Posted in Gadisku, Islamika

…dengan mas kahwinnya sebuah komputer tunai…

Foto INTERNET

Setelah saya memutuskan menerima lamaran pemuda itu, saya berbincang dengan Kak Long mengenai persiapan yang harus dibuat. Kak Long ialah isteri kepada Abang Zul, abang sulung saya.

Antara perkara penting yang harus difikirkan ialah mengenai mas kahwin. Mas kahwin ialah hak wajib bagi bakal isteri yang ingin dinikahi. Hal ini disebut ayat 4 surah al-Nisa’. Mana-mana perempuan yang akan bernikah berhak menentukan mas kahwinnya sendiri.

Saya bertanya Kak Long, “Kak Long dulu minta apa dari Abang Zul sebagai mas kahwin?”

Kak Long tidak terus menjawab sebaliknya memberitahu, “Kak Long dulu masa mahu kahwin, Kak Long fikir apakah perkara yang paling Kak Long inginkan waktu itu”.

Ooo…macam itu ye… Saya mula berfikir-fikir apa yang paling saya inginkan waktu itu. Saya pernah dengar ada wanita yang meminta bakal suami membaca al-Fatihah, al-Quran dan sebagainya selain bentuk benda. Hakikatnya, Allah maha mengetahui fitrah kejadian wanita yang memang sukakan benda-benda sebagai hadiah. Justeru itu, kaum wanita diberi hak menentukan mas kahwin sebagai tanda izin kepada kaum lelaki memiliki wanita tersebut secara sah. Bahkan wanita yang dikahwini berhak menegah suaminya daripada menyentuhnya sekiranya hutang mas kahwin belum dilunasi.

Mas kahwin juga merupakan simbolik bahawa wanita punya harga diri yang perlu dihormati oleh lelaki. Lelaki dengan kudrat dan tanggungjawab memimpin yang dipikulnya perlu membuktikan kemampuannya untuk mencari nafkah bagi isteri dan anak-anak. Meskipun begitu, maksud harga diri di sini bukanlah bererti wanita harus menilaikan dirinya dengan jumlah wang atau material. Jumlah itu tidak penting. Yang penting, harus ada hadiah bagi wanita yang bakal dinikahi untuk menjinakkan hatinya. Juga sebagai tanda memuliakan wanita yang akan menjadi suri hidupnya.

Mas Kahwin Anak Perempuan Tok Guru Nik Aziz

Saya teringat dalam satu kuliah Tok Guru Nik Aziz, beliau berkata, “Sesiapa yang mahukan anak perempuan saya, beri RM1000 jah (sahaja). Tapi kalu demo nok buwi anak perempuan demo, kira RM1000 jugalah (Kalau saudara mahu tawarkan anak perempuan saudara menjadi menantu saya harap dapat letakkan hantaran RM1000 juga)”.

Saya lupa tahun berapa kuliah Tok Guru di Dewan Zulkifli itu namun ia adalah sekitar tahun 1997 atau 1998.

Sebagai ulama dan pemimpin, Tok Guru berusaha menjadi tauladan kepada rakyat. Dalam kuliah Jumaatnya hari itu, Tok Guru mengajar bab nikah kahwin dan mahar. Tok Guru menggalakkan rakyatnya memudahkan urusan perkahwinan dengan meletakkan mas kahwin yang rendah. Realiti hantaran dalam masyarakat waktu itu ialah sekitar RM3000 ke atas. Ia juga sebagai menyahut seruan Nabi s.a.w yang pernah berkata,
“Antara tanda barakah seorang gadis ialah yang cepat kahwinnya, murah maharnya dan cepat melahirkan anak”

Saya tergiur untuk menjadi salah seorang gadis yang diberkahi itu. Adat keluarga saya tidak akan menyebut berapa mahar yang dikehendaki. Terserah kepada pihak lelaki mahu beri berapa.

Di Kelantan, biasanya hantaran disebut semasa akad nikah termasuk jumlah mahar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Apabila disebut semasa akad, maka ia tidak menjadi hantaran lagi. Sebaliknya ia menjadi mahar yang wajib untuk isteri. Apabila menjadi mahar, maka ibubapa tidak berhak menyentuh wang tersebut walau satu sen kecuali anaknya mahu menghadiahkan pula kepada kedua ibubapanya.
Antara faktor jumlah hantaran disebut semasa akad ialah untuk keluar dari perkara yang tidak disyariatkan.

Hantaran perkahwinan merupakan adat masyarakat dan tiada kena mengena dengan tuntutan syarak. Ibubapa pihak perempuan harus mengadakan kenduri walimah menurut keupayaan masing-masing. Pihak lelaki tidak harus dibebankan dengan perbelanjaan yang tidak wajib itu. Kecualilah pihak lelaki kaya raya dan mahu membantu keluarga bakal isterinya bagi mengadakan kenduri, maka ia dianggap sedekah sahaja.

Apa yang saya mahu sebagai mahar?

Selepas Kak Long bercerita pengalamannya, saya mula berfikir, “Apa yang aku mahu saat ini ye…”. Lama juga fikiran saya merayau mencari apa yang saya mahukan.

Hmm… waktu itu saya sudah punya rancangan untuk menulis. Sampai-sampai saya membeli buku-buku khusus untuk diterjemahkan sebaik pulang ke Malaysia. Iya…apa yang saya perlukan waktu itu ialah sebuah komputer.

Saya beritahu Kak Long apa yang saya perlukan dan hasratkan saat itu. Saya tahu apa risikonya. Kami sama-sama tergelak ketika saya maklumkan hal tersebut. Cuba bayangkan dulang hantaran mahu di isi dengan 1 set komputer; Monitor yang besar, CPU, papan keyboard, sepasang speaker dan printer. Hi…hi…hi…

Harga 1 set komputer pada masa itu lebih kurang RM3000- RM4000 jugalah termasuk printer. Saya cuba juga berimaginasi; bagaimanalah agaknya rombongan pihak lelaki akan membawa barangan tersebut. Hi…hi…hi… dan saya membayangkan lagi bagaimana lafaz akad nikah itu nanti akan berbunyi, “Aku terima nikahnya (nama saya) dengan mas kahwinnya satu set komputer tunai”. Hi…hi…hi… pelik bunyinya.

Bila mahu nisbahkan hasrat dan impian saya waktu itu, itulah jadinya. Tidak mengapalah, ikut yang biasa-biasa sahaja. Lagi pun harganya boleh tahan. Saya mahu jadi gadis yang diberkahi dan hanya inilah peluang yang saya ada bagi merealisasikannya.

Jika saya buka mata luas-luas dan pasang telinga lebar-lebar pada persekitaran masyarakat waktu itu, hati tergugah juga dengan kos sekitar RM4000-RM5000 dan ke atas. Tidak termasuk cincin dan barangan yang lain. Tambahan pula bakal suami saya berkerja sebagai doktor dan datang dari keluarga yang agak senang. Itu harga di Kelantan. Kalau di luar Kelantan, mahu RM5000- RM7000.

Hati-iman dan nafsu mula bertempur. Oh…tidak… saya kepingin menjadi gadis yang disebutkan Nabi s.a.w. Peluang ini bukan datang 10 kali atau lebih seumur hidup. Hanya inilah satu-satunya peluang saya. Apa nak jadi, jadilah. Peluang saya memang terbuka luas sebab ibubapa pun jenis yang mencontohi Tok Guru juga.

Bisikan syaitan datang juga menerjah sekali-sekala, “Nanti orang kata engkau ni murah sangat harganya. Itu sahaja nilai engkau. Orang lain semuanya dapat jumlah yang lebih tinggi”.

Pedulikan semua itu. Nilai diri manusia ditentukan oleh agamanya. Bukan dengan jumlah wang ringgit. Pandai-pandai iblis ini mahu mengukur nilai diri menurut kacamatanya sendiri. Cukuplah ajaran Allah dan Rasulullah s.a.w sebagai panduan. Saya yakin bahawa Allah tidak akan persiakan hidup saya apabila saya memilih jalan yang diredaiNya meskipun ia kelihatan janggal di mata manusia.

Sesetengah gadis terpaksa menurut kata ibubapa dan keluarga yang tidak faham. Selepas kahwin, mereka pulangkan sebahagian hantaran yang melampau itu. Apatah lagi jika suami memang tidak mampu mengadakannya. Moga rumahtangga mereka juga diberkati Allah. Sesetengahnya pula, sudah beranak-pinak, hutang dengan bank untuk buat hantaran kahwin belum langsai juga. Kasihan… Ikut sahaja ajaran Islam, INDAH dan memudahkan.

Berapa Mahar Saya?

Tempoh saya menerima lamaran dan akad nikah dilangsungkan hanya dua bulan sahaja. Suatu hari, bakal suami menelefon saya, “Mas kahwin mahu berapa?”

“Terserah pada anta”. Sebenarnya Ma saya yang ajar begitu. Jangan sebut berapa-berapa.

“Sebutlah…nanti bawa RMxxx …. kan tidak puas hati pula”.

Jumlah yang bakal suami sebutkan itu sangat sedikit tapi saya lupa berapa. Hati tergugah lagi. Bagaimana hati saya tidak tergugah bila dibandingkan dengan kebiasaan jumlah hantaran waktu itu. Inilah naluri wanita sebenarnya. Hadiah itu tetaplah dia mahu. Cuma naluri itu perlu dipupuk dengan iman dan taqwa, agar ia tidak melampaui batas.

Saya memang tidak memikirkan berapa yang saya mahu. Tiada apa-apa jumlah dalam kepala saya. Mahu komputer, terasa tidak lojik. Saya teringat semula jumlah yang Tok Guru pernah sebut untuk anak perempuannya, RM1000.

Saya pun berkata, “Tok Guru minta RM1000 untuk anaknya. RM1000 jugalah”.

Pemuda itu terdiam sebentar. Saya tidak tahu apa yang difikirkannya. Kemudian dia berkata, “RM1000?… Rasanya Tok Guru pun dah angkat sikit harganya sekarang. Tak mengapalah, ana beri RM2000”. Tanpa banyak bicara, saya setuju sahaja.

Malam Akad Nikah dan Hari Perkahwinan

Saya menerima mahar sebanyak RM2000 dan sebentuk cincin selepas selesai majlis akad nikah. Semasa saya menyaksikan dari balik dinding rumah pemuda itu mahu akad nikah, saya teringat kembali hasrat saya ingin memiliki komputer. Saya tidak sedih cuma terasa lucu bila tidak dapat dibayangkan majlis akad nikah itu dipenuhi dengan kotak-kotak berisi barangan komputer.

Keesokkan harinya semasa majlis walimah, ibu mertua memakaikan gelang emas di pergelangan tangan saya. Itu hadiah dari mertua. Beberapa ratus yang dihadiahkan kaum keluarga suami semasa majlis mengenal saya serahkan kepada Ma untuk menampung belanja kenduri.

Minggu Bulan Madu- Baiknya Engkau ya Allah!

Selepas seminggu berkahwin, saya mengikut suami ke daerah tempat dia berkerja. Kira-kira 4 jam perjalanan dari kampung kami. Suatu hari di bulan pertama bulan madu kami, suami saya memberitahu,
“Sebenarnya abang ingat nak bagi komputer sebagai mas kahwin tapi takkan nak usung komputer pula masa nak akad nikah”.

La haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyul al-‘azhim.

Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah yang maha tinggi lagi maha agung.

Rupa-rupanya hasrat saya sama dengan impiannya sendiri. Saya juga beritahu dia hasrat sebenar saya tanpa niat mahu dia menunaikannya. Sekadar bercerita pengalaman saya sendiri. Selepas itu, dia terus bawa saya ke Jalan Imbi untuk memilih komputer. Memang dapat satu set lengkap. Terima kasih bang dan padaMu segala pujian atas segala kurniaanMu ya Allah.

Ya Allah…Engkaulah yang amat memahami hambaMu ini. Engkau mengetahui apa yang terdetik di hatiku dan memakbulkan impianku meskipun aku tidak pernah meminta kepadaMu… Ya Allah.

Ya Allah…Berkatilah rumahtangga kami hingga ke akhir hayat kami.

Ya Allah…lindungilah rumahtangga kami dari kemurkaanMu.

Amin, ya Rabbal Alamin.

Hamba yang faqir,
Ummu Abbas
1.08am
28 Rejab 1430H

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

12 thoughts on “…dengan mas kahwinnya sebuah komputer tunai…

  1. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Subhanallah! Mungkin kata kuncinya Allah, Tok Guru, Ma, Saya, Suami. Jadi, mungkinkah serampang lima mata? Teruskan berkarya. Wallahuaklam. Wassalam.

  2. salam ukhwah….
    P’kahwinan yg di b’kati Allah ialah p’kahwinan yg amat sederhana p’belanjaannya, Rasulullah b’sabda yg b’maksud: “P’kahwinan yg amat besar berkatnya(barakahnya) ialah p’kahwinan yg amat mudah p’belanjaannya.”
    sekiranya niat t’sebut baik dan di lakukan dgn ikhlas maka ia akan m’dapat ganjaran dan balasannya drpd Allah. InsyaAllah.

  3. Wa’alaykum salam warahmatullahi wabarakatuh,

    Saudara Mohd Isa,

    Alhamdulillah. Saudara cepat faham maksud ‘serampang banyak mata’ dalam teknik penulisan saya. Hmm… semua katakunci yang saudara sebutkan itu merupakan ‘point’ atau individu penting dalam kehidupan seseorang hamba. Ada satu kalimah lagi yang sangat sinonim dengan perkataan Allah itu.

    Wallahua’lam. Hanya setakat ini kudrat saya.

    Allah jua yang maha bijaksana dan maha hebat.

    Wassalam.

  4. Salam Ummuabbas

    Maha Suci Allah – Dia Yang Maha Mengetahui…

    Bergenang air mata kakcik membaca entri ini…

  5. Assalamualaikum kak,

    SubhanAllah, sweetnya kisah akak tu :). Sangat menarik. Begitulah hati manusia kan kak, nak yang baik tapi masa yang sama macam2 bisikan yang tak baik mengganggu.

    Kak, boleh bagi ayat Quran atau hadis tentang Ikhlas? Bila2 lah akak free. Syukran 🙂

  6. Assalamualaikum K Nor..
    Kisah K Nor ni mengingatkan saya ttg kesah hidup saya di ambang perkahwinan dulu.
    Maharnya pun lebih kurang je dgn k nor… Duit mahar tu saya belikan seutas rantai tangan yg harganya lebih krang rm500(setelah digesa oleh mak saya) dan yang selebihnya saya beli 1 set PC second hand, sbb yg baru harganya mahal…duit tak cukup…so,habis duit mahar saya. Memang saya sudah lama berhasrat utk memiliki komputer memandangkan byk tugasan yang menggunakan komputer. yang sedihnya pakai komputer tak sampai setahun dah rosak dan tidak boleh dibaiki lagi kerana mengalami kerosakan yang kronik. maklumla beli yg murah….nasib baik ada gelang tu yg boleh mengingatkan saya ttg saat2 manis suatu masa dahulu. Dan gelang tu saya masih memakainya hingga ke hari ini..sekarang usia perkahwinan kami dah 9 tahun…lepas satu-satu komputer bertukar tapi gelang ni masih di tangan….Bila saya pikir balik, ada baiknya mak saya suruh beli gelang ni..kalau tak, pastinya saya habiskan duit tu beli komputer…Apa pendapat K Nor..?

  7. Wa’alaykum salam wbh,

    Wan,

    Tahniah Wan! Moga baitulmuslim yang dibina diberkati sehingga penghujung hayat.

    Duit mahar Kak Nor dihabisi dengan menjadikannya modal berniaga. Hanya tinggal sebentuk cincin perkahwinan yang sudah diubah suai reka bentuknya sebagai kenangan.

    Terserah kepada pihak isteri mahu memanfaatkan mahar tersebut dengan cara yang bagaimana kerana ia adalah milik penuh bagi isteri.

    Seorang sahabat Kak Nor membelanjakan hantaran kahwin sebanyak RM4000 untuk membayar yuran pendaftaran Sarjana.

    Seorang lagi membeli kereta second hand dengan wang hantaran sebanyak RM6000.

    Ada yang menukar Dinar Emas Kelantan kepada wang tunai dan dibelanjakan untuk sambung belajar. Beberapa keping lagi disimpan untuk kenangan.

    Pokoknya, isteri bebas menggunakan harta yang sudah menjadi miliknya dengan izin syarak.

    Wallahua’lam.

  8. setiap yang baik, murah ataupun mahal, dimanfaatkan dengan baik dan sebaik2nya, jika ia hilang ataupun rosak, inshaAllah akan diganti dengan yang lebih baik lagi samada cepat ataupun lambat. Sesungguhnya Allah tak membuat sesuatu itu dengan sia-sia.

  9. salam.

    Saya asal dari perak, tetapi akan bernikah dengan gadis dari kelantan dalam beberapa bulan lagi. Benar, seperti yang ditulis, semuanya sama. terserah kepada pihak lelaki pada mas kahwin.

    Saya bingung, berapa mas kahwin patut saya beri. Jika beri seperti anak tok guru, takpakah?

    salam ziarah. 😀

    ps: mohon saya kongsikan entry ini, ya. terima kasih.

    Wsalam.

    Pertamanya tahniah kerana bakal mendirikan masjid bersama gadis Kelantan. Harapnya dapat gadis beragama.

    Boleh sahaja beri mas kahwin seperti Tok Guru asalkan IKHLAS dan menurut kemampuan. Kalau ada rezeki lebih, tidak salah untuk beri lebih.

    Adik ipar saya beri RM7000 kepada isterinya menurut kehendaknya sendiri dan kemampuannya. Pihak perempuan tidak menetapkan berapa-berapa.

    Apa pun, pihak saudara lebih arif akan kemampuan diri dan apa yang saudara rasa selesa dan ikhlas, buatlah… insya Allah ia akan menjamin kebahagiaan rumahtangga dan keberkatannya.

    Wassalam.


  10. Assalamualaikum wbt..
    maaf cuma ingin bertanya,sedikit confuse..di kelantan maharnya sedikit tinggi dari negeri lain sebab x diberi wang hantaran ye..? sebab di negeri lain yang beribu-ribu tu wang hantaran sedangkan maharnya hanya beberapa puluh ringgit..

    Wa’alaikum salam wbh.

    Mahar yang ditetapkan Jabatan Agama di Kelantan rendah sahaja. Saya tidak tahu berapa jumlah terbaru. Mungkin sekitar RM100 ke bawah atau lebih sedikit.

    Wang hantaran disebut dimasukkan sekali sebagai mahar oleh sesetengah keluarga/pasangan yang berkahwin adalah untuk mengelakkan dari mengadakan perkara yang tidak wajib seperti wang hantaran. Apabila disebut ‘wang hantaran’, ia membebankan pihak lelaki dan menyusahkan prosedur berkahwin yang sebenarnya mudah sahaja menurut Islam.

    Walaubagaimana pun, ‘wang hantaran’ dimasukkan sekali sebagai mas kahwin tidak dikuat kuasakan secara umum bagi pernikahan di Kelantan. Ia bergantung kepada individu.

    Jika mereka menyebut kadar biasa yang ditetapkan jabatan agama sebagai mahar semasa akad, maka lazimnya ‘wang hantaran’ tetap diberikan oleh pihak lelaki.

    Kesan daripada ‘wang hantaran’ dimasukkan sekali sebagai mas kahwin ialah ibubapa tidak boleh menyentuhnya walau sedikit pun kerana ia adalah milik pengantin perempuan. Berbeza dengan sesetengah amalan masyarakat yang mengambil ‘wang hantaran’ untuk menampung perbelanjaan kenduri kahwin, membayar hutang dan lain-lain. Sedangkan ia adalah bercanggah dengan amalan Islam yang mana Islam menganjurkan agar keluarga menganjurkan majlis walimah menurut kemampuan sendiri tanpa ‘meminta’nya dari pihak lain untuk menanggungnya.

    Sekiranya pihak lelaki berbesar hati untuk memberi sedikit sumbangan kepada bakal mertuanya yang mungkin terdiri dari keluarga susah, maka ia dianggap sedekah. Sedekah lahir dari keikhlasan individu dan tidak boleh dibuat syarat sebagaimana masyarakat meletakkan syarat ‘wang hantaran’ sekian-sekian jumlahnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s