
Saya mula membuka buku di tangan. Baru sedikit yang dibaca, teringat pula al-Ma’thurat pagi itu belum dibaca. Lalu buku ditutup semula dan mula membaca al-Ma’thurat. Al-Ma’thurat ialah zikir-zikir amalan Rasulullah s.a.w yang disusun oleh mujaddid agung Hassan al-Banna. Sambil membaca, pandangan dilepaskan ke laut. Makcik yang baru selesai makan menyambung kerjanya menolak sampah ke tong besar.
Anak yang kecil sudah naik dari pantai dan duduk di samping. Sedang membaca al-Ma’thurat, saya sedar seorang remaja lelaki mengambil tempat di wakaf di bahagian belakang saya yakni tempat yang diduduki oleh makcik tadi. Gayanya seperti menunggu seseorang. Siapa agaknya?
Seketika kemudian, datang seorang gadis remaja bertudung tidak sempurna, berseluar panjang dan t-shirt lengan panjang tetapi singkat. Hati mula rasa tidak senang namun bacaan al-Ma’thurat tetap diteruskan.
“Haruskah aku menegur mereka?”
Saya menyoal diri sendiri.
“Bagaimana aku di sini berzikir kepada Allah sedangkan remaja di belakang hanyut dibuai maksiat?”
Zikrullah tidak akan lengkap tanpa mencegah maksiat yang berlaku di sekeliling kita. Mencegah perkara mungkar itu sendiri merupakan salah satu bentuk zikrullah. Justeru ia menepati tuntutan ayat 110 dari surah Ali ‘Imran,
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan, dan mencegah dari perkara mungkar serta beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
Hati terasa berat. Beberapa kali saya menoleh ke belakang melihat remaja berkenaan sambil berfikir bagaimana cara saya harus mendekati mereka. Apa yang harus saya perkatakan?
Kalau makcik tadi memungut sampah sarap, maka saya pula bertanggungjawab memungut dan membuang sampah maksiat di belakang saya sekarang. Mana-mana tempat peranginan pun tidak sunyi dari dua jenis sampah ini; sampah sarap dan sampah maksiat.
Saya mahu menyelesaikan al-Ma’thurat dahulu. Remaja gadis tadi pada mulanya duduk di kerusi berasingan. Apabila saya menoleh lagi, kelihatan remaja lelaki itu sudah duduk di samping gadis tersebut. Hati diselubungi bimbang. Saya sayangkan gadis itu dan tidak mahu apa-apa yang buruk berlaku padanya baik sekarang mahu pun di masa akan datang.
Alhamdulillah, saat itu anak kecil saya juga tenang sahaja dan hanya duduk di samping saya. Jadi saya boleh fokus berfikir untuk mendekati pasangan berkenaan.
“Ya Allah… apa yang harus kulakukan… bagaimana aku boleh senang-senang berzikir kepadaMu sedangkan di belakangku, mereka melakukan maksiat kepadaMu…”, hati berbisik syahdu dan Allah itu Maha Mendengar.
Allah takdirkan perkara ini berlaku untuk menguji saya dan menguji pasangan remaja itu sendiri. Adakah sebagai individu yang faham tentang tanggungjawab amar makruf nahi mungkar akan saya laksanakan? Saya merasa tercabar untuk membuktikan tahap keimanan kepada Allah. Baru sahaja saya menyelesaikan zikir al-Ma’thurat… adakah zikir itu berupaya menambah kekuatan iman di hati?
Iman yang paling lemah ialah apabila kita mencegah maksiat dengan hanya membenci di dalam hati. Abu Said al-Khudri r.a. melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berkata,
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذلِكَ أَضْعَفُ الإِيْمَانِ
Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya. Itu lah (yakni membenci dengan hati) adalah selemah-lemah iman.
Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.
Jika kebanyakan manusia memburu pangkat yang tinggi baik dalam pelajaran dan di alam pekerjaan, maka saya mahu memburu tahap iman yang tinggi di sisi Allah. Rasanya tidak puas sekadar membenci maksiat di dalam hati namun untuk menegur perlukan hikmah. Adakah saya mempunyai hikmah tersebut. Saya merasa miskin dari gedung hikmah, justeru saya bermunajat kepada Allah memohon petunjukNya.
Dalam saya bermonolog sendirian, tiba-tiba gadis itu bangun dan datang ke hadapan. Seterusnya dia berdiri di tepi pokok di sebelah saya dan bersandar pada pokok tersebut. Dia melihat kepada saya dengan malu-malu. Terasa Allah sudah membantu, tanpa lengah saya memulakan bicara,
“Siapa tu… kawan ke?” sambil menunjukkan ke arah remaja lelaki yang masih duduk di kerusi.
“Iya…”
“Dah tahu kan tak baik berduaan dengan lelaki…?”
Gadis itu menganggukkan kepala sambil tersenyum-senyum.
“Adik… akak anggap adik macam adik sendiri. Akak cakap kerana sayang ni… bila Allah beri perasaan kasih sayang antara lelaki dan perempuan, maka Allah itu adil. Boleh bercinta tapi sabar sedikit tunggu selepas kahwin. Selepas nikah, nak buat apa pun tak mengapa… Kita pun selamat. Buat masa sekarang, simpan dulu perasaan cinta itu untuk suami. Ia lebih manis lagi bila kita bercinta selepas kahwin. Kita pun tidak tahu siapa jodoh kita yang sebenar. Jadi rugilah kalau hari ini kita sudah bahagi-bahagikan kepada orang lain.
Bila berduaan macam ni, syaitan pun banyaklah mahu merosakkan kita.”
Saya bersyarah kepada gadis itu dan dia mendengar sahaja sambil menganggukkan kepalanya. Sama ada ucapan itu masuk ke dalam hatinya atau tidak, itu urusan Allah. Saya berusaha bercakap dengan nada lembut dan hati yang diselubungi rasa kasih sebagai seorang kakak yang lebih berpengalaman.
“Insya Allah dik… kalau hari ini kita berusaha menjaga hubungan kita dengan lelaki ajnabi, bakal pasangan kita juga akan berusaha menjaga cintanya untuk kita”.
“Masih sekolah?”
“Iya”
“Tingkatan berapa?”
“Tingkatan Tiga”
“Sekolah mana?”
“Sekolah arab ‘*****’.”
“Hmm… lagi la dah tahu pasal ni”
Gadis itu terus tersenyum-senyum. Entah tersenyum malu atau tersenyum apa, saya tidak faham. Itu pun sudah kira nasib baik sebab dia mahu menunggu saya meluahkan sesuatu kepadanya.
Semasa menjadi pengawas di sekolah dahulu, saya sudah biasa dengan kes-kes pelajar sekolah yang ber’couple’. Kawan sendiri pun ada yang meluahkan hal peribadi mereka kepada saya. Itulah realiti pelajar sekolah agama. Jadi saya tidak terperanjat bila gadis itu mengaku bersekolah di sekolah agama. Badan Disiplin sekolah agama bukan sahaja mengawal disiplin pelajar mereka di kawasan sekolah, bahkan hal-hal berkaitan akhlak mereka di luar sekolah juga diberi perhatian jika ada laporan. Contohnya pelajar yang tidak bertudung di luar waktu persekolahan dan pelajar yang keluar ‘dating’.
“Kawan tu tingkatan berapa?”
“Tingkatan lima”
“Sekolah agama juga?”
“Tak… sekolah menengah biasa”
“Suami akak kat sana tu (yang sedang bermain air laut bersama anak-anak yang lain) sekolah menengah biasa juga. Sekolah sains sahaja tetapi dia pun tidak pernah bercinta sebelum kahwin. Apa yang akak cakap ni ialah pengalaman akak sendiri. Kami bercinta selepas kahwin.
Jagalah maruah kita dik. Bercinta selepas kahwin ni kalau tersalah naik atas katil pun tidak mengapa dah… Kalau belum kahwin, itu yang banyak terjadi orang buang bayi…”
Dia tergelak juga bila saya sebut ‘tersalah naik atas katil’ dan seolah tidak percaya bila saya katakan suami saya aliran sains dan bekerja sebagai pensyarah universiti.
Saya perasan gadis itu juga asyik memandang ke arah belakang sambil mendengar kata-kata saya. Kemudian saya menoleh ke belakang dan melihat remaja lelaki itu sudah bangun. Agaknya dia ada memberi isyarat kepada gadis itu agar beredar dari situ.
Melihat dia berdiri hampir dengan saya, saya menegur pula remaja lelaki itu, “Dengar tak apa yang akak cakap pada dia tadi?”
Remaja lelaki itu menggelengkan kepalanya. Saya pun mengulangi secara ringkas apa yang telah disampaikan kepada gadis itu terutama bab suami saya juga sekolah biasa yakni bukan sekolah agama tetapi tidak pernah bercinta sebelum kahwin. Juga saya tekankan bahawa kita belum tahu jodoh kita dengan siapa jadi lebih baik simpan rasa kasih itu untuk isteri yang sah nanti.
Melihat gadis itu masih tercegat di situ seolah-olah kakinya berat mahu diangkat, saya meneruskan perbualan.
“Mak ayah ada lagi?”
“Ada…”
“Hmm… pagi-pagi begini lebih baik adik menolong ibu di rumah. Sabarlah dahulu buat masa sekarang dan tumpu perhatian kepada pelajaran sampai masuk universiti. Fikirlah dik… akak cakap macam adik sendiri dah ni…”
Gadis itu diam sahaja. Kelihatan lembut juga orangnya. Dia tidak marah-marah dan tidak pula menarik muka masam bila saya berbicara dengannya.

“Tinggal di mana?”
“Dekat je dari sini…”
“Ooo… jadi datang berjalan kaki sahajalah ye…”
“Iya..”
“Nama apa?”
Gadis itu menyebut namanya.
Maksud namanya yang kedua itu ialah baik. Jadi saya terus merespon, “Haa… mak ayah dah bagi nama yang cantik dah tu… insya Allah jadi gadis solehah ye…” saya mengakhiri bicara sambil tergelak kecil.
Gadis itu juga ketawa kecil dan terus sahaja menganggukkan kepalanya. Kemudian baru dia beredar dari situ.
Alhamdulillah, barulah saya merasa lega setelah dapat menasihati pasangan itu bagai satu beban diangkat dari bahu. Semoga Allah berikan hidayah kepada mereka.
Amin.
Seusai gadis itu beredar, makcik tadi melintas semula di hadapan saya menolak bakul rotan yang sudah kosong. Dia mahu menyambung lagi kerja-kerjanya.
Ummu Abbas
25 Jumadil Awwal 1431H
1.18pm
Salam ziarah…salam kenal…teruskan menulis ya ukhti.
salam sis
alhamdulillah…syukur pada Allah..
benar bercinta selepas nikah adalah lebih manis…
Salam Ummu Abbas..
Alhamdulillah…Bangga dengan Ummu Abbas,,,,Punya kekuatan untuk menegur…Menyeru ke arah yang benar dan mencegah dari yang mungkar…Teruskan ya Ummu…Bukan senang ingin bertemu dengan gadis lembut seperti yg Ummu ceritakan..
“Hang ingat hang tu sapa!!Ingat hang tu ahli PPI hang boleh buat suka hati ka!cikgu ketua PPI pun x berani nk tagur kami!!”
Antara pengalaman saya tatkala dijerkah oleh seorg pljr yg lebih tu 2 thn dr sy…
terima kasih atas dorongan tersebut….mmg betul!! wanita solehah ibarat permata…yg disimpan di tempat yg plg safe…hanya orang yg terpilih shj yg berhak menyentuhnya…..