2010/01/06 at 3:31am
Salam buat Kak Nur. Semoga dilindungi Allah sentiasa.
Kebelakangan ini saya sering mengidapi penyakit suka kencing terutama selepas saya mandi atau selepas berwuduk. Permasalahan ini terlalu mengganggu hidup saya terutama ketika saya sedang bersolat. Kadang-kadang kencing ini keluar secara sendiri tanpa ada rasa nak membuangnya. Kadang-kadang saya jadi bosan dibuatnya. Apakah ini dugaan dari Allah S.W.T Apa yang harus saya buat. Bantulah saya Kak Nur kerana saya ingin sekali menjadi muslimah sejati.
Lagi satu sahkah sembahyang saya kerana apabila saya bangun dari sujud ada semacam angin yang keluar dari faraj. Ianya terjadi mungkin disebabkan anggota faraj terbuka ketika saya melakukan sujud. Ianya bukan datang dari perut seperti kentut. Saya merasa was-was dengan perkara ini. Saya harap K.Nur dapat membantu saya menyelesaikan masalah2 saya ni.
Faridah
******************
Assalamualaikum,
Terima kasih kepada Faridah kerana bertanya. Mungkin ramai lagi yang akan mendapat manfaat daripada persoalan ini.
Terima kasih juga kerana menulis dengan ejaan yang lebih sedap dibaca walaupun masih ada bahasa pasar yang digunakan. Harapnya semua pembaca yang ingin bertanya menggunakan Bahasa Melayu yang betul ejaan dan tatabahasanya.
Rasulullah s.a.w bersabda,
إِنَّ اللهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً . فَتَتَدَاوَوْا وَلاَتَتَدَاوَوْا بِمُحَرَّمٍ .
Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit ada ubatnya. Maka berubatlah kalian dan janganlah berubat dengan yang haram.
Direkodkan oleh Abu Dawud.
Berdasarkan hadis di atas, setiap insan digalakkan berubat jika kita mengidap satu-satu penyakit. Menurut pengetahuan Kak Nur, situasi yang Faridah alami merupakan sebahagian daripada penyakit yang harus diubati. Kemungkinan Faridah telah terkena jangkitan kuman di saluran kencing. Seeloknya Faridah berjumpa doktor untuk mendapat rawatan lanjut.
Berhubung cara menunaikan ibadah, dalam keadaan penyakit kerap kencing tersebut belum pulih, maka hendaklah menunaikan solat dengan mengambil hukum istihadah.
Caranya ialah bersihkan kemaluan dari najis dan pakai tuala wanita atau tampon untuk menahan lelehan air kencing yang akan keluar secara sendiri. Ambil wuduk dan terus tunaikan solat tanpa bertangguh. Jika air kencing keluar semasa sedang menunaikan solat, maka ia dimaafkan sama seperti wanita istihadah yang darahnya sentiasa keluar.
Urusan membersihkan diri dan mengambil wuduk hendaklah dilakukan setelah masuk waktu solat. Jika dilakukan sebelum masuk waktu solat, kemudian air kencing keluar sebelum mengangkat takbiratul ihram, maka wuduk dianggap batal. Perbuatan tersebut perlu diulangi semula. Tuala wanita atau tampon perlu ditukar kerana telah terkena najis.
Mengenai situasi kedua yakni angin yang keluar dari faraj, secara normal gadis yang belum pernah melahirkan tidak mengalami situasi ini. Jika was-was, maka tinggalkan perkara was-was dan berpegang kepada perkara yang diyakini sahaja. Was-was adalah penyakit hasutan iblis. Justeru itulah kita dianjurkan membaca Surah al-Nas untuk mengelakkan diri tertimpa penyakit was-was.
Kaedah fikah menyatakan,
اَلْيَقِيْنُ لاَ يُزَالُ بِالشَّكِّ
Keyakinan tidak dapat dihilangkan oleh syak wasangka.
Maksud dari kaedah ini: Sesuatu perkara yang telah diyakini tidak dapat dihilangkan dengan perkara baru datang yang diragui atau was-was. Namun perkara itu boleh dihilangkan sekiranya seseorang itu yakin dengan berlakunya perkara kedua. Kaedah ini banyak digunakan dalam permasalahan ibadah.
Aplikasi kepada kaedah ini ialah dalam kes yang dirujuk, keadaan Faridah semasa hendak solat ialah diyakini ada wuduk. Dipertengahan solat, Faridah was-was keluarnya angin. Jadi perkara yang diragui itu yakni keluar angin yang membatalkan solat harus diabaikan. Faridah perlu berpegang kepada keadaan asal yang diyakini yakni mempunyai wuduk semasa hendak memulakan solat.
Contoh lain aplikasi kepada kaedah ini ialah; Adam telah mengambil wuduk dengan sempurna. Kemudian Adam sibuk dengan urusan kerjanya. Tiba waktu solat, Adam ingin menunaikan solat tetapi Adam terlupa sama ada dia masih berwuduk atau tidak. Dalam situasi begini, Adam harus berpegang kepada keadaan asalnya yang telah berwuduk. Adam boleh menunaikan solat tanpa berwuduk semula. Jika Adam mahu berwuduk semula, ia menjadi sunat sahaja. Kemungkinan Adam terbatal wuduknya akibat keluar angin dianggap sebagai perkara yang diragui yang tidak dapat menghilangkan keadaan asalnya yang diyakini iaitu telah berwuduk.
Wanita yang pernah melahirkan jika mengalami masalah keluar angin dari faraj, maka wuduknya dianggap batal. Solat juga terbatal dan perlu diulangi.
Wallahua’lam.
Ummu Abbas
1 Safar 1431H
9.00pm






Tinggalkan komen