Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man: Menteri KASA Berjiwa Da’ie

Pernah dikenali sebagai pendakwah di kaca televisyen pada era 90 an, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM) bukanlah nama baharu dalam kalangan da’ie selebriti di Malaysia khususnya bagi penggemar rancangan Forum Perdana Ehwal Islam setiap Jumaat di RTM 1. 

Pendekatannya bersahaja, sesekali diselangi jenaka ringan dan ungkapan yang menyentuh hati berjaya menarik perhatian pendengar.  Keutuhan peribadinya dapat diselami lewat ungkapan bahasa yang sopan, lemah-lembut serta bicara hikmah secara konsisten seawal dirinya mula diwakafkan untuk dakwah dan siasah.

Mantan pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang dan Manjong, Perak  selama 14 tahun ini dilahirkan pada 27 Ogos 1960 di Kampung Batu Balai, Jerantut, Pahang.  Sebelumnya, TITM pernah menjadi pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis. 

TITM ialah cucunda Tok Guru Haji Nik Mat Alim yang tersohor di Kelantan sebagai ulama yang warak dan tegas dalam menegakkan hukum Allah SWT.  Bondanya,  Nik Hasanah@ Nik Aisyah Nik Mat ialah adik-beradik almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, mantan Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS).  Bapanya, Tuan Man Tuan Mat (almarhum Tokku Tuan Man) juga berasal dari Kelantan tetapi memilih untuk menetap di Jerantut, Pahang. 

Berilmu Sebelum Memimpin

Umar al-Faruq berkata, “Berilmulah kamu sebelum kamu memimpin” menepati ciri-ciri kekuatan peribadi TITM yang  memiliki ilmu menepati syarat kepimpinan berlunaskan siasah Islami.  Beliau bertuah kerana ibu bapanya menitikberatkan pendidikan ilmu agama sejak kecil tanpa mengabaikan pendidikan formal yang  bermula di Sekolah Kebangsaan Damak. 

Kemudian, beliau belajar di Sekolah Menengah Agama Al-Ulum Addiniah Dong dan Kulliyah Sultan Abu Bakar.  Seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia dan berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Dakwah dan Kepimpinan.  TITM menyambung lagi pengajiannya sehingga berjaya meraih Ijazah Sarjana Dakwah dan Kepimpinan di universiti yang sama pada tahun 1995.

Melihat kepada latar belakang pendidikannya, tidak hairanlah jika beliau berkecimpung sepenuh masa dalam lapangan dakwah secara praktikal, dan bukan sekadar bersyarah di dewan kuliah atau menulis dari bilik berhawa dingin tanpa menyelami realiti masyarakat yang memerlukan lebih ramai ‘doktor’ yang merawat penyakit aqidah, ibadah dan akhlak mereka. 

Lebih menarik, pilihan tepat beliau untuk menyertai platform gerakan Islam PAS sebagai parti berasaskan tarbiyah, dakwah dan siasah memberi peluang ke tahap optimum untuk memposisikan diri sebagaimana sabda Rasulullah SAW melalui hadis riwayat Al-Tabrani:

Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.

Jawatan Bukan Untuk Diburu

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Wahai Abu Zar! Kamu lemah dan jawatan itu adalah amanah. Sesungguhnya ia adalah kehinaan dan penyesalan (bagi tuannya) pada hari kiamat melainkan orang-orang yang melaksanakannya dengan benar dan menunaikan tanggungjawabnya. 

 Hadis Sahih Muslim

                                                                     

Berdasarkan hadis ini,  TITM menegaskan sebagai muslim apatah lagi ahli PAS, beliau senantiasa diperingatkan dengan adab dalam menuntut satu-satu jawatan.  Justeru, ramai pemimpin PAS memiliki ciri al-Qawiyy dan al-Amin yang mampu melaksanakan tugas dengan baik tatkala dilantik kerana mereka berusaha mematuhi standard hadis ini.

Mereka bukanlah pemburu jawatan. Bahkan berusaha pula mengelak daripada menanggungnya.  Lazimnya, para pemimpin yang tidak membersihkan hati daripada sifat hubburriyasah (cintakan kedudukan) akan terpelanting dengan sendiri dari saf perjuangan ini.

Menyertai Pilihan raya

Dalam satu ceramah, beliau menceritakan tatkala kali pertama diminta menjadi calon pilihanraya, beliau menangis kerana takut untuk memikul amanah yang berat.  Beliau berusaha menolak tawaran tersebut namun apabila diingatkan tentang etika Islam yang melarang menolak jawatan ketika diminta orang ramai, akhirnya beliau akur kepada permintaan parti dengan meyakini sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta-minta akan jawatan. Jika engkau meminta permasalahan (jawatan) maka engkau akan menanggung beban itu sendiri. Tetapi jika engkau diberi permasalahan (jawatan) tanpa meminta, maka engkau akan dibantu padanya (oleh Allah SWT).

Riwayat Abu Daud (2929).  

                                                               

TITM bertanding buat kali pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka pada  pilihanraya umum (PRU) Malaysia ke-10, tahun 1999.  Beliau berjaya menewaskan calon United Malays National Organisation (UMNO) dengan majoriti 319 undi. Walau bagaimanapun dalam tiga PRU berikutnya (tahun 2004, 2008 dan 2013) beliau tidak berjaya mempertahankan kerusi DUN tersebut.  Juga tidak memenangi kerusi Parlimen Maran pada PRU 2004.  Meskipun tewas berturut-turut,  jurang majoriti berjaya dirapatkan.  Pada pilihan raya umum Malaysia 2018, Timbalan Presiden PAS ini bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dan berjaya menewaskan calon UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) dengan majoriti 19,369 undi.  Kemenangan kali pertama sebagai Ahli Parlimen ini menjadi jalan kepada pelantikan beliau sebagai menteri.  

Menteri KASA Cemerlang: Ulama Berkompetensi Mentadbir

Banyak kejayaan diraih dalam masa yang singkat oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian ini sepanjang menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air.   Pendekatan TITM dalam menguruskan Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) bersifat kolektif, matang dan senantiasa mengutamakan semangat kerja berpasukan yang bagus, memiliki kepakaran  serta berkesan tanpa melihat ideologi dan latar belakang mereka. 

Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha dan barisan pelaksana di bahagian Kementerian adalah antara tenaga belakang tabir utama yang menyumbang kejayaan demi kejayaan portfolio ini.  Antara inisiatif yang telah dilaksanakan dan anugerah yang dicapai ialah:

1. Memperkenalkan sistem wakaf air dengan menubuhkan Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia (Wakaf Air) yang mendapat kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia.

2. Menyediakan Pelan Strategik KASA 2020-2030: Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia. Pelan ini merupakan dokumen terperinci dan komprehensif dalam menetapkan matlamat dan sasaran jelas ke arah mencapai kelestarian alam sekitar di Malaysia menjelang 2030.

3. Mewujudkan Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS).

4.  Membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi KASA (OACP) 2021-2025.

5. Memuktamadkan Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air bagi negeri Pahang, Kedah dan Perlis sehingga berjaya mengurangkan hutang Persekutuan di ketiga-tiga buah negeri tersebut.

6. Membantu isu air di Kelantan dengan merancang lapan projek untuk dilaksanakan dengan kos pembinaan sebanyak RM1.36 bilion di bawah Projek Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke 11 (RMK-11).

7.  Merangkul (Asia Environmental Enforcement Awards 2020)daripadaUnited Nations Environment Programme(UNEP).

8. Membuat lonjakan signifikan dalam  segmen pertumbuhan hijau menerusi  The Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC).  Tiga perkara utama mencatat pencapaian yang baik dalam MyHIJAU Mark and Directory, Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia Ke-11 (IGEM 2021) dan Insentif Cukai Teknologi Hijau.

9. Mendapat anugerah ‘The Best 7 Forest & Ecology Minister’  daripada  Asia Business Info International Award 2020 yang sekaligus mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau meletakkan sepuluh sasaran untuk dicapai sepanjang 100 hari pertama pentadbiran bagi Sektor Alam Sekitar, KASA. Rekod cemerlang KASA ini mengukuhkan bukti ulama mampu mengurus negara secara profesional berasaskan Ubudiyah, Mas’uliyyah dan Itqan yang digagaskan oleh Kerajaan Kelantan lebih tiga dekad. TITM percaya, konsep pentadbiran Islam merangkumi semua aspek kehidupan termasuk dalam menyediakan dasar pemeliharaan alam sekitar.  

“Aspek membangunkan jiwa manusia inilah yang akan menggerakkan tenaga semua petugas dan organisasi pelaksana untuk menunaikan amanah dengan telus, ikhlas, berintegriti dan berkualiti.  Inilah asas pentadbiran yang sudah lama dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW untuk ditiru oleh seluruh umat,” katanya.

Bahasa Jiwa Bangsa: Berbahasa Melayu di Scotland

Bukan calang-calang orang berasa yakin berucap dalam bahasa ibunda di pentas dunia.  Buat julung kali, TITM ialah menteri perintis yang menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu dalam persidangan peringkat antarabangsa iaitu Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland. 

Keberanian luar biasa itu menerima pujian daripada banyak pihak termasuk Pengerusi Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.  Bukan sekadar berbahasa Melayu, TITM turut memperkenalkan dasar daripada al-Quran dan sunnah dalam memelihara alam sekitar.

Penampilannya yang matang dan bersifat pendamai sangat sesuai dalam mendepani cabaran semasa, krisis perpecahan ummah dan kutukan lawan melalui  pendekatan ‘menerang’ berbanding ‘menyerang’. Selain itu, kekuatan personaliti TITM disenangi pihak istana sehingga mempunyai hubungan akrab dengan Yang DiPertuan Agong dan memahami tatacara berinteraksi dengan institusi diraja. 

Pemimpin Berjiwa Da’ie

“Macam TITM, even politician  dalam kuliah jarang dia mention pasal politik”,

“Sore lagi Dato’ TITM. Bagus juga dih. Kalu  balik Kelate buat kuliah dalam kawasan dia selalu”

“ Cakapnya sopan. Kecek juruh”

Ini antara komen-komen peminat TITM dan juga penduduk parlimen Kubang Kerian terhadap beliau.  Ia menunjukkan jiwa bekas Penasihat Pusat Pungutan Zakat Pahang ini tidak dapat dipisahkan daripada berbagi ilmu kepada orang ramai meskipun selepas bergelar menteri.  Justeru beliau tetap cuba memenuhi jemputan mengajar, berceramah di surau dan program-program umum yang lain.  Beliau juga memanfaatkan peluang menyelitkan tarbiyah Islamiyah melalui ucapan-ucapan rasmi  atau secara tulisan menerusi status-status di media sosial dan buku-buku. Menteri yang memiliki perwatakan  ‘orang tua’ yang berhemah dan kaya dengan senyuman ini pernah menghasilkan 3 buah buku berkaitan senyum iaitu,

  1. Senyumlah
  2. Senyumlah 2 : Wahai Anakku
  3. Senyumlah 3 : Al-Kisah Pedoman Untuk Anakku

Lebih penting lagi, dakwah bil hal yang ada pada karakter soleh pemimpin yang menggemari tempoyak, kopi dan teh ini begitu memberi kesan kepada sesiapa yang pernah mengenalinya secara dekat.  Beliau merupakan antara pemimpin yang dikasihi ramai dek akhak baiknya, bukan kerana pangkat dan pengaruh yang beliau miliki.

Keluarga Mawaddah Penyemarak Perjuangan

Bersama suri hati hidupnya, Datin Sri Norrul Ain Md Hashim, beliau dianugerah lapan cahaya mata yang menyambung pelajaran di pelbagai bidang. Empat daripadanya sudah bernikah dan TITM dikurniakan 11 cucu.

Rumahtangga yang disulami mawaddah dan rahmah sejak 3 Ogos 1986 ini diberkati dengan kelapan-lapan anak yang berminat terhadap pelajaran.  Mohamad Badiuzzaman lulusan Bachelor of Dental Surgery (BDS) International Islamic University Malaysia (IIUM) ialah pegawai pergigian di Kuantan. 

Anak kedua, Dr Mohamad Zakuan baru menamatkan PhD Audiovisual Translation (Subtitling, Dubbing) di Universiti Sains Malaysia (USM) yang sekarang berjawatan pensyarah senior di Kedah.  Manakala Nurrul Hazuani adalah seorang sonographer lulusan Bachelor of Radiography and Diagnostic Imaging (IIUM) dan Postgrad Dip in Medical Ultrasonography ASUM (Vision College).  Norrul Hasniati pula guru lulusan Bachelor of Applied Arts and Design (IIUM) dan Diploma Pascasiswazah Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Seterusnya, Mohamad Izzat berkelulusan Bachelor of Islamic Revealed Knowledge (Usuluddin and Comparative Religions) (IIUM) dan berkerja di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Adiknya, Nurrul Athirah berkelulusan Bachelor of Islamic Education (IIUM) dan Norrul Aisyah sedang menuntut di semester akhir (akan tamat bulan Julai 2022) dalam bidang pengajian Islamic Revealed Knowledge and Heritage (Fiqh and Usul al-Fiqh) (IIUM). Manakala anak bongsu, Nurrul Humaira’ pula sedang belajar di semesta tiga pengajian Degree in Education Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Pahat.

Semoga kepimpinan TITM terus diberkati dan dipayungi rahmat Ilahi serta berpeluang kekal ditampuk regu kepimpinan negara demi maslahah agama, survival bangsa dan keadilan untuk masyarakat majmuk mengambil berkat gelar kurniaan diraja; Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) yang diterima TITM pada tahun 1998 membawa gelaran Dato’. Disusuli pada tahun 2020, TITM menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.) bergelar Dato’ Sri. Terbaru, pada 12 November 2022, beliau turut menerima kurniaan darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Muhammad V.


WAN NOR AINON WAN ABDULLAH

18 Rabi’ul Awal 1444
13 November 2022



Artikel ini telah diterbitkan oleh Majalah QIADAH Edisi 27 pada bulan SAFAR 1444 dengan sedikit editing.

Boleh download percuma Majalah QIADAH keluaran PMBK di sini.

Satu respons kepada “Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man: Menteri KASA Berjiwa Da’ie”

  1. […] Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man: Menteri KASA Berjiwa Da’ie — sayangIslam.com […]

Tinggalkan komen

Saya Ummu Abbas

Selamat datang ke blog saya :) Tempat saya berkongsi secebis ilmu dan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Let’s connect