Tip Mengelak Dijangkiti H1N1

Penulis: Dr Zakuan Zainy Deris

Kegiatan Sosial di Bulan Ramadan

Amalan-amalan dalam bulan Ramadan sebenarnya lebih bercorak kepada pembinaan individu. Puasa, qiamullail dan bertadarus al Quran semuanya untuk pembentukan individu. Objektif akhir Ramadan dan puasa adalah seperti yang disebut di dalam al Quran iaitu untuk membentuk individu yang bertaqwa.

Walaupun demikian, bagi umat Islam di negara ini, kegiatan masyarakat dan sosial juga bertambah dengan tibanya bulan Ramadan. Bermula dengan ramai yang mendekatkan diri bersolat fardu secara berjemaah di masjid, mereka juga mengadakan amalan-amalan sunat secara berjamaah. Amalan-amalan seperti solat tarawih, iftar (berbuka), jamuan more dan bertadarus seringkali dibuat secara berjamaah. Di malam-malam terakhir Ramadan, menjadi kebiasaan bagi sesetengah masjid menganjurkan qiam secara berjamaah.

Program-program masyarakat yang lain juga bertambah dalam bulan Ramadan. Pertumbuhan pasar Ramadan dengan banyak serta promosi jualan murah di pasaraya-pasaraya akan meningkatkan percampuran dalam masyarakat. Terdapat juga kedai makan yang mendapat kunjugan ramai di waktu malam selepas tarawih. Sebelum era pandemik influenza, segala aktiviti dalam masyarakat adalah senang dan tidak mempunyai sekatan.

Wabak Selesema Pandemik Influenza

Dari sudut kemungkinan yang boleh berlaku, wabak selesema H1N1 yang menular negara kita dibimbangi akan bertambah teruk. Aktiviti sosial yang tidak dapat dikawal akan menambah kemungkinan penularan wabak ini, terutama apabila langkah-langkah pencegahan tidak diambil peduli.

Langkah-langkah pencegahan semasa berada dalam perhimpunan ramai adalah;

    • Seboleh-bolehnya elakkan dari menghadiri perhimpunan yang tidak perlu. Amalan sunat yang boleh dilakukan secara individu wajar dilakukan secara individu atau kelompok kecil di rumah. Amalan berbuka puasa secara berjamaah boleh ditukarkan kepada bentuk pemberian makanan atau tunai kepada golongan yang memerlukan.
    • Kanak-kanak di bawah 5 tahun serta orang tua lebih 65 tahun dan kumpulan yang berisiko wajar dielakkan ke tempat awam seperti pasar Ramadan atau pasaraya.
    • Sekiranya tidak dapat dielakkan, cuba jauhkan diri daripada orang lain yang bergejala selesema sekurang-kurangnya 1 meter
    • Bagi kumpulan yang berisiko, sekiranya mereka terpaksa ke tempat awam, mereka perlu memakai mask.
    • Amalkan kebersihan tangan dengan mencuci cara betul dan lebih kerap. Dalam hal ini banyak berwudu’ akan memberikan kesan yang baik. Banyak kajian menunjukkan basuh tangan dan menyedut air ke dalam rongga hidung boleh mengurangkan risiko selesema.
    • Pastikan pengudaraan dalam masjid dan tempat perhimpunan yang baik. Tempat tertutup dengan bilangan orang yang ramai akan memudahkan penularan selesema.
    • Nasihatkan orang bergejala selesema supaya tidak hadir ke tempat perhimpunan walaupun ke masjid sehingga mereka pulih. Dengan kehadiran mereka ini, dibimbangi akan menularkan selesema kepada orang lain pula.

Pengidap Selesema

Kita berdoa supaya tidak mendapat gejala selesema sepanjang melakukan ibadah dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Namun begitu, sebahagian dari umat Islam mungkin diuji dengan selesema pembunuh ini. Bagi yang mengidap gejala selesema yang ringan, mereka perlu mengambil langkah-langkah mengelakkan penyebaran penyakit ini kepada orang lain. Mereka tidak wajar menghadiri perhimpunan ramai termasuk ke masjid sehingga penyakit mereka pulih. Kecintaan mereka kepada amalan yang baik dalam bulan yang mulia ini boleh dilakukan secara individu.

Walaupun mereka mengerjakan amalan secara individu, niat dan iltizam mereka untuk melakukan amalan secara berjamaah itu adalah sangat baik. Moga-moga terus dibalas Allah dengan pahala yang sama atau lebih banyak dari orang lain yang berjamaah. Pengidap selesema tidak hadir dengan niat yang baik iaitu mengelakkan orang lain mendapat jangkitan yang sama seperti mereka. Dan mereka juga tidak mengganggu saudara seagama dengan gelaja selesema seperti batuk dan bersin dan saudara mereka itu boleh melakukan amalan-amalan dalam bulan yang mulia ini dengan sempurna.

Allah maha mengetahui betapa cintanya kita untuk melakukan ibadah dalam bulan yang mulia ini. Tetapi oleh kerana halangan-halangan seperti selesema ini menyebabkan kita tidak berupaya melakukan dengan paling sempurna. Kita mengharapkan Allah yang maha penyayang terus menurunkan rahmatnya walaupun amalan kita berkurangan dalam era pandemik influenza ini.

Bagi mengelakkan gejala selesema bertambah teruk, pesakit perlu mengambil langkah-langkah berikut

    • Perbanyakkan minum air dan makan buah-buahan terutama semasa bersahur sekiranya mereka ingin berpuasa.
    • Lewatkan bersahur dan awalkan berbuka. Ini merupakan sunnah yang perlu diamalkan kerana bukan sahaja puasa merupakan ibadah, makan juga merupakan ibadah.
    • Mengambil ubat-ubatan mengurangkan kesan selesema seperti ubat demam, batuk dan selesema. Bagi kumpulan yang berisiko, mereka perlu mengambil ubat antivirus.
    • Mereka perlu terus memerhati tanda-tanda AMARAN selesema seperti masalah pernafasan, batuk berdarah, sakit dada berterusan dan cirit-birit atau muntah yang kerap. Sekiranya ada masalah ini atau demam berterusan melebihi 3 hari, mereka perlu segera ke hospital.
    • Bagi pengidap selesema yang berpuasa, mereka perlu patuh kepada arahan doktor. Sekiranya doktor muslim menasihatkan mereka untuk berbuka kerana penyakit yang dialami, maka mereka perlu berbuka dan mengqadakan setelah sembuh nanti.

Doa dan Tawakkal

Setiap detik dalam bulan Ramadan yang kita rindui ini, lebih baik dari bulan selainnya. Satu malam al Qadr dalam bulan Ramadan ini lebih baik dari seribu bulan. Amalan yang baik dalam bulan ini akan digandakan Allah dengan berkali-kali ganda. Doa-doa juga baik untuk dipohon dalam bulan yang mulia ini. Moga-moga doa-doa ini tidak disia-siakan oleh Allah S.W.T.

Dalam kesempatan ini, kita perlu terus berdoa kepada Allah supaya wabak dan bencana influenza ini pulih sepenuhnya. Kita perlu patuh kepada arahan-arahan kesihatan dan kemudiannya kita bertawakkal kepada Allah. Dengan perkenan Allah, kita harapkan wabak ini akan segera berlalu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: