Adakah Allah tidak mampu menghalang perkara yg dibenciNya daripada berlaku?

Assalamualaikum Ummu,  

 
Saya tertarik dengan perkata ummu” perkara yang dibenci Allah”.  Jadi saya tanya sikit.  

    

1. Bagaimanakah perkara-perkara itu boleh berlaku atau terjadi dlm alam ini sedangkan Allah benci kepada perkara tersebut.   Adakah Allah tidak mampu menghalang perkara yg dibenciNya daripada berlaku?  

    

Harap Ummu dapat memberi penjelasan kerana saya dalam kekeliruan.  

    

    

Abdul Karim  

   

  

##################  

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ

 

Ayat 1 dan 2 surah al-Mulk 67 menjelaskan,  

 تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ  

[1]
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;
  

  

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ 

[2]
Dia lah yang telah menentukan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).
 

  

   

************  

Allah telah menciptakan malaikat sebagai makhluk yang sentiasa mentaatiNya, bertasbih dan memujiNya. Malaikat juga sekali-kali tidak pandai menderhaka kepada Allah swt kerana sememangnya malaikat tidak mempunyai nafsu yang cenderung kepada perkara-perkara jahat.  

Manakala Allah ciptakan iblis yang sentiasa menderhaka kepada Allah. Namun iblis menderhaka bukan kerana Allah yang tentukan demikian. Sebaliknya ia adalah pilihan iblis itu sendiri. Dek sifat sombong dan takabburnya, iblis terusan tidak mahu mematuhi perintah Allah agar sujud kepada Adam a.s.  

   

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلاَئِكَةِ اسْجُدُواْ لآدَمَ فَسَجَدُواْ إِلاَّ إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ

Dan (ingatlah) ketika kami berkata kepada malaikat, “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan jadilah ia dari golongan yang kafir.  

Surah al-Baqarah 2: 35  

   

Sejak perisitiwa itu, iblis mengisytiharkan ‘perang’ kepada Adam dan semua keturunan manusia.   

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.  

 Alang-alang ditakdirkan masuk neraka, biar puas hati bermaksiat kepada Allah.  

Lalu iblis memohon kepada Allah agar ajalnya ditangguhkan. Maka Allah beri peluang kepada iblis untuk melaksanakan kejahatannya di muka bumi sehingga ke hari kiamat.  

قَالَ فَأَنظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ

[14]
Iblis berkata, “Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”.
  

   قَالَ إِنَّكَ مِنَ المُنظَرِينَ

[15]
Allah berkata, “Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)”.
  

   قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

[16]
Iblis berkata, “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari mengikut) jalanMu yang lurus”.
  

   ثُمَّ لآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَآئِلِهِمْ وَلاَ تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ

[17]
“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau akan dapati kebanyakan mereka tidak bersyukur”.
  

   قَالَ اخْرُجْ مِنْهَا مَذْؤُومًا مَّدْحُورًا لَّمَن تَبِعَكَ مِنْهُمْ لأَمْلأنَّ جَهَنَّمَ مِنكُمْ أَجْمَعِينَ

[18]
Allah berkata, “Keluarlah engkau dari syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya”.
  

Surah al-A’raaf 7: 14-18  

   

Allah sudah miliki makhluk yang 100% mentaatinya dan Allah sudah miliki makhluk yang 100% menderhaka kepadaNya.   Allah ciptakan jin dan manusia yang mana tabiat jin dan manusia itu boleh memilih sama ada menjadi seperti malaikat atau iblis.  Apabila manusia memilih mentaatiNya, jadilah manusia itu lebih mulia dari para malaikat, disebabkan ketaatan mereka adalah pilihan mereka sendiri, bukannya kerana Allah menentukan demikian. Sebaliknya, jika manusia memilih menuruti iblis, jadilah manusia itu lebih jahat dari iblis. Sejahat-jahat iblis, tidak pernah iblis mengaku ia adalah tuhan. Sejahat-jahat manusia, Firaun tergamak mengaku dia adalah tuhan. Subhanallah dari apa yang mereka syirikkan.  

فَكَذَّبَ وَعَصَى

[21]  

Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah).
  

ثُمَّ أَدْبَرَ يَسْعَى   

[22]
Kemudian ia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa).
  

   فَحَشَرَ فَنَادَى

[23]
Lalu ia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru, –
  

   فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَى

[24]
Dengan berkata, “Akulah tuhan kamu, yang tertinggi”.
  

   فَأَخَذَهُ اللَّهُ نَكَالَ الْآخِرَةِ وَالْأُولَى

[25]
Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya.
  

   إِنَّ فِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لِّمَن يَخْشَى

[26]
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya).
  

Surah al-Naa’zi’aat 79:21-26  

   

Sumber: http://th01.deviantart.com/

   

Allah yang Maha Bijaksana telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Kemudian Allah alirkan fitrah manusia yang sangat berbeza dengan fitrah malaikat dan juga iblis. Allah berikan kemahuan, usaha dan upaya kepada manusia untuk melakukan sesuatu sama ada baik atau jahat. Jadi manusia bebas memilih cara hidup masing-masing dan merekalah yang menentukan natijah hidup mereka di akhirat dengan amalan yang diusahakan di dunia.  

Allah berkata dalam surah al-Syams 91: 8-10,  

 

   فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

[8]
Maka Dia ilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.
  

  قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا

[9]
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
  

  وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا 

[10]
Dan sesungguhnya binasalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
  

   

Jadi jelas di sini bahawa tujuan Allah mencipta perkara yang halal (yang disukainya) dan perkara yang haram (yakni yang dibenciNya) adalah untuk menguji manusia, siapakah antara mereka yang terbaik amalannya. Allah mahu lihat sejauh mana setiap manusia berusaha mentaatiNya atau menginkari perintahNya. Inilah yang dimaksudkan oleh ayat 2 Surah al-Mulk di atas.  

Buat baik, dibalas baik.
Buat jahat, dibalas jahat.  

Setiap makhluk, Allah berikan keistimewaan mempunyai sistem pertahanan diri; Ular mempunyai bisa untuk dipatuk pada musuh, kerbau mempunyai tanduk, harimau mempunyai kuku dan taring yang tajam, buaya mempunyai ekor yang kuat untuk dilibaskan dan lain-lain.  

Justeru apabila iblis mengisytihar ‘perang’ kepada manusia, adakah manusia tidak mempunyai sistem pertahanan diri dari musuh yang direjam dan dilaknat Allah tersebut?  

Allah Maha Penyayang. Bukan sekadar fitrah mahu perkara baik dan perkara jahat dibekalkan dalam diri manusia, bahkan manusia dibekalkan dengan sesuatu yang luar biasa yang tiada pada makhluk lain yakni akal. Akal merupakan tentera bagi hati atau ruh manusia untuk memilih baik atau jahat.  

Meskipun memiliki akal yang hebat, namun sifat akal itu sangat terbatas untuk mengetahui perkara-perkara ghaib dan pelbagai ilmu lain. Justeru Allah yang Maha Pengasih mengutuskan para rasul untuk memberitahu hakikat kejadian manusia dan tujuan mereka dihidupkan.  

Jika setiap barang buatan manusia yang hebat pun ada buku manualnya sebagai panduan menggunakannya, apatah lagi barang ciptaan Allah yakni manusia, juga ada ‘buku manual’nya sebagai rujukan dan panduan manusia ‘mengguna diri’ mereka agar tidak rosak dan boleh bertahan lama. ‘Buku manual’ terakhir manusia ialah Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.  

Selain akal, manusia dikurniakan ruh dan nafsu syahwat. Manusia tidak mengetahui hakikat kejadian mereka kecuali setelah diberitahu oleh Allah swt melalui rasul-rasul.  

      

Apabila manusia mengenal pasti tujuan mereka dihidupkan, maka tidak akan timbul lagi persoalan adakah Allah mampu atau tidak untuk menghalang setiap hambaNya dari melakukan kejahatan.  

Allah sendiri memulakan ayat 1 surah Al-Mulk yang dinyatakan di atas dengan,  

“…dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”   

    

Jika kita meneliti apa yang berlaku sekeliling kita atau pada diri kita sendiri, kita akan sering dapati bahawa bukan semua kemahuan kita atau perancangan kita akan tertunai. Ia menunjukkan kuasa Allah yang menghalang dari perkara itu berlaku. Sebenarnya, telah banyak halangan-halangan dari Allah terhadap usaha manusia agar mereka mengambil iktibar. Terserahlah kepada mereka mahu bertafakkur atau tidak.  

Berapa banyak perancangan manusia yang tidak menjadi kerana terdapat halangan daripada Allah swt.  

 

Contoh mudah: Petani yang menanam padi tidak dapat mengutip hasilnya apabila Allah menurunkan hujan sehingga banjir.  

Pasangan yang ditangkap khalwat yang tidak dapat meneruskan niat berzina. Walhal lebih ramai lagi pasangan yang sudah berjaya melakukan zina tanpa dapat ditemui oleh sesiapa. Ia adalah ketentuan Allah yang mahu menyekat pasangan berkenaan dari meneruskan niat yang tidak baik. Adakah mereka berfikir bahawa Allah mahu mengelakkan mereka dari melakukan dosa-dosa besar, seterusnya insaf dan bertaubat? Atau mereka merasa tercabar lalu berniat untuk mengulanginya lagi di masa-masa akan datang? Semua itu bergantung kepada cara manusia berfikir dan matlamat hidupnya akan menentukan hala tuju fikirannya.  

Pengedar dadah yang ditangkap polis. Oleh sebab itu, dadah tersebut tidak berjaya dijual. Apabila dadah tidak dapat dijual, lebih ramai insan yang berjaya diselamatkan dari mengambil dadah. Sedangkan sudah ramai pengedar dadah yang terlepas begitu sahaja sehingga merosakkan ramai manusia pada hari ini.  

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menyeru manusia agar berfikir, berfikir dan berfikir dari apa yang berlaku di sekitar mereka. Tujuan berfikir adalah untuk mencari Allah dan meneliti kebesaranNya. Seterusnya melembutkan hati untuk tunduk patuh kepadaNya.  

   

وَمِنْ آيَاتِهِ يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاء مَاء فَيُحْيِي بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

[24]
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahaminya.
  

وَمِنْ آيَاتِهِ أَن تَقُومَ السَّمَاء وَالْأَرْضُ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِذَا دَعَاكُمْ دَعْوَةً مِّنَ الْأَرْضِ إِذَا أَنتُمْ تَخْرُجُونَ

[25]
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta merta keluar (dari kubur masing-masing).
  

Surah al-Ruum 30: 24,25  

   

Allah telah mencipta manusia serta fitrah mereka. Kemudian Allah mengurniakan bekalan yang cukup buat manusia meniti perjalanan hidup dengan selamat. Terserah kepada manusia sama ada untuk memilih jalan yang lurus lagi selamat atau sebaliknya. Sekali-kali Allah tidak berlaku zalim kepada setiap hambaNya tatkala mereka memilih azab di akhirat kelak.  

Seorang ibu menegah anak kecilnya bermain pisau kerana ibu itu tahu pisau itu akan melukakan anaknya jika tersalah main. Seorang doktor menasihati pesakit kencing manis agar mengurangkan makanan bergula kerana ia akan menambah penyakit sedia ada. Apabila sudah sakit, adakah pesakit itu berani lagi mengambil makanan yang manis-manis meskipun dia sangat menyukainya? Begitulah juga perkara yang Allah benci lalu diharamkan kepada manusia. Ia adalah kerana perkara tersebut memudaratkan manusia meskipun nafsu mereka seronok melakukannya. Hal ini mudah ditanggapi jika manusia memaksimumkan potensi akal mereka untuk lebih mengenali Allah, seterusnya membawa hati mereka untuk patuh kepadaNya. Itulah tanda kasih sayang Allah pada manusia.  

Perbuatan maksiat hakikatnya racun bagi manusia. Perasaan seronok dan melihat maksiat itu sesuatu yang baik adalah kerana syaitan telah menghias perbuatan tersebut menjadi cantik dan ‘best’ untuk dilakukan. Hanya hamba yang ikhlas akan dapat mengatasi fatamorgana ciptaan iblis itu.  

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِي لأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

[39]
Iblis berkata, ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,
  

   إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

[40]
“Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”.
  

Surah al-Hijr 15:  39-40  

   

Sebagai contoh; Mendedahkan aurat kepada lelaki ajnabi adalah haram bagi wanita. Justeru lelaki yang beriman akan melihat wanita yang mendedahkan aurat sebagai perkara yang menjelikkan dan hina. Lalu mereka berpaling dari memandang wanita berkenaan. Sebaliknya, lelaki yang tidak beriman atau lemah imannya, akan melihat wanita tersebut sesuatu yang indah dan menyeronokkan.
  

Walaupun terdapat perkara yang dibenci Allah dilakukan oleh manusia, Allah sekali-kali tidak terkesan dengan perbuatan mereka walau sebesar zarah. Semua usaha manusia, hasilnya adalah untuk diri mereka sendiri.  

Ketahuilah juga bahawa setiap perkara yang diharamkan, Allah beri alternatif dengan perkara halal agar manusia dapat memenuhi fitrahnya.  

Allah haramkan arak. Lalu digantikan dengan banyak lagi jenis minuman yang halal, sedap dan berkhasiat.  

Allah haramkan zina dan segala pintu kepada zina, lalu Allah syariatkan pernikahan untuk menghalalkan hubungan jenis antara lelaki dan wanita.  

Allah haramkan wanita mendedahkan aurat kepada lelaki ajnabi kerana ia memudaratkan wanita itu sendiri. Lalu Allah halalkan mereka mendedahkan aurat tertentu kepada sesama mahram dan aurat istimewa hanya untuk suami yang sah.

 

PENUTUP  

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَاء فَعَلَيْهَا وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

   

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.  

Surah Fussilat 41:46  

 

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ وَمَنْ أَسَاء فَعَلَيْهَا ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ

 

(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.  

Surah al-Jaathiyah 45: 15  

‘So…’ apa persiapan kita untuk kembali kepada Allah?  

Ummu Abbas
8.22am

5 Rabiul Thani 1431H

 

5 thoughts on “Adakah Allah tidak mampu menghalang perkara yg dibenciNya daripada berlaku?

Add yours

  1. Assalamualaikum Nur,

    Terang & jelas dan senang nak difahamkan. kdg2 bila ank2 tanya kenapa Allah tak buat mcm ni, kenapa Allah tak tolong orang tu & mcm2 soalan lagi yg kdg2 mematikan idea nak menjawabnya. Nur dah memberi akk ilmu beserta cth2 yg mudah. Thanks for sharing your ilmu.

    Wa’alaikum salam wbh Kak Milla.

    Sama-sama. Yang baik itu dari Allah. Alhamdulillah. 🙂


  2. 1. Majlis Maulid/Ta’lim Darul Murtadza pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Alhamed : http://wp.me/piAx4-1go

    2. Taqwa Kepada Allah – Al Habib Umar Bin Salim Bin Hafidz : http://wp.me/piAx4-fn

    3. Merasakan nikmat membaca Al-Qur’an – Al-Habib Umar bin Muhammad Bin Hafidz : http://wp.me/piAx4-gb

    4. Cinta kepada Rasulullah SAW – : http://wp.me/piAx4-mj

    5. Menggapai Ridho Allah – Al-Habib Umar bin Muhammad bin Hafidz : http://wp.me/piAx4-uG

    6. Pendidik JIWA – Habib Umar Bin Hafiz : http://wp.me/piAx4-1gY

    7. Habib Umar bin Hafiz, Ulama Habaib Terkenal Masa Kini : http://wp.me/piAx4-oP

  3. Terima kasih jelas dan faham……… Sama-samalah kita berdoa semoga kita dan keluarga sentiasa dilindungi Allah daripada syaitan yang dilaknati Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: