[Q&A PRU] Calon Non Muslim atau Calon Muslim?

Assalamualaikum 

:)

Di tempat saya mengundi diletakkan calon bukan Islam dan Islam.  Namun calon bukan Islam ini bertanding atas tiket parti yang saya pilih. Boleh  terangkan bagaimana membuat pilihan dalam keadaan ini?  Ada yang kata perlu dahulukan pemimpin Islam walaupun pimpinan partinya tidak bagus.  Tapi ada yang kata boleh pilih pemimpin bukan Islam untuk memenangkan parti yang pimpinannya bagus.

Wassalam 

:)

****************

Wa’alaikumsalam warahmatullah Alin 🙂

Semoga Allah menambah kasih sayang dan barakahNya dalam kehidupan Alin sekeluarga.

Saya suka melihat sikap terbuka dan positif yang ada pada Alin dalam menilai dan membuat keputusan.  Sifat bertanya dahulu dalam hal yang tidak diketahui dan difahami boleh memandu diri menilai dengan adil, seterusnya membuat keputusan yang tepat berdasarkan kefahaman.  Akhirnya kita terselamat dari menjadi mangsa kepada pihak berkepentingan selain kerana Allah swt.

Berhubung pertanyaan, ada dua entiti penting yang berbeza fungsi dan sifatnya wujud di dalam satu-satu perkumpulan;

1.  Parti atau kumpulan tertentu.

2.  Individu.

Dalam konteks parti-parti  politik di Malaysia, dasar-dasar parti akan menentu dan menghadkan segala tindakan pimpinan dan ahli supaya selari dengannya.

Parti yang menolak Quran dan Sunnah dari menjadi dasar atau dengan kata lain mengambil dasar selain Islam akan mempengaruhi segala perlaksanaan dan tindakan ahli.  Oleh sebab itu  sekiranya mana-mana ahli yang berniat menerapkan nilai-nilai Islam di dalam parti tersebut biasanya akan terbuang juga akhirnya.

Umpama seseorang yang mahu membersihkan tong sampah.  Walaupun pada asalnya dia seorang yang bersih, jika dia memilih kaedah membersihkan dengan memasuki tong sampah tersebut, akhirnya tong sampah tetap tidak bersih,   sebaliknya dirinya yang bersih akan turut terpalit sampah-sampah yang memenuhi tong.

Orang yang baik dan beriman akan berpegang teguh kepada prinsip untuk tidak bersama dengan mereka yang melakukan kezaliman.   Seandainya dia merelakan dirinya dicalonkan oleh parti yang menolak Islam sebagai dasar, sama ada dia jahil tentang parti tersebut, jahil berkenaan selok belok dan waqie’  politik Islam atau dia mempunyai kepentingan diri terhadap pencalonan itu.  Maka dari sudut mana pun, dia tetap mempunyai kelemahan yang menjejaskan integritinya sebagai calon wakil rakyat.

Apabila Allah melarang manusia melakukan kezaliman, dalam masa yang sama Allah juga mengancam sesiapa juga cenderung kepada kezaliman.

Allah berkata di dalam surah Hud ayat 113 ,

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Jika cenderung sahaja mendapat kecaman keras dari Allah swt, apatah lagi menolong kezaliman tersebut sama ada dengan cara mengampu, mendiamkan diri tanda setuju, membiarkan diri dicalonkan, berkempen bahkan mengundi kumpulan mereka.

Allah melaknat pelaku zalim melalui surah Hud ayat 18., Allah menyatakan benciNya kepada kaum yang zalim melalui  ayat 57 surah Ali ‘Imran,  Allah tidak memberi hidayah kepada puak zalim melalui wahyu Al- Ma’idah ayat 51, ancaman mendapat azab yang pedih al Furqan 25;19 dan banyak lagi ayat-ayat lain yang mengancam perbuatan zalim.

 

Justeru itu, parti yang meletakkan dasar menolak Islam sebagai cara hidup mesti ditolak oleh semua orang Islam yang beriman kepada Allah dan hari akhirat meskipun calonnya adalah tuan guru pondok.

Jabir melaporkan daripada Rasulullah s.a.w yang telah berkata Ka’ab bin ‘Ujrah, “ Semoga kamu dilindungi oleh Allah daripada pemerintahan orang-orang yang bodoh wahai Ka’ab.”

Ka’ab berkata, “Apakah pemerintahan orang yang bodoh itu?”

Rasulullah s.a.w berkata,

“Para pemimpin selepasku yang tidak mengambil petunjuk dan tidak mengamalkan  sunnahku.  Sesiapa yang membenarkan pendustaan mereka, menolong kezaliman mereka, mereka bukanlah dari golonganku dan aku juga bukan dari golongan mereka.  Mereka tidak dapat minum dari kolamku (pada hari kiamat).  Sesiapa yang tidak membenarkan kedustaan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, mereka itulah dari golonganku dan aku dari golongan mereka.  Mereka akan dapat minum di kolamku.”

Hadis direkodkan oleh Ahmad dan al Bazzar.

Parti yang mengambil Islam  bersumberkan al-Quran dan Sunnah sebagai dasar pula akan mempengaruhi segala perlaksanaan dan tindakan ahli supaya selari dengan dua sumber tersebut.  Sementelah pula, ‘bidang kuasa’ utama  diletakkan di bawah sistem syura ulama.   Maka ahli majlis syura ulama  inilah yang akan menjaga parti supaya tetap teguh di atas panduan al Quran dan Sunnah.  Tiada kuasa mutlak diberikan kepada individu pemimpin parti untuk menentukan hala tuju parti.

Keputusan berdasarkan syura lebih dekat kepada kebenaran dan lebih mendapat reda Allah swt berdasarkan hadis riwayat ‘Umar al-Faruq bahawa Rasulullah s.a.w berkata,

فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الإِثْنَيْنِ أَبْعَدُ

“Maka sesungguhnya syaitan bersama seorang (sendirian) dan dia dari dua orang, dengan lebih jauh.”

Apatah lagi jika ahli  syura terdiri daripada pakar-pakar agama (ulama) yang beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia.

Sifat orang alim yang bertaqwa ialah akan sentiasa memastikan jalan hidup yang direntasinya bersesuaian dengan kehendak Allah swt dan menepati sunnah RasulNya.  Kelemahan diri yang tidak maksum dilengkapi atau dapat diatasi dengan  menggabungkan diri dalam jemaah dan berbincang dalam isu-isu ijtihadiyyah (yang tiada nas mutlak mengenainya).

Jika seorang individu yang alim dan bertaqwa sahaja sudah memelihara dirinya dari melakukan perkara yang dimurkai Allah walau dalam hal-hal makruh, maka apabila mereka berkumpul beramai-ramai, lebih mustahil para ulama ini akan bersetuju atau bersepakat dalam hal yang tidak diredai Allah swt sedangkan mereka mempunyai ilmu mengenainya.

Majlis syura ini bertindak menapis  segala cadangan/saranan ahli yang diangkat.  Mana-mana yang bertepatan dengan panduan wahyu akan disahkan seterusnya dilepaskan untuk dilaksanakan.  Mana-mana yang bercanggah dengan nas wahyu, ia tidak akan digazet untuk direalisasikan oleh ahli.

Ini termasuklah membenarkan calon non muslim bertanding atas tiket parti Islam ATAU membenarkan ahli/rakyat yang muslim mengundi calon non muslim dari parti yang mengadakan perjanjian persefahaman politik (tahalluf siyasi) dengan parti Islam.  Persetujuan mengadakan perjanjian persefahaman dibuat atas perkara ma’ruf yang diiktiraf Islam tanpa menggadaikan prinsip-prinsip Islam itu sendiri.  Semua itu sudah diteliti secara mendalam berdasarkan panduan wahyu  sama ada al Quran atau Sunnah RasulNya.

Allah swt berkata mengenai hamba-hamba yang takut kepadaNya di dalam surah Fatir ayat 28,

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.

Justeru itu dalam konteks ini, pengundi muslim yang mengundi calon-calon  non muslim  dalam kategori yang disebutkan di atas  hakikatnya memberi kepercayaan kepada keputusan barisan ulama yang berijtihad secara kolektif, bukannya memberi thiqah dan wala’  kepada batang tubuh calon-calon non muslim itu sendiri.

Wassalam.

Ummu Abbas

15 J/Akhir 1434H

Melbourne

14 thoughts on “[Q&A PRU] Calon Non Muslim atau Calon Muslim?

Add yours

  1. Assalamualaikum sis.sy mohon share ye artikel sis ni.syukran kerana memberi artikel yg sgt baik n manfaat.

  2. saya Hada, rakyat Singapura. boleh saya tahu, apa bukti yang mengatakan BN zalim terhadap rakyat kerana bagi saya perkataan zalim sangat besar makna dan maaf, seperti kasar. Bukankah kerajaan dari dulu lagi sejak BN memerintah Malaysia sejak merdeka, telah mentadbir Negara dengan baik sekali hingga maju dan Negara Islam terbaik. lagi pula ,akan menjadi Negara maju menjelang 2020. bukankah kerajaan BN lah yang menubuhkan pendidikan Islam, Bank Islam, semua nya berteraskan Islam. Tetapi, sejak kes datok Anwar Ibrahim, Malaysia seperti huru hara pula. Ramai yang mengatakan kes video Anwar, propaganda BN. Kadang kala saya terfikir, takkan lah menteri BN sengaja ingin membuat fitnah ke atas Anwar semata mata kerana politik. Tentu mereka tahu fitnah itu dosa besar dan takut akan azab Allah. Kenapa, kalau orang itu sudah jadi menteri, dia jadi maksum ka? asal ada tuduhan saja, terus kata propaganda? Fitnah sebegini isu yang sangat sangat besar dan berat. tak mungkin BN suka suka sahaja ingin memfitnah orang yang baik.
    Saya di sini, di Singapura, kos hidup lebih tinggi dari Malaysia tetapi, tidak pula kami rakyat Singapura memberontak membuat demo seperti Bersih.

    Saya rasa, rakyat Malaysia perlu duduk di Singapura dan rasa bagaimana kita penduduk Singapura rasa. Baru mereka rasa bersyukur ada Negara seperti Malaysia.

  3. Puan mengatakan kerajaan zalim? Jadi, bagaimana pula dengan sumbangan BN terhadap keluarga Allahyarham tentera yang terkorban di Lahad Datu hanya kerana mempertahankan Negara Malaysia? Puan juga percaya ia adalah sandiwara politik BN? Tidakk kah puan menonton berita yang memaparkan keluarga, isteri dan anak -anak tentera yang terkorban, jelas riak wajah mereka yang sangat sedih menangis teresak-esak apabila melihat suami mereka dikuburkan, Suatu lakonan ye puan?

    tergamak puan mengatakan kerajaan BN adalah kerajaan zalim? adakah BN menghalang rakyatnya daripada memakai tudung atau berpurdah, dan BN akan mengugut akan membunuh jika muslimah memakai tudung atau purdah? Adakah BN akan ugut bunuh jika rakyat solat? puasa? qiamullaill? bersekolah di maa’had tahfiz? dan adakah BN akan ugut bunuh jika rakyat mengamalkan system perbankan Islam? Tidak kah puan sedar berapa banyak bank mu’amalat, bank islam merata-rata di Malaysia? Siapa yang menubuhkan nya jika bukan Barisan Nasional.
    adakah Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim? DAP? PAS??

    pada pandangan saya, rakyat Malysia tidak bersyukur, BN zalim terhadap bangsa india dan cina? Bukankah bangsa yang terkaya ialah bangsa cina di Malaysia? zalim dari segi apa? kemasukan university? Di Singapura juga ada kuota berapa pelajar Melayu yang boleh masuk university.

    Tapi, kita rakyat Singapura tidak pun hendak memprotes tidak tentu pasal, kerana apa? kerana kita hendak keamanan, Saya sebagai rakyat Singapura, berasa saaangat hairan dan pelik melihat rakyat tidak memberi sokongan penuh pada kerajaan yang telah memerdekakan Negara selama 50 tahun, dan mudah tertipu dengan hasutan pakatan rakyat

  4. Asslammualaikum…..sy minta maaf sekiranya kata-kata ini akan menyakitkan hati sesipa…cik hada dari singapura…sebelum melontarkan pandangan adakah cik melalukan kajian tentng malaysia…saya rakyat luar hanya melihat secara fizikal dan bukan secara terperinci…secara fizikal semuanya nampak baik.cuba di teliti dengan lebuh dalam. Jangan bandingkan kos hidup di singapura dengan kos hidup di malaysia.mata wang saja sudah cukup untuk membezakan dua negara ini.

    pembangunan di persoal kan…setiap kerajaan yang mentakbir wajib untuk melakukan pemnbangunan..wajib untuk medirikan sekolah dan keperluan-keperluan asas yang lain..itu adalah tanggungjawab setiap pemimpin..bukan masa nak mengundi je sibuk untuk bagi bantuan.

    Hasutan ape yang pakatan rakyat lakukan..cuba nyatakan….tolong senaraikan…sy nak tau jugak…saya yang dh hidup di malaysia lama pun xtau…ni kan pulak org luar seperti cik hada… .

    saya tak paham org luar seperti cik hada pandai2 boleh bagi pendapat yg macam ni…kalau tak cukup ilmu di data jangan pandai-pandai nk bagi komen. tolong buat kajian dengan lebih mendalkam dan terperinci…

    tq

  5. Assalammualaikum. saya dari Malaysia. saya setuju dengan apa cik nad beritahu. Sesiapa yang hanya menonton siaran berita di televisyen sahaja tidak cukup untuk menunjukkan sesuatu itu benar ataupun tidak. Cuba kaji an lagi dengan lagi mendalam.

  6. ok, saya ingin meminta maaf kepada Ummu Abbas dengan cara komen saya di atas, saya cuma ingin Melayu di Malaysia bersatu, tidak berpecah belah. Apa salahnya jika teruskan menyokong kerajaan yang sudah mentadbir Malaysia dengan baik. Anak-anak dapat sekolah dengan baik, dapat laksanakan haji dengan baik, dengan adanya tabung haji. Bukankah itu menunjukkan kerajaan prihatin dan baik terhadap rakyatnya? Adakah soal bumiputra untuk Melayu, untuk membantu bangsa Melayu, BN dianggap tidak adil dan bersifat perkauman? Hmm, saya tidak mahu komen apa-apa tentang itu, mungkin BN ada jawapannya tersendiri.

    Tentang hasutan itu, maksud saya, supaya memilih PR dan bukan BN , itu sahaja.
    Ada satu hari ni, saya tonton tv3 dan saya tertarik dengan kenyataan Prof Dr Sidek Baba, seorang Pensyarah kanan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, . Beliau rupa rupanya kawan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau sendiri mengatakan Datok A itu tidak layak untuk menjadi perdana menteri kerana sebab2 tertentu. Puan boleh lihat di internet temu bual Prof tentang isu ini. Beliau rakan karibnya dan seorang pensyarah di UIA, pun bimbang jika rakan karibnya itu menjadi Perdana menteri.

    Saya juga cadangkan , mari kita sama -sama dengar ceramah Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz yang mengajak rakyat Malaysia supaya melihat dan bersyukur dengan kebaikan yang dilakukan BN. Ustaz Kazim sendiri memuji BN. Siapa tidak kenal Ustaz Kazim kan, Saya sedih bila lihat politik di Malaysia macam ni.

    Sokonglah kerajaan BN, kan BN dah lama memerintah Malaysia, bukannya PM Najib macam PM mesir, barulah nak protes, atau Kamal Ataturk PM Turki yang memang tolak Islam dalam pemerintahannya.
    1)
    Buang Islam sebagai agama rasmi, Malaysia , tapi BN sampai sekarang,Islam agama rasmi kan, 🙂 Beliau pernah menegaskan bahawa “negara tidak akan maju kalau rakyatnya tidak cenderung kepada pakaian moden”.
    Membolehkan perempuan memakai tudung dengan syarat pakai skirt.
    di Malaysia di bawah pentadbiran BN, semua sekolah, murid- murid memakai tudung, tiada pula PM Najib buat macam Kamal Ataturk tu,

    3)Menutup masjid serta melarang dari bersembahyang berjemaah.
    Pm Najib jauhhhh sekali, Na’udzubillah.. tidak berbuat begitu, malah ada Musabaqah AlQuran lagi peringkat Antarabangsa. 🙂

    4)Menghapuskan Kementerian Wakaf dan membiarkan anak-anak yatim dan fakir miskin.
    Wahh, sekarang wakaf sangat di anjurkan, bukankah ini juga di bawah BN 😉

    dan banyak lagi..

    Jadi, apa alasan kita tak nak sokong kerajaan BN yang dah lama memerintah dengan baik..
    kalau parti lain yang take over, tiada jaminan Malaysia akan maju seperti di bawah BN,

    Puan Ummu Abbas, saya cuma nak share je, 🙂

  7. saya berpendapat sebegini kerana saya sangat sayang Malaysia 😉 😉 Ibu saya orang Kedah, dan saya mahu lihat Malaysia aman 🙂

  8. Hurm… Saya rakyat Kelantan, salah satu negeri Malaysia. Saya nak KEKAL Kelantan, UBAH Putrajaya…

    Seksanya dijadikan “anak tiri” dalam negara demokrasi.
    ***ROYALTI minyak disekat
    ***LEBUHRAYA bina sampai Terengganu je…
    ***Jalanraya teruk di Pahang on the way ke Kelantan dituduh Kerajaan Kelantan tak pandai buat jalan
    ***HUDUD nak buat, diUGUT jika buat
    ***Negeri lain dapat GERAN AIR, negeri kita dapat PINJAMAN AIR
    ***Pelajar terbaik SPM seMalaysia pun tak istihar masuk TV
    ***PERUNTUKAN persekutuan tidak disalurkan ke Kerajaan Negeri

    dan banyak lagi…

    Saya berpendapat begini sebab saya sayangkan Kelantan dan Malaysia.
    Ma, ayah dan semua adik beradik serta ramai sedara mara dan sahabat-sahabat saya berada di Kelantan dan seluruh Malaysia.

    Setakat ini Kelantan is the best Muslim state in Malaysia !
    So tak perlu nak takut pun jika PR boleh memerintah Malaysia…
    kalu tak suka, tukarlah pulak pada PRU14

  9. Maaf, saya ingin membuat pembetulan, sebenarnya, di Singapore, tiada kuota untuk pelajar melayu untuk masuk university. saya silap, 🙂 ramai pelajar melayu masuk university dan tiada had untuk mereka, .. 🙂

  10. assalamualaikum…izinkan saya yg jahil menyampuk sedikit…ni pendapat saya la..saya sokong apa yg kak bentangkan..apa yg saya perhatikan,diserata dunia…umat islam berpecah..bermula dari sejarah perang jamal…peperangan pertama umat islam..dengan umat islam.dimana satu golongan yg menyokong saidina ali dan satu lg muawiyah…sampai la sekarng dimana2 umat islam berpecah..tp bg saya bukan sesuatu yg pelik kerana..dalam satu hadist…rasullah pernah berkata nasara akan berpecah kepada 71 golongan,yahud akan berpecah kpd 72 golongan dan islam akan berpecah kpd 73 golongan..dan hya 1 golongan sj akn masuk syurg..sahabat bertanya golongan mana yg masuk syurga itu ya rasullah,..baginda menjawag golongan yg mengikut al quran dan hadist…dari sini kita kena ambik untuk jd asas dalam kita membuat pemilihan…asas dimana..golongan mana yg berpandukan pada al quran dan hadist..dan golongan itulah yg wajib kita pilih…soal pembangunan dan kemajuan itu soal kedua…ini secara terang terangan menolak hukum Allah..hukum yg datang dari dalam Al quran…sedangkan kalau kita menolak satu huruf saja dalam Al Quran…mengikut pendapat ulamak..sudah jatuh kufur…inikan pula menolak satu hukum yg terkandung dalam Al quran…dan kenyataan yg paling nyata oleh seorg dari bekas pemimpin tu..yg me ngatakan lebih baik syaitan yg dikenali dari malaikat yg tak dikenali…kenyataan ini telah menolak satu dari rukun iman..beriman kepada malaikat…memperlekehkan sunah nabi spt menyimpan jngut..mempermainkan hukum Allah…dalam kitab mustika hadist jilid dua. ..seperti yg penah diterangkan oleh bekas mufti selangor datuk ishak baharom…barang sesiapa yg menolak dan memperlekehkan sunah nabi…maka terkeluarlah dia dari islam…jd pemimpin yg mcm ni lah akan membawa pengikut dan yg menyokongnya termasuk kedalam 72 golongn lg yg nabi kata tak akan masuk syurga…dalam satu ceramah dari ustaz don…dia ada membaca satu ayat yg bermaksud…taatilah Allah,taati lah rasul dan pemimpin…apabila berlaku percangahan kembalilah pada al quran dan hadist….jd dari ayat ni…untuk menyatu padukan islam…hanya quran dan hadist…tp kita tgk..pihak mana yg nk ikut quran dan hadist ni..pihak tu la kita kena sokong…
    mcm dalam soalan di atas saya setuju dengn akak…walaupun dlm masyaratkat malaysia ada pemimpin masyarakat yg bukan islam..kita kena tgk kecedurangan pemimpin tersebut…klau dia mahu bersama jemaah yg mahu kan al quran dan hadist..kita kena ikut,…tp walaupun ada pemimpin yg islam tp menolak al quran dan hadist..kita kena tolak…
    Akan tetapi…yg sedihnya..org islam pada zaman sekarang…lebih menilai dari segi pembagunan dan kemajuan…harta dunia..gaji pangkat dan kuasa…berhati hatilah…kerana perkara yg membatalkan aqidah ada 300 perkara…dan syirik pada Allah bukan hanya dengan menyembah berhala…tetapi berbagai perkara lain yg boleh menyebabkan kita syirik…ni ayat yg selalu kita dgr…kerana parti sifulan dan sifulan. ..hang boleh hidup senang…kerana parti sifulan dan sifulan la…hang boleh sekolah…hidup dan mati makcik hanya untuk sifulan la…klau org len memerintah…hangpa nak mkn apa…muflis la negara kita…ayat yg macam ni lah yg kita tak tau…yg menyebabkan kita boleh terkeluar dan batal aqidah kita dalam tak sedar….kerana rezeki..ajal…jodoh semua ketentuan Allah..hidup..mati dan amal kita hanya untuk Allah…
    Saya minta maaf andai apa saya kata ni tersilap…klu ada lg berilmu. .tlg tgur…saya ni jahil..ni hanya sekadar pmerhatin saya…Allah yg lebih berilmu dan mengatahui…waallahualm

  11. Shabas!! Saya sangat setuju 200 peratus pandangan en. Ridhuan.. semuga Allah sentiasa bersama memberikan keberkatannya dan membukakan hijabnya untuk pemerintah yang ingin melaksakan semua hukum dan perintahnya..aaamiiin!!

  12. PRU dah pun berlalu…

    Sekarang marilah kita sama-sama tumpukan dalam memperkukuhkan ekonomi umat islam supaya lebih banyak perkara kebaikan yang boleh dilakukan. contohnya kebajikan, sedekah, zakat, peluang pekerjaan. Ekonomi adalah kunci kepada kekuatan umat islam. Caranya adalah menyokong dan membeli produk umat islam sendiri. kita mesti saling sokong menyokong antara satu sama lain. Jangan ada umat islam berpecah hanya disebabkan perbedaan politik.

  13. umat islam wajib memilih ketua dari kalangan orang islam,ini ada dalam hadis,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: