Mudahnya Kahwin…

Saya tertarik dengan satu perkongsian pengalaman pengunjung blog saya mengenai mas kahwinnya. Ia adalah respon kepada artikel saya bertajuk, “…dengan mas kahwinnya satu set komputer tunai…”. Empunya pengalaman berpesan kepada saya agar tidak menyebut namanya di sini. Catatannya seperti berikut (saya sudah edit agar lebih sedap dibaca. Catatan asal ada dalam ruangan komen di bawah entry “Email baru saya (update)”;


Salam Kak Nor 🙂

Arwah abah saya minta pihak lelaki bawa 1/10 dari jumlah mas kahwin yg disebut oleh Tuan Guru dan syarat abah lagi tiada sebarang barang hantaran tambahan. Sampai keluarga saya sendiri (ibu-ibu saudara) bising-bising, tidak pernah dibuat dek orang lain dan mereka bising mahu jaga title keluarga dan sebagainya…lagilah orang Kelantan yang mana mas kahwinnya memang tinggi. Suami saya kata, tidak sangka sungguh. Ingatkan susah mahu masuk meminang saya. Tambahan pula saya baru habis masters. Faktor kedua, arwah abah juga dipandang tinggi disebabkan bisnes. Rupanya mudah sangat dan sedikit pun dia tidak rasa terbeban. Betapa gembira abah bila saya kahwin, sampai 3 ekor lembu tumbang untuk majlis kesyukuran.

Abah kata dia mahu ubah pemikiran. Saya pun tidak rasa ia perkara luarbiasa malah saya sungguh terharu banyak segi dan alhamdulillah ala kulli hal… Alhamdulillah dikurniakan ibubapa seperti abah dan umi. Dan alhamdulillah dikurniakan suami yang amat baik.

Oh, saya lupa nak sebut kenapa arwah abah minta 1/10 dari jumlah itu. Ini kerana ia adalah mahar terendah bagi negeri Kelantan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam pada tahun saya kahwin. Oleh kerana mahu supaya angka itu nampak cantik, pak mertua saya minta tambah lagi seringgit – maka jadilah RM101 🙂 Saya ada dua orang lagi adik perempuan yang belum kahwin. Dua-dua mereka pun bercadang untuk teruskan sunnah yang telah ditunjuk oleh arwah abah. Insya Allah. Moga-moga mereka pun akan mendapat keberkatan nanti.

Oo sebenarnya banyak kesan positif dan keberkatan perkahwinan kami suami isteri ini. Nantilah bila-bila saya cerita.

Ummu An

**********
Semasa saya menulis pengalaman mahar saya sebelum ini, saya memang mengharapkan ada pengunjung yang mahu berkongsi pengalaman ‘mas kahwin’ yang mudah di sini. Apabila saya berterus terang menyebut tentang mahar saya sebagaimana berterus terangnya Tok Guru Nik Aziz tentang mahar anak-anak gadisnya, di sana saya percaya ramai lagi yang lebih baik dari saya.

Saya juga sebenarnya tidak merasakan bahawa apa yang saya alami itu yang terbaik untuk dijadikan teladan. Fokusnya ialah pada maksud hadis , ‘murah mas kahwinnya’ sebagai salah satu tanda barakah seseorang gadis. Nilai dan jumlah itu bergantung pada famili dan zuruf setempat. Paling penting adanya ‘al-Taradi’ antara kedua belah pihak. ‘Al-Taradi’ ialah saling meredai antara bakal suami isteri. Bakal isteri setuju dengan iman yang terdidik dan bakal suami tidak rasa terbeban dengan rasa tanggungjawab yang tinggi.

Jika pihak isteri ‘demand’ dan tidak boleh bertolak ansur, perkara asas sebegini akan memberi kesan kepada rumahtangga untuk jangka masa panjang. Inilah salah satu punca hilangnya barakah dalam sesebuah rumahtangga.

Pengaruh Negatif Media Dalam Isu Perkahwinan

Dalam arus media memaparkan kos perkahwinan yang ‘gila-gila’ mewahnya, maka kisah-kisah benar berdasarkan tuntutan Islam sebegini wajar menjadi alternatif bagi mengimbangi pengaruh media tersebut.

Situasi sekarang yang menyaksikan banyak kes rumahtangga yang runtuh atau perzinaan yang berleluasa, laman phorno yang diusahakan oleh individu Islam itu sendiri, kes rogol kanak-kanak, maka pengalaman-pengalaman indah mengamalkan ajaran Islam itu lebih wajar bersaing untuk menempati media elektronik, bertulis dan maya. Moga masyarakat dapat melihat nur dalam kegelapan jahiliyyah yang entah ke berapa di alaf baru ini.

Setiap idea dan teori Islam yang digarapkan dalam al-Quran dan Sunnah adalah yang terbaik dan paling sempurna untuk diaplikasikan oleh individu, famili dan daulah.

Kita mahu idea Islam yang kuat mempengaruhi masyarakat kerana Islam itu Indah.

Saya juga berharap Ummu An sudi berkongsi lagi pengalaman rumahtangga barakah yang dilaluinya hasil mudahnya mahar beliau. Saya juga telah merasa barakahnya rumahtangga saya (alhamdulillah) dan akan bercerita mengenainya apabila tiba masa yang sesuai. Moga dengan pengalaman kami, masyarakat terdorong untuk sama-sama menikmati barakah dengan menyusur jalan Islam yang Indah!

Saya bercerita untuk mendorong masyarakat dan saya menulis kerana kebolehan menulis ini adalah pinjaman dari Allah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Jika ada pembaca yang mahu berkongsi pengalaman mereka dalam topik mas kahwin ini tetapi tidak tahu menulis, saya pelawa mereka agar menghubungi saya melalui email dan tulislah kisah saudara saudari secara santai seolah-olah saya adalah sahabat anda sendiri. Insya Allah, saya akan edit semula berdasarkan kemampuan saya agar ia dapat dinikmati bersama pembaca yang lain. Kita sama-sama berharap ia menjadi saham di akhirat dengan keuntungan berlipat kali ganda. Amin,…insya Allah.

Sekadar catatan persinggahan.

Ummu Abbas
4 Syaaban 1430H
1.10pm

One thought on “Mudahnya Kahwin…

Add yours

  1. Malam Aspirasi Generasi Salahuddin – Pidato Perdana

    Jadual Pengajian Ilmu bagi Bulan Julai-Ogos 2009

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: