Hujan mencurah kembali. Musim tengkujuh masih menemani. Harga makanan laut pula meningkat di musim begini. Sejuk-sejuk begini, ramai yang suka menjengah dapur mencari apa yang boleh dimakan. Apa yang harus dilakukan jika tiba-tiba anda dapati tiada lauk di dapur anda? Saya ingin berkongsi idea di sini sambil rilekkan minda dari berfikir hal-hal politik dan isu berat yang lain. Jika anda seorang yang sukakan budu dan budu sentiasa ada di dapur, kisah di bawah sangat bermanfaat untuk anda, insya Allah.
Hai..hai..hai… dari kisah-kisah politik Kelantan yang hangat, kita bersantai-santai pula dengan resepi Kelantan yang enak.
Kalau disebut telur ayam, maka kita faham ayam yang bertelur. Jika kita sebut telur itik, maka itiklah yang bertelur. Melihat pada tajuk entry, sukacita dimaklumkan ini bukan kisah pelik budu bertelur ye… Selamat membaca!
**********************
Waktu itu kami masih bersekolah menengah. Lazimnya di dapur rumah kami ada lauk ala kadar. Itu pun setiap orang kena bajet untuk makan sedikit seorang. Al maklum pendapatan sederhana Abah sebagai guru sekolah rendah itulah yang menyara kami 9 adik-beradik. Alhamdulillah, ianya tetap satu nikmat yang tidak terhitung dibandingkan dengan ramai lagi orang yang lebih susah.
Antara menu yang wajib ada di atas meja ialah budu. Abah saya memang tidak ‘miss’ makan nasi dengan budu. Pasangan budu pula biasanya ikan bakar tawar, durian atau tempoyak, cili padi dan diperah asam limau nipis, kemudian dicicah dengan ulam-ulaman. Budu juga menjadi pasangan wajib kepada Nasi Kerabu. Pada waktu itu, budu tidak pernah dijadikan resepi untuk diadunkan dengan makanan lain. Selain ikan budu, sampai sekarang pun, saya tidak tahu jika budu digunakan untuk menjadi perisa kepada adunan makanan yang lain. Keluarga kami semuanya menyukai budu tetapi tidaklah sampai wajib ada budu macam Abah setiap kali mahu makan nasi.

Suatu hari adik lelaki saya, satu-satunya adik lelaki mahu makan nasi. Adik saya jenis mudah berkira bila mahu makan. Bila didapati tiada lauk atau lauk kurang menyelerakan, dia ambil telur dan goreng sendiri. Biasanya dia goreng telur mata kerbau sahaja. Kemudian dimakan dengan kicap. Namun hari itu, dia terfikir sesuatu. Dia ambil telur dan dicampur dengan budu, kemudian dikacaunya. Jadilah telur dadar budu.
“Nor, marilah rasa, sedap,” dia tidak membahasakan diri saya Kak Nor kerana kami sebaya dan menjadi teman sepermainan semasa kecil. Adik saya beza umur lebih kurang 2 tahun dari saya.
Selepas menggorengnya, dijemputnya saya untuk merasanya. Telur dadar budu yang masih panas dimakan bersama nasi yang masih panas. Hmm…memang sedap. Tidak perlu lagi dibubuh garam kerana budu memang sedia masin. Itulah asal usul resepi telur dadar budu.
Selepas berkahwin, saya pernah membuatnya untuk dimakan bersama suami. Suami juga menyukainya. Anak-anak turut menyukainya. Boleh juga dicampur dengan bawang besar dan cili hijau untuk kelihatan lebih menarik. Bau semasa menggoreng sahaja sudah menyelerakan. Abbas, anak sulung saya inovasikan lagi telur dadar budu dengan kicap pula. Budu diganti kicap, maka jadilah Telur Dadar Kicap.
Telur budu bukan sahaja sedap dimakan, bahkan berkhasiat kerana selain khasiat telur yang sedia dimaklumi, budu juga telah dikaji secara saintifik dan terbukti ia mengandungi zat gizi yang tinggi. Untuk mengetahuinya lebih lanjut, google sahaja perkataan budu, akan keluar artikel berkenaan khasiat budu.
Menu ini juga sesuai diperkenalkan di restoran-restoran masakan kampung ala Kelantan.
Selamat mencuba resepi ini kerana ia menepati kaedah Islam yang menggalakkan manusia mengambil yang halal lagi toyyib (berkhasiat). Ia mudah, ringkas dan menjimatkan masa.
Ummu Abbas
9.35am
16 Zulhijjah 1430H
Assalamualaikum k.nor.
Wah… sekali-sekala tukar tune pun ok jugak.
Santai dan rilek je.
Tambah-tambah kalau cerita bab makan, hehe.
Tapi hari ni kiranya macam chik belajar menu barulah.
Kat rumah ni yg makan budu setiap kali makan ialah adik ipar, suami pun sejak duduk di rumah ummi ni juga dah makan budu setiap hari.
Mereka makan dengan ulam-ulaman je.
Mungkin chik boleh cuba resepi k.nor ni. Mudah pulak tu.
Assalamualaikum semua,
Wah..! bestnya. Akak pun suka budu tapi jarang beli. Akak ada jiran dari terengganu yang suka bagi akak budu.
Tapi macam mana tomyom makan dengan telur goreng tu.. Masukkan telur dalam tomyam ke?
Wassalam
oo… saya ingat telur budu k.Nor tu telur dadar yang dimasukkan ‘ikan budu’ (x tahu la orang luar kelate panggil ikan gapo. Yang pastinya ikan tu masin.)
Kalau family saya, ‘ikan budu’ yang dibuang tulang tu , di masukkan dalam telur dadar- di panggil telur budu.
hehe..bolehlah ana try ye ustazah 😉