelum mereka rapat dan lebih terpengaruh kepada rakan-rakan yang belum pasti baik buruknya.

Saya juga perlu sentiasa memantau permainan mereka agar tidak memudaratkan antara satu sama lain. Juga tidak menganiaya makhluk Allah yang lain. Mereka masih kecil dan perlu dibimbing selalu.

Kasihan Rhino@Mimo.  Akhirnya  Mimo menjadi makanan haiwan lain malam itu.
Kasihan Rhino@Mimo. Akhirnya Mimo menjadi makanan haiwan lain malam itu.

Sering juga bila ada katak atau haiwan lain yang tidak berbisa dalam rumah, anak-anak memberitahu, “Ummi, ada katak”.

“Ummi, ada labah-labah”.

Saya segera menjelaskan, “Biarkan dia. Dia tidak ganggu kita”.

Ya Allah, ampuni dosa-dosaku dan peliharalah anak-anakku dari kemurkaanMu..!

Amin…ya Rabbal ‘aalamin.

Ummu Abbas
10.15am
6 Syaaban 1430H

5 thoughts on “Bila Si Kecil menggali kubur…

Add yours

  1. assalamualaikum Ummu Abbas…
    Jika diizinkan eloklah saye memanggil Ummu Abbas sbg akak memandangkan saye lebih mudah dari akak. sudah lama saya jatuh cinta dgn blog akak dan boleh dikatakan setiap hari saya membukanya utk mengetahui isu terbaru. blog akak juga saye mark kan sbg favaourite…
    saya ade permintaan. kalau boleh saye ingin berguru dgn akak ttg pengurusan blog. sudah lama saye berhajat utk memulakan blog tp tak tahu mcm mane utk memulakannya..
    jika tidak menyusahkan, saya harap akak dpt lah berkongsi sedikit ilmu mcm mane hendak mengendalikan blog dgn cemerlang, gemilang dan terbilang.
    Dan satu lagi permintaan saya, jika tidak menyusahkan, boleh x akak terus jea email ke alamat saye..
    Sekian dari pembaca setia

  2. Assalammuaalaikum ummuabbas, anak-anak akak pun teringin nak bela hamster tapi akak tak bagi sebab budak-budak tu alahan kulit… so akak belikan kura-kura, Kesian pulak….si mimo di tanam hidup-hidup. Tu la..budak-budak…

  3. Wa’alaykum salam wbh,

    Mohammad,

    Terima kasih kerana berkunjung ke rumah maya saya. Moga secebis ilmu yang digarapkan di blog ini memberi manfaat buat hati dan minda.

    Berkenaan pengurusan blog itu, saya kira ramai yang jauh lebih senior dan lebih cemerlang dari saya untuk Mohammad belajar daripada mereka. Contoh blog saifulislam.com, zaharuddin.net dan lain-lain.

    Maaf, saya respon di sini sahaja kerana pada pendapat saya perkara yang dikemukakan bersifat umum serta tiada perkara aib.

    Apabila disebut blog, perkara yang paling penting ialah isi blog. Jadi di sini saya mahu berikan sedikit tip menulis;

    1. Belajar ilmu penulisan seperti gaya bahasa dan teknik menulis yang baik. Caranya ialah dengan meneliti penulisan orang lain terutama yang mendapat sambutan ramai. Salah satu blog yang banyak bercerita tentang bahasa dan teknik menulis ialah universitipts.com.

    2. Guna Bahasa Melayu standard agar penulisan kita tetap evergreen dan boleh difahami oleh ramai orang.

    3. Letakkan objektif semasa menulis. Objektif para nabi dan rasul dalam menyampaikan risalah ialah akal dan hati manusia. Justeru itu belajar dan cuba kuasai kaedah untuk sampai ke hati manusia.

    4. Ikhlas kerana Allah semata.

    5. Memilih isu yang evergreen untuk disampaikan tetapi dibicarakan menurut situasi semasa. Isu evergreen ialah isu yang tidak lapuk dek zaman. Isu yang tidak lapuk dek zaman ialah yang berkait dengan prinsip-prinsip hidup Islam.

    Terdapat satu ayat dasar untuk memastikan penulisan kita dapat mencapai piawaian ‘sedekah jariah’. Juga untuk memastikan penulisan kita evergreen dan sentiasa berkembang. Ayat tersebut ialah ayat 26 surah Ibrahim. Saya bagi ‘clue’ sahaja dahulu. Semoga Mohammad dapat mengkajinya lagi melalui kitab-kitab tafsir. Saya memang merancang untuk membicarakan ayat ini namun apabila tiba masa yang sesuai.

    Mengenai pengurusan blog, saya sendiri masih terasa daif. Saya hanya try-try itu dan ini selepas mendaftar. Itu pun banyak perkara lagi yang saya tidak faham dan tidak dapat menggunakan kemudahan yang disediakan. Saya berharap Mohammad dapat merujuk kepada mereka yang lebih pakar.

    Mohon maaf atas kelemahan ini.

    Moga beroleh manfaat.

    Wassalam.

  4. Oh ye, ummuabbas, jemputla Abbas dan Aziz jenguk-jenguk blog anak-anak akak. Mungkin boleh jadi kawan di dunia maya ni..

    Along – afiqpunyablog.blogspot.com
    Angah – uhashim.blogspot.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: