Non muslim Juga Pilih Perawat Sesama Jantina

Kadar Aurat Yang Boleh Dilihat Perawat

 

Banyak pengalaman yang telah ditempuhi dalam usaha memelihara hijab ketika mendapatkan rawatan perubatan.  Para pembaca yang berminat membaca catatan pengalaman tersebut, boleh “search” entry-entry lama di sini.  Antaranya ialah “Jangan Buka Tudung Semasa X Ray” dan  “Di Bilik Pembedahan:  Baju Lengan Pendek Pula!”

Faktor utama yang menjadi pemangkin usaha yang bersungguh-sungguh ialah hati yang mahu mendapat reda Allah dan kasih sayangNya.

Faktor lain yang memicu usaha ialah  faham prinsip dan kaedah hukum fiqh dalam beramal dengan sesuatu.  Jadi kita ada panduan bertindak  yang menepati kaedah syarak. Dunia adalah tempat bercucuk tanam, akhirat jua tempat tinggal yang kekal abadi dan tempat menuai hasil.  Jadi seboleh-bolehnya, peluang hidup yang hanya sekali mahu saya manfaatkan untuk mendapat sijil bahagia di akhirat kelak.  Semua itu hanya dapat dilakukan dengan taufik, hidayah dan pertolongan Allah jua.

Ada banyak hospital yang menjadi pilihan pelajar Malaysia bersalin di sini.  Saya memilih The Royal Women’s Hospital (The Women’s) selepas mendapat pandangan beberapa orang kawan.  Pada hari pertama berkunjung ke sana, saya duduk di ruang menunggu.  Setiap perawat akan keluar ke ruang menunggu untuk memanggil nama pesakit.  Tiba-tiba saya lihat ada lelaki yang berbuat demikian. Fikiran digaru pertanyaan, “Lelaki itu sebagai apa pula ya? Adakah dia doktor di sini juga?”  Saya menyangka semua petugasnya terutama doktor-doktor adalah wanita. Hati mula gelisah.  Bimbang perawat yang bakal memeriksa adalah lelaki.  Saya juga percaya suami yang menemani turut merasa tidak selesa dengan suasana tersebut.  Alhamdulillah, tidak lama kemudian, seorang wanita memanggil nama saya.  Lega!  Baru saya tahu, rupa-rupanya ada juga jururawat dan doktor lelaki bertugas.

Selepas peristiwa itu, saya selalu memastikan setiap rawatan susulan mendapat perawat wanita.  Setiap kali membuat temujanji, kita boleh meminta perawat wanita. Staf yang bertugas akan mencatat permintaan kita pada tarikh temujanji.  Alhamdulillah, sepanjang membuat pemeriksaan kehamilan, saya hanya diperiksa oleh jururawat dan doktor wanita sahaja.  Sebelum ke hospital saya sudah meninjau daripada pelajar Malaysia yang membuat praktikal perubatan di sana.  Hasilnya memang tidak ditemui doktor muslimah di bahagian obstetrik.  Jadi saya usahakan langkah kedua dalam memilih perawat bagi pesakit wanita iaitu perawat wanita non-muslim.

 

 

Disiplin Menentukan Darurah

Hukum asal menutup aurat adalah wajib.  Kadar aurat yang wajib ditutup berbeza berdasarkan siapa yang ada bersama wanita ketika itu sama ada lelaki ajnabi, muslimah dan wanita non-muslim.  Keutamaan memilih perawat adalah berdasarkan kadar aurat yang boleh terbuka kepada mana-mana individu itu tadi dan sifat adil serta amanah.  Kebolehan membuka aurat ketika rawatan adalah kerana menurut kaedah fikah yang berbunyi, Darurat mengharuskan perkara yang dilarang.  Maksudnya  setiap sesuatu yang diharamkan oleh syarak boleh bertukar menjadi harus ketika darurat.  Perkara haram yang  diharuskan  dalam keadaan darurat  ini dinamakan rukhsah.

Tahap darurah mesti menurut piawaian syariat juga dan tidak boleh diambil berdasarkan sangkaan.  Sebagai contoh:  Ibu hamil yang mampu membayar khidmat doktor wanita di pusat rawatan swasta wajib mengusahakan doktor wanita agar kewajiban memelihara aurat dapat diteruskan dibandingkan mendapat rawatan di hospital kerajaan tetapi tidak dapat memilih perawat wanita.  Terdapat kes-kes wanita hamil yang sanggup membayar kos yang mahal semata-mata mahu mendapatkan khidmat pakar perbidanan lelaki. Perkara ini bertentangan dengan tuntutan syariat Islam meskipun dikatakan pakar perbidanan lelaki lebih lembut dan sebagainya.  Jika sudah berkemampuan, keutamaan adalah mencari pakar perbidanan wanita juga.

Saya percaya wanita yang baik, faham dan menghayati agama akan berusaha memelihara auratnya bersungguh-sungguh.  Auratnya adalah maruahnya.  Auratnya adalah ekslusif untuk suaminya lebih-lebih lagi aurat yang paling berat bagi wanita.  Secara fitrah, wanita menjadi istimewa kerana miliki rasa malu yang tinggi berbanding lelaki.  Jadi ia menyongsang fitrah apabila ada yang sanggup mengeluarkan belanja yang mahal untuk memperlihatkan aurat yang paling  berharga kepada bukan mahramnya.  Saya juga percaya suami yang normal pasti tidak suka dan merasa cemburu lelaki ajnabi melihat aurat isterinya sama ada sedikit atau banyak.

Dalam satu kes di The Women’s, sepasang suami isteri beragama Kristian mendapatkan rawatan kehamilan.  Apabila masuk ke bilik perawat, si suami melihat doktor lelaki yang bertugas.  Dia lantas meminta digantikan dengan doktor wanita.  Doktor lelaki itu memberitahu bahawa setiap doktor sudah ada pesakitnya dan ada jadual masing-masing.  Si suami bertegas mahukan doktor wanita juga  yang memeriksa isterinya.  Akhirnya doktor lelaki itu terpaksa mengalah dan menyerahkan tugasannya kepada pelajar perubatan perempuan sambil memberitahu apa yang patut dilakukannya.  Pelajar itu adalah pelajar Malaysia yang menceritakan hal ini kepada saya.

Subhanallah!  Benarlah Islam itu agama yang sesuai dengan fitrah manusia.  Dalam situasi si isteri itu tidak pun menutup aurat seperti muslimah. Malah paling tinggi pun, pemeriksaan kehamilan hanyalah melihat bahagian perut, belum pun lagi melihat bahagian ‘pintu keluar bayi’, si suami begitu tegas tidak mahu doktor lelaki menyentuh dan melihat isterinya.  Saya terpegun mendengar cerita ini.  Terfikir betapa ramai muslim yang mudah sahaja menyerahkan isterinya kepada perawat lelaki tanpa usaha yang bersungguh-sungguh memelihara maruahnya terutama dalam kes bersalin.  Jika kita bersungguh-sungguh menjaga hak-hak Allah, Allah pasti bersungguh-sungguh juga memelihara kebajikan kita serta memberikan perlindunganNya.

Kadar Aurat Yang Boleh Dilihat

Satu kaedah fikah yang berkait rapat dengan kaedah yang diberikan sebelum ini ialah sesuatu yang diharuskan kerana darurat dihadkan menurut kadar darurat sahaja.  Aplikasi semasa memeriksa kehamilan, seorang doktor harus memandang aurat wanita di kawasan yang perlu sahaja.   Aplikasi dalam kes bersalin,  bahagian paha, betis dan kaki wajib ditutup bila diuruskan oleh perawat lelaki.  Manakala jika diuruskan oleh perawat wanita, maka bahagian paha hingga ke lutut wajib ditutup.  Saya pernah melihat seluar yang direka untuk wanita bersalin yang mana ia terbuka di bahagian saluran kelahiran sahaja.

Insya Allah, usaha-usaha mematuhi syariat ke tahap maksimum sedang diusahakan oleh para perawat yang menghayati agamanya.  Saya berharap usaha yang baik ini akan mendapat kerjasama dari semua pihak yang terlibat dalam bidang kesihatan sama ada pihak kementerian kesihatan, hospital-hospital kerajaan mahu pun swasta dan para perawat yang bertugas.

Apa yang kita belanjakan kerana mematuhi syariatNya akan diganti dengan rezeki yang lebih baik lagi.    Segala penat lelah dalam berusaha meraih redaNya pasti dibalas ganjaran yang besar di akhirat kelak.  Di dunia kita mendapat kasih sayang, rahmat dan keampunan Ilahi.  Di akhirat akan mendapat nikmat terbesar yang ditunggu-tunggu oleh semua mukmin iaitu menatap wajah Allah azza wajalla.  Jagalah Allah, Allah pasti menjagamu.

Allah berfirman di dalam Surah Saba’ ayat 39, “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya.  Apa sahaja yang kamu belanjakan maka Allah akan menggantikannya.   Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

Ummu Abbas

8 thoughts on “Non muslim Juga Pilih Perawat Sesama Jantina

Add yours

  1. Subhanallah..terpegun saya membaca coretan ini lebih-lebih lagi apabila si suami yang beragama Kritian mahukan doktor perempuan merawat isterinya. Betapa dia amat menjaga maruah isterinya walaupun dia kafir. 🙂

  2. Assalamualaikum wbt

    Memang non-Muslim pun ramai prefer same-gender practitioners esp untuk kes-kes yang melibatkan aurat besar.

    Ini contoh video yang dibuat oleh pelajar perubatan lelaki universiti brown tentang situasi mereka selalu ditolak oleh pesakit wanita sehingga mereka tiada kerja, akibat terlalu bosan mereka buat perkara lain seperti video ini.

    Sila lihat minit 0:45 hingga 1:50. Di minit 1:20 dialog mereka “I cant get a woman to let me watch the delivery” “every time” “not for religious or moral reason, they just don’t want guys”.

    Isu preference for same-gender practitioners ini bukanlah isu umat Islam, tetapi adalah isu global, isu kemanusiaan, isu fitrah, memang wanita lebih selesa mendapat rawatan dari doktor wanita dan sebaliknya.

    Namun yang peliknya, di negara bukan Islam, penolakan pesakit untuk dirawati doktor lelaki dihormati, sebaliknya perkara yang sama di negara Islam berbeza, apabila pesakit minta dirawati doktor sama jantina, dimarahi, dikatakan kolot etc. Lebih barat dari Barat???

  3. Wa’alaikum salam warahmatullah Sarah,

    Jazakillah ukhtie atas perkongsian menarik 🙂

    Ummu sudah lihat video itu… menarik dan melucukan.

    Ia banyak membantu Ummu menambah informasi dalam bidang ini.

    Sekali lagi, terima kasih banyak.

    Wassalam.

  4. Sedikit penambahan dari Ummu;

    Dalam entri sudah disebutkan bahawa kes begini merupakan bukti bahawa apa yang disyariatkan Islam sesuai dengan fitrah manusia. Islam dan fitrah manusia saling berkait kerana Allah yang menciptakan manusia dan Allah juga yang mengatur syariatNya untuk manusia. Ia juga membuktikan bahawa Islam sesuai untuk semua manusia tanpa mengira bangsa, keturunan dan negara.

    Islam itu sendiri bersifat global dan manusiawi… jadi ia memang membuktikan bahawa Islam adalah satu cara hidup yang paling relevan untuk peringkat dunia. Biarkan Islam memimpin, bukan dipimpin.

    Islam ada kaitan rapat dengan fitrah, global dan kemanusiaan. Masalahnya ramai manusia yang menolak Islam sebagai akidah anutan mereka tetapi mereka mengambil sebahagian cara hidup dan kaedah-kaedah Islam yang menjaga kepentingan mereka.

  5. Saya sangat setuju dengan Ummuabbas.

    Kalau boleh saya ingin cadangkan tajuk entri ini ditukar sedikit menjadi “”Apabila suami (non-Muslim) juga memilih perawat wanita untuk merawat isterinya” atay “Apabila non-Muslim juga memilih perawat sama jantina”.

    Mula-mula saya baca tajuk entri ini saya ingatkan bermaksud “suami memilih perawat wanita untuk merawat dirinya”

    Sekadar cadangan =)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: