Bolehkah Pesakit Solat Jamak?

Semasa Wan (datuk) sakit berat, Abah sering membantu Wan untuk mengambil wuduk dan bersolat.  Tiga hari sebelum Wan meninggal, saya sempat menziarahinya.  Waktu itu Wan terlalu letih kerana  tidak makan beberapa hari.  Wan hanya mengidap asma dan tiada penyakit lain.  Wan tidak berdaya untuk bangun sendiri, apatah lagi untuk membersihkan diri serta berwuduk.

Azan Maghrib berkumandang.  Suami dan Abah terus menunaikan solat di surau yang terletak di hadapan rumah Wan.  Selesai solat, suami saya menghampiri Wan dan terus meminta sekendi air dan besen.  Suami menolong Wan berwuduk pada anggota yang wajib dibasuh sahaja.  Selesai berwuduk, Abah pula mampir ke sebelah Wan.  Abah, suami dan dua lagi anak Wan menolong membetulkan kedudukan Wan agar mengadap kiblat.  Kemudian Abah membantu Wan menunaikan solat.  Wan dipangku dan bersandar pada  anak bongsu lelakinya.  Kakinya dilunjurkan ke hadapan.

Abah yang membacakan Takbiratul Ihram, Fatihah dan semua bacaan.  Wan menurutnya secara senyap sampai selesai solat Maghrib.  Seusai solat Maghrib,  Abah terus membantu Wan solat Isyak pula.  Wan solat Jamak Taqdim tanpa memendekkan bilangan rakaatnya.  Pergerakan solat seperti rukuk dan sujud hanya dilakukan dengan isyarat mata yakni apa yang termampu dilakukan saat itu.  Jika pesakit mampu rukuk dengan membongkokkan sedikit badannya, maka itulah yang harus ditunaikan.  Begitu juga dengan sujud, jika pesakit mampu merendahkan lagi badannya dari tahap rukuk tadi, maka itulah yang perlu dilaksanakan. 

Pengalaman di atas adalah bagi menjelas cara membantu pesakit menunaikan solat.  Ahli keluarga bertanggungjawab membantu keluarganya yang sakit menunaikan solat baik di rumah mahu pun di wad-wad hospital.  Solat adalah kewajiban yang perlu dilakukan walau dalam keadaan apa jua sekalipun bagi setiap mukallaf (berakal dan baligh).

Berkenaan Wan yang menunaikan solat Jamak ia didasarkan kepada hadis yang dilaporkan oleh Ibnu Abbas r.a,

 صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا وَالْمَغْرِبَ وَالْعِشَاءَ جَمِيعًا فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا سَفَرٍ

 

Maksudnya:  Rasulullah s.a.w  telah menunaikan Solat Jamak Zohor dan Asar serta Maghrib dan Isyak bukan dalam situasi takut (di medan perang dan lain-lain) dan tidak juga di dalam musafir.

 

Tatkala Ibnu Abbas ditanya alasan Rasulullah s.a.w melakukan demikian,  Ibnu Abbas menjawab, “Dia tidak mahu ada seorang pun dari kalangan ummatnya yang merasa susah”.

Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Ibn Mas’ud menambah dalam laporannya,

Aku (Rasulullah) berbuat demikian supaya umatku tidak berada didalam kesulitan.

 

Zahir hadis di atas menunjukkan Rasulullah s.a.w pernah melakukan solat jamak selain dalam musafir dan keadaan takut.  Zahir hadis juga menunjukkan solat dijamak sahaja tanpa diqasarkan. 

Jika solat boleh dijamakkan walaupun mempunyai sebab yang kecil, maka keharusan menjamakkan solat semasa sakit kuat adalah lebih utama.

Ibnu Qudamah al-Hanbali menjelaskan tentang hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

“Maksudnya:  Kami telah sepakat bahawa jamak dua solat tidak dibolehkan tanpa ada suatu halangan.”

 

Pendapat Ibnu Qudamah adalah relevan dikaitkan dengan keharusan solat jamak bagi pesakit sebagaimana yang dijelaskan dibawah ini.  Situasi yang dihadapi oleh pesakit merupakan halangan yang diiktiraf syarak. Oleh sebab itu mereka juga diharuskan menjamakkan dua solat bila mengalami sakit berat. 

Ulama yang mengharuskan pesakit solat jamak ialah mazhab Maliki dan mazhab Hanbali.

Imam Ahmad menafsirkan hadis Ibnu Abbas sebagai rukhsah bagi pesakit dan ibu yang menyusu.  Imam Ahmad juga memberi alasan lojik yakni jika musafir dibenarkan solat jamak, maka keadaan pesakit adalah lebih berat dari musafir.  Oleh sebab itu  keperluan mereka kepada solat jamak adalah lebih besar.  Apa yang berbeza ialah pesakit hanya boleh menjamakkan dua waktu solat tanpa memendekkannya.

Pandangan ini sesuai dengan kaedah fikah yang berbunyi,

 

اَلْمُشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيْرُ

Kesukaran menjadi sebab kepada kemudahan dan keringanan.

 

Maksudnya dalam konteks pesakit berusaha menunaikan solat, kesukaran yang dihadapi mengharuskan mereka menunaikan solat jamak.  Tambahan pula Nabi s.a.w pernah menunaikan solat jamak selain waktu musafir dan selain dalam keadaan takut.  Pengertian yang terkandung dalam hadis tersebut agak umum serta tidak diperincikan kepada masalah tertentu sahaja, maka harus beramal dengan hadis tersebut dalam masalah ini.

Contoh situasi pesakit yang dibenarkan solat jamak ialah;

  1. Pesakit yang merasa sukar untuk bangun membersihkan diri serta bersuci setiap kali masuk waktu solat.
  2. Pesakit yang bimbang tidak sedarkan diri sebelum masuk waktu solat berikutnya.
  3. Pesakit yang mengetahui akan dibedah dalam tempoh dua waktu solat yang boleh dijamakkan,  maka hendaklah ditunaikan solat Jamak Taqdim.  Solat tidak boleh dilewatkan sehingga habis waktunya.  Ini berlaku bagi  pembedahan pada waktu Zohor dan Asar. 
  4. Jika waktu pembedahan berlanjutan hingga Magrhrib dan Isyak, pesakit diharuskan melakukan solat Jamak Takhir bagi waktu Maghrib dan Isyak.
  5. Pesakit yang tidak mampu membersihkan diri dan bersuci serta terpaksa dibantu oleh orang lain.  Contoh pesakit angin ahmar.

 

Melalui keterangan di atas, boleh difahami jika seseorang itu hanya demam selsema, sakit bisul, pening kepala dan lain-lain sakit yang ringan, mereka tidak layak mengambil rukhsah solat Jamak.

Ummu Abbas

27 Jumadal al-Ula 1431H

12.34pm

4 thoughts on “Bolehkah Pesakit Solat Jamak?

Add yours

  1. sy seorang ibu hamil tlah dimasukkan ke wad atas sbb placenta previa uri dibwahj boleh x sy menjamakkan solat sy di wad kerana ditakuti sy akn sakit pada waktu solat seterusnya?

  2. nak tanya sekiranya saya ditahan di wad dan dalam tangan saya ada jarum dan kaki saya bengkak, menyukarkan saya untuk keluar masuk bilik air. jadi bolehkah saya menjamakkan solat saya??

  3. saya ingin bertanya. jika saya ditahan di wad dan ada jarum ditangan saya, serta lutut saya bengkak yang menyukarkan saya untuk keluar masuk bilik air. jadi bolehkah saya menjamakkan solat saya?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: