Darwinism dan Keganasan

 

http://www.misterhobbes.net/

3.  Darwinism dan Keganasan

Asas kepada teori Darwin itu ialah tidak wujud tuhan dalam menentu dan mengawal proses kejadian hidupan dan kejadian hidupan ini adalah hasil dari proses evolusi dan survival yang panjang. Seorang penulis Islam, Harun Yahya banyak membuat kajian berhubung dengan Darwinism. Beliau menyatakan dengan tegas bahawa Teori Evolusi Darwin antara punca manusia menjadi ganas.  Menjadi asas kepada teori ini bahawa manusia berevolusi daripada binatang khususnya primates (monyet).  Sesetengah bangsa manusia dipercayai makhluk primitive dan setengah bangsa yang lain lebih terkedepan dari sudut evolusinya. Iaitu satu bangsa lebih tinggi (superior) dan bangsa lain lebih rendah (inferior).  Dalam ertikata lain, Darwin adalah ‘bapa perkauman’ sebab menyatakan satu bangsa lebih baik daripada bangsa lain.

Dalam alam haiwan, haiwan yang kuat akan mengatasi haiwan yang lemah. Haiwan yang kuat akan menang dan meneruskan kehidupan manakala haiwan yang lemah akan pupus. Tambahan pula Darwin tidak mempercayai tuhan, agama dan hari pembalasan. Manusia adalah binatang yang lebih terkedepan dalam evolusi. Bagi meneruskan kehidupan, manusia  yang  kuat  perlu  menindas dan memusnahkan manusia yang lemah.

Sumber: media-cdn.tripadvisor.com/

Ramai ahli-ahli sains sosial menjadi pengikut Darwin yang menghalalkan keganasan, pembunuhan dan penindasan kaum yang kuat ke atas kaum yang lemah. Antaranya adalah Friedrich Nietzche, Arthur Gobineau dan Houston Stewart Chamberlain. Friedrich Nietzche sebagai contohnya dengan jelas menyatakan bahawa satu kaum manusia adalah ubermensch (supermen) dan bangsa lain perlu berkhidmat dan menurut perintah bangsa agung supermen ini.  Nietzche menjadi sumber inspirasi kepada Adolf Hitler yang kemudiannya menjadikan teori ini ke dalam amali apabila Nazi memerintah German.

Harun Yahya menekankan lagi bahawa Darwin telah menghalalkan penindasan bangsa-bangsa yang lemah disebabkan hasil kajian saintifik beliau iaitu “perjuangan untuk hidup” dan “yang kuatlah akan terus hidup”. Konflik-konflik yang berlaku di atas nama rasisme, fasisme, komunisme dan imperialisme serta usaha gigih mereka untuk menghentam golongan yang dianggap lemah.  Kini amat mustahil untuk menghalang atau menyekat mereka yang melakukan pembunuhan berkelompok secara kejam, melayan manusia lain seperti binatang, melaga-lagakan manusia supaya saling bermusuhan, mereka yang menghina orang lain kerana bangsa mereka, mereka yang menutup perniagaan-perniagaan kecil di atas dasar persaingan dan mereka yang menolak untuk menolong orang-orang fakir. Mereka melakukan ini semua berdasarkan kepada undang-undang semula jadi yang “saintifik”. Ini jelas satu fahaman hutan rimba dan dunia binatang iaitu siapa kuat dia terus hidup.

Ia juga jelas bertentang dengan kepercayaan Islam yang menyatakan semua bangsa adalah sama.  Allah menerangkan dalam surah  al-Hujurat, ayat 13,

Maksudnya:

 

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan serta Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.

 

Ayat di atas secara nyata menerangkan tujuan manusia dijadikan berbilang bangsa, pelbagai warna kulit dan bermacam-macam bahasa adalah agar mereka saling berkenalan antara satu sama lain.  Hasil dari perkenalan tersebut, manusia diharap dapat meneliti kebesaran dan kekreatifan Allah dalam mencipta sesuatu.  Ia juga menambah warna-warna kehidupan yang lebih menarik di bumi sementara ini.  Puncak kepada saling mengenali antara satu sama lain itu ialah ketaqwaan kepada Allah.  Allah menegaskan bahawa hanya taqwa di hati seseorang yang bernilai pada pandanganNya.  Allah sekali-kali tidak mengira warna kulit, bahasa dan paras seseorang sebagaimana nilaian sebahagian manusia.  ALlah tidak hairan dengan semua sifat-sifat lahir tersebut kerana Dia sendiri yang menciptanya.  Berbeza hati yang bertaqwa, maka ia adalah pilihan dan berdasarkan daya usaha individu.

Darwinism menjadi asas kepada kedua-dua fahaman pengganas iaitu fasis dan komunis. Dianggap bahawa fasis (dan Nazi) adalah sayap kanan Darwinism dan komunis sebagai sayap kiri Darwinism. Kedua-duanya seolah-olah bertentangan antara satu sama lain tetapi persamaannya adalah mereka sanggup membunuh orang lain yang bukan satu bangsa atau satu fahaman dengan mereka. Kedua-dua mereka adalah pengganas yang menjadikan rakyat dan orang awam sebagai bahan ujian.

Perang Saudara di Sepanyol tahun 1936-1939 membuktikan bahawa fasis dan komunis sanggup membunuh penduduk awam demi memastikan mereka mendapat kekuasaan. Dianggarkan 500,000-1,000,000 orang rakyat Sepanyol yang dibunuh oleh kedua-dua pihak untuk mendapatkan kekuasaan. Pembunuhan penduduk awam Sepanyol tidak terhenti setakat berakhirnya perang saudara tersebut.  Ini adalah kerana Francisco Franco, seorang fasis yang mendapat kemenangan dalam perang tersebut meneruskan dasar pembunuhan penduduk awam.  Hitler dan Mussolini telah menggunakan Sepanyol sebagai makmal senjata baru dan kapal terbang pengebom mereka sebelum Perang Dunia kedua.

4.  Kebodohan, Psikologi Pengganas dan Budaya Mengampu

Keadaan miskin, tertekan dan kebodohan merupakan asas paling utama bagi keganasan. Perkara ini boleh dilihat dari sudut kelahiran, perkembangan dan pengaruh Nazi German. Nazi dengan mudah menjadi parti utama German kerana keadaan ekonomi gawat selepas kekalahan perang dunia pertama.  Keadaan sangat tertekan dengan kematian orang terdekat dan kemusnahan harta benda yang banyak. Golongan remaja juga tidak dapat belajar dengan sempurna kerana sibuk membantu ekonomi keluarga. Nazi sendiri sangat gemar kepada kebodohan dan kejahilan masyarakat supaya senang dipengaruhi.  Justeru itu semasa perkembangan Nazi, mereka sering mengadakan kempen pembakaran buku yang dikatakan membawa idea bukan German.  Ilmu sains juga ditentang kerana ia dianggap sebagai tipu helah Yahudi. Apa yang mereka gemarkan adalah cerita dongeng dan khayalan atau cerita-cerita penglipur lara sahaja.

Pengganas ini biasanya akan baik dan mesra apabila berkeseorangan tetapi berubah menjadi bahaya apabila bersama-sama dengan pengganas lain. Mereka boleh membunuh dan menumpahkan darah tanpa apa-apa perasaan.  Mereka biasanya orang  jahil yang senang dimanipulasikan oleh individu berkepentingan.  Sedangkan Allah melarang kita mengambil sebarang tindakan tanpa pengetahuan atau hujjah yang kukuh.  Larangan ini ditegaskan dalam surah al- Isra’, ayat 36,

 

Maksudnya:

 

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

 

Tokoh-tokoh lagenda diperbesar-besarkan seolah-olah boleh menyelesaikan semua masalah kaum tersebut. Nazi sering mengadakan program mengagung dan mengampu pembesar dengan terancang. Banyak rapat umum diadakan untuk mengampu pemimpin. Sehingga satu peringkat Hitler dianggap sebagai insan suci dan semua perbuatan Hitler dianggap sebagai tepat walaupun bertentangan dengan naluri kemanusiaan.  Lihatlah semasa peristiwa Holocaust, orang German hanya melihat pembunuhan tersebut sebagai satu tindakan yang rasional kerana sudah dihijab oleh propaganda mengampu yang keterlaluan. Para doktor yang seharusnya menjadi penyelamat manusia dari kesakitan fizikal, telah bertukar menjadi pembunuh kejam dan pengendali ujian sains ke atas manusia.

Orang-orang bodoh yang tidak dididik dengan perasaan cinta dijadikan askar dan polis. Oleh itu mereka senang dimanipulasi untuk menjadi pengganas. Mereka tidak lagi mempunyai peri kemanusiaan dan belas ihsan dalam melakukan pembunuhan. Mereka menjadi pengampu pemimpin nombor satu dan sanggup berbuat apa sahaja seperti robot. Contoh yang paling dekat adalah pegawai Schutzstaffel (SS) Nazi. Mereka bekerja dan bertindak secara langsung atas arahan pemimpin, Hitler. Mereka dibayar gaji oleh negara untuk menyiasat, mendakwa, membunuh orang awam, membuat ujikaji, menjalankan provokasi dan apa-apa sahaja tindakan untuk memasikan Hitler terus menjadi pemimpin agung Nazi.

Budaya mengampu yang keterlaluan ini sangat merbahaya. Gelaran-gelaran hebat diberikan kepada pemimpin-pemimpin mereka. Contohnya ‘Der Fuhrer’ diberikan kepada Hitler mengambarkan sebagai pemimpin yang tahu segala-galanya. Seorang pemimpin Nazi, Herr Spaniol, berucap di Saarbruecken dalam bulan Januari 1935, menyatakan: “Saya tidak percaya Gereja akan berterusan dalam bentuk sekarang ini. Pada masa akan datang, agama (kristian) akan dipanggil National Socialism (Nazi).  Nabi, Pope, Jesus Christ akan dipanggil Adolf Hitler”. Manakala Mussolini di Itali pula digelar Il Duce (Pemimpin Agung). Propaganda yang dibuat pada masa itu adalah “Duce Sentiasa Betul”.

 Perkara ini juga dilihat berlaku semasa Kerajaan Pol Pot di Kemboja. Pada waktu tersebut setiap orang yang berkaca mata dibunuh kerana menggunakan teknologi barat. Beribu-ribu guru dibunuh dan selebihnya dipaksa menjadi petani. Masyarakat penuh dengan kejahilan. Kanak-kanak dipisahkan daripada keluarga, diajar dengan permaianan ganas dan dilatih menjadi perisik bagi kerajaan Khmer Rouge. Institusi keluarga runtuh kerana suami isteri serta anak-anak tidak mempercayai satu sama lain. Pembunuhan berleluasa dan berlaku dimana-mana. Suasana takut dan bimbang meliputi masyarakat.

Sumber: questgarden.com/

 
5.  Firaun Sebagai Tokoh Pengganas

Firaun adalah tokoh yang sukakan keganasan, kezaliman dan penindasan.  Sifat-sifatnya disebut dalam al-Quran menyamai tokoh pengganas dan diktator di zaman moden. Firaun yang memerintah Mesir di zaman Nabi Musa mengamalkan sikap perkauman dan penindasan terhadap Bani Israel.  Bani Israel dianggap sebagai hamba dan warganegara kelas kedua.  Dia telah membuat undang-undang yang zalim iaitu semua bayi lelaki Bani Israel mesti dibunuh.  Allah menukilkan sikap Firaun ini dalam surah  al-Qasas, ayat 4,

 

Maksudnya:

Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia adalah dari golongan yang membuat kerosakan.

Dalam surah al-Mu’minuun, ayat 47, kaum Firaun digambarkan sebagai golongan yang angkuh,

Maksudnya:

 

Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya): “Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedang kaum mereka menjadi hamba-hamba kita?”

Allah menjelaskan pula dalam surah al-A’raaf, ayat 141,

Maksudnya:

Dan (Tuhan berkata): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksaan yang seberat-beratnya; mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu. Dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari Tuhanmu.

Firaun tidak keseorangan.  Dia mempunyai tentera dan pengampu yang ramai.  Mereka juga sering membuat propaganda-propaganda yang mengagungkan Firaun. Firaun memperbodohkan rakyat dengan propaganda tersebut. Allah menerangkan hal ini dalam surah al-Zukhruf, ayat 51 hingga ayat 54,

Maksudnya:

 

Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istanaku)? Tidakkah kamu melihatnya? Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? (Kalau betul dia seorang Rasul) maka sepatutnya dia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan dia seorang pemimpin) atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)? (Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik (derhaka).

Dia mewujudkan suasana takut dalam masyarakat.  Inilah juga sifat diktator lain seperti Hitler, Mussolini dan Stalin. Mereka membuat kezaliman dan kerosakan dalam masyarakat. Allah menjelaskan dalam surah Yunus, ayat 83,

Maksudnya:

 

Maka tiadalah yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dalam keadaan takut kepada Firaun serta ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka.  Sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi dan sebenarnya dia dari golongan yang melampaui batas.

Perkara ini ditegaskan lagi oleh Allah tatkala menyuruh Nabi Musa berdakwah kepada Firaun.  Allah memerintah Nabi Musa dalam surah al-Naazi’aat, ayat 17,

Maksudnya:

 

Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya)

Di antara propagandanya adalah dengan cara membuat rapat umum yang besar untuk mengampu beliau sehingga Firaun mengaku tuhan dan insan suci.  Sama seperti anggapan pengikut  Hitler dan Mussolini.  Allah menerangkan dalam surah al-Naazi’aat, ayat 23 dan 24,

 

Maksudnya:

 

Lalu dia menghimpunkan orang-orangnya sambil menyeru. Maka dia berkata: Akulah tuhan kamu yang tertinggi.

Pengganas yang berupa diktator ini dikelilingi oleh pengampu. Pembesar-pembesar mengambil peluang untuk mengampu Firaun. Mereka menunjukkan keprihatinan terhadap kedudukan dan kesukaan Firaun. Allah menceritakan keadaan ini dalam al-Quran. Katanya dalam surah al-A’raf, ayat 127,

Maksudnya:

Dan berkatalah pula pembesar-pembesar dari kaum Firaun: Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu? Firaun menjawab: Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka.

Firaun dan pengikutnya cuba memberikan imej yang buruk kepada musuhnya iaitu Nabi Musa.  Firaun mengatakan Nabi Musa adalah ahli sihir dan pembohong.  Merosakkan imej musuh nampaknya menjadi sebahagian propaganda diktator setiap zaman.  Firaun cuba merasionalkan hukuman bunuh kepada Musa dengan menunjukkan keprihatinannya kepada orang-orang Mesir. Firaun tidak mahu orang-orang Mesir bertukar agama dan mengikut Nabi Musa.  Seterusnya bimbang Musa dan pengikutnya melakukan kerosakan di bumi.  Inilah yang disebut oleh Allah dalam Surah Ghafir,  ayat  23 hingga 26,

Maksudnya:

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas.   Kepada Firaun dan Haman serta Qarun; maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: Dia seorang ahli sihir, lagi pendusta! Setelah Nabi Musa datang kepada mereka dengan membawa kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata (dengan marahnya): Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang beriman yang mengikutnya dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka. (Tetapi usaha) dan tipu daya orang-orang kafir itu hanya menyebabkan mereka tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan sahaja. Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar agama kamu atau dia menimbulkan kerosakan di muka bumi.

 

Kesudahan Tokoh Pengganas ini ialah dimusnahkan Allah dengan cara ditenggelamkan di Laut Merah.  Allah ceritakan kisah mereka dalam surah al-Anfal, ayat 54,

Maksudnya:

 

Samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka.  Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka disebabkan dosa-dosa mereka dan Kami tenggelamkan Firaun serta pengikut-pengikutnya (di laut), kerana kesemua mereka adalah orang-orang yang zalim.

Allah mengingatkan lagi tentang pembalasan kepada pengganas dalam surah Ghafir, ayat 45 dan 46,

 

Maksudnya:

 

Maka dia diselamatkan Allah dari angkara tipu daya mereka, sedangkan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya.  Mereka didedahkan kepada bahang api Neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan para pengikutnya ke dalam seksa api Neraka yang seberat-beratnya!

Apakah kesudahan ini khusus untuk Firaun sahaja? Tidak! Kerana Allah mahu kita mengambil pelajaran dari kisah yang dikemukakan al-Quran.  Allah menyebut dalam surah al-Naml, ayat 14,

 

Maksudnya:

 

Dan mereka (Firaun dan kaumnya) mengingkarinya (mukjizat Musa) secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.

 

bersambung di lain rancangan…

One thought on “Darwinism dan Keganasan

Add yours

  1. Aliran Darwinisme bukan berasal daripada aliran lain. Nazisme, Komunisme dan Marxisme bukan berasal daripada Darwin kerana darwin mengamalkan hujjah sains terhadap pencipta alam tanpa melibatkan kuasa tuhan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: