15 Senarai Ibadah Wanita Yang Uzur Dalam Ramadan

Lazim bagi wanita yang uzur merasa sedikit ‘ketinggalan’ dalam menambah ibadah khusus tatkala menjelang Ramadan yang mulia.

Wanita uzur yang dimaksudkan ialah wanita yang didatangi haid atau nifas.

Hakikatnya, Allah SWT tidak pernah membezakan wanita yang mengalami halangan syarak ini untuk tetap menambah amal ibadah di bulan Ramadan yang penuh barokah serta digandakan pahala ini.

Klik imej untuk ke link asal. Kredit untuk stooryme

Berikut 15 senarai semak amal ibadah yang boleh dilakukan wanita yang sedang haid atau nifas sepanjang Ramadan:

1Istiqamah membaca al-Mathu’rat setiap pagi selepas Subuh dan petang selepas Asar.  

Boleh membaca petikan ayat-ayat Quran dalam al-Ma’thurat tanpa memegang mushaf dengan niat zikir.  Apatah lagi bagi mereka yang telah melazimi membaca al-Ma’thurat setiap hari.[i]  
2Mendengar bacaan Al-Quran[ii]  

Sama ada bacaan ahli keluarga, bacaan imam di masjid berdekatan rumah atau mendengar rakaman.    Boleh tetapkan masa mendengar al-Quran setiap hari selama mana yang kita mampu.  Contoh 1 jam setiap pagi, 1 jam setiap petang dan 1 jam setiap malam.  
3Bersedekah setiap malam supaya dapat pahala sedekah pada malam Al-Qadr.  

Zaman sekarang lebih mudah untuk mengamalkan sedekah setiap malam kerana boleh transfer online.  Simpan 30 nombor akaun derma masjid, Palestin, Syria, rumah anak yatim, sekolah tahfiz, badan yang menguruskan sedekah kepada asnaf dan lain-lain.  Paling utama ialah sedekah kepada keluarga terdekat yang memerlukan, kemudian jiran tetangga dan seterusnya.  
4Menghadiri program tadarus komuniti berhampiran rumah atau secara online.  

Sekiranya tidak menemui program sebegitu di tempat anda, anda boleh merancang untuk mengadakannya bersama keluarga atau jiran tetangga atau kawan-kawan.   Program tadarus biasanya diisi dengan giliran membaca berserta tafsirannya oleh asatizah yang berkelayakan.  Jadi anda akan dapat menambah ilmu tafsiran al-Quran di samping mendapat pahala mendengar bacaan orang lain.  
5Melazimi mendengar kuliah agama setiap hari walau sekejap bagi menambah ilmu berkenaan Islam.  

Kelebihan menuntut ilmu sangat besar di sisi Allah SWT yang sepatutnya diburu oleh setiap umat Islam.  Letak keutamaan kepada ilmu yang wajib terlebih dahulu seperti ilmu fardu ain, kemudian baru ilmu fardu kifayah.[iii]

Letak target untuk faham beberapa tafsiran ayat-ayat al-Quran atau surah-surah pendek yang sentiasa dibaca ketika solat.  Juga senaraikan satu hadis satu hari untuk difahami.  
6Memperbanyakkan selawat  

Sekiranya anda sudah biasa melazimi selawat 10 kali setiap hari, maka di saat uzur begini, boleh gandakan kepada 100 kali sehari dan seterusnya.   Kelebihan selawat amatlah besar walau dilakukan di hari biasa.  Apatah lagi jika ditambah di bulan Ramadan.[iv]  
7Memperbanyak istighfar  

Rebut peluang di bulan keampunan ini untuk bertaubat nasuha dan menambah istighfar.  Sekiranya anda sudah biasa beristighfar 10 X setiap hari, maka di bulan Ramadan, boleh tambah 100 X setiap hari.  
8Di waktu tahajjud, boleh amalkan zikir yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Sayyidatina ‘Aisyah r.a seperti berikut,  

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي  
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”  

Walaupun zikir memohon keampunan ini disarankan membacanya ketika bertemu laylatul qadr, namun boleh sahaja membacanya di setiap malam sebelum 10 akhir Ramadan sebagai persediaan bertemu malam yang mulia tersebut kerana kebanyakan daripada kita tidak dapat memastikan bilakah malam al-Qadr yang sebenar.  
9Memberi makan kepada orang yang berpuasa.  

Selain rutin harian menyediakan hidangan bersahur dan berpuasa kepada ahli keluarga, boleh juga menyediakan makanan berbuka puasa siap dibungkus untuk diagihkan kepada kaum kerabat, jiran tetangga, ahli jemaah surau dan masjid atau menjemput tetamu berbuka di rumah.   

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa mengurangkan sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut.

Al-Tirmizhi dan Ibn Majah  
10Menghubung silaturrahim[v]  

Buat senarai keluarga yang sudah lama tidak diziarahi atau tidak bertanya khabar dimulai dengan keluarga yang paling dekat seperti adik-beradik, bapa saudara dan lain-lain. Manfaatkan handphone untuk menghubungi serta bertanya khabar disusuli dengan ziarah dan sebagainya menurut keperluan.  

Salah satu tip supaya dilanjutkan usia ialah menghubungkan silaturrahim.  
11Membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan menurut kemampuan. Sekiranya anda tidak mampu, bantu salurkan informasi yang diperlukan.  

Sebagai contoh, anda mengenali wanita atau gadis (selain keluarga) yang sedang menghadapi keganasan rumahtangga, sudah tentu anda tidak mampu masuk campur secara langsung namun anda boleh bantu mereka membuat aduan kepada polis dan hospital.   

Bantu merawat haiwan terbiar yang sakit seperti kucing, anjing dan sebagainya.

Membuang gangguan di jalanan seperti kaca, bangkai dan lain-lain.  
12Menahan diri daripada berkata yang tidak baik sama ada dengan lidah atau tangan.[vi]  

Lidah merupakan anggota badan yang paling banyak menjadi asbab bocornya pahala.  Di zaman sekarang, tangan memainkan peranan sama seperti lidah kerana ramai orang memiliki media sosial serta aktif memberi komentar, kritikan dan ulasan di laman-laman maya.    
13Menahan anggota badan yang lain daripada melakukan maksiat.  

Seperti tidak memandang dan mendengar yang haram, tidak membunuh haiwan tanpa sebab, menutup aurat dengan sempurna ketika di hadapan ajnabi, menahan kaki daripada keluar dengan bukan mahram dan lain-lain.    
14Berdakwah serta melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar[vii]  

Ambil peluang di bulan rahmat ini untuk mengajak semua lapisan masyarakat kepada kebaikan serta mencegah daripada melakukan maksiat.  Contoh dakwah kepada para pemimpin ialah supaya berlaku adil kepada rakyat.  Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Secara terangan atau sembunyi. Perlu kreatif dan guna saluran yang betul.   Manfaatkan media sosial untuk menasihati orang awam ke arah kebaikan.   
15Banyakkan berdoa  

Berdoa tidak semestinya dalam keadaan berwudu’.  Kita boleh berdoa sepanjang masa dalam apa jua situasi asalkan kita khusyu’ saat berdoa.  Ambil peluang bulan mustajab doa ini untuk meminta semua keperluan kita kepada Allah SWT.  Buat senarai hajat kita dan berdoalah.   

الدُّعَاءُ مُخُّ الْعِبَادَةِ

“Doa ialah otak bagi ibadat.”

Riwayat al-Tirmizi (3371)  

Tiada gunanya kita menambah ibadah tapi dalam masa yang sama ibadah kita tidak mampu mencegah diri daripada melakukan kemungkaran kerana tujuan ibadah ialah tunduk dan patuh kepada Allah SWT sepenuhnya dengan mentaati segala perintah-Nya serta menjauhi semua larangan-Nya tanpa berkira.  Apabila kita mampu menambah amal, dalam masa yang sama dapat bermujahadah menjauhi segala larangan-Nya, saat itulah kita berjaya mendapat ijazah TAQWA dengan pangkat CEMERLANG A+++.

Hamba yang dikurniakan ijazah TAQWA akan mengecapi kemanisan iman dan ketenangan jiwa yang diimpikan setiap insan. 

Apabila kau cari ketenangan, akan kau temui dalam Islam yang diamalkan dengan kefahaman yang sahih dan secara menyeluruh.  Selagi mana kita memilih-milih apa yang iman suka dalam masa yang sama, kehendak nafsu syahwat pun masih dituruti, konflik yang kita sendiri bina dalam jiwa hanya mengundang resah dan gelisah yang tidak berkesudahan.  Tiada ketenangan dalam ibadah yang masih disertai dengan maksiat.

Moga Allah permudahkan jalan untuk kita menjadi bertambah baik dalam Ramadan 1445 ini.

Wassalam.


Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak 1445H

Ummu Abbas

29 Sya’aban 1445H

10 Mac 2024

Tanah Serendah Sekebun Bunga


[i] https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-khas-ramadhan-cat/5603-irsyad-fatwa-edisi-khas-ramadan-siri-ke-238-adakah-wanita-haid-boleh-membaca-al-quran-ketika-bulan-ramadan-kerana-bulan-yang-diturunkan-al-quran

[ii] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/938-al-kafi-379-hukum-mendengar-al-quran

[iii] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1122-irsyad-al-hadith-siri-ke-109-kelebihan-menuntut-ilmu

[iv] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4713-al-kafi-1776-apakah-apakah-manfaat-selawat-dan-salam-bagi-rasulullah-saw

[v] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3701-al-kafi-1374-maksud-hubungan-silaturrahim

[vi] https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/3435-irsyad-al-hadith-siri-ke-374-mulut-punca-ke-neraka

[vii] https://edakwah.kelantan.gov.my/portal/books/%F0%9F%94%96siri-35surah-ali-imraan-3-ayat-104-mengajak-manusia-melakukan-kebaikan-mencegah-dari-melakukan-kemungkaran/#:~:text=%E2%80%9CDan%20hendaklah%20ada%20di%20antara,orang%2Dorang%20yang%20berjaya.%E2%80%9D

Tinggalkan komen

Saya Ummu Abbas

Selamat datang ke blog saya :) Tempat saya berkongsi secebis ilmu dan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Let’s connect