Boxing Day: Hari Tinju-tinju Wang

Kedai buku ini terletak di Broadmeadows Shopping Centre

Boxing Day ialah satu hari yang sering ditunggu-tunggu oleh kebanyakan penduduk di Victoria.  Kenapa agaknya?  Adakah pada hari ini, orang ramai  di sini suka bertinju atau digalakkan bertinju? [… hehehe…]

Boxing Day secara tradisinya merupakan hari selepas Cristmas Day yakni 26 Disember setiap tahun.  Di kalangan kami di sini, ia lebih dikenali sebagai hari untuk membeli-belah.   Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Boxing Day, boleh lihat di wikipedia.   Memang ya… pada Boxing Day, ramai orang suka ‘tinju-tinju’ wangnya keluar dengan laju di kedai-kedai.  Maklumlah, pada hari ini banyak kedai menawarkan harga runtuh.  Runtuh yang sebenar runtuh, terutama untuk barangan berkualiti seperti barangan kulit, pakaian dan barangan dapur.

Barangan dapur yang agak terkenal digilai di sini ialah jenama Corelle, Pyrex, set kaserol Corning Ware dan periuk kaca Vision.  Harganya boleh tahan murahnya dibandingkan di Malaysia.  Saya sendiri setelah dua kali ‘survey’ harga di kawasan bebas cukai Rantau Panjang, Kelantan dan Pulau Langkawi, akhirnya terbeli di Melbourne juga.  Masa di Malaysia, ‘bos’ tidak beri lampu hijau.  Mahal katanya.  Ada juga link agen melalui kakak ipar, namun tidak terasa lagi murahnya.   Sebagai isteri yang tidak bekerja, ikut sahaja kata ‘bos’… [niatnya mahu jadi isteri solehah, gitu…walaupun belum capai target tersebut 🙂 ]   Rasanya ramai isteri di luar sana yang ada gaji sendiri tidak perlu pening kepala bila mahu membeli sesuatu.  Iyalah… seluk poket sendiri, bukan!  Lainlah yang dapat ‘bos’ jenis ‘menguasai’ harta isteri.  Banyakkan bersabar dan pandai-pandailah buat keputusan dan ambil tindakan sesuai dengan kehendak syarak.

Pakej 3 novel dengan harga AUD10, murahnya... nasib baik zaman minat novel sudah berlalu 🙂

Cerita pasal pinggan mangkuk, kenapa semua foto buku?

Ini jawapannya, alkisahnya, saya merupakan salah seorang ulat buku sejak pandai membaca.  Lebih kurang semasa berusia 6 tahun.  Jadi kedai yang paling menarik perhatian bila ke mana-mana ialah kedai buku.  Bab pinggan mangkuk ini sampingan sahaja.  Bagi saya, pinggan mangkuk hanyalah untuk digunakan seharian.   Tidak sempat pun mahu jadikan perhiasan.  Apa yang dihidangkan di atas pinggan mangkuk, paling jauh pun sampai ke perut- sebahagiannya untuk kesihatan tubuh bagi meneruskan pengabdian kepada Allah, selebihnya menjadi najis.  Kualiti yang dipilih berdasarkan bahan kacanya yang mesra kanak-kanak- ringan, tahan lasak dan mudah dibersihkan.  Maklumlah anak ramai.  Satu lagi untuk menjauhi yang syubhat.  Bimbang sangat kalau terkena pinggan mangkuk yang diperbuat dari serbuk tulang babi.

Perhiasan hidup paling utama buat saya ialah ilmu.  Selain kalam ulama, ilmu banyak dihidangkan di lembaran kertas bernama buku.  Era alaf 21 ini, catatannya diinovasi ke lembaran komputer, laptop, iPad, iPhone dan sebagainya.  Namun keutamaan saya tetap pada yang bernama buku bercetak.   Mata lebih selesa membaca pada helaian kertas dibandingkan hamparan skrin versi digital.

Ilmu merupakan makanan minda dan hati.  Dengan ilmu, seseorang mengenal Allah dan mengetahui hala tuju hidupnya.  Dengan ilmu, ruh dihidupkan.  Tanpa ruh, badan yang sihat hanyalah mayat.  Dengan ilmu, seseorang mengenal siapa kawan dan siapa lawan.  Dengan ilmu, seseorang mengenal mana bisikan wahyu dan mana bisikan iblis.   Untuk bahagia di dunia dan di akhirat perlu berilmu.   Dengan ilmu, kita dapat tahu bahawa pinggan mangkuk Corelle, Corningware, Vision dan sebagainya itu adalah bahan berkualiti 🙂

Buku yang menarik perhatian!

Semasa remaja, belanja dari Abah cukup-cukup buat melepasi keperluan wajib seperti pakaian sekolah, pakaian harian + baju raya, makan minum secara sederhana, buku sekolah dan yuran sekolah.  Jika mahu benda-benda ekstra seperti majalah, novel, buku-buku, cenderamata untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan, saya usahakan wang sendiri dengan berniaga di sekolah.  Banyaklah kenangan mengenai buku-buku kegemaran semasa kecil.

Kembali ke Boxing Day:  Penghujung tahun lepas, kami baru datang Melbourne.  Jadi semasa ‘shopping’, tumpuan lebih kepada mencari barang keperluan rumah.  Lagi pun, jalan jem dan sesak pada hari ini.  Keluar ke satu tempat pun sudah penat.  Tahun ini, alhamdulillah, baru sempat melihat-lihat barangan lain seperti pakaian dan buku.  Saya meninjau-ninjau buku-buku yang ada dalam “allbooks4less”, terutama buku kanak-kanak.  Kebetulan cuti sekolah baru bermula.  Jadi saya mahu mereka isi masa dengan membaca disamping bermain ‘game’ dan menonton cerita.

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

Semua buku ‘murah giler’ kata budak-budak zaman sekarang.  Mabuk saya melihatnya.  Boleh lihat sendiri slide foto di atas.

Tiba-tiba mata tertumpu pada sebuah buku berwarna pink [Seperti dalam foto di atas], oh… nostalgik sungguh!  Kisah Heidi ini paling saya ingat ialah dalam drama bersiri yang pernah disiarkan RTM setiap petang.  Tanpa berlengah, lantas tangan mencapainya.  Bayar sahaja buku yang mempunyai ‘hardcover’ dan halaman berwarna-warni penuh di dalamnya dengan harga AUD5 sahaja.  Kemudian saya ceritakan kepada anak-anak mengenai kisah Heidi.  Anak sulung membacanya sekejap sahaja.  Dia turut mencarinya dalam Youtube.

Sebagai penulis, saya berminat melihat kisah Heidi yang evergreen agar saya boleh mencontohinya dalam penulisan akan datang.

 

Bacalah!  Agar diri disayangi Tuhan… baca dengan nama Allah, insya Allah, diri tidak akan berselera menyentuh bahan bacaan yang tidak berfaedah untuk minda dan ruh.

 

 

Ummu Abbas

9 Safar 1433H

12.06pm

Melbourne.

One thought on “Boxing Day: Hari Tinju-tinju Wang

Add yours

  1. Assalamualaikum K.Nur.
    MashaAllah… itulah namanya tuah merantau. Kalau Chik di tempat K.Nur, tentunya kedai buku juga yang Chik serbu utk shopping buku murah macam ni terutama buku kanak-kanak yang jenis buku konsep.
    Kat sini bukannya murah buku-buku board utk bayi tu.
    Peluang bisnes ni K.Nur 🙂

    Wa’alaikum salam warahmatullah Chik 🙂 Itulah pun harapan K Nur pada Chik agar Allah murahkan rezeki Chik untuk datang sini sementara K Nur masih ada. K Nur baru tahu istilah dia ‘buku konsep’.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: