Kisah Pemungut Sampah di Hari Buruh

Kerusi yang disediakan di sepanjang pantai.

Tanggal 1 Mei 2010.

Kira-kira jam 7.40 pagi, kami bertolak dari rumah menuju pantai bagi menggembirakan anak-anak di hujung minggu. 

Saya masih kurang sihat tetapi mahu menyertai anak-anak.  Persediaan kami ringkas sahaja.  Hanya membawa tuala, baldi dan pakaian anak-anak untuk bersalin selepas mandi.  Kami bersarapan di kedai makan terletak di pintu masuk ke salah satu pantai terkenal di Kelantan ini.  Mee goreng, mihun goreng, Nasi Kerabu Ayam Bakar dan Nasi Lemak Ayam Goreng menjadi pilihan.  Seusai sarapan, kami terus merapati kawasan pantai dan alhamdulillah, mudah bagi kami memilih lokasi yang sesuai untuk parking kereta.

Pantai Sri Irama, Bachok menerima kunjungan beberapa kumpulan tetamu di pagi yang sedang hangat.  Mentari sudah segalah meninggi.  Gerai-gerai makanan laut dan kiosk jualan runcit masih sepi dari empunya. 

Anak-anak ditemani suami mula bermain pasir dan meredah air laut yang sedang pasang waktu itu.  Saya hanya melihat dari jauh.  Sambil membawa sebuah buku di tangan, saya menghampiri sebuah kerusi batu mengadap laut yang luas terbentang.  Oh… si kecil yang biasanya suka bermain pasir dan air laut itu ketakutan pula hari ini.  Meraung-raung dia bila Abinya membawa bermain ombak yang deras menerkam bibir pantai.

Anak-anak sedang bermain.

 

Berhampiran kami, sekumpulan remaja lelaki asyik menimbus seorang kawannya dengan pasir.  Kemudian mereka turun ke laut dan bermain bola tampar.  Seronok sekali nampaknya mereka…

Semoga Allah memilih mereka untuk berjuang meninggikan kalimahNya di muka bumi.

Amin.

Seorang makcik pula sedang membuang sampah ke dalam tong besar yang disediakan.  Alhamdulillah.  Saya merasa lega melihat kawasan pantai itu dipelihara kebersihannya.  Namun kesal dengan pihak yang membuang sampah sesuka hati sehingga makcik tua itu terpaksa bekerja keras untuk mengutip dan mengumpul sampah di dalam tong besar. 

Saya menyapa makcik itu.

“Seorang sahaja makcik?”

“Ada lagi yang lain.  Dia di sebelah sana.  Dia tu selalu macam tu… suka berehat.”

“Ooh…”

Ada lagi yang dirungutkan mengenai kawannya yang saya belum kenali.  Tidak mahu mengganggu tugasnya, saya meminta diri dan duduk di kerusi batu.

Pandangan saya lontar jauh ke pesisir pantai putih bersih.  Sambil membaca buku, saya merenung dan bertafakkur.  Seketika kemudian, seorang lagi makcik melintas di hadapan saya.  Dia menyorong sebuah kereta tolak.  Di dalam kereta tolak itu ada sebuah bakul rotan besar yang sudah dipenuhi sampah.  Dia berhenti di hadapan saya.  Matanya buta sebelah.

“Banyaknya sampah..”

“Selalunya, kalau hari Jumaat dan Sabtu memang macam ni.  Sampah banyak kerana ramai pengunjung di hujung minggu”.

“Oh begitu.  Tak baikkan…  mereka buang sampah merata-rata.  Kasihan makcik”.

“Itulah… kalau mereka longgokkan sampah setempat seperti itu (sambil menunjukkan satu longgokan sampah), kerja lebih mudah dan cepat siap”.

”Berdosa pun memang berdosa buang sampah merata-rata sebab Islam suruh kita jaga kebersihan”,  saya memberi respon.

“Hmm ye lah.  Kadang-kadang pegawai majlis bandaran datang cek dan akan report kepada majikan kawasan yang masih kotor”.

“Berapa upah sehari?”

“Kira-kira RM450 sebulan.  Aaa… kiralah dik… RM15 sehari…”.

“Kerja dari pukul berapa hingga pukul berapa?”

“Pagi jam 8.30 hingga 12.30.  Petang mula jam 2 hingga 4 petang”.

“Hmm 6 jam sehari lah”.   Saya mencongak gaji yang diperolehi dengan waktu bekerja. 

Adakah gajinya itu munasabah dibandingkan dengan keperluan masakini?

“Makcik ada anak?”

“Ada dua.  Sudah besar-besar”.

Anaknya yang sulung di sekolah menengah dan yang kedua di sekolah rendah.

“Suami masih ada?”

“Ada”.

“Dia kerja apa?

“Dia tak kerja.  Tak de kerja lagi sekarang. Dok rumah je.  Sebab makcik dah kerja, biarlah dia buat kerja-kerja rumah pula”.

“Biarlah dia minta kerja macam makcik juga”… saya mencadangkan.

“Kerja ni dah cukup orang.  Semua sekali 4 orang.  Dua perempuan dan dua lelaki”.

Selepas itu makcik berceloteh mengenai hal dirinya dan juga hal semasa yang berlaku.  Dia juga merungut mengenai pekerja yang seorang lagi yang baginya agak berkira dalam soal kerja.  Baru tadi makcik yang seorang lagi merungut di hadapan saya mengenai kawannya.  Oh… rupa-rupanya makcik yang buta inilah yang dimaksudkannya.  Dia tinggal di rumah sewa berharga RM150 sebulan dan bercadang meminta bantuan bulanan.  Kemudian makcik berkata, “Laparnya… nak makan nasi dulu rasanya…”

“ Laparnya… nak cari nasi dululah…”

 

Waktu itu kira-kira jam 10.45 pagi.  Saya teringat sesuatu lalu mempelawa makcik itu, “Saya ada mihun campur mee goreng sebungkus.  Anak tidak mahu makan tadi sebab pedas.  Makcik mahu tak?”

 

“Boleh juga”.

 

“Tunggu sekejap ye… saya ambil dalam kereta…”.

 

Saya segera ke kereta dan mengambil sebungkus mee bercampur mihun goreng dan baki teh ‘o’ beng (teh o ais).  Saya serahkan kepada makcik pemungut sampah.  Dia mengambil tempat di bawah wakaf di belakang kerusi tempat saya duduk.

Baru selesai makan, makcik segera menolak sampah untuk dibuang dalam tong besar.

“Makcik basuh tangan dulu ye…”  saya mengingatkan tatkala melihat makcik segera duduk tanpa menuju ke bilik air berhampiran.

“Ye…ye..”

Seketika kemudian, saya menoleh ke arah makcik dan melihat dia makan dengan laju. 

“Makcik dah basuh tangan ke?”

“Dah… basuh dengan air manis ni…” Maksudnya dia gunakan teh ‘o’ ais itu untuk membasuh tangannya.

“Hmm…”

Apa yang boleh difikirkan mengenai kisah segelintir masyarakat kita di atas?  Ada dua perkara penting yakni golongan pekerja seperti makcik itu sendiri dan sikap masyarakat yang suka membuang sampah merata-rata. 

Ramai umat Islam maklum bahawa kebersihan itu sebahagian dari iman.  Maksudnya jika kita menahan diri dari membuang sampah di kawasan awam atau bukan ditempatnya sama seperti kita menyimpan iman di dalam hati.  Jika kita boleh umpamakan IMAN itu seperti wang, membuang sampah merata-rata   sama seperti kita membuang wang merata-rata.  Akhirnya kantung kita semakin mengecil dek sikap tidak sayang duit.  Begitulah IMAN di hati yang kita campakkan bersama-sama sampah ke merata tempat.  Lama-kelamaan IMAN yang sudah nipis makin menipis. Yang tinggal dalam hati hanyalah sampah mazmumah yang tidak cintakan kebersihan alam sekitar.  Nauzubillah.

IMAN itu ialah kepercayaan kita kepada Allah dan hari akhirat.  Membuang IMAN sama seperti mengikis kepercayaan kepada Allah.  Iya benar… lidah kita mengucap setiap hari di dalam solat namun apa gunanya sekadar memaniskan ucapan di bibir tetapi tidak terjelma dari sudut perbuatan.

ISLAM itu ialah percaya dengan akal, dibenarkan di dalam hati dan dizahirkan melalui perbuatan.  Pincang salah satu darinya, seseorang itu telah merosakkan hubungannya dengan Allah dan juga sesama manusia.

Seringkali saya merasa geram bila ternampak sampah tiba-tiba meloncat keluar dari cermin kereta yang bergerak di hadapan saya.  Sama ada gelas plastik, plastik jajan dan lain-lain.  Tidak takutkah mereka kepada dosa?  Atau sekurang-kurangnya mereka suka melihat persekitaran yang bersih sehingga mampu menahan diri dari  membuang sampah merata-rata. 

Sediakan plastik untuk mengumpul sampah di dalam kereta dan buangkan ke dalam tong sampah apabila menemuinya di mana-mana.  Ia melambangkan jiwa yang sayangkan IMAN dan takut kepada Allah yang Maha Melihat segala perbuatannya.  Terfikirkah mereka apa jawapan yang bakal diberikan di akhirat kelak mengenai perbuatan mereka itu?  Setiap perbuatan kita tidak dapat tidak hanya ada dua natijahnya sama ada dosa atau pahala.      

Anak-anak perlu dilatih oleh ibubapa agar membuang sampah di tempat yang betul.  Saya akan meminta anak-anak mengutip semula sampah yang dibuangnya merata tempat jika ternampak mereka berbuat demikian.  Kemudian melatih mereka membuang sampah ke dalam tong sampah.  Jika kita reda perbuatan mereka yang tidak baik itu sama seperti kita sendiri yang membuang sampah itu di merata tempat.

Kembali kepada makcik pengutip sampah di kawasan pantai, jika setiap pengunjung membuang sampah di tempat yang disediakan, para pengunjung sebenarnya telah membantu meringankan beban pemungut sampah di samping menjaga IMAN sendiri kepada Allah.  Gaji mereka tetap RM450 sebulan namun kerja-kerja mereka menjadi lebih ringan.  Ia satu bentuk sedekah yang kita tidak nampak.   Tambahan pula hari itu Hari Buruh, sewajarnya mereka  dapat bercuti seperti pekerja lain juga. 

Sudah tentu mereka dapat bercuti jika keadaan pantai bersih dek bersihnya hati para pengunjung dari sampah mazmumah.

Jika setiap orang bertanggungjawab menjaga sampah masing-masing, sebuah negara akan menjadi bersih.

Ummu Abbas

6.42pm

19 Jumadil Awwal 1431H

7 thoughts on “Kisah Pemungut Sampah di Hari Buruh

Add yours

  1. Salam Ummu Abbas,

    Jazakillah ya ummu…satu nasihat yang baik untuk tatapan pembaca juga insani yang lemah seperti kami…Moga kita dapat memelihara IMAN kita bersama ya..

    Wsalam. Amin. Insya Allah.


  2. salam..
    Moga Kak Nur cepat sembuh ya..
    Saya tertarik dengan cerita ni. saya ni tak pandai sangat berbual dengan orang lebih dewasa dari saya kak nur. cerita ni buat saya mahu lebih mendekati orang lebih tua.

    *Saya suka gmbar kerusi bangku tu

    Wsalam.

    Amin. Sudah sihat sedikit sejak kelmarin.

    Insya Allah boleh dilatih berkomunikasi dengan orang tua. Mula-mula dengar dulu perbualan mereka. Banyak mendengar dari berkata-kata.

  3. Salam Kak Nur. Mungkin sebab dah terbiasa dengan budaya Arab Mesir yang jauh lagi pengotor, kisah di atas “tidak teruk” bagi saya. Bahaya kan. Tapi realitinya, Arab Mesir sangat pengotor, sangat dan amat.

    Semalam, kebetulan di perjalanan, terlihat seorang Pak Cik pekerja bandaran, berada dalam lori yang memuatkan sampah, sampah di sekelilingnya, dan tangan beliau hitam legam kesan sampah. Namun, beliau masih merokok dengan ‘steady’, sambil tersenyum.

    Walaupun sudah hampir dua tahun di sini, gelagat Arab tetap sukar diiktibar sebagai “fenomena biasa”. Mulut masih sering mengomel dgn sikap mereka. Huhu

    Fenomena yang tidak baik tidak harus dianggap biasa, barulah kita akan berusaha untuk memperbaikinya. Sama ada ia teruk atau tidak… bukan persoalannya… yang penting kita berusaha mengubah sikap yang kurang baik kepada lebih baik kerana ia ada kaitan dengan iman. Itu yang penting… jaga iman.


  4. Salam Kak Nur,
    Baru-baru ini saya ada menjamu selera di sebuah restoran di tepi sungai. Apa yang mengejutkan saya seorang pengunjung dengan selamba membuang plastik makanan ke dalam sungai tanpa sedikit pun rasa bersalah di air mukanya. Geram amat melihatnya, tidak tahu rasa bersalah mengotori sungai, di hadapan pengunjung-pengunjung lain.

    Wsalam. Perlu mengingatkan antara satu sama lain.


  5. salam…..
    koho comel lanskap blog lo ni…kreatif,good

    Wsalam… tenkiu…tenkiu… hi..hi.. jadi Abah hadi dan hakim pulok dih…tahniah… lepas ni kena tambah namo anok puwe pulok…insya Allah.


  6. Kak Nur…layout blog ni cantik.Saya suka..

    Maryuni… terima kasih… Insya Allah akan dikekalkan buat beberapa ketika yang belum diketahui tempohnya :).


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: