Adakah Saya Wajib Mengundi?

Saban hari kita merasa tertekan dengan dengan kos sara hidup yang kian meningkat dan nilai ringgit yang semakin jatuh berbanding beberapa mata wang yang lain.  Bukan dalam bab ekonomi sahaja, pelbagai lagi masalah sosial yang melingkari kehidupan kita.  Faktor asas yang menyumbang kepada masalah-masalah tersebut ialah sikap ketidak pedulian sebahagian masyarakat terhadap nasibnya sendiri dengan memilih untuk tidak mengundi. 

“Malas ah nak ambil tahu pasal politik”

“Politik itu kotor… “

“Aku benci politik”

Pelbagai tanggapan negatif dibuat terhadap politik.  Adakah ia benar? 

Tanggapan negatif ini mudah ditangkis apabila kita belajar sejarah pemerintahan Islam yang dibawa oleh Nabi SAW di Madinah sehingga Islam pernah menguasai 2/3 dunia. 

Belajarlah siasah Islam, pasti akan ditemui suasana yang aman, adil, saksama dan berintegriti dalam pemerintahan.  Jangan dibanding dengan politik gaya barat yang menghalalkan cara untuk mencapai matlamatnya.  Oleh sebab itu, masyarakat asyik dihidangkan dengan fitnah,  adu domba dan eksploitasi isu untuk kepentingan politik  yang tidak berkesudahan sehingga mereka menuduh politik itu yang busuk.





SAYA MENGUNDI KERANA HAK DAN TANGGUNGJAWAB

Banyak perkara dalam hidup kita melakukannya kerana tanggungjawab, keperluan dan kepentingan tertentu, bukan kerana minat semata. 
 
Saya juga kurang berminat dengan politik namun disebabkan kita belajar tentang siyasah Islam dan juga memahami sirah Nabi SAW yang agenda besar peristiwa hijrah ialah membentuk negara yang dibangunkan dengan sistem pentadbiran Islam, maka tidak dapat tidak, dalam konteks saya hidup di negara yang mengambil sistem demokrasi berpilihanraya untuk memilih pemimpin, sebagai umat Islam, saya berkewajiban melibatkan diri dalam skop yang saya mampu iaitu mengundi. 

Mengambil tahu hal politik, tidak semestinya kerana mahu menjadi pemimpin masyarakat – lebih jauh daripada itu ialah kita bertanggungjawab memilih pemimpin yang baik menurut kaca mata syarak.  Jadi tidak dapat tidak, saya perlu celik politik. 

Alang-alang saya selaku rakyat diberi hak dan kebebasan untuk memilih pemimpin, saya akan manfaatkan peluang ini sepenuhnya untuk keluar mengundi dalam mana-mana pilihanraya yang diadakan sama ada di peringkat negeri atau nasional.

TANGGUNGJAWAB PENGUNDI MEMBERSIHKAN SAMPAH POLITIK

Saya sekali-kali tidak akan biarkan individu  yang tidak berkualiti berjaya naik tahta untuk menguasai kehidupan saya dan orang lain dengan cara yang tidak benar.  Apatah lagi jika mereka sudah diketahui umum tidak tegas dalam mempertahankan syariat Islam terutamanya dan juga banyak berbohong serta suka pula memungkiri janji. 

Saya mahu memilih pemimpin yang baik dan berkaliber untuk menentukan semua dasar-dasar negara yang berkadar langsung dengan kehidupan harian saya sama ada dalam  hal ehwal individu, kekeluargaan, pendidikan, ekonomi, sosial, kehakiman, perundangan dan lain-lain.

Saya mahu mengambil peluang membersihkan sampah-sampah politik yang bernama politik sekular, liberal dan apa sahaja selain siasah Islam sehingga keindahan politik Islam itu benar-benar terserlah apabila saya memastikan saya mengundi pemimpin-pemimpin yang memahami serta melaksanakannya mendominasi dalam sistem pemerintahan negara dan negeri.

DALIL KEWAJIPAN MEMILIH PEMIMPIN

Sabda Baginda Nabi SAW:

لاَ يَحِلُّ لِثَلَاثَةٍ يَكُوْنُوْنَ بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ إِلَّا أَمَّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya“Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.”

Riwayat Ahmad (2/177) dan Abu Daud (2608, 2609)

Hadis ini menunjukkan kalau dalam kumpulan yang sekecil tiga orang pun telah diwajibkan memilih salah seorang sebagai pemimpin, maka dalam kumpulan yang lebih besar, lebih-lebih lagi perlu kepada memilih dan melantik seorang pemimpin.  Justeru sebahagian para sahabat juga telah segera bermesyuarat untuk melantik khalifah sebaik sahaja Rasulullah SAW wafat menunjukkan ummah tidak boleh dibiarkan tanpa adanya pemimpin yang mentadbir urusan mereka.

MENGUNDI MENJADI IBADAH

Firman Allah SWT,

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

Al-Zaariyat 51:56

Ayat di atas merupakan objektif utama diciptakan jin dan manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT.  Bermula daripada ibadah fardu yang asas iaitu solat, semua perkara yang dilakukan ada nilai pahala dan dosanya.  Ia termasuk amalan memilih pemimpin sebagaimana yang telah disebut dalilnya sebelum ini.

Ummu Abbas

11.45 pm

8 Rabi’ul II 1444H

3 November 2022

Tinggalkan komen

Saya Ummu Abbas

Selamat datang ke blog saya :) Tempat saya berkongsi secebis ilmu dan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Let’s connect