Aku Tinggalkan Bikini Demi Islam

Gadis itu dulunya seorang aktres yang cantik, model, pelatih fitness dan seorang aktivis hak asasi. Dia membesar dalam masyarakat Barat yang bebas bersosial, mendedahkan aurat dan anti Islam.

Hidayah Allah Maha Luas menyapa hati yang sering gundah gelisah ini. Hati menyambut cinta Allah yang bernama Islam. Lantas konflik jiwa yang sering menjadi teman selama ini mula menyisih dari kehidupannya.

Betapa hebatnya benih bermutu bernama Hidayah@aqidah Islam itu sehingga ia mampu menyerlahkan perwatakan berbeza seorang gadis Barat bernama Sara Bokker.

Sara meninggalkan dunia yang gelap sebelum ini menuju cahaya yang indah. Sara mula mengenal penciptanya, objektif manusia dihidupkan dan ke mana akhirnya dia akan kembali. Semua itu mengubah dirinya yang dulu begitu aib mendedahkan batang tubuhnya kepada umum, sekarang dia memilih hijab para mukminah di zaman Nabi s.a.w yakni purdah. Peningkatan amalan yang sangat membanggakan dan mendapat restu serta sokongan suami tercinta.

Sara tidak berhenti setakat dirinya menikmati hidup yang semakin ceria, bahkan turut memperjuangkan Islam, menyedarkan wanita lain agar menutup aurat, memerangi dakyah musuh-musuh Islam dalam hal etika pakaian Islam, perwatakan sebenar gadis Islam yang perlu dipelihara secara konsisten agar tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak agar mereka hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Beliau sekarang adalah Pengarah Komunikasi di The March for Justice, salah seorang pengasas Global Sisters Network dan Produser Shock and Awe Gallery. Pengalaman beliau telah dicatat di http://www.marchforjustice.com yang telah diterjemahkan oleh Zain A Ghani. Saya petik terjemahan yang disiarkan akhbar sisipan WanitaKini dalam Siasah bilangan 0162, 16-22 Ogos 2009/ 25 Syaaban – 1 Ramadan 1430H, halaman 18. Saya mengedit terjemahan tersebut setakat yang perlu.

Mungkin ada yang pernah membaca kisah Sara Bokker sebelum ini. Web-web Indonesia sudah lama menyiarkan terjemahan kisah yang menginsafkan ini.

Ummu Abbas
1.08pm
14 Ramadan 1430H
*********************
Aku tinggalkan bikini demi Islam

Sebagai anak Amerika yang lahir di kota besar Amerika Syarikat, aku membesar seperti gadis-gadis lain yang terbiasa dengan kehidupan glamour kota besar. Kemudian aku berpindah ke Florida, di pantai Selatan Miami, sebuah tempat popular untuk mencari kehidupan glamour.

Tentulah ketika itu aku juga melakukan apa-apa yang sering dilakukan oleh gadis-gadis Barat. Aku hanya prihatin pada penampilan fizikal dan daya tarikanku serta mengukur nilai reputasiku berdasarkan banyaknya perhatian orang lain padaku.

Aku berolah raga secara rutin hingga menjadi pelatih peribadi di sebuah perumahan mewah di pinggir laut. Aku menjadi pengunjung setia pantai yang “suka mempamerkan tubuh” serta berjaya mencapai taraf hidup yang penuh bergaya dan ada kelas.

Tahun demi tahun berlalu, kufahami bahawa ukuran nilai kepuasan diri dan kebahagiaanku terletak pada semakin tinggi aku menggunakan daya tarik kewanitaanku. Saat itu, aku benar-benar menjadi hamba fesyen-fesyen terkini. Sesungguhnya aku telah ‘menjadi tawanan’ kepada kehendakku sendiri.

Di celah-celah kekosongan hidup antara kepuasan diri dan gaya hidup yang makin melebar, maka aku mencari perlindungan dengan sebuah pelarian. Aku mengambil arak dan pesta-pesta, mengikuti meditasi, menjadi aktivis, belajar kepercayaan-kepercayaan lain dengan tujuan agar di celah-celah kekosongan itu terisi dengan pelbagai aktiviti.

Namun, akhirnya aku sedar bahawa semua itu bagaikan ubat pelali sahaja, yang mana sakitnya kembali berulang dibandingkan pengubatan yang benar-benar berkesan.
Kemudian berlaku peristiwa 11 September 2001. Sebagai saksi atas serangan berterusan terhadap Islam, pada nilai-nilai dan budaya Islam serta wujudnya pengisytiharan negatif mengenai “Perang Salib Baru”, aku terpanggil untuk mula memerhati satu ajaran bernama Islam.

Ketika itu aku mengaitkan semua yang berbau Islam dengan wanita-wanita yang berbaju seperti “khemah”, tukang pukul isteri, harem dan dunia pengganas.

Sebagai aktivis pembebasan wanita dan seorang yang mahukan dunia yang lebih baik untuk semua, jalanku bertembung dengan jalan aktivis lainnya yang telah memimpin reformasi dan keadilan untuk semua tanpa pilih bulu.

Setelah itu, aku turut bergabung di dalam kempen sahabat-sahabat baruku yang ketika itu, salah satunya adalah reformasi pilihanraya dan hak-hak awam.

Sekarang kegiatan harianku sangat berbeza. Daripada mendukung keadilan secara “berpilih”, aku belajar bahawa yang ideal seperti keadilan, kebebasan dan penghargaan benar-benar bermakna dan bersifat universal.

Untuk pertama kalinya, aku insaf, sesungguhnya semua orang dicipta Allah adalah setaraf. Namun yang paling penting, aku belajar bahawa hanya perlu keyakinan untuk melihat dunia yang satu dan untuk melihat penyatuan dan ciptaan.

Bertemu al-Quran

Suatu hari, aku membelek sebuah buku yang dianggap negatif di Barat, al-Quran yang suci. Baru tadi aku tertarik pada gaya dan pendekatan al-Quran. Kemudian minatku tambah mendalam pada pandangannya tentang kewujudan makhluk, kehidupan, penciptaan dan hubungan antara Pencipta dan ciptaanNya.
Aku rasa al-Quran dapat menjadi sumber pembuka wawasan dan pengetahuan untuk hati dan jiwa tanpa perlu penterjemah atau paderi.

Akhirnya aku sampai kepada masa yang sangat penting yang mengubah kehidupanku seterusnya. Pemahaman aktivis yang baru kurasakan untuk kepuasan diri baru-baru ini, jelas tidak bermakna apa-apa dibandingkan dengan keyakinan yang disebut Islam, yang membawa aku hidup damai sebagai muslim yang bermanfaat.

Bahagia dengan Hijab

Aku membeli sehelai gaun panjang yang cantik dan penutup kepala, mirip gaya pakaian muslimah. Dengannya aku berjalan di jalan dan kawasan tetangga yang sama, yang mana beberapa hari sebelumnya aku masih mengenakan seluar pendek, bikini atau gaya pakaian Barat yang berkelas.

Walaupun masyarakat, wajah dan gedung-gedung semuanya tetap sama, ada satu perkara yang sangat berbeza, kerana untuk pertama kalinya, aku berasa suatu kedamaian yang sangat berbeza berbanding yang dahulu.

Aku merasa seolah-olah semua rantai telah terputus dan akhirnya aku benar-benar merasa bebas. Sangat menyenangkan, kadang-kadang sedikit lucu melihat wajah hairan sesetengah orang terhadap penampilan baruku.

Tiba-tiba sahaja beban itu terangkat dari bahuku. Aku tidak lagi menghabiskan masaku untuk berbelanja, membeli kosmetik, ke salon dan melatih diri untuk penampilanku. Akhirnya aku bebas.

Dari semua tempat itu, aku menemui Islam tepat di pusat dari tempat yang disebut orang sebagai “pusat skandal di bumi”, yang membuatkan semua itu menjadikannya penuh cinta dan istimewa.

Walaupun bahagia dengan hijab, aku menjadi ingin tahu mengenai niqab (purdah/cadar) kerana melihat ramai muslimah yang mengenakannya. Aku bertanya suamiku yang juga muslim, yang menikah denganku setelah aku menjadi muslimah, apakah aku boleh mengenakan niqab atau cukup dengan hijabku sekarang yang sudah kukenakan?

Dengan selamba suamiku mengatakan dia percaya bahawa hijab adalah satu kewajiban, namun tidak dengan niqab. Ketika itu, hijabku terdiri dari penutup kepala yang menutup seluruh rambutku kecuali wajah dan gaun hitam panjang yang longgar. Ia disebut abaya(jubah) yang menutupi tubuh dari leher hingga kaki.

Memakai purdah

Satu setengah tahun berlalu, aku memberitahu suamiku bahawa aku mahu memakai purdah. Alasanku kali ini ialah aku merasa lebih “menyenangkan” Allah Yang Maha Mencipta, dan akan meningkatkan rasa damai dalam diri bila berpakaian lebih tertutup.

Dia menyokong keputusanku dan membawaku membeli “isdaal”, sejenis gaun hitam longgar yang menutup dari kepala hingga kaki dan niqab yang menutup seluruh kepalaku termasuk wajah kecuali mata.

Cabaran Hijab dan Niqab

Tidak lama kemudian, media mula menyiarkan berita tentang ahli politik, pembesar gereja, pendokong kebebasan, aktivis Hak Asasi Manusia (HAM) palsu yang berkali-kali mengkritik pedas tentang hijab, apatah lagi niqab. Bagi orang lain ia kelihatan sangat kejam terhadap wanita. Juga dianggap gangguan dalam pergaulan dan baru-baru ini seorang pegawai Mesir mengatakan bahawa perkara itu sebagai “tanda-tanda kemunduran”.

Aku melihat kenyataan itu sangat munafik . Beberapa pemerintah dan kumpulan pembela HAM palsu yang tergesa-gesa cuba membela hak wanita, sedangkan pemerintah beberapa negara lain memaksa penggunaan peraturan berpakaian tertentu bagi wanita.

Meskipun begitu “Pejuang Kebebasan” memandang dari posisi lain ketika wanita kehilangan hak-haknya untuk berkerja dan belajar hanya kerana memilih menggunakan haknya mengenakan hijab atau niqab.

Namun sekarang, berlaku banyak halangan terhadap wanita yang mengenakan hijab atau niqab untuk keluar berkerja dan mendapatkan pendidikan di sekolah dan universiti. Ia bukan hanya di bawah rejim kuku besi seperti di Tunisia, Morocco dan Mesir tetapi juga di negara-negara demokrasi seperti Perancis, Belanda dan Inggeris.

Memperjuangkan Hak Wanita

Ketika ini, aku masih seorang aktivis wanita, tetapi kali ini sebagai aktivis muslimah, yang menyeru para muslimah untuk mengambil tanggungjawab mereka memberi sokongan setakat mampu kepada suami agar menjadi muslim yang baik, membesarkan anak-anak mereka agar menjadi muslim yang jujur dan bertanggungjawab, sehingga mungkin akan menjadi cahaya kepada kemanusiaan.

Untuk menyebarkan kebaikan dan menjauhkan kejahatan, untuk berbincang tentang kebenaran dan kebajikan serta melawan semua kemungkaran, aku berasa patut memperjuangkan hak-hak kita untuk mengenakan niqan atau hijab demi menyenangkan Yang Maha Mencipta, apapun yang kita pilih.

Penting juga berkongsi pengalaman memakai niqab atau hijab kepada kawan wanita yang mungkin belum pernah berpeluang untuk memahami kenapa perlunya mengenakan niqab atau hijab bagi kita dan rasional kita, sehingga dengan penuh cinta kita memeluknya.

Sebahagian besar wanita yang kuketahui mengenakan niqab adalah muallaf Barat. Sebahagian dari mereka belum menikah. Yang lain mengenakan niqab tanpa sokongan penuh dari keluarga mahupun masyarakat sekelilingnya.

Apa yang kita perlu fahami ialah mengenakan purdah adalah pilihan peribadi dan tidak seorang pun boleh menyerah atas pilihan peribadinya sendiri.

Mahu atau tidak, kaum wanita dihujani dengan gaya “berpakaian minima sehingga tanpa pakaian langsung” secara virtual dalam setiap bentuk komunikasi di manapun di dunia ini.

Sebagai seorang bekas non-muslim, aku menuntut hak-hak wanita untuk sama-sama mengetahui mengenai hijab, kebaikan-kebaikannya, kedamaian dan kebahagiaan yang dibawanya ke dalam kehidupan wanita, seperti yang telah terjadi padaku.

Dulu Bikini, Sekarang Niqabi

sara_bokker_3

Dulu, bikini merupakan lambang kebebasanku, yang hakikatnya membebaskan aku dari aqidahku dan sebagai manusia normal.

Tiada apa-apa yang lebih menggembirakan aku kerana menanggalkan bikiniku di Pantai Selatan dan gaya hidup Barat yang gemerlapan itu untuk hidup damai dengan Penciptaku, serta menikmati hidup di antara teman-teman sesame manusia sebagai peribadi yang layak menerimanya. Hal itu merupakan alasanku untuk memilih memakai niqab dan bersedia mati membela hakku yang tidak mungkin dicabut untuk memakainya. (Allahuakbar!-ummuabbas)

Hari ini, niqab adalah symbol baru pembebasan wanita untuk mengenali siapa dirinya, apa tujuannya dan bagaimana bentuk hubungan yang dipilihnya agar dapat bersama Penciptanya.

Kepada wanita yang bersetuju dengan anggapan salah mengenai hijab, aku boleh berkata: Engkau tidak mengetahui apa yang telah dilaluimu adalah sesuatu yang merugikan dirimu sendiri…

Kepada “penguasa peradaban” yang rasuah dan sentiasa di dalam keadaan rugi, juga kepada para aktivis palsu, aku mahu berkata: Teruskanlah……..

Sara Bokker
USA

18 thoughts on “Aku Tinggalkan Bikini Demi Islam

Add yours

  1. ya Allah..
    nape sejak dok menjak ni Allah izinkan sy terserempak dgn entri2 yg berkaitan niqab………………….

  2. Salam..Kak Nur. Yuni ingin tahu lebih lanjut tentang purdah..Lagi satu ada rakan yang bertanya, apakah hukum sekiranya perempuan tersebut pernah memakai purdah tetapi dia tidak selepas itu.
    Terima Kasih..

    P/s: saya suka baca entry kak nur

    Wsalam. Apa yang Yuni ingin tahu berkenaan purdah? Maksud Kak Nur dari sudut mana? Secara umumnya hukumnya harus. Cuma secara peribadi, bagi Kak Nur kalau dapat istiqamah dengan perkara sunnah itu lebih baik. Wallahua’lam.

    P/s: Alhamdulillah, respon begini dapat memotivasi Kak Nur untuk terus menulis. Jazakumullah.


  3. Terima kasih Kak Nur..:-)

    Yuni baru terbaca entry Kak Nur tentang purdah yg sblm ini..

    Yuni dah faham..walaupun tidak secara menyeluruh, tapi yang Yuni ingin ada di situ..

    Wassalam

  4. Saya ada bincang2 pasal niqab ni dengan suami, dan suami ada kata, tak lama lagi niqab ni akan jadi trend, kerana sekarang ni pun dah makin ramai yang memakainya, hasil pemerhatian dia, kat shopping kompleks sekarang ni pun dah ramai yang keluar berniqab. dan dah banyak kali dia terserempak dengan wanita berniqab(dia la byk tengok berbanding saya yang banyak berada dirumah).
    Saya bersetuju dengan pendapat suami, kerana hasil pemerhatian saya di ruang cyber ni, dah banyak blog yang penulisnya berniqab, satu perkembangan yang bagus.
    Cuma suami ada juga berkata, jangan sampai geng-geng bohsia pun pakai niqab dah ler, nanti hilang nilai niqab tu kalau si pemakai buat maksiat..

    p/s: bila agaknya saya mampu mula memakai niqab?..huhuhu

    Hmm…perkembangan menarik. Nanti K Nur komen lain kali.

  5. subhanallah..saya sebagai wanita muslimah dgn membc pengalaman seperti itu jd sgt terharu dan tersentuh..jd termotivasi..

    Iya cucu, termotivasi ke arah mentaati Allah adalah satu nikmat yang sungguh berharga. Moga diberi kekuatan oleh Allah untuk menjadi hamba yang lebih baik disisiNya. Amin.


  6. ALHAMDULILLAH,smakin rmai orang tertarik dengan islam.. saya bukan seorang yang berpurdah, tapi saya ingin sekali berpurdah… saya pernah memakai purdah sekali,tapi dilihat ibu saya… ibu saya sangat marah jika saya memakai purdah…

    Shahira, ibu saya juga marah saya pakai purdah dulu. Namun saya usahakan memperelokkan akhlak setakat termampu. Kalau mahu bercerita hal ini, panjang lebar juga. Ringkasnya, alhamdulillah sampai sekarang, keluarga boleh meraikan kemahuan saya ini. Allah sebaik-baik penolong.


  7. MASYAALLAH….knp ya kbanyakan org tua tdak suka skali klu melihat anak nya berpurdah???apa yg slh??ana prnah mengalami…hti ini sdih sgt2 smpai2 mama memohon mengeluarkn airmata lg,menyuruh sy jgn berniqab…tlg nasihat nya…

  8. Salam, tertarik dengan komen Murnihati…benar, saya pun melihat makin ramai muslimah yang berniqah dan saya juga jujurnya mempunyai perasaan yang sama namun masih banyak perlu saya tahu sebelum saya bertindak. Takut nanti ku sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari. InsyaAllah, saya yakin, peratusan makin ramai yang berniqab ini saya dapat rasakan sesuatu yang positif kerana saya dapat rasakan yang niqob/purdah ini bukan senang utk disarung (ini saya sendiri rasa) jika tidak kita tahu tanggungjawab atau pengertian berniqob yang sebenar. Sungguh ianya satu tanggungjawab dan di saat kita memakaikan satu lagi tanggungjawab terhadap agama sedang kita galas. Ia berat tapi tidak membebankan. Saya juga mengharapkan mereka di luar sana yang berniqoh, berniqob dengan ilmu dan bukan sekadar suka-suka.

    Sama-samalah kita berdoa semoga mereka yang berniqob itu (konteks di Malaysia) berniqob kerana sudah tahu tentangnya dan bukan sekadar ikut-ikutan. Amin =)

    Buat kak nor, Alhamdulillah, blog kak nor sering saya jadikan rujukan untuk tahu lebih dalam tentang niqob selain bertanya kepada mereka2 yang berniqob =)

    Jazakillah khair

  9. Asslm kak … saya suka semua perkongsian yang akak tulis kat sini.. sampai tak taw nak komen apa… tapi saya tetap mngikuti prkmbangan akak sentiasa… Moga Allah mmprmudahkn sgala urusan akk…

  10. oh ya nk tanya,, macamana dgn soalan yang pernah saya bg kt akk? di mana akk kata akn akk ushakn tuk jwapan itu… ingt lg x?

  11. saya hantar email tu pada 30 dec 2011… mengenai hukum mnjadi tukang jahit dlm ruangan hari pertama memakai purdah…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: