Posted in Islamika, Siasah

Antara H I M P U N dan Si Jelita Non Muslim

Bismillah.

Assalamu’alaikum warahmatullah.

Pagi ini ada kelas di Masjid Preston seperti biasa.  Dari semalam, saya plan untuk ke masjid.  Jadi pagi-pagi lagi,  nasi disediakan untuk  sarapan + makan tengahari.  Suami pula segera ke lab sehingga tidak sempat membantu menjemur kain.  Satu tugasan yang biasa dibuatnya.

Selepas menghantar anak-anak ke sekolah jam 9 pagi, bergegas pula menjemur kain.  Alhamdulillah, cuaca hari ini cerah.  Akibat demam yang sudah beberapa hari, seusai menjemur pakaian, badan terasa sangat penat.  Lantas mengambil bayi dan berbaring bersamanya.  Saya memandang jam di dinding.

Pukul 9.25 pagi.

Kelas dikatakan bermula 9.30 pagi.  Jarak perjalanan dengan kereta kira-kira 10 minit.  Saya tidak mampu bergegas ke masjid dalam keadaan begini.  Apatah lagi bayi minta disusukan.  Selepas bayi kenyang.  Saya bertawakkal dan terlelap.

Kira-kira 9.40,  saya terjaga dan berfikir-fikir, adakah harus ke masjid atau batalkan sahaja.  Teringat pada kali pertama ke sana, ramai juga muslimah yang datang lewat sambil membawa anak-anak kecil.  Oh… memang beginilah wanita.  Rutin yang serupa dan tanggungjawab yang sama dipikul setiap hari.  Tiada siapa yang dapat menafikannya kecuali yang mempunyai pembantu rumah.  Ringanlah sedikit beban di rumah.

Semasa menyediakan sarapan anak-anak, saya sudah diserang ‘stress’ .  Bila difikirkan, saya mengandaikan ia berpunca lewat membaca Mathurat.  Kalau baca pun, hati tidak khusyuk.  Situasi yang dialami pagi ini- jiwa yang stress dan badan yang kurang sihat seolah-olah mahu menghalang  dari meneruskan hasrat ke masjid.

Saya kebingungan sekejap.  Mahu pergi, sudah lewat.  Kalau tidak pergi, minggu hadapan baru berpeluang  ke masjid semula.  Sambil meneruskan kerja, saya berdoa, “Ya Allah! Jika aku akan mendapatkan kebaikan di masjid hari ini, berilah daku kekuatan untuk ke sana”.

Akhirnya saya memanggil Aqil, “Aqil, jom ikut Ummi.  Kita cari biskut gula nak?”

“Nak”

Ia satu usaha memujuk anak agar keluar bersama.  Sejak Aqil yang berusia 4 tahun pandai bermain game internet, dia menjadi asyik dan kadang-kadang susah mahu diajak ke mana-mana.

Saya segera menyalin pakaian Aleeya, mengambil kunci kereta dan kunci rumah, lantas keluar.  Sambil memandu, saya mengulangi bacaan Al Mathurat secara lebih khusyuk agar hati lebih tenang.

Berada di Taman Syurga

Alhamdulillah, buat kali kedua, saya dapat bersama ramai lagi muslimah dari pelbagai negara dan bermacam warna kulit di dewan yang khusus untuk wanita itu.  Hati tenang dapat bersama para muslimah bertudung labuh, berjubah /berabaya dan ramai juga yang berniqab.  Jarang-jarang sahaja yang bertudung singkat.  Ini baru Taman Syurga di dunia.  Belum lagi syurga betul di akhirat.   Benarlah sabda Nabi Muhammad s.a.w yang mengibaratkan majlis ilmu seumpama taman syurga.

Sumber foto.

Rasulullah saw pernah bertanya kepada para sahabat,”Jika kalian melewati taman-taman syurga, makan dan minumlah di dalamnya.” Para sahabat bertanya, “Apakah taman syurga itu, wahai Rasulullah?” Jawab beliau,”Majlis-majlis zikir.

(Hadis direkod oleh At-Tirmidzi)

Seperti biasa, Ummu Bilal, muslimah kelahiran Algeria itu melontarkan ceramah dengan bersemangat dan fasih sekali berbahasa Inggeris.   Cuba mendengar dengan teliti sambil melayan Aqil dan Aleeya bermain.

Beberapa lagi muslimah turut membawa anak-anak kecil.  Ada ruang untuk mereka bermain di dalam masjid.  Ada yang datang lebih lewat.

Setelah agak lama, seorang muslimah berjubah dan bertudung labuh membawa seorang wanita berseluar, berblouse dan bertudung kecil yang masih menampakkan rambut didahinya.  Dari iras wajahnya, saya kira dia berbangsa Arab.

“Mungkin wanita itu ahli keluarga muslimah yang membawa dia masuk.  Mungkin dia baru membiasakan diri dengan kelas-kelas pengajian begini”, fikir saya.

Wanita yang masih muda itu kelihatan tekun mendengar sambil mencatat.

“Bagusnya dia… “  hati berbisik.

Seperti bayi yang baru dilahirkan.

Kelas hampir ke penghujungnya.  Tiba-tiba muslimah tadi membawa wanita itu ke hadapan berjumpa dengan Ummu Bilal.  Berlakulah suatu peristiwa yang tidak disangka.

“Asyhadu an la ilaha illallah”

Ummu Bilal menggenggam tangan wanita itu.  Wanita jelita itu menurut lafaz keemasan tersebut.

“Wa asyhadu anna Muhammadar rasuulullah”

Wanita itu menurut lagi.

Bayi yang baru dilahirkan suci dari dosa-dosa.

Seusai menuturkan kalimah syahadah itu, rona pipinya mula memerah, lantas air mata tidak dapat ditahan lagi.

Saya cuba menahan air mata dari tumpah di bibir mata.  Malu rasanya jika orang lain melihat saya tidak dapat menahan emosi.  Rupa-rupanya, ramai lagi yang menonton peristiwa tersebut membiarkan sahaja air mata melimpah.

Ya Allah! Bahagianya kurasakan… melihat peristiwa yang turut disaksikan lebih dari 40 hadirin.

Kami terus merapati wanita bertuah itu, menyalami saudara baru kami, memeluknya sambil mengucapkan tahniah.  Saya berbisik di telinganya, “Congratulation!  Allah love you so much”.

Rasa stress di waktu pagi dan badan yang keletihan bagai disirami air mawar yang mewangi.  Alhamdulillah… Allahuakbar!  Ini kali pertama buat saya menyaksikan satu jasad seperti bayi baru dilahirkan semula.  Ramai di antara pembaca yang mungkin sudah kalih dengan suasana begini.  Bersyukurlah kerana mendapat nikmat yang besar ini.   Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Nikmat melihat seseorang menjadi saudara baru Islam bagai meniup semangat agar terus berjuang menegakkan Islam dalam diri, berusaha menyampaikan kepada orang lain dan menegakkan dalam keluarga dan negara.

Catatan 20 Dzul Qi’dah 1432H/18 Oktober 2011

H I M P U N

Semasa sedang membuat catatan ini, hati teringat pada kempen HIMPUN yang disebarkan melalui Facebook.  Betapa berat ujian Allah buat umat Islam di Malaysia, dalam keghairahan segelintir non muslim di negara non muslim cuba mengenal Islam dan kembali ke agama fitrah ini, segelintir umat Islam yang mendapat nikmat teragung sejak dilahirkan ini begitu mudah mengorbankan nasib akhirat mereka yang kekal abadi.  Proses memurtadkan dan dimurtadkan bukan perkara kecil disisi Islam.  Murtad adalah jenayah terbesar- musuh nombor 1 (bukannya dadah), mengatasi jenayah bunuh, zina, riba, minum arak, mencuri dan sebagainya.

Himpunan yang bakal diadakan ini diharap dapat menggesa kerajaan Malaysia yang ada  sekarang agar;

1) Meluluskan Kanun Jenayah Islam yang mengandungi hukuman hudud di dalamnya.   Salah satu hukuman hudud ialah terdapatnya undang-undang pencegahan murtad.

2)Menggesa kerajaan mereformasikan sistem pendidikan negara agar bertunjangkan tauhid untuk rakyat beragama Islam.

3)Membina semula masyarakat bertamadun yang seimbang antara fizikal dan spiritualnya.  Apabila keseimbangan ini wujud, kita tidak perlu bimbang dengan ancaman memurtadkan orang Islam kerana Islam itu sendiri agama ketenangan, kebahagiaan dan kedamaian.  Sesiapa yang pernah merasa damai dengan Islam, sudah tentu tidak akan mencari yang lain lagi.  Baca pengalaman mubaligh Kristian mengunjungi rumah saya di sini.

Belum sempat saya melangsaikan artikel ini, terbaca pula satu posting di grup Facebook,

“Demo HIMPUN ni lebih mulia drp demo BERSIH. Demo HIMPUN ni pasal membantah usaha2 pihak kafir yg cuba memurtadkan umat Islam.
Puak2 PAS/PKR janganla tak join pulak. Demo BERSIH yg berimamkan Ambiga boleh korang join takkan yg ni tak boleh? Tunjukkanlah semangat Islami tu….”

Rasa ‘confuse’ pula pada objektif HIMPUN bila timbulnya ulasan sebegini.  Namun harapnya ia hanya pandangan individu berkenaan sahaja.  Secara ringkasnya, khalifah pertama Islam, Abu Bakar r.a melaksanakan hudud kepada mereka yang murtad.  Jadi perhimpunan sejuta ummah  tidak perlu diadakan pada waktu itu dan semua zaman khilafah Islam selepasnya.  Allah mencegah jenayah kepada hamba yang melaksanakan perintahNya.  Inilah yang diusahakan oleh Kerajaan Islam Kelantan sejak 20 tahun yang lalu.  Selain memperkasakan pendidikan Islam melalui sekolah-sekolah YIK (Yayasan Islam Kelantan), kita mahu tindakan yang berkesan berbanding laungan pidato atau perhimpunan yang tidak membawa ke mana-mana.  Bahkan jika tersilap langkah, ia boleh dieksploitasikan oleh pihak tertentu bagi menimbulkan permusuhan antara kaum dan antara agama yang mana kita sudah lama berada dalam situasi bertoleransi antara satu sama lain.  Moga Allah melindungi segala usaha yang baik dan ikhlas keranaNya.

Percaya dan yakin bahawa Allah ada bersama undang-undang yang telah digazetkan olehNya sendiri di dalam al-Quran.  Tunggu hamba-hambaNya melaksanakan sahaja perintahNya itu, akan berhujananlah segala rahmat, barakah dan perlindunganNya untuk bumi Malaysia yang tercinta.  Yakini dan percayalah kepada Allah yang mencipta diri kita dari tiada kepada ada.

Saya berharap semua yang mengaku Islam, tidak kira dari jemaah Islam mana, dan tidak kira dari ahli UMNO, PKR, DAP- terutama ahli parlimen yang beragama Islam dapat menyokong perlaksanaan Kanun Jenayah Islam bermula dari undian dalam dewan yang mulia (Parlimen) hingga kepada publisiti di media-media kerajaan.  Inilah yang lebih utama dilakukan sekarang bagi membendung gejala murtad.

Ma’qil Ibnu Yasar r.a berkata “ Saya mendengar Nabi SAW bersabda, “Tiada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga.”  Hadis direkodkan Imam Bukhari 93:8 dan Imam Muslim 1:6.

Rasulullah SAW bersabda,  “Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya.” Direkodkan Imam Bukhari.

Wassalam.

 

 

Ummu Abbas

22 Dzul Qi’dah 1432H

Melbourne

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

5 thoughts on “Antara H I M P U N dan Si Jelita Non Muslim

  1. assalamualaikum Nor.. terharu baca kisah yg nor paparkan..
    Alhamdulillah akak juga diberi kesempatan berkenalan dgn seorg hamba Allah yg berminat dgn Islam..syukur seribu syukur akhirnya dgn rahmat Allah, dia telah menerima hidayah yg sgt mahal itu…sedih mengenangkan anak2 yg dilahirkan Islam menjauh dr Islam, sedangkan hamba Allah ini sgt bersusah mencari sinar hidayah…

      Wa’alaikum salam warahmatullah kak… Ahlan wasahlan. Semoga lebih ramai anak-anak muda kita hari ini lebih menyintai Islam lebih dari segala dunia dan segala isinya.

  2. Assalamualaikum K.Nur.
    Seronok membaca dari awal hingga ke akhir.
    Hati tersentuh dengan kisah pertama.
    Tentunya dada terasa amat sebak di saat melihat pengIslaman seorang saudara baru. Allahu Akbar. Chik takde pengalaman melihat suasana itu tapi ada pengalaman memberi nama Islam kepada seorang junior yang baru melafazkan syahadah. Ika Zulaikha namanya.
    Dalam hal HIMPUN, Chik takde buat apa-apa pernyataan sama ada di blog atau fb. Sokong tanpa pengiystiharan. Selepas media melaporkan program tidak mencapai sasaran, ada juga yang ambil peluang menghentam PAS kerana tidak menyertai secara rasmi. Sedih juga membacanya apatah lagi yang menulis sedemikian ialah antara kawan yang dikenali.
    Program yang baik bila ada pihak yang ambil kesempatan mempolitikkan, tambah-tambah isu Murtad, nampak macam yang buruknya PAS jugalah. Kita tahan jiwa dengan sabar saja.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s