*Berikut adalah karya penulis yang ditulis pada Mac 2014. Jadi segala isi kandungannya berasaskan situasi pada masa tersebut. Harap maklum.

Di Melbourne, kota metropolitan itu jauh bezanya dari Kota Bharu, Kelantan. Juga berbeza dari kebanyakan kota-kota besar di Malaysia. Sudah tentu, lain padang lain belalang. Saya pernah mendengar satu ucapan pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan yang membayangkan ‘meriah’nya waktu malam di Kelantan dengan urusniaganya terutama Pasar Wakaf Che Yeh sebagai tanda kemajuan atau kepesatan kotanya. Mendengarkan itu, hati tumpang merasa bangga dek Kelantan sering ditohmah sebagai negeri yang tidak membangun. Realitinya, dalam situasi ditekan ekonominya oleh Kerajaan Persekutuan, Kelantan adalah antara negeri yang tetap pesat membangun dan aktiviti urusniaga di sini sentiasa berjalan rancak sejak dahulu. Dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam’, tanpa pusat judi, kelab malam dan arak, waktu malam di Kelantan ‘meriah’ dengan gaya tersendiri.
Kemeriahan Malam Petanda Maju?
Persepsi terhadap kaitan ‘kemeriahan’ malam dengan kemajuan itu mula berubah selepas berpeluang menetap di bumi Koala. Sekali-sekala bila keluarga atau sahabat handai datang berkunjung, antara kekangan yang dihadapi ialah waktu untuk ber‘shopping’. Tambahan pula jika musim sejuk yang mana sebagai muslim, kita terkejar-kejar dengan waktu solat Zohor, Asar dan Maghrib yang pendek. ‘Shopping’ adalah salah satu agenda penting selain melawat tempat-tempat menarik bagi mana-mana pelancong. Lazimnya pula tetamu dari jauh meluangkan masa seminggu di sini. Ia menambah ‘tekanan’ untuk menyusun jadual perjalanan sebaiknya sepanjang berada di Melbourne. Waktu berurusniaga kebanyakannya sehingga jam 5 atau 6 petang. Hampir 3 tahun berada di sana, baru tahu dari seorang kawan ada sebuah ‘shopping centre’ berhampiran ditutup lewat sedikit pada setiap Khamis dan Jumaat. Itu pun waktu berakhirnya ialah jam 9 malam. Tidak seperti kebanyakan pusat membeli-belah di Malaysia yang ditutup jam 10 atau 10.30 malam setiap hari.

Segelintir perniagaan ada yang dibuka sehingga jam 11 malam atau satu dua kedai beroperasi 24 jam di Melbourne. Biasanya kedai yang menjual barangan runcit seperti Coles dan K Mart. Kecuali pub atau kelab-kelab malam, sememangnya sifatnya mesra beroperasi di waktu malam. Itu pun meriah di hujung-hujung minggu sahaja. Pada hari berkerja, jika melintasi ‘city’ Melbourne atau di pinggirannya selepas jam 9 malam, bandar sudah lengang. Satu famili pernah menziarahi kami pada musim Hari Raya Korban. Kami mengajak mereka singgah pada petang hari di rumah seorang kawan yang membuat jamuan. Dia menolak kerana merancang keluar makan malam di mana-mana restoran. Kesudahannya mereka pulang ke rumah dengan kebuluran kerana tidak menemui sebuah kedai makan yang masih beroperasi walaupun ketika itu belum jam 10 malam. Nasib baik saya membawa pulang sedikit bekal dari rumah kawan tersebut. “Kan sudah cakap, di sini sukar mencari kedai makan yang dibuka waktu malam.”
Benarlah, banyak berjalan meluas pandangan mata, hati dan fikiran. Di zaman sekarang, kalau mahu kenal apa itu Islam, merantaulah ke negara-negara non muslim yang maju dan terkedepan, akan didapati banyaknya disiplin Islam yang diamalkan mereka. Allah itu maha adil. Apabila Dia meletakkan sunnah alam ini dan segala asbabnya sebagai faktor kejayaan dan kemajuan, maka sesiapa sahaja yang beramal meskipun mereka belum Islam pada aqidah, maka Allah kurniakan kejayaan atas apa yang diusahakan. Disiplin waktu kerja dan waktu perniagaan beroperasi di sesebuah negara antara faktor rakyatnya sentiasa produktif kerana mendapat rehat yang cukup dan berkualiti.
Malam Sebagai Pakaian Amalan Negara Membangun dan Maju
Malam bagaikan sehelai pakaian yang dilabuhkan ke tubuh bagi kebanyakan penduduk Australia. Mereka benar-benar memanfaatkan serta menikmati malam sebagai waktu berehat dan berlindung. Juga masa bersama keluarga yang damai. Kami yang berada di Melbourne pun dapat merasakan perbezaan kualiti malam berbanding berada di tanah air. Menjelang Maghrib, jalan-jalan raya sudah mula lapang. Di Kota Bharu sahaja, masih ada jalan-jalan yang sibuk di waktu malam. Belum lagi diambil kira kota-kota besar seperti Kuala Lumpur dan lain-lain. Tiada ‘dewan parlimen’ tidak bertauliah di kedai-kedai kopi untuk membicarakan isu politik atau menyebarkan berita semasa. Tiada ‘port’ untuk remaja melepak atau para suami menghabiskan masa bersama kawan-kawan.

Warga non muslim Australia mungkin ramai yang tidak pernah membaca al Quran. Namun apa yang mereka amalkan bersesuaian dengan ayat-ayat Allah swt yang menceritakan perihal malam. Antaranya ialah ayat 9- 10 Surah al-Naba’ yang bermaksud;
‘… Kami jadikan tidurmu untuk berehat’.
‘… Kami jadikan malam sebagai pakaian’
‘… Kami jadikan siang sebagai tempat mencari penghidupan’.
Indahnya perumpamaan yang Allah lukiskan tentang malam supaya mudah difahami manusia seterusnya mahu menghayatinya. Tatkala Allah menyebut aktiviti tidur untuk merehatkan minda dan jasad, ia masih bersifat umum kerana diwaktu siang pun ada orang tidur. Namun bila dirangkaikan dengan sifat malam sebagai pakaian, ia menjuruskan tidur yang berkualiti ialah di waktu malam. Pakaian sifatnya menutupi serta melindungi pemakainya. Begitulah malam melindungi serta menutupi alam dengan kegelapannya bagi melengkapkan kerehatan buat manusia setelah penat berkerja pada siangnya. Kita pun biasa dengar, ramai yang tidak boleh tidur di bawah lampu yang menyala atau di tempat cerah. Ini membuktikan sifat tidur itu sinonim atau lebih mesra dengan suasana kelam malap.
Alangkah bagusnya jika warga-warga non muslim itu tahu tentang ayat-ayat Allah berkaitan malam dan tidur ini. Sudah tentu mereka dapat merasakan kebesaran Allah dalam salah satu penciptaanNya ini untuk manfaat besar bagi umat manusia. Semasa menulis artikel ini, teringatkan sebuah negara timur yang terkenal maju. Digaru rasa ingin tahu amalan mereka, tangan meng’google’ kata kunci ‘Retail trading hours’ di negara tersebut. Didapati masyarakat Jepun paling lewat melabuhkan waktu operasi perniagaannya ialah jam 8 pm. Ia dikeluarkan di web rasmi Japan National Tourism Organization. Mungkin sesetengahnya masih beroperasi selepas waktu itu sama seperti di Australia namun yang sedikit tidak mampu mendominasi suasana.
Malam adalah nikmat dan rahmat Allah supaya manusia memperolehi ketenangan dan merehatkan diri dari berurusan sesama mereka. Jika dirujuk pada solat jemaah 5 waktu, saya kira waktu Isyak adalah waktu terakhir sesuai untuk bersosial bersama masyarakat luar secara umumnya. Selebihnya adalah waktu untuk tinggal diam bersama keluarga dan untuk diri sendiri.

Tidur sebaik selepas Isyak memberi impak dapat berjaga di tengah malam dalam keadaan badan terasa cergas. Jadi tidak dihambat rasa mengantuk dan letih untuk bertahajjud sedikit sebelum menyambung tidur semula sehingga Subuh. Bila ada konsep berjaga pada sebahagian malam untuk beribadah di dalam Islam, maka tanpa was-was, diyakini segala hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Sudah tentu manfaatnya adalah untuk jasmani, rohani dan akal manusia. Yang penting segala tatacara berkaitan diambil kira untuk mendapat laba optimum. Usah disalahkan tahajjud jika mengantuk dan penat pada siangnya jika kita tidur jam 12 malam tanpa qailulah pula pada siangnya. Belum diambil kira perut yang sentiasa dipenuhi kantungnya dengan pelbagai jenis makanan tanpa meninggalkan ruang untuk udara dan air.
Malam Sebagai Pakaian di Kelantan
Kelantan pernah menerajui memberi cuti 2 hari seminggu untuk kakitangannya. Sehari untuk ilmu dan ibadah iaitu pada hari Jumaat. Sehari lagi untuk bersama keluarga. Itu rasional yang pernah diberikan mantan Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Meskipun ditohmah pada awalnya, akhirnya diikuti juga oleh kerajaan pusat. Harapan penulis, Kelantan akan menerajui pula dengan sekatan awal waktu beroperasi semua jenis kedai-kedai yang sesuai. Dasar Membangun Bersama Islam sangat serasi untuk membawa rakyatnya menikmati ayat 6-9 surah al-Naba’ dalam kehidupan mereka. Impaknya bukan sahaja kerehatan jasad dan minda, tetapi kesan yang lebih positif pada institusi kekeluargaan dan sosial. Tambahan pula akhir-akhir ini kadar jenayah juga meningkat. Walaupun tulisan ini menyebut Kelantan secara khusus, namun jika kerajaan pusat berminat, maka ia lebih dialu-alukan supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati fungsi malam yang sebenar.

Seorang rakan menulis, “Pengalaman saya pernah tinggal di Kota Kinabalu, jam 8 malam semua orang berada di rumah masing-masing. Jam 9 malam kami sudah tidur. Kami bangun awal dan anak saya jam 4.30 pagi sudah bangun serta bersiap ke sekolah kerana bas datang jam 5.30 pagi.” Coretan ini menunjukkan amalan tidur dan berehat lebih awal ini memberi kesan yang baik kepada semua peringkat usia. Anak-anak pun mudah bangun awal pagi.
Waktu terakhir beroperasi yang difikirkan sesuai dengan budaya rakyat Kelantan ialah jam 8 pm, sama seperti di Jepun. Ini kerana Isyak biasanya jam 8 malam ke atas. Waktu itu kaum lelaki sudah boleh bersiap sedia mengimarahkan rumah Allah dengan solat Isyak berjemaah sebagai penutup yang baik untuk hari tersebut. Kemudiannya pulang ke pangkuan keluarga untuk berehat. Tanpa pusat judi dan kelab malam, penulis yakin Kelantan akan lebih bertamadun dari Australia dan Jepun bila teori malam sebagai pakaian dapat direalisasikan pada rakyatnya. Lebih gah lagi ialah amalan berjaga sebahagian malam bagi umat Islam memelihara hubungan dengan Pencipta malam, pasti akan melonjakkan umat Islam ke makam tertinggi di dunia ini.

Ummu Abbas
2 Jamadil Awwal 1435H/ 3 Mac 2014
Melbourne, Australia.
#Ini adalah tulisan siri Travelog Iman yang pernah diterbitkan majalah Era Muslimah.
#Post pada 3 Zulhijjah 1440H/ 3 Ogos 2019
Tinggalkan Jawapan