Assallammualaikum, akk.. ermm, untuk pengetahuan akan sy sedang pregnant almost 5 months.. Tapi, sy ni kurang menitikberatkan bab solat.. Akk tolong sy macam mana nak ubah sikap sy ni… n bagi tips untuk memudahkan bersalin n mengurangkn kesakitan ketika bersalin… sy berumur 22thn.. sy berkahwin pd usia yang muda.. so, banyak yang perlu sy belajar… sy nak jadi seorang ibu yang terbaik untuk bakal bayi yang sy lahirkan nanti… plz akak…..
White
*******************************
Tahniah White kerana bakal menjadi ibu. Alhamdulillah juga kerana sampai saat ini, Allah masih mengurniakan nikmat yang tidak terhingga buat kita semua terutama nikmat iman dan Islam.
Akak mohon maaf sebab tidak mampu mengubah sikap White yang kurang menitik beratkan bab solat kecuali White sendiri yang mahu dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubahnya. Hatta Allah pun tidak akan mengubah sikap White kecuali White sendiri yang berusaha untuk mengubahnya. Allah berkata dalam surah al-Ra’d ayat 11,
إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
Akak hanya boleh mencadangkan sesuatu untuk White fikirkan.
Sekarang White dikurniakan nikmat hamil anak pertama. Ramai lagi insan di luar sana yang mahu anak tetapi tidak mendapatnya dan ramai pula yang tidak mahu anak tetapi ‘hamil segera’ tanpa sempat bersuami. Akhirnya anak-anak yang tidak berdosa dibuang sesuka hati.
Apa yang White rasakan pada bulan pertama hamil? Dan pada bulan-bulan seterusnya? Adakah White mengalami alahan seperti muntah-muntah serta tidak lalu makan?
Apa pula yang White rasakan setelah kandungan menjelang 5 bulan? Secara normal, White akan mula merasakan tendangan-tendangan halus janin dalam kandungan. Apa perasaan White tatkala merasa tendangan pertama janin di dalam rahim? Kak Nur percaya mana-mana ibu normal akan merasa bahagia dan perasaan kasih menyelinap ke seluruh hati. Daripada mana perasaan itu datang kalau bukan anugerah dari Allah?
Bagaimana pula janin itu boleh membesar dan mempunyai jantung dan anggota badan yang lain kalau bukan kerana diciptakan Allah?
Kemudian White akan melahirkan janin itu dengan izin Allah seterusnya membesarkannya. Apa perasaan White sekiranya suatu hari nanti anak itu akan menderhaka kepada White (na’uzubillah) sedangkan White mengandung, melahirkan dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang? Adakah White sanggup menghadapi keadaan itu? Jika dengan sedikit jasa kita, kita akan rasa marah bila seorang anak melupakan segala penat lelah kita mengandung dan membesarkannya, bagaimana pula dengan Allah yang telah menciptakan diri kita dan melimpahkan pelbagai nikmat kepada kita.
Apa yang penting di sini ialah White harus meluangkan masa untuk melihat kejadian di sekeliling serta merenungnya agar timbul rasa kehebatan Allah. Dari rasa kagum itulah akan melahirkan rasa mahu berterima kasih kepada Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Jika kepada manusia yang berbudi kepada kita, kita mengucapkan terima kasih dan melakukan perkara yang disukainya, maka begitulah jua cara kita bersyukur kepada Allah. Selain mengucapkan alhamdulillah, kita dituntut membuktikan rasa syukur itu melalui perbuatan dengan melaksanakan perintahNya serta meninggalkan laranganNya.
Memahami Objektif Kejadian Manusia
Dari tiada kepada ada, siapakah yang menciptakan kita?
Apa pula tujuan kita diciptakan?
Allah menciptakan kita hanya dengan satu tujuan yakni menyembahNya dan mengabdikan diri kepadaNya. Ayat 56 dari surah al-Zaariyat menyatakan,
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْاِنْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْنِ
Maksudnya: Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka memperhambakan diri (beribadah) kepadaKu.
Pokok segala pengabdian ialah solat lima waktu.
Rasulullah s.a.w berkata,
رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ
Maksudnya: Kepala urusan (kehidupan) ini adalah Islam dan tiangnya adalah solat.
Hadis 2541 direkod oleh Tirmizhi.
Hadis di atas dikategorikan sebagai Hadis Sahih oleh Abu Isa dalam Sunan al-Tirmizhi.
Sifat tiang itu ialah menampung apa-apa bangunan yang ingin didirikan. Keteguhan bangunan bergantung erat pada keteguhan tiang. Apabila tiang bermutu dan teguh, maka akan teguh pula bangunan yang didirikan di atasnya. Begitu juga sebaliknya. Justeru itu perumpamaan Rasulullah s.a.w mengenai solat sebagai tiang agama adalah untuk menggambarkan kepentingan solat dalam kehidupan seseorang. Sesiapa yang meneguhkan tiangnya bermakna dia telah mendirikan agamanya. Sesiapa yang mendirikan agamanya dengan tiang yang teguh bererti dia telah membina satu kehidupan yang berkualiti untuk dunia dan akhiratnya.
Sesiapa yang membuang tiangnya bermakna dia telah meruntuhkan agama. Orang yang meruntuhkan agamanya sama seperti merosakkan kehidupannya sendiri baik di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Oleh sebab itulah, solat diwajibkan kepada setiap muslim yang berakal dan baligh.
White yang dikasihi,
Solat bukan sahaja berfungsi sebagai tiang kepada kehidupan kita, bahkan solat juga menjadi sempadan antara iman dan kufur bagi seseorang muslim. Jabir melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berkata,
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: Sesungguhnya antara seorang lelaki dengan kesyirikan dan kekufuran sempadannya ialah meninggalkan solat.
Hadis direkodkan oleh Imam Muslim. Hadis ini juga direkodkan oleh Imam Tirmizhi, Abu Dawud dan Ibn Majah dengan matan sedikit berbeza.
Rasulullah s.a.w menjelaskan melalui hadis ini bahawa antara perkara yang menjadi pembatas antara iman dan kufur ialah meninggalkan solat. Imam al-Sindi menjelaskan solat itu mencegah seseorang hamba dari sampai kepada kufur. Justeru itu kita perlu takut dan bimbang terjerlus ke lembah kekufuran lebih dari takut kepada perkara lain seperti takut miskin, takut tidak lulus periksa dan sebagainya.
Jika jasad kita akan kebulur dan lemah apabila tidak diberi makan dan minum, maka ruh kita pula akan melemah dan sakit tatkala kita meninggalkan solat. Kita perlu sedar, setiap hari ada 3 unsur pada diri kita yang memerlukan makan dan minum yakni jasmani, rohani dan akal. Maka peliharalah ketiga-tiga perkara tersebut agar kehidupan jasmani, rohani dan akal kita seimbang dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Ketiga-tiga unsur yang sihat pada diri kita itulah yang akan membantu kita menjadi ibu yang terbaik kepada anak yang bakal lahir. Kehidupan ini penuh pancaroba dan dugaan pahit manis. Cabaran berhadapan dengan kerenah anak-anak juga bukan mudah. Tidak mungkin kita mampu menempuh semua itu kecuali dengan pertolongan dari Allah. Bantuan Allah hanya boleh diperolehi dengan mendirikan solat. Allah berkata dalam surah
al-Baqarah, ayat 45,
وَاسْتَعِيْنُوْا بِالصَّبْرِ وَالصَّلٰوةِؕ وَاِنَّهَا لَكَبِيْرَةٌ اِلَّا عَلَى الْخٰشِعِيْنَۙ
Maksudnya: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan menunaikan solat. Sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
‘Hadiah’ bagi mereka yang meninggalkan solat.
Selain perkara di atas, White perlu mengetahui hukuman dan akibat seseorang yang meninggalkan solat.
Ulama sepakat menyatakan bahawa muslim yang meninggalkan solat kerana ingkar terhadap kewajiban solat hukumnya kafir. Ini adalah kerana kefarduan solat telah ditetapkan secara mutlak oleh Al-Quran, hadis dan ijmak. Jika mereka meninggalkan solat kerana malas, ulama berbeza pendapat mengenainya sama ada fasik atau kafir. Namun kedua-dua pendapat tersebut tetap membuktikan implikasi negatif yang besar bagi seseorang yang meninggalkan solat.
Hukuman yang berat juga dikenakan kepada mereka yang meninggalkan solat sama ada di dunia atau di akhirat. Allah berkata dalam surah Al-Muddaththir, ayat 42 dan 43,
مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ. قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ
Maksudnya: Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka Saqar? Mereka menjawab, “Kami dahulu bukan daripada golongan orang-orang yang bersolat”.
Solat Ibu Segala Ibadah
Apabila baik solat seseorang, maka baiklah dirinya dan amalannya yang lain. Begitulah sebaliknya. Solat juga amalan pertama dihisab selepas ruh berpisah dari badan.
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ
Maksudnya: Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab bagi seseorang hamba pada hari kiamat ialah solatnya. Jika solat dia baik, maka dia akan menang dan berjaya. Sekiranya solat itu rosak, maka dia akan binasa dan rugi.
Direkodkan oleh al-Tirmizhi.
Solat 5 waktu diwajibkan ke atas setiap mukallaf melakukannya walau dalam apa jua situasi. Ayat 103 dari Surah Al-Nisa menyebut,
فَاِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلٰوةَ فَاذْكُرُوا اللّٰهَ قِيَامًا وَّقُعُوْدًا وَّعَلٰى جُنُوْبِكُمْ ۚؕ فَاِذَا اطْمَاْنَنْتُمْ فَاَقِيْمُوْا الصَّلٰوةَ ۚ اِنَّ الصَّلٰوةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتٰبًا مَّوْقُوْتًا
Maksudnya: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
Akak mahu cadangkan White membaca Surah Fatir dan meneliti tafsirannya dan cuba menghayatinya. Di dalam surah tersebut terdapat kisah bagaimana Allah menciptakan janin dalam kandungan, mengenai solat dan kejadian-kejadian lain.
White juga boleh merujuk kepada beberapa artikel akak berkaitan solat dan juga pengalaman semasa hamil bagi menambah pengetahuan. Antaranya ialah;
Hari-hari Berhijrah
Alahan Yang Menginsafkan
Allah yang mengeluarkan dirimu
Untuk menjadi ibu yang baik, akak syorkan White membaca blog Ummu Husna atau lain-lain yang berceloteh mengenai pengalaman mendidik anak-anak.
Akhir kata, sentiasalah memohon kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk menunaikan solat 5 waktu. Bermujahadahlah selalu agar nafsu malas dapat ditundukkan. Sesungguhnya mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis.
Ummu Abbas
4.04pm
1 Jumadal Akhir 1431H
Salam.
Sepupu saya semasa dia hamil anak yang pertama dulu selalu solat malam berjamaah dengan suaminya. Saya perhatikan anaknya itu teramatlah ‘juruh’ (elok) perangai. Dengar cakap orang, tak suka buang sampah merata-rata dan banyaklah lagi. Saya paling kagum sebab Mek Wa (nama budak tu Salwa) selalu mengikut orang-orang dewasa solat. Dia buat dengan sukarela saja. Kalau dengar azan berkumandang, terus pergi ambil sejadah dan kopiah dia (amatlah lucu sebab budak perempuan pakai kopiah). Diharapkan akak White dapat juga mengamalkan apa yang sepupu saya lakukan dan insya Allah, zuriat yang akak lahirkan akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
P.S- Umur Salwa masih belum cukup 2 tahun.
Saya suka cara penulisan Ummu Abbas. Saya minat nak ikutinya…Semoga apa yang ditulis akan dapat saya manfaatkan dan Ummu Abbas diberkati Allah hendaknya…Amin
smoga dirahmati-Nya selalu..
mashaALLAH..terasa menusuk di kalbu..moga2 mmberi manfaat kpd kte semua,inshaALLAH.ana doakan ukhti white,selamat dunia akhirat,ALLAHUMA AMEEN.
Subhanallah.terima kasih diatas artikel2 yg cukup berharga .semoga Allah merahmatimu wahai Ummu Abass