Assalamu’alaikum.
Tulisan berikut -dengan sedikit editing- adalah antara siri penulisan saya semasa bermastautin di Melbourne dari bulan Ogos 2010 hingga November 2013. Ia pernah disiarkan di majalah Era Muslimah.
**************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Menyewa di Melbourne tidak mudah. Seorang jiran kami sesama post-grad pernah diarahkan keluar sebelum kontrak menyewa habis. Mujurnya ‘landlord’ memberi notis awal untuk berpindah. Dalam siri 2 Travelog Iman ini pernah dikisahkan sedikit tentang hal ehwal mencari dan prosedur mendapatkan rumah sewa di sini. Penyewa mesti mengisi borang kontrak menyewa. Setiap penghuni dewasa wajib menandatangani kontrak tersebut. Ini bererti jika rumah pasangan berkeluarga, suami isteri yang tandatangan. Jika rumah yang dihuni secara bersama bersama kawan-kawan, maka semua penghuni tersebut wajib tandatangan. Jumlah penghuni rumah dihadkan berdasarkan jumlah bilik.
Tempoh kontrak bergantung kepada persetujuan bersama antara tuan rumah atau agensi dengan penyewa. Lazimnya untuk kali pertama, penyewa di kalangan post-grad Malaysia akan menandatangani kontrak setahun. Hampir habis setahun, agensi atau tuan rumah akan menawarkan sambung kontrak atau tamat setakat itu sahaja disebabkan beberapa perkara mendatang. Antara perkara mendatang ialah rumah itu sudah bertukar tuan dan pemilik baru mahu mendiaminya. Selain itu, ada kes pemilik baru mahu mengubah-suai bangunan atau membaiki kerosakan supaya ia menjadi lebih baik. Jadi dapatlah meletakkan sewa lebih mahal. Mungkin juga penyewa kurang berpuas hati dengan keadaan rumah mahu berpindah ke rumah yang lebih baik.
Bersama kontrak perjanjian menyewa, satu lampiran disertakan iaitu senarai kerosakan sedia ada rumah yang akan didiami seperti dinding retak, dinding merekah, cat sudah pudar, terdapat lantai yang calar, lantai patah, pintu tidak boleh ditutup rapat, lampu tidak menyala, oven tidak berfungsi, satu tungku dapur tidak menyala dan lain-lain. Pendek kata sebagai penyewa, manfaatkan senarai tersebut untuk diisi secara terperinci. Lebih baik lagi, lampirkan foto-foto bahagian kerosakan yang ada. Senarai ini akan dirujuk semula semasa penyewa mahu berpindah. Mana-mana kerosakan asal tidak akan dicaj dari duit pendahuluan. Mana-mana kerosakan baru akibat perbuatan penyewa akan dicaj. Apabila borang senarai kerosakan ini diisi dengan cermat, duit penyewa selamat. Jika buat sambil lewa, penyewa akan dicaj sebagai ganti rugi kerosakan. Sepanjang mendiami rumah sewa, keadaan cat juga perlu dijaga agar sentiasa bersih dan tiada sebarang contengan. Jika cat kelihatan kotor semasa mahu keluar, bon pendahuluan boleh ditolak antara AUD600-AUD800 (Lebih kurang RM2500).
Kos sewa dikira berdasarkan minggu, bukan mengikut bulan seperti di Malaysia. Contoh AUD250 seminggu dan seterusnya. Kadar mampu yang biasa di kalangan post-grad ialah antara AUD250 – AUD350 seminggu. Lebih jauh jarak dari Kota Melbourne, lebih murah kadar sewa. Melbourne di bahagikan kepada 2 zon iaitu Zon 1 dan Zon 2. Rumah-rumah di Zon 2 lebih murah dari rumah-rumah di Zon 1 namun kos pengangkutan awam seperti bas, tram dan keretapi adalah lebih mahal. Lazimnya tiada sebarang kenaikan kos sewa dalam tempoh kontrak. Sewa biasa dinaikkan pada tahun yang diperbaharui tempoh kontraknya. Kadar kenaikan bergantung kepada pemilik. Kadang-kadang kadar kenaikan agak tinggi seperti AUD20 seminggu. Jika kenaikan agak tinggi, penyewa biasa berpindah rumah. Jika rumah tersebut kurang permintaan, pemilik akan menurunkan semula kos sewa.
Kebanyakan tuan rumah menyerahkan kepada agensi-agensi rumah untuk menguruskan rumah-rumah sewa mereka. Jarang-jarang sekali dapat menyewa secara terus dari tuan rumah. Biasanya tuan rumah begini mengiklankan rumah sewa mereka di pasar-pasar atau dari mulut ke mulut. Agensi-agensi mempunyai laman web mereka sendiri untuk mengiklankan rumah sewa yang mana capaian pasarannya lebih luas. Para penyewa dari seluruh dunia boleh meninjau lebih awal sebelum datang ke sini. Antara link mencari rumah sewa di Melbourne ialah Real Estate , Gum Tree , Domain , Homes dan lain-lain.
Apabila Rumah Kena Jual…

Alhamdulillah, selepas setahun pertama, kami memperbaharui kontrak untuk 2 tahun sekaligus selepas berpuas hati dengan keadaan rumah dan persekitarannya. Tempoh kontrak itu akan berakhir awal November tahun ini. Kadar sewa dinaikkan AUD5 seminggu. Hujung April lepas, kami dihubungi oleh agen rumah menyatakan rumah akan dijual. Debar mulai terasa bila mengingatkan apa yang pernah berlaku kepada penyewa-penyewa sebelum ini. Insyaa Allah, paling awal kami akan balik ke Malaysia akhir tahun. Agak mustahil mendapatkan rumah sewa yang kontraknya tidak sampai 6 bulan. Lalu kami bertanya agen apakah penjualan ini jika berlaku dalam tempoh kontrak akan memberi kesan kepada kami. Wakil agen memberitahu bahawa kontrak tetap terpakai walau rumah ini bertukar milik. Alhamdulillah namun jawapan tersebut tidak dapat meredakan sepenuhnya debar di hati.
Semenjak rumah ini diiklankan untuk dijual, agen meminta keizinan kami untuk mengadakan ‘inspection’ rumah setiap Sabtu sehingga ke hari bidaan pada 25 Mei 2013. Setiap kali tiba waktu ‘inspection’, kami diminta membersih dan mengemas rumah serapinya sebelum keluar dalam tempoh 40 minit hingga sejam bagi memberi peluang pembeli meninjau keadaan rumah. Ia tidak menyukarkan kerana hampir setiap Sabtu kami keluar ke pasar membeli keperluan dapur. Pada hari bidaan, kami menyertai bakal pembeli di hadapan rumah untuk melihat proses bidaan dilakukan. Berharap pembeli itu nanti bukanlah mereka yang ingin mendiaminya secepat mungkin. Kami terpandang jiran kami, Muhammad dan 3 orang anak lelakinya juga berada di situ. Kira-kira 5 tahun yang lalu, dia tidak berjaya membelinya kerana terlepas kepada ‘landlord’ sekarang. Harga pada masa itu ialah AUD427k. Akhirnya Muhammad berjaya membida rumah tersebut dengan harga AUD490k. Oleh kerana ‘landlord’ sudah letak harga minimum AUD510k, selepas tawar menawar, Muhammad mendapat harga AUD500k.

Akhirnya syukur kepada Allah, debar menanti milik siapakah rumah yang kami diami sekarang sudah berakhir. Pada hari tersebut, itu kali pertama mengenali tuan rumah lama yang berbangsa Inggeris Australia.
“Muhammad, adakah anak-anak awak akan mendiami rumah ini?”
Muhammad berkata, ” Anak-anak saya tidak tinggal di sini. Awak boleh duduk selama mana yang awak mahu. Kalau awak mahu balik nanti, boleh beritahu kawan-kawan muslim jika mereka mahu menyewa. Sebolehnya saya mahu penyewa muslim”.
Mendengar jawapan itu, alhamdulillah, syukur kepada Allah atas segala kemudahan ini. Dua kali gembira rasanya. Pertama gembira kerana hartanah tersebut menjadi milik orang Islam. Kedua gembira kerana kebimbangan kami terpaksa berpindah berakhir pada hari itu. 3 orang anak Muhammad yang sudah bernikah memiliki rumah sendiri. Rumah ini dibeli untuk anak lelakinya yang berkerja sebagai peguam tetapi belum bernikah.
Pengalaman ini mengingatkan saya pada satu kediaman yang maha penting untuk kita semua iaitu adakah kita berdebar-debar tatkala memikirkan di manakah kediaman kita di akhirat kelak? Kita akan mendapat kediaman mewah di syurgakah atau kediaman buruk di neraka. Na’uzubillah. Ia juga membuatkan saya lebih menghayati doa Asiah isteri Firaun sebagaimana termaktub di dalam Surah al-Tahrim ayat 11 yang bermaksud,
“Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”.
Asiah berada di bawah naungan Firaun, manusia yang mengaku dirinya tuhan namun keperibadiannya tidak terkesan dengan perbuatan jahat suaminya. Asiah beriman kepada ajaran anak angkatnya Musa a.s. Kehidupan mewahnya bersama Firaun tidak mampu mengaburi matanya dari melihat kebenaran sehingga dia diseksa oleh Firaun. Di dalam tafsir al-Thobari diceritakan dengan riwayat berbeza kisah penyiksaan yang dialaminya. Membina rumah di akhirat bukan lagi dengan wang ringgit, memerlukan arkitek, kontraktor dan tukang rumah. Semuanya perlu diusahakan dengan aqidah yang sahih dan amal soleh yang ikhlas kerana Allah swt sebagaimana pelaburan yang dilakukan oleh Asiah isteri Firaun. Akhir kata biarlah rumah kena jual asalkan iman kita tidak dijual beli dengan kedudukan dan harta benda dunia yang sedikit.
“Ya Allah, binakanlah untuk kami kediaman di sisiMu di dalam syurgaMu. Ampunilah segala dosa-dosa kami, selamatkanlah kami dari kaum yang zalim serta perbuatan mereka yang ganas sebagaimana yang berlaku di Syria, Mesir dan lain-lain.”
Ummu Abbas
20 Ramadan 1434H/Julai 2013
Tinggalkan Jawapan