Masjid Hobart Menaranya Pendek

Kami sempat singgah bersolat Jumaat di Masjid Hobart.  Tidak sah rasanya bila tiba di satu-satu tempat yang ada masjid, tiada usaha untuk cuba mengunjungi rumah Allah tersebut. Apatah lagi kewujudannya di tengah-tengah majoriti non muslim. Andai kita dijemput ke istana raja sesebuah negeri pun, akan rasa teruja yang amat sangat, inikan pula rumah raja segala raja yang tiada protokol menyusahkan untuk dikunjungi.  Rumah Allah sentiasa terbuka luas untuk dilawati para hambaNya.  Bukan itu sahaja, Allah menyediakan ganjaran pahala berlipat kali ganda bila dimanfaatkan dengan iktikaf, solat, tilawah al Quran, zikir, kelas-kelas pengajian dan doa.

Masjid Geelong yang berasa dari sebuah gereja.
Masjid Geelong yang berasal dari sebuah gereja.

Iya!  Antara agenda penting yang harus dimasukkan dalam tentatif sepanjang ziarah ke sesuatu tempat ialah mengunjungi masjid tempatan.  Sesetengah masjid di Australia asalnya  merupakan gereja seperti masjid di Geelong.  Dikatakan banyak lagi berlaku pertukaran gereja ke masjid namun penulis tiada maklumat yang tepat mengenainya.  Sehingga tulisan ini dibuat, terdapat kira-kira 350 masjid dan musolla di seluruh Australia.  Fakta-fakta ini menunjukkan perkembangan jumlah umat Islam di sesuatu tempat, makin berkurangan penganut Kristian mengunjungi gereja dan juga pertambahan penerimaan masyarakat kepada Islam.

Kebanyakan penganut Kristian tidak tahu apa ajaran agama masing-masing.  Ada golongan muda bila ditanyakan tentang apa itu Easter Day, mereka menjawab, “Holiday”.  Anak kedua penulis bertanya kepada kawan baiknya, seorang penganut Orthodox yang baru berusia 13 tahun, “Awak ke gereja setiap minggu?” Jawabnya, “Tidak”.  “Ibu awak?”  “Pun tidak”.  Ini realiti yang ada.  Bukan sahaja ramai muslim yang tidak memahami ajaran agama Islam, penganut agama lain juga terutama golongan muda kian renggang dengan agama mereka.  Fenomena ini jika diambil kesempatan oleh umat Islam, Islam akan lebih cepat berkembang dan diterima umum.

Imam Melayu di Hobart

Antara rezeki menarik sepanjang ziarah Tasmania ialah berpeluang mengenali seorang finalis Australia’s Local Hero 2008, Imam Sabri Samson yang berasal dari Sijangkang, Selangor. Beliau merupakan Imam Hobart. Terlibat dengan pelbagai dialog dengan non muslim Australia. Pengorbanannya meninggalkan tanah air tercinta untuk menetap seterusnya menyebarkan dakwah Islam di Bumi Kangaroo ini mengagumkan saya.  Menetap di Hobart lebih 40 tahun dan hampir 20 tahun berkhidmat sebagai Imam di Islamic Centre Hobart.

‘Pintu masuk’ Imam Sabri ke negeri terkecil Australia ini ialah tatkala melanjutkan pelajaran di Universiti Tasmania, Hobart pada tahun 1967.  Mendapat rezeki biasiswa Colombo menjadikan dia salah seorang anak Melayu yang bertuah.  Walaupun latar belakang pengajiannya adalah di bidang Sains (Fizik dan Matematik), namun kesedarannya terhadap tanggungjawab sebagai da’ie adalah tinggi.  Semangat dan kesedaran begini harus ada  pada setiap muslim pada hari ini kerana Islam diserang dari pelbagai penjuru dan dengan pelbagai cara sama ada peperangan saraf, ekonomi, politik dan ketenteraan.  Di atas tanggungjawab muslim yang wajib menyampaikan Islam kepada masyarakat sekitar ini menjadikan seseorang itu dapat istiqamah dengan jati diri dan wajah muslim.

Kredit to http://www.photosjunction.com/
Ikan di laut tetap tawar walau airnya masin.  Kredit to http://www.photosjunction.com/

Keperibadian Muslim Adalah Terbaik

Muslim yang beriman tercampak ke mana pun dia akan menjadi seperti ikan di laut, tetap tawar walau airnya masin.  Peribahasa lain menyebut kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.  Jati diri mukmin akan mempesona sesiapa sahaja yang jernih hati dan pemikirannya.  Pesona diri mukmin yang mampu memikat ribuan hati untuk dekat dengan Islam seterusnya menganut Islam telah dibuktikan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan pengikutnya dari dahulu hingga sekarang.

‘Magnet’ yang menarik hati Yusuf Estes untuk memeluk Islam juga datangnya dari pesona mukmin rakan niaganya berasal dari Egypt.  Yusuf Estes sekarang sudah pun menjadi pendakwah terkenal di Amerika Syarikat.  Niat asalnya mengajak rakannya menganut Kristian ditumpaskan oleh pesona peribadi mukmin yang istiqamah memelihara solat 5 waktu, berpuasa dan berakhlak mulia.  Ditambah pula pesona mukmin itu tadi dapat menyatakan rasional atau bukti atau hujjah dari setiap perbuatan dalam ajaran Islam.  Perbezaan ketara dengan ajaran Kristian yang tidak menganjurkan penganutnya berfikir.

Saat-saat akhir sebelum memeluk Islam, Yusuf Estes berhasrat menziarahi masjid.  Dia mahu tahu apakah yang dibuat oleh orang Islam di dalam masjid.  Selepas melawat masjid, dia bermunajat memohon petunjuk dari Tuhan.  Akhirnya dia nekad memeluk Islam.  Rakan niaganya bukan sahaja mampu menjadi ‘pemimpin arus baru kehidupan’ untuk Yusuf Estes berserta keluarganya, bahkan Yusuf Estes sendiri mula memainkan peranan memimpin arus Islam di tengah masyarakatnya yang kufur.

Yusuf Estes
Yusuf Estes

Masjid & Muslim

 

Apabila muslim dan masjid menjadi seperti aur dengan tebing, pasti bermula langkah-langkah kecemerlangan sesuatu masyarakat Islam.  Ini asas yang dibina oleh Rasulullah s.a.w tatkala berhijrah ke  Madinah.  Permulaannya ialah binaan Masjid Quba’ sebagai pusat aktiviti umat Islam.  Pusat penyatuan ummat berasaskan masjid menunjukkan konsep ‘habluminallah’ (komunikasi dengan Allah) dan ‘habluminannas’ (komunikasi sesama manusia) berjalan serentak di bawah naungan rahmat Allah swt.   Setiap yang bernama ‘ibu’ penting dijaga bagi menjamin keselamatan ‘anak-anak’nya.  Setiap negara, yang paling dipertahankan ialah ibu negara apabila berlaku serangan. Terlepas ibu negara kepada musuh menandakan jatuhnya sesebuah negara itu ke tangan musuh.  Maka untuk menjaga umat Islam dan menjamin kekuatannya, masjid  wajib dijaga dan dimakmurkan terlebih dahulu.  Masjid merupakan ‘ibu pejabat’ atau pusat pergerakan umat Islam di mana-mana penjuru dunia.

20130125_Masjid Hobart 1
Masjid Hobart yang menaranya pendek.

Masjid Hobart Menaranya Pendek

Akhir kata, kembali ke Masjid Hobart, menara masjid ini sedikit pelik kerana saiznya pendek.  Dikatakan penduduk sekitarnya tidak mengizinkan menara masjid ini dibina tinggi  sebagaimana kebiasaannya.  Inilah antara cabaran menghidupkan syi’ar Islam di lokasi non-muslim.  Walau apapun, toleransi dan diplomasi yang tinggi diperlukan semasa berinteraksi serta berkomunikasi dengan non muslim berdasarkan kaedah diplomasi Rasulullah s.a.w.  Moga diplomasi dan toleransi berlandaskan syarak itu tetap memberi pulangan lumayan kepada Islam itu sendiri.

Semoga Allah merahmati Imam Sabri , tetap memberi perlindungan dan pertolongan kepadanya selama beliau berada di sana.

Ummu Abbas

Catatan pada,

16 Jumadal Awwal 1434H/ 29 Mac 2012.

Edited:  19 DzulHijjah 1436H/ 2 Oktober 2015

Melbourne.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: